MENCARI PUNCA PELARIAN
Saya telah bertanya apa sebab musabab yang menjadi punca timbulnya Orang Pelarian. Hari ini Eropah dikatakan sedang menghadapi krisis kesampaian kapal-kapal nelayan dari Afrika yang membawa Orang Pelarian. Kita di Malaysia sedang berhadapan dengan Orang Pelarian Rohingya. Australia juga berhadapan dengan penyuludupan Orang pelarian dari Indonesia.
Untuk menyelesaikan satu-satu masalah kita wajib mencari sebab musabab dan punca penyakit itu. Gagal menemui punca maka masalah itu tidak akan dapat diselesaikan.
Saya yakin untuk Orang Melayu di Malaysia orang pelarian pertama yang mereka kenali pastilah warga Palestin. Warga Melayu Islam mengenal Baitul Muqadis kota dalam wilayah Palestin. Kota ini adalah kiblat pertama Islam. Justeru kota dalam bumi Palestin ini menjadi imajinasi pertama Orang Pelarian untuk orang Melayu.
Anggapan ini salah. Seharusnya bukan warga Palestin yang pertama menimbulkan istilah Orang Pelarian. Dalam kitab Salatul Salatin atau Sejarah Melayu kita tahu bahawa Parameswara juga adalah Orang Pelarian dari Palembang. Lari ke Temasik dan kemudia lari ke Melaka.
Malah kalau kita ke Kelantan atau Terengganu kita akan bertemu warga dari Patani wilayah Selatan Siam. Malah Datuk saya sendiri juga Orang Pelarian dari Chenor Pahang. Datuk saya membuka tanah di Jelebu dan menamakan kampong itu kampong Chenor - nostalgia kepada kampong asal.
Apa yang ingin saya hujahkan disini ialah - sama ada Parameswara, warga Petani atau Datuk saya - semuanya lari dari perang. Parameswara lari diburu oleh soldadu Majapahit. Warga Petani lari dari serangan Siam. Datuk saya lari dari Perang Bahaman.
Amat jelas perang telah menghuru harakan kampong halaman. Demi keselamatan kaum keluarga Sang Ayah dan Sang Ibu anak beranak telah lari ke wilayah yang lebih selamat.
Kunci Orang Pelarian ialah wilayah yang lebih selamat. Semua Orang Pelarian lari dari kampong halaman yang huru hara ke wilayah yang lebih selamat. Mencari tempat selamat adalah naluri azali manusia.
Saya cukup yakin bahawa TIDAk ada sesiapa yang akan berduyun-duyun lari dari tanah tumpah darah mereka ke satu wilayah baru. Berhadapan dengan pelbagai bentuk kesusahan. Lari membawa harapan ke wilayah yang lebih selamat. Malah tidak ada apa-apa jaminan wilayah selamat ini akan dibuktikan selamat.
Terbukti Orang Pelariaan meninggalkan kampong halaman kerana mereka berhadapan dengan bencana perang. Dihadapan mereka kematian, ledakan dan kemusnahan. Justeru mereka lari untuk selamat.
Saheh PERANG adalah penyebab utama yang menetaskan Orang Pelarian. Kerana itu kita wajib memahami perang. Apa sebenarnya perang. Kenapa manusia berperang. Gagal memahami perang maka kita gagal secara tuntas untuk memahami Orang Pelarian.
Untuk saya Orang Pelarian ini hanyalah manifestasi dari masalah yang lebih besar. Masalah besar ini ialah perang. Perang punca Orang Pelarian
Perang di Palestin memunculkan Orang Pelarian di Lebanon dan Jordan. Perang Vietnam memunculkan ‘boat people’. Perang di Afghansitan, India, Pakistan, Bangladesh. Nigeria, Somalia, Iran, Syria, Barundi, Congo, Bosnia dan dan dan..semua melahirkan Orang Pelarian. Inilah yang sedang dihadapi oleh dunia hari ini.
Justeru kenapa berperang jika ianya memunculkan masalah Orang Pelarian?
Perang sebenarnya ialah perundingan dua kumpulan yang telah gagal. Kerana gagal di meja perundingan maka kumpulan ini akan berperang. Dari zaman berzaman perang sebenarnya ialah perebutan punca-punca ekonomi.
Dua kumpulan pada awalnya akan berunding untuk membagi-bagi agihan punca-punca ekonomi. Apabila perundiangn ini gagal maka perang akan pecah. Sejarah perang dunia ialah sejarah perebutan punca ekonomi. Perang dua pertama dan kedua bertujuan untuk merebut bahan galian, telaga minyak, lombong emas, kawasan bumi, kayu kayan, tanah jajahan dan pasaran.
Untuk memahami dengan lebih sempoi - dua negara yang berperang sama saperti dua kumpulan samseng yang berebut kawasan untuk memungut ‘duit pau’. Merebut kawasan judi, merebut kawasan pelacur atau merebut kawasan pasaran dadah.
Agama, bangsa, bahasa, demokrasi dan nasionalisma hanya alat untuk mengolah persetujuan untuk menyokong perang.
Hari ini Itali dan Eropah menjadi huru hara kerana kesampaian Orang Pelarian dari Libya. Setiap hari media Eropah akan melaporkan berita kesampaian kapal-kapal nelayan ke pesisiran pantai di Itali. Hampir kesemua kapal ini memulakan perjalanan dari Libya. Dilaporkan 500,000 anak semua bangsa dari pelbagai negara sedang berkampong di Libya dan menunggu masa dan ketika untuk menyeberang Laut Tengah ke Eropah.
