BANI MELAYU TIDAK TAHU
Minggu lalu saya mengakhiri tulisan dengan mengatakan bahawa dalam perjanjian TPPA ini tidak ada sesiapa yang tahu isi kandungan secara teperinci. Saya juga mengatakan bahawa Najib Razak, Tok Pa, Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin juga tidak tahu buah butir perjanjian ini. Perbincangan TPPA ini dijalankan secara rahsia . Jika semua rahsia siapa yang tahu?
Kita wajib berterima kaseh kepada Julian Assange. Anak lelaki kelahiran Australia ini yang pada ketika ini sedang menyelamatkan diri ‘ menyorok ‘ dalam kedutaan Ecuador di London samenjak tahun 2012. Julian dikhendaki oleh kuasa Amerika kerana membocorkan banyak rahsia-rahsia jahat Amerika.
Sebagai Ketua Pengarang Wikileaks - Julian telah membocorkan banyak maklumat Amerika dan maklumat kerajaan yang jahat termasuk kerajaaan Malaysia kepada rakyat dunia. Sosok saperti Chelsea Manning dan Edward Snowdon bertanggung jawab menjadi pembocor. Mereka bekerjasama dengan Julian.
Chelsea Manning bekas soldadu Amerika yang bertugas di Iraq kini dipenjara 35 tahun kerana membocorkan rahsia jahat Amerika dalam Perang Iraq. Edward Snowdon pakar IT di Jabatan Keselamatan Negara Amerika lari ke Hong Kong kemudian mendapat suaka politik di Rusia.
Satu contoh terbaik pembocoran Wikileaks ialah draft penjanjian Anti-Couterfeiting Trade Agreement - ACTA. Perjanjian ACTA ini adalah percubaan Amerika untuk mengkontrol dan mengawal semua hak milik intelektual. Rancangan Amerika ini telah digagalkan apabila YB ahli Parlimen Eropah mendapat maklumat rahsia perjanjian dari Wikileaks. Hasilnya: ACTA telah ditolak dan digagalkan.
Kes yang sama juga telah terjadi dengan TTPA. Orang ramai, aktivis dan Ngo tahu sadikit tentang penjanjian TPPA ini kerana Wikileaks telah membocorkan empat bab pejanjian ini.
Empat bab perjanjian TPPA yang dibocorkan oleh Wikileaks ini memang TIDAK mencukupi untuk mengetahui kesemua butir perjanjian tetapi maklumat ini telah memadai untuk orang ramai sedar dan memahami bahawa Amerika akan menggunakan TPPA ini sebagai jala untuk menangkap semua negara agar tunduk kepada kepentingan kaum pemodal Amerika.
Antara empat pekara yang telah bocor dalam penjanjian TPPA ialah:
1- TPPA akan memansuhkan semua rintangan untuk membolehkan syarikat gergasi internasional masuk melabur dimana-mana negara yang menandatangai TPPA
2- TPPA akan memastikan hak milik intelektual dimiliki oleh syarikat Amerika untuk menjadikan harga ubatan melambung tinggi
3- TPPA mengkontrol hak milik intelektual yang akan menghalang inovasi digital dan mengkuburkan hak asasi
4- TPPA akan membenarkan syarikat multinational menyaman kerajaan
Adalah fakta - TPPA telah mengadakan banyak perbincangan. Tetapi semuanya tertutup. Semuanya rahsia. Semua butir maklumat dirahsiakan dari pengetahuan orang ramai yang memiliki kepentingan dalam perjanjian ini. Semua dirahsiakan kerana imperialis Amerika tahu jika butir maklumat ini diketahui umum maka saperti ACTA - perjanjian TPPA ini juga akan ditolak.
Tok Pa yang menjadi wakil Malaysia ke perbincangan TPPA telah berbohong kepada kita semua. Tok Pa atau Mustapha Muhamad anak Kelantan keturunan Bani Melayu ini telah berbohong. Tok Pa dari Parti Politik Ketuanan Melayu yang memanggil parti mereka United Malays National Organisation telah menipu semua Bani Melayu di Tanah Melayu ini.
