Kenyataan Umum SAMM
25 Disember 2014
25 Disember 2014
Pulanglah Najib, Rakyat Perlukan Perdana Menteri Ketika Ini
Ketika ini, negara sedang menghadapi ujian yang amat besar. Beberapa ketika sebelum ini, negara telah turut terheret dengan penurunan harga komoditi dan minyak.
Kemudian, penurunan nilai Ringgit Malaysia dan kini bencana banjir besar yang melanda Pantai Timur Semenanjung.
Kesemua ujian ini sepatutnya memerlukan tumpuan dan fokus daripada seorang Perdana Menteri. Namun malang bagi Malaysia apabila Perdana Menteri memilih untuk bergembira menghayunkan kayu golf bersama Presiden Barrack Obama.
Kepada Najib, bagaimana anda boleh tersenyum gembira bermain golf di Hawaii ketika rakyat di sini resah, ketakutan dan huru hara memikirkan untung nasib menghadapi bencana banjir besar?
Adakah keutamaan Najib sebagai Perdana Menteri adalah untuk memuaskan hati dan menjadi budak Amerika Syarikat yang baik? Tidak bolehkah Najib membatalkan jadual ke Amerika Syarikat dan memilih untuk berada bersama rakyat ketika ini.
Kebingungan rakyat yang melihat tindak tanduk sindrom penafian Putrajaya terhadap keadaan banjir di Kelantan yang semakin memburuk akhirnya telah terjawab. Rupanya Perdana Menteri kita tidak berada di dalam negara tetapi sedang bergembira bersama Presiden Barrack Obama.
Pendokong Barisan Nasional heboh tempohari sewaktu Kajang dilanda banjir kilat dengan memainkan gambar Wan Azizah dan keluarga bercuti di luar negara. Nah, kini ketua kamu yang juga seorang Perdana Menteri memilih untuk bersama Barrack Obama berbanding rakyat sendiri.
SAMM mendesak Najib untuk segera pulang ke Malaysia dan fokus menyelesaikan pelbagai masalah dalam negara ketika ini. Sudah cukuplah waktu berfoya-foya di luar negara. Ini bukan masanya untuk kamu menjelajah keluar negara lagi.
SAMM juga mengambil kesempatan untuk memberikan gelaran Bapa Foya-Foya kepada Najib Razak. Pulanglah Perdana Menteri Foya-Foya. Rakyat Malaysia memerlukan kamu sekarang ini.
--------------