NYAH NAJIB
LABAK SEKALI
PENGGANTUNGAN HANIF MAHPA & AFIQAH ZULKIFLI: GERAKAN MAHASISWA WAJAR BANGKIT
Saya tidak terkejut dengan tindakan bacul pimpinan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang menggantung Saudara Hanif Mahpa, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) UIA dan Saudari Afiqah Zulkifli, EXCO MPP UIA selama dua semester (iaitu setahun) hanya kerana mereka menjemput saya menyertai satu forum mengenai GST.
Yang saya terkejut ialah bagaimana pimpinan mahasiswa seperti Saudara Hanif Mahpa, Saudari Afiqah Zulkifli dan rakan-rakan mereka di dalam MPP UIA yang jauh lebih berani dari orang-orang tua berjawatan tinggi yang mengepalai UIA. Semasa saya dijemput untuk hadir, saya pada mulanya menolak kerana saya tahu mereka (pimpinan mahasiswa ini) akan berdepan dengan risiko kerana pimpinan UIA mempunyai rekod paling buruk berbanding universiti-universiti lain.
Walau bagaimana pun, mereka meyakinkan saya bahawa prinsip kebebasan akademik lebih penting dari tunduk kepada ugutan beberapa orang profesor yang selesa dengan pangkat. Lalu saya tetap hadir, apatah lagi program itu forum yang adil kerana ada wakil Umno yang akan turut berucap.
Setelah mereka diberi notis dipanggil membela diri kerana dituduh melanggar peraturan universiti, sekali lagi saya duduk berbincang dengan Saudara Hanif, Saudari Afiqah dan rakan-rakan pimpinan MPP UIA. Malah, saya menasihatkan mereka supaya mereka cari jalan untuk berkompromi supaya mereka tidak digantung dari universiti. Mereka meyakinkan saya bahawa mereka tidak akan berganjak kerana memperjuangkan kebebasan akademik itu penting demi kematangan mahasiswa dan mereka sanggup berdepan dengan sekeras-keras hukuman.
Oleh kerana saya sendiri tidak mampu memujuk mereka supaya tidak terlalu berani, kami ada membincangkan beberapa pilihan sekiranya kedua-dua mereka digantung oleh universiti. Saya memberi komitmen bahawa saya mengambil tanggungjawab kepada kebajikan mereka sepanjang mereka digantung.
Oleh yang demikian, saya telah memberikan beberapa pilihan termasuklah bertugas dengan saya sepanjang setahun sebagai pegawai saya untuk menimba pengalaman pentadbiran atau menjalani kursus pendek yang boleh meningkatkan kemahiran dan daya saing mereka sebagai mahasiswa. Saya akan mengusahakan pembiayaan yang sewajarnya untuk mempastikan kebajikan mereka terjaga sepanjang tempoh penggantungan ini.
Saya juga menyeru supaya pimpinan mahasiswa seluruh Malaysia mengambil iktibar bahawa kebebasan akademik tidak akan diberikan kepada kampus kecuali ia dituntut habis-habisan. Dalam suasana kemelut politik sekarang, profesor-profesor selesa di universiti akan lebih keras untuk mempertahankan pemerintahan Najib Razak. Saya menjangkakan universiti-universiti akan mengetatkan lagi ruang kebebasan berfikir yang sudah sedia sempit di kampus untuk melindungi Najib Razak.
Oleh yang demikian, saya menggesa kesemua pertubuhan mahasiswa dan pimpinan mahasiswa untuk bersatu dan memperhebatkan lagi tuntutan kebebasan akademik di kampus. Saya juga mencabar pertubuhan mahasiswa dan pimpinan mahasiswa supaya lebih agresif dalam mendepani usaha membawa perubahan di negara ini dengan terus memberi tekanan agar Najib Razak meletakkan jawatan serta-merta.
Saya akan terus memberi sokongan dan dokongan kepada pimpinan mahasiswa memandangkan latar belakang saya sendiri sebagai aktivis mahasiswa semasa menjadi Pengerusi United Kingdom Executive Council for Malaysian Students (UKEC) di UK dahulu.
Untuk itu, saya telah memberikan komitmen-komitmen berikut kepada gerakan mahasiswa:
1. Bersama-sama menjelajah ke seberapa banyak kampus di seluruh negara untuk memberikan penerangan dan berdebat mengenai GST untuk mempertahankan hak mahasiswa bersuara dan berfikir; dan
2. Menubuhkan satu tabung untuk mengumpul dana bagi membela pimpinan dan aktivis siswa yang berhadapan dengan tindakan digantung akibat keberanian mereka mempertahankan kebebasan akademik seperti Saudara Hanif Mahpa dan Saudari Afiqah Zulkifli. Satu majlis mengumpul dana akan dianjurkan oleh Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) bagi tujuan ini dalam masa terdekat.
Saya percaya adik-adik mahasiswa akan terus bangkit menjadi tonggak kepada gerakan perubahan seperti mana kami, generasi pimpinan siswa dahulu kini menjadi pimpinan politik yang berdepan terus dengan gelojoh pentadbiran Najib Razak.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
LABAK SEKALI
---------------