Fakta membuktikan bahawa kesampaian Orang Pelarian dari Libya ini hanya bermula sesudah Gadaffy dibunuh. Sesudah negara Libya dibom oleh kapal terbang NATO. Libya diserang dan berperang.
Libya ketika ini dalam keadaan huru hara tanpa kuasa daulah, tanpa polis, tanpa kastam, tanpa sempadan maka dari sinilah bermulanya penyuludupan dan jual beli manusia.
Libya dijadikan wilayah permulaan ke Eropah kerana Libya tidak berkerajaan lagi. Juga pantai Libya hanya 250 kilomter dari wilayah Itali. Dua pekara ini menjadi Libya satu tarikan untyuk menyuludup Orang Pelarian.
Orang Pelarian di Libya ini datang dari Syria, Congo, Somalia, Nigeria, Afghanistan, Pakistan, Palestin, Yemen, Iraq - hakikatnya bakal Orang Pelarian ini datang dari negara yang sedang berperang.
Kalau perang menjadi punca Orang Pelarian mengapa negara terus berperang. Ini satu soalan yang lojik. Sebelum menjawab soalan iitu mari kita lihat sejarah Perang Dunia.
Dalam Perang Dunia Pertama 17 juta terkorban - 10 juta soldadu 7 juta orang awam. Manakala 20 juta cedera. Dalam Perang Dunia Kedua 80 juta gugur. Seramai 22 ke 25 juta soldadu gugur termasuk 5 juta tahanan perang. Di Rusia sahaja terkorban 20 juta warga.
Perang Indo-China - 3 juta gugur. Perang Iraq telah mencecah 1 juta lebih dan masih bertambah. Afghanistan, Yemen dan Syria angka yang gugur terus bertambah satiap hari hingga ke hari ini. Belum nampak noktah penamat.
Apakah manusia TIDAk sedar akan fakta perang ini?
Faham atau sedar tetang bahana perang bukan soalan. Untuk memahami kenapa perang yang melahirkan Orang Pelarian dan kemusnahan terus berlaku kita wajib memahami hukum-hukum sosial masyarakat hari ini.
Peperangan wujud dari dari awal wahid sejarah tamadun manusia. Perang dan manusia berperang ini adalah hukum sosial yang lahir diwujudkan oleh sistem ekonomi kapitalis. Salah satu dari rukun iman sistem ekonomi kapitalis ialah perang. Sistem ekonomi kapitalis memerlukan perang. Tanpa perang sistem ekonomi kapitalis tidak dapat berkembang.
Hari ini kita membaca akhbar atau melihat di kaca Tv bagaimana bencana perang sedang berjalan. Kemusnahan dan kematian dilaporkan saban hari. Tanpa sedar kita menjadi lali apabila melihat perang yang tidak berkeputusan. Justeru kita gagal untuk melihat secara tuntas kenapa perang pecah.
Perang di Iraq dikatakan untuk demokrasi. Perang di Afghanistan dikatakan untuk melawan pengganas. Perang di Libya dikatakan untuk membuka ruang demokrasi yang lebih luas kepada warga Libya. Hujah yang sama juga digunakan untuk perang di Syria.
Malah Amerika - kuasa imperialis kini menjalankan dasar - war on terror atau perang melawan keganasan.
Sebenarnya dibelakang semua perang dahulu dan sekarang ini ialah perebutan punca-punca ekonomi. Sebelum Jepun masuk Perang Dunia ke Dua - Britain telah menyekat Jepun membeli getah dari Tanah Melayu yang pada ketika itu tanah jajahan British. Iraq diserang kerana majoriti telaga minyak Iraq dimiliki oleh syarikat negara Iraq, bagitu juga di Libya. Afghanistan diserang kerana negara ini memilik gas dan pelbagai logam.
Malaysia menjadi arah tuju warga Rohingya baru-baru ini. Mereka melarikan dari Myamar. Tidak perlu mengkaji dalam - kita akan mendapati bahawa Rohingya melarikan diri kerana tanah air mereka kacau bilau. Kacau bilau muncul kerana ada kumpulan atau bangsa lain yang mahukan tanah kampong mereka. Sekali lagi terbukti bahawa tanah ialah punca ekonomi.
Pada ketika ini warga Itali dan warga Eropah menjerit-jerit marah kerana ramai Orang Hitam datang menerbus masuk ke negara mereka. Sabelum mereka marah adalah lebih baik mereka memahami kenapa Orang Hitam ini berkapal-kapal sampai.
Warga Eropah yang bising menentang kemasukan Orang Hitam ke negara mereka hanya memahami kedudukan separuh jalan. Mereka secara sedar atau sengaja tidak mahu sedar bahawa yang membawa Orang Hitam ke Paris, Lodon, Milan atau Rom ialah perang. Perang ini dilakukan oleh kuasa imperial Amerika. Kuasa imperial Amerika dibantu oleh negara sekutu dalam Nato.
Siapa Nato yang menjadi sekutu Amerika ini? Negara Nato termasuk Itali, United Kingdom, France, Turki dan Sepanyol. Justeru masalah Orang Pelarian yang menerbus masuk ke negara mereka berpunca dari mereka sendiri. Warga Itali sebelum marah melihat muka Orang Hitam mereka wajib melihat muka mereka dicermin dahulu. Ini kerana yang memulakan perang dalm dunia hari ini ialah muka Berkulit Puteh. (TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa yang ingin melanggan
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45