Pembohongan dan penipuan ini boleh dibuktikan dengan senang dan tuntas. Buktinya : Bani Melayu dan rakyat Malaysia TIDAk tahu apa isi perjanjian TPPA ini. Bani Melayu dan rakyat Malaysia ada kepentingan dengan TPPA. Sebagai warga negara - kita semua adalah ‘ stake holder’ atau pemegang saham. Justeru orang ramai wajib tahu apa tertulis dalam Perjanjian TPPA.
Ketika perbincangan TPPA berjalan orang ramai TIDAK diberitahu bahawa dibelakang TPPA ini ialah syarikat gergasi multinasional. Syarikat besar inilah yang merancang dan menyusun agenda TPPA. Syarikat ini memainkan peranan yang lebih besar dari kerajaan, dari Ngo atau dari kumpulan yang berkepentingan.
Syarikat ini memastikan kepentingan perniagaan mereka diutamakan. Keuntungan maksima menjadi pedoman Perjanjian TPPA ini
Dalam kes Malaysia - parti Ketuanan Melayu ini telah digunakan untuk menipu Bani Melayu. Ini kerana jika Bani Melayu diberi tahu dan disedarkan bahawa Tanah Melayu akan dijual kepada syarikat gergasi antarabanga pasti bani Melayu akan membantah.
Dalam tulisan ini saya buktikan bagaimana Tanah Melayu ini sedang dijual kepada syarikat multinasional.
Melalui maklumat yang dibocorkan oleh Wikileaks kita tahu bahawa syarikat antarabangsa ini telah melakar perjanjian TPPA ini untuk memastikan semua rintangan perniagaan yang wujud hari ini dilupuskan.
Tidak akan ada lagi sekatan kepada syarikat multinasional untuk beroperasi di Tanah Melayu. Contohnya - mungkin orang ramai TIDAK sedar bank HSBC - bank multinasional ini dihadkan dari membuka cawangan dari apa yang ada sekarang. Tetapi apabila TTPA ditandatangai maka rintangan dan peraturan bentuk ini akan lupus. HSBC boleh membuka cawagan dimana sahaja untuk menjadi persaingan hebat kepada MayBank.
Malah perjanjian ini juga akan memesongkan dasar luar negara parti Bani Ketuanan Melayu yang mengakui sebagai pejuang Islam. Segala bentuk syarikat Zionis Yahudi yang memberi dana kepada Israel untuk ‘menggasak’ warga Arab Palestin boleh membuka perniagaan di Tanah Melayu tanpa halangan.
Dalam perjanjian TPPA ini Meh Esah & Lebai Jusuh Guaman Pasir Mas yang lulus Undang-Undang Shariah dari UIA - yang Bahasa Inggeris lorat Kelantanya tunggang langgang - boleh membuka firma guaman di Fifth Avenue New York. Dalam masa yang sama Baker & MCKenzie New York boleh juga membuka pejabat guaman di KLCC . Ini kesamarataan dalam konsep TPPA.
Tidak akan ada lagi apa halangan. Peguam, doktor, jurukira, arkitek dan dan dan... Para profesional dari Amerika atau dari mana sahaja boleh datang masuk dan membuat apa saja bentuk profesion mereka di Tanah Melayu. Tidak ada lagi benteng yang mengaweal hal anak tempatan.
Ini maknanya kedaulatan Tanah Melayu telah lupus. Semua terbuka luas. Hakikatnya - dalam kata yang kasar - hak keistemewaan Bumiputera akan lupus dalam perjanjian TPPA ini. Hak Raja-Raja Melayu pun akan lupus dan Raja Raja Melayu akan jatuh dibawah naungan syarikat multinasional.
Yang istemewa dalam TPPA bukan Bumiputera tetapi bahawa syarikat gergasi multinasional.
