PENTADBIRAN NAJIB BELI “PRIVATE JET” BARU
Dalam suasana rakyat tertekan akibat kenaikan harga barang dan Barisan Nasional terus memotong subsidi dan perbelanjaan pro-rakyat yang lain, saya terkejut dengan sikap tiada kepedulian pentadbiran Najib Razak yang dengan sewenang-wenangnya membeli sebuah jet peribadi (“private jet”) baru.
Menurut jawapan Parlimen yang diberikan Jabatan Perdana Menteri pada sidang November 2013, Kerajaan Malaysia sudah mempunyai sekurang-kurangnya 6 jet peribadi termasuklah sebuah Boeing Business Jet.
Saya sertakan bersama satu surat perjanjian yang mengesahkan pembelian jet baru ini yang bertarikh 1 Disember 2014. Perolehan jet peribadi baru untuk Perdana Menteri ini dianugerahkan secara rundingan terus kepada Jet Premier One (Malaysia) Sdn Bhd yang turut mengendalikan jet peribadi sedia ada iaitu ACJ319.
Penggunaan jet peribadi sedia ada iaitu ACJ319 melibatkan kos sebanyak RM28.8 juta setahun dalam bentuk sewaan dan RM5.5 juta setahun dalam bentuk kos penyenggaraan.
Pembelian sebuah lagi jet peribadi baru yang kini di bawah pendaftaran 9H-AWK dan telah siap dicat dengan logo 1Malaysia (seperti di dalam gambar yang disertakan membuktikan bahawa pentadbiran Najib Razak terus menerus bergelumang di dalam keborosan dan pembaziran, pada kala negara masih dikejutkan dengan skandal kewangan 1MDB.
Tindakan membeli sebuah lagi jet peribadi baru ini sudah tentu menimbulkan kemarahan rakyat pada kala rakyat terpaksa berdepan dengan pelaksanaan GST dalam tempoh 2 minggu dari sekarang. Rakyat terpaksa menanggung cukai baru yang sebahagiannya akan digunakan untuk membayar jet peribadi baru Perdana Menteri ini.
Saya mendesak supaya pembelian jet ini dibatalkan serta merta dan Najib Razak meminta maaf dengan rakyat kerana tindakan membeli jet peribadi baru ini membelakangkan kepentingan rakyat.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
-----------