JUMPA DI DATARAN MERDEKA!
Kita wajib berjumpa jam 10 pagi Sabtu 19 November 2016 di Kuala Lumpur. Hari Sabtu ini adalah hari perhimpunan mega BERSIH5. Maka menjadi kewajipan semua warga Malaysia anak semua bangsa yang telah yang akil baligh untuk hadir.
Bakal penunjuk perasaan dan para pembaca yang berniat untuk turun ke perhimpunan mega Bersih5 sila pilih tempat berkumpul: di LRT Bangsar atau di Masjid Negara. Dua tempat ini adalah permulaan kita berkumpul sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.
Lalu timbul persoalan - kenapa perlu ke Dataran Merdeka? Dataran Merdeka ini tempat larangan. Pihak berwajib telah melarang sesiapa saja dari membuat perhimpunan disini. Kalau telah dilarang kenapa Bersih teruskan?
Jawabnya cukup senang: Dataran Merdeka adalah daerah sejarah. Dataran Merdeka adalah wilayah stratejik. Dataran Merdeka terletak di tengah-tengah kota Kuala Lumpur. Dataran Merdeka telah menjadi simbol tunjuk perasaan semenjak dari Demo Mahasiswa Baling pada 3 Disember 1974.
Sejarah telah merakamkan : Pada jam 10 pagi Selasa 3 Disember 1974 - anak muda , pelajar dan mahasiswa - anak semua bangsa - dari Universiti Malaya (UM), dari Universiti Kebangsaan (UKM), dari Institut Teknoloji Mara (ITM), dari Institut Teknoloji Kebangsaan (ITK) dari Maktab Perguruan Jalan Pahang, dari Polyteknik Ungku Omar - telah memulakan budaya politik jalan raya di Dataran Merdeka.
Generasi 1974 ini telah memilih Dataran Merdeka untuk memulakan budaya politik jalan raya sebagai tanda menyokong mogok lapar kaum tani di Baling Kedah. Demo 3 Disember tanda anak muda, pelajar dan mahasiswa bersetia kawan dengan warga miskin - kaum tani dan penoreh getah - di Baling.
Mahasiswa penunjuk perasaan pada pagi itu telah dibantai. Para pelajar dan mahasiswa telah di tembak dengan gas pemedih mata. Ramai telah ditangkap. Lalu mereka mengundur ke kampus masing-masing.
Sayugia diberitahu - Demo Baling 3 Disember 1974 - berterusan siang dan malam tanpa henti-henti. Pelajar turun berdemo di kampus ITM Shah Alam, di Jalan Pantai depan kampus UM dan UKM dan di Polyteknik Ungku Omar Ipoh.
Akhirnya, sesudah 5 hari berdemo - pada subuh Ahad 8 Disember 1974 - soldadu dan polis telah masuk ke kampus UM dan UKM untuk menangkap para pemimpin pelajar dan juga pensyarah yang sama bersolidariti. Yang ditangkap ditahan dibawa ISA.
Demo Baling 1974 dipatahkan. Demo Baling 3 Disember 74 adalah babak sejarah. Dari Dataran Merdeka inilah bermulanya budaya politik jalan raya.
Sesudah tertangkapnya pemimpin Demo Baling 1974 - kelihatan politik jalan raya mengendur dan mengenap. Tapi ini hanya untuk sementara.
Apabila berlaku krisis dalaman United Malays National Organisation pada tahu 1998 - sekali lagi politik jalan raya membuka sejarah baru. Pada tahun 1998 Generasi 1974 telah berkumpul kembali untuk menyusun politik jalan raya dalam arus Gerakan Reformasi.
Pada 20 September 1998 - Anwar Ibrahim bekas Timbalan Perdana Menteri telah ditangkap. Tangkapan dilakukan sesudah demo besar di Dataran Merdeka. Babak penangkapan ini telah meledak dan menyemarakkan politik jalan raya.
Kini anak muda penentang kezaliman dan penyokong Anwar telah keluar ke jalan raya setiap petang Sabtu. Mereka mula berhimpun di Sogo kemudian bergerak menuju ke Dataran Merdeka. Dataran Merdeka masih tetap menjadi sasaran.