Perjanjian TPPA ini juga membolehkan Kerajaan Malaysia di saman oleh syarikat multinasional. Kerajaan boleh disaman jika syarikat multinasional ini mengalami kerugian. Sila ulang baca - mengalami kerugian - ini bukan saya silap tulis tapi ini adalah maklumat rahsia yang dibocorkan oleh Wikileaks.
Apa yang saya tulis ini mungkin susah hendak dipercayai. Mustahil Kerajaan Ketuanan Melayu ini akan disman oleh Syarikat Zionis Yahudi. Dalam Perjanjian TPPA kerajaan disman bukan mustahil.
Menyaman kerjaaan ini termaktub dalam fasal yang disebut ISDS - Investor-State Dispute Settlement. Fasal ini membenarkan syarikat yang mendapati mereka rugi kerana dasar kerajaan tempatan. Bunyi fasal ISDS ini macam gila tetapi ini adalah fasal yang dilakar oleh syarikat multinasional dalam TPPA.
Jika kurang yakin biar saya buktikan bahawa pada ketika ini telah ada kerajaan yang telah disaman oleh syarikat gergasi multinasional melalui ISDS.
Mengikut data yang tidak diumumkan oleh Bangsa Bangsa Bersatu - semenjak 15 tahun kebelakangn ini terdapat 127 kes dimana kerajaan telah disaman oleh syarikat multinasional.
Kerajaan Ecuador telah disaman 1.b bilion dolar oleh syarikat minyak Occidental Petroleum. Kerajaan Ecuador telah kalah.
Pada ketika ini secara senyap-senyap secara berahsia kerajaan Australia dan Uruguay telah disman oleh syarikat tembakau Philip Moris. Syarikat Philip Moris membantah langkah kerajaan Australia dan Ecuador mengurangkan iklan rokok dan meletakkan tanda amaran - rokok bahaya - pada rokok keluaran Philip Morris.
Poland dan Slovakia telah juga disaman oleh syarikat Insuran Multinasional kerana dua kerajaan ini membatalkan projek penswastaan hospital mereka.
Paling memeranjatkan kepada rakyat dunia ialah bagaimana kerajaan Mesir telah disaman oleh syarikat multinasional Veolia Peranchis kerana kerajaan Mesir mahu tangga gaji menima untuk kaum buruh Mesir dinaikkan.
Saman-saman ini berlaku kerana negara ini telah menanda tangani ISDS. Syarikat multanasional merasakan bahawa jika syarikat mereka mengalami kerugian maka merekan akan menyaman. Fasal ISDS ini ada dalam Perjanjian TPPA.
Apa yang saya tulis ini bukan fitnah. Ini bukan tohmah. Semua ini adalah fakta. Tetapi fakta dan berita-berita ini tidak diberitahu kepada Bani Melayu. Malah ahli parti United Malays National Organisation sendiri tidak tahu pekara ini.
Minggu lalu Tok Pa membuat lawak seram. Dia berkata bahawa Malaysia boleh keluar dari perjanjian TPPA ini jika TIDAK menguntungkan Malaysia. Ini lawak seram kerana butiran fasal-fasal yang termaktub dalam perjanjin TPPA ini tidak diketahui. Apa yang kita ketahui hanya maklumat yang telah dibocorkan oleh Wikileaks.
Jika isi kandungan perjanjian ini tidak diketahui bagaimana hendak dikenali sama ada kita untung atau rugi.
Lawak paling bodoh ialah cadangan untuk membincangkan TPPA ini di sidang Parlimen. Saya ingin bertanya berbincang apa? Hendak membincangkan apa? Kita berbincang jika kita tahu apa yang hendak dibincangkan. Jika isi Perjanjian TPPA ini rahsia - apa yang boleh kita bincanghkan?
Pada hemat saya kita hanya ada dua pilihan bila berhadapan dengan TPPA. Kita terima atau kita tolak TPPA. Jika kita terima Perjanjian TPPA bermakna Tanah Melayu terjual. Jika kita tolak Perjanjian TPPA kedaulatan Tanah Melayu tidak tergugat. Ini sahaja pilihan yang kita ada. (TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan akhbar minggun ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45
---------------------