Tanggal 17 Oktober adalah tarikh keramat yang akan terus diingati oleh umat manusia di seluruh dunia ini. Pada hari itu dalam tahun 1917 di Moscow, Lenin memulakan Revolusi Bolshevik yang menumbangkan pemerintahan feudalisme di Russia. Pada tarikh yang sama pada 1998, satu lagi detik sejarah telah dicipta. Kali ini sejarah berlaku di kota London.
Detik bersejarah ini sedang membuka satu implikasi yang amat penting. Untuk semua penyokong demokrasi dan pencinta hak asasi manusia, tarikh ini tidak akan dilupakan. Tarikh 17 Oktober 1998 ialah tarikh penangkapan diktator Jeneral Augusto Pinochet.
Pada 11 September 1973, Jeneral Pinochet yang didalangi oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat merampas kuasa dari Presiden Salvador Allende. Allende adalah presiden Chile yang dipilih oleh rakyat melalui proses pembuangan undi yang demokratik.
Dengan dasar-dasar yang popular dan prorakyat, presiden itu telah mendapat sokongan yang kuat dari rakyat Chile. Dasar ekonomi yang memihak kepada rakyat menjadikan pemodal dan pelabur dari Amerika Syarikat gentar.
DI SANTIAGO
Kaum pemodal Amerika Syarikat tidak ingin melihat kaum buruh di Chile berani bangun menuntut hak berpersatuan dan hak menentukan gaji mereka. Untuk kaum pemodal, yakin diri yang wujud di kalangan kaum buruh di Chile ini amat berbahaya dan akan mempengaruhi seluruh gerakan kaum buruh di Amerika Latin.
Justeru sebuah syarikat telekomunikasi Amerika Syarikat, ITT yang memiliki lombong-lombong tembaga dengan kerjasama CIA menaja rampasan kuasa untuk mentakhtakan Jeneral Pinochet.
Presiden Allende sebagai seorang patriot enggan menyerah diri. Beliau bertempur dengan gerombolan tentera upahan CIA dan gugur di dalam Istana Presiden.
Pada bulan pertama sesudah rampasan kuasa tentera itu berlaku, lebih daripada 5000 orang rakyat Chile telah dibunuh.
DI KUALA LUMPUR
Bulan-bulan berikutnya, ribuan lagi dibunuh, diseksa atau hilang tanpa berita. Pelajar, mahasiswa, seniman, intelektual, pemimpin kesatuan buruh, dan aktivis daripada pelbagai parti politik telah diburu, ditangkap dan dikumpulkan.
Stadium bolasepak di Santiago dijadikan khemah tahanan. Sejarah rampasan kuasa ini sama ganasnya seperti yang dilakukan oleh Jeneral Muhamad Suharto di Indonesia pada 1965.
Ribuan rakyat Chile daripada pelbagai pandangan politik melarikan diri dan mencari suaka politik. Mereka yang terselamat menjalankan kempen untuk menerangkan kepada dunia tentang keganasan dan kezaliman yang telah dilakukan oleh diktator Pinochet.
Rakyat Chile yang tinggal diluar negara menuntut agar Jeneral Pinochet dihadapkan ke mahkamah pengadilan atas pelbagai kesalahan jenayah.
Justeru, 25 tahun kemudian, peluang ini sampai apabila Jeneral itu datang ke London untuk bercuti dan menjalankan pemeriksaan doktor. Satu waran tangkap dari Sepanyol dihadapkan kepada mahkamah British. Waran ini bertujuan untuk menangkap dan mengekstradisi Jeneral Pinochet ke Sepanyol atas tuduhan membunuh.
CASTRO DAN ALLENDE
Apabila sampai waran ini, babak-babak rampasan kuasa dan keganasan jeneral itu dibuka kembali. Kali ini beliau bukan lagi di Chile, di mana beliau kebal daripada apa-apa tindakan mahkamah, tetapi di sebuah negara Kesatuan Eropah.
Waran untuk mengekstradisi diktator ini juga telah datang dari Belgium, Perancis dan Switzerland. Selama 16 bulan Jeneral Pinochet ditahan dan dibicarakan. Akhirnya General Pinochet, 84 tahun, terpaksa mengaku 'mamai' dan tidak siuman lagi untuk berhadapan dengan mahkamah.
Alasan untuk membela dirinya ialah otak ditaktor ini tidak lagi berupaya untuk mengetahui apa yang sedang berlaku. Ia digunakan untuk membolehkan beliau pulang kembali ke Chile pada 2 Mac lalu.
Hari ini walaupun Jeneral Pinochet telah selamat pulang ke Chile tetapi satu kes duluan (precedent) dari segi undang-undang telah dibuat. Dengan kes duluan ini, tidak akan ada lagi sesiapa pun termasuk bekas kepala negara yang akan terselamat daripada dakwaan makhmah jika individu itu ada tuduhan jenayah.
Walau pun kepala negara atau sesiapa pun kebal dalam negara masing-masing tetapi di mata undang-undang antarabangsa, individu ini tetap boleh dihadapkan ke mahkamah.