Bagitu bersejarah sekali Dataran Merdeka ini sebagai simbol politik jalan raya. Dataran Merdeka menjadi satu simbol stratejik menentang rejim United Malays National Organisation yang zalim. Justeru setiap pemimpin rejim United Malays National Organisation akan melarang diadakan tunjuk perasaan di daerah ini.
Dataran Merdeka pernah menjadi kawasan larangan yang diumumkan oleh mahkamah pada Bersih2. Dalam Bersih2 dan Bersih3 di Dataran Merdeka telah dipasang kawat dan dawai berduri saperti yang dilakukan oleh kaum Zionis Israel ketika menghalang perjalanan warga Palestin di bumi Palestin.
Sejarah telah merakamkan bagaimana samenjak pagi 3 Disember 1974 - berpuluh ribu gas pemedih mata dan bertan-tan air kimia telah ditembakkan kearah para penunjuk perasaan di Dataran Merdeka. Setiap kali rakyat mahu berhimpun di Dataran Merdeka - polis dan soldadu sedia menghalang. Kita dilarang ke Dataran Merdeka.
Apa maknanya ini? Kenapa dilarang?
Maknanya - jika dilarang ertinya apa yang kita buat adalah betul. Lagi dilarang lagi betul pilihan kita. Rejim Ketuanan Melayu melarang kita berhimpun di Dataran Merdeka. Ini maknanya Dataran Merdeka adalah pilihan tepat. Maknanya politik jalan raya adalah tepat dan betul kerana itu kita dilarang.
Bayangkan kalau 50 ribu rakyat Malaysia berhimpun dalam Hutan Kenaboi di Jelebu menuntut Najib letak jawatan. Pasti tidak ada larangan. Pasti tak ada halangan. Pasti dialu-alukan. Bayangkan juga jika Bersih5 berhimpun dalam Stadium di Shah Alam atau Stadium Kuala Kubu Baru pasti tidak ada larangan. Pasti tidak ada serangan. Pemuda Gerakan akan gumbira.
Hakikatnya - berhimpun dalam stadium adalah kerja politik bodoh. Kita berhimpun untuk menunjukkan perasaan. Bukan berhimpun untuk tengok Mamat main bola.
Hakikatnya - jika musuh tidak melarang ertinya kita buat kerja salah. Jika musuh mencadangkan berhimpun dalam stadium ini bermakna berhimpun dalam stadium kerja bodoh lagi bangang.
Apa yang dilarang itulah pilihan tepat. Dataran Merdeka dilarang ertinya Dataran Merdeka adalah pilihan tepat.
Dilarang atau diserang membawa makna yang sama. Konvoi Bersih diserang oleh Ikan Tongkol. Ini kerana apa yang kita lakukan adalah tepat dan betul. Ini adalah hukum politik. Hukum ini tidak akan berubah-ubah. Ianya tepat dalam semua masa - dalam semua keadaan.
Ini minggu terakhir sebelum Sabtu 19 November. Aktivis Bersih, aktivis Ngo dari pelbagai jenis, pemimpin parti politik Pakatan Harapan dan pekerja parti telah menggeledah dan menggelodak ke seluruh negara. Untuk pertama kalinya Bersih telah sampai ke wilayah, ke kampong, ke daerah yang tidak pernah dilawati dahulu.
Dari Bandar ke pekan, dari pekan ke kampong selebaran Bersih telah ditabur. Ceramah gerila, ceramah umum, forum, flash mob telah dijalankan. Radio Bangsar - radio resmi Bersih semenjak Bersih3 terus membuat laporan dan temu bual untuk memberi pencerahan. Youtube, Face Book, Twitter - penuh dengan wajah kuning. Kesah kuning disana sini
Semua bersepadu untuk menghasut, untuk menjemput, untuk mempelawa, untuk meminang dan untuk mengajak warga turun ke jalan raya untuk BERSIH5. Anak semua bangsa dan bangsa semua agama telah diberi penerangan kenapa perlu bersama di Dataran Merdeka.
Hakikat nya - kita telah menang. Dalam perang saraf, dalam perang propaganda BERSIH5 telah berjaya.
