CATATAN BUAT AKTOR POLITIK NEGERI INI.
Tulisan ringkas ini adalah sebagai peringatan dan dokongan buat pemimpin dan pemain politik sama ada yang berparti atau tidak berparti. Tinggal beberapa hari sahaja lagi akan tiba waktu kemuncak dalam proses kita meraikan demokrasi yang berjalan lima tahun sekali.
Kempen yang diadakan dalam beberapa hari lepas menunjukkan bahawa senario masih tak berubah seperti musim PRU yang dahulu. Mudahnya, pengamalan politik yang kita jalankan masih berada di tahap kematangan yang rendah. Seperti biasa, sentimen dan persepsi dijulang lebih tinggi daripada idea dan dasar.
Ramai orang berkata bahawa PRU kali ini milik anak muda dan rakyat kerana memperlihatkan partisipasi yang lebih lincah daripada sebelum ini. Kita sedar bahawa anak muda dan rakyat pada hari ini inginkan perubahan, tidak kurang juga ada yang mahu kekal dengan apa yang ada. Itu hak masing-masing dan ia dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Namun begitu, apa yang tidak enak adalah apabila pemimpin-pemimpin politik memainkan drama sumbang di saat-saat genting pemilihan tampuk pemerintahan negeri ini.
Betul kata orang, kerana kuasa manusia sanggup lakukan apa sahaja termasuk membadutkan diri sendiri, menjual agama bahkan bercakap bohong tentang perkara-perkara penting pengurusan negeri ini.
Saya melihat bahawa dalam melalui bahagian-bahagian permainan kuasa ini, pemimpin politik harus sedar bahawa rakyat iaitu penyokong masing-masing telah bertungkus-lumus ‘bekerja’ selama beberapa tahun untuk pemimpin masing-masing.
Analisis sering juga menunjukkan bahawa PRU ini adalah paling kritikal disebabkan tempias gelombang kebangkitan sebelum ini. Dijangka akan berlaku pertempuran paling dahsyat antara dua koalisi ; Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.
Oleh sebab itu, aktor-aktor ini berusaha melakukan apa sahaja bagi menjamin kemenangan malah untuk memantapkan pengaruh parti dan blok masing-masing.
Maka, jangan nanti dek kerana sikap pemimpin politik, rakyat binasa dan derita kerana di akhirnya nanti rakyat yang akan menentukan..
KHAIRUL NAIM RAFIDI,
MAHASISWA UNDANG-UNDANG UiTM SHAH ALAM
PRESIDEN MAHASISWA MELAYU PROGRESIF (M.M.P)
-----------