PERLAWANAN MULA
Kes Pinochet ini mempunyai satu implikasi yang amat mendalam terutama kepada pejuang-pejuang hak asasi manusia.
Menurut sebuah badan bukan kerajaan di peringkat antarabangsa yang memperjuangkan hak asasi manusia, Amnesty International, apabila Jeneral Pinochet ditahan 16 bulan dahulu, maka segala kekebalan yang melindungi seseorang pemimpin negara yang mencabul hak asasi rakyat sendiri telah dipecahkan.
Tidak wujud lagi kekebalan daripada dakwaan di mahkamah antarabangsa.
Duluan dalam kes Pinochet ini meyakinkan lagi pejuang hak asasi manusia di seluruh dunia untuk berusaha membawa beberapa pencabul dan penjenayah hak asasi manusia ke mahkamah.
Pada masa ini di Senegal, satu badan hak asasi manusia sedang berusaha untuk menghadapkan bekas Presiden Chad, Hissen Habre, atas tuduhan menyeksa tahanan politik sebagai satu kesalahan di sisi undang-undang antarabangsa.
BANGUN MELAWAN
Waran juga telah dikeluarkan untuk menangkap bekas Presiden Ethiopia, Haile Mariam, yang kini tinggal di Zimbabwe. Slobodan Milosevic, Presiden Yugoslavia kini sedang berhadapan dengan satu indikmen antarabangsa kerana jenayah yang beliau lakukan di Yugoslavia.
Isyarat telah diberikan dengan jelas kepada para pemimpin politik terutama di negara-negara Dunia Ketiga bahawa jika hak asasi rakyat jelata terus diinjak-injak, maka mereka boleh dihadapkan ke mahkamah antarabangsa.
Kalau dahulu para jeneral, diktator, pemimpin korup dan pencabul hak asasi manusia boleh berehat senang-lenang menghabiskan harta rakyat di London, Paris, Switzerland atau di New York, tetapi hari ini semuanya telah berubah.
Lihatlah bagaimana menantu Jeneral Suharto, Jeneral Probowo, hanya berani melarikan diri ke Jordan, walaupun cita-cita awalnya untuk menetap di London atau Paris. Dunia penjenayah dan pencabul hak asasi manusia kini semakin sempit.
DI KUALA LUMPUR
Untuk kita di Malaysia, kes ditaktor Pinochet ini sedang membawa implikasi yang mendalam. Pemimpin atau parti politik yang mempertahankan undang-undang menindas seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan pelbagai akta lagi mungkin boleh juga dibawa ke mahkamah antarabangsa kerana peruntukannya salah di mata undang-undang antarabangsa.
Satu contoh yang paling cerah untuk dihadapkan ke mahkamah antarabangsa ialah kes bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor.
Mengikut kenyataan akhbar Lim Kit Siang yang dikeluarkan pada 25 April tahun lalu, dalam masa sepuluh tahun ini terdapat 635 orang rakyat Malaysia telah ditembak mati oleh polis. Mengikut kenyataan itu lagi, pembunuhan oleh pihak polis ini kelihatan berterusan.
Pada 26 Mac 1998 seramai lapan orang pelarian politik dari Acheh telah ditembak mati. Pada 2 Oktober pula, polis telah menembak mati lima orang yang disyaki sebagai penculik. Antara mereka yang ditembak mati ialah seorang ibu yang sedang mengandung. Dan pada 3 Oktober tahun yang sama, enam orang ditembak mati di Tumpat, Kelantan.
Dalam kes Pinochet, apa yang berlaku ialah seorang rakyat Chile yang tinggal di Sepanyol telah membuat laporan kepada pihak berwajib di negara itu untuk membawa Pinochet ke mahkamah.
DI SANTIAGO CHILE
Ini bermakna jika ada rakyat Malaysia yang tinggal di Eropah yang telah membuat laporan polis terhadap Rahim Noor, maka jika yang dituduh sampai atau diketahui sampai ke Eropah, dia boleh ditahan untuk disiasat dan seterusnya didakwa.
Menurut Amnesty International, kerja-kerja sedang dijalankan untuk mendirikan sebuah Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Langkah-langkah seperti ini adalah lunas-lunas pensejagatan hak asasi manusia yang positif dan wajib kita dukung bersama-sama.
Penjenayah dan pencabul hak asasi manusia mungkin begitu kebal di dalam negara masing-masing tetapi di mata masyarakat dunia mereka tetap penjenayah dan pencabul.
Tangan diktator Jeneral Augusto Pinochet yang berlumuran darah rakyat Chile mungkin terselamat kerana telah 'mamai'. Namun, kes duluan yang telah berlaku di kota London pada 17 Oktober 1998 membuka lembaran baru yang tidak mungkin dapat ditutup kembali.
(TT)
TANYA LEBAI GOOGLE
SIAPA MAMAT
VINTOR JARA
SILA KLIK IKLAN YANG DILIHAT
dana dari iklan akan di wakaf
kepada dapor jalanan
projek memberi makanan kepada
warga kota tanpa tempat tinggal