Apakah saya bercakap besar?
Tidak. Saya bukan bercakap besar apabila saya nyatakan bahawa Bersih telah berjaya. Buktinya cukup jelas. Apabila Obor Bersih dilancar pada 1 Oktober dahulu - media tanah air - dari arus perdana hingga ke tabloid - semua berkesah tentang Bersih5.
Laporan demi laporan muncul. Setiap hari ada sahaja berita Baju Kuning. Portal-portal berita pro Bersih atau anti-Bersih terus menerus melapor gerakan meggelodak yang dilakukan oleh konvoi Bersih. Sama ada laporan negatif atau positif - ini tidak penting. Dalam perang saraf dan perang propaganda yang penting ada laporan.
Para menteri pembodek Najib, walau pun tidak ramai terus menerus memperlekeh dan mempertikaikan tujuan Bersih. Pihak berwajib tanpa henti-henti memberi komen tentang Bersih. Walau pun tidak ada komen positif tapi yakinlah Bersih masih terus menjadi berita.
Cerita karut lagi marut - kesah dongeng Lebai Soros dibuka kembali. Setiap kali rakyat negara ini merancang turun ke jalan raya maka Hikayat Lebai Soros ini akan dijaja.
Soros Si Yahudi ini dikatakan telah memberi dana kepada Ngo Malaysia dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan Islam. Si Yahudi ini memberi dana untuk menjatuhkan kerajaan Bani Melayu. Si Yahudi ini memberi dana untuk jatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat.
Bersih dituduh menerima dana yang lumayan dari Yayasan Open Society milik Lebai Soros. Ini dongeng lama yang terus menerus dijaja dan dijual oleh United Malays National Organisation. Si Yahudi Soros dijadikan musuh hingga mereka lupa tentang 24 dari 25 Nabi yang wajib dikenali oleh penganut Islam semuanya lahir dari Bani Yahudi.
Paling sedih bercampur lawak ialah sikap parti Pas yang kini menjadi penasehat Najib. Parti ini terpaksa membuat himpunan Ledakan Suara Rakyat ( LASAK) di Kg Medan dipinggir Kuala Lumpur. Ini dilakukan kerana pemimpin Pas risau ramai ahli Pas yang akan ikut bersama Bersih5. Kalau dibuat himpunan Lasak satu minggu lebih awal mungkin ahli Pas tidak akan turun sekali lagi ke Bersih5.
Tidak cukup dengan ini pemimpin Pas telah mengeluarkan arahan melarang ahlinya dari merayakan Bersih5. Ahli-ahli Pas dilarang turun pada 19 November ini nanti.
Kenapa perlu Pas buat arahan ini?
Jawabnya - ramai ahli parti Pas yang telah siap sedia untuk turun ke Dataran Merdeka. Ahli-ahli Pas ini menyokong perjuangan Bersih. Dari Bersih1 ke Bersih3 ahili Pas telah turun ke jalan raya.
Hakikatnya ahli Pas juga mahu bersama rakyat yang ramai untuk menghancurkan kemungkaran dan menegakkan keadilan. Menuntut pilihanraya bersih dan adil adalah tuntutan semua agama termasuk tuntutan agama Islam.
Semua yang berlaku 6 minggu ini membuktikan bahawa Bersih5 telah menang. Gerakan massa rakyat menuntut pilihan raya bersih dan adil sedang disambut oleh rakyat.
Yakinlah - saya Hishamuddin Rais yang menulis tulisan ini mewakili rasa hati majoriti rakyat Malaysia. Pada PRU13 Pakatan Rakyat telah mendapat 52% suara orang ramai. Kita - 52% adalah majoriti. Kerajaan United Malays National Organisation dibawah Najib Rosmah adalah kerajaan manoriti.
Justeru - untuk memperkukuhkan akidah , tekad dan niat suci untuk mendirikan Malaysia Baru kita Satukan Tenaga dan berjumpa di Dataran Merdeka Sabtu ini. Datang dengan aman dan kita semua pulang dengan aman. Amin.(tt)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanmggan akhbar minngun ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45
---------------------