.

Rabu, 11 Januari 2017

TURUN KE JALAN RAYA - SEBELUM PILIHAN RAYA









SEBELUM KE PILIHAN RAYA 
KITA TURUN KE JALAN RAYA

Jam telah melintasi sembilan malam. Kami masih tersadai  di tingkat tujuh Rumah Pasong Dang Wangi.Kami menunggu tim Cawangan Khas (SB) dari Bukit Aman.  YB Tian Chua dan siswa Lukman Hakim ada bersama kami. Ada apa  lagi agaknya  yang diperlukan oleh pihak polis? Ada apa perlunya   SB melakukan  soal siasat?

Tetiba satu kumpulan polis tidak beruniform muncul dari lift. Ini pasti tim SB dari Bukit Aman.  Kami dipisah-pisah. Setiap Orang Kena Tuduh (OKT) dikawal oleh dua orang dan dibawa  ke bilik masing-masing.

Ini bilik siasatan. Dinding ini berlapik dengan bahan lembut macam sponge berwarna biru. Ini untuk  dua tujuan - agar perbualan tidak terdengar diluar. Jika OKT meraung pasti tidak juga  kedengaran. Malah jika OKT nak hantukkan kepala ke dinding - kepala tidak akan pecah. Tidak ada kes bunuh diri ketika soal siasat.

Saya berjabat salam dengan dua  lelaki Melayu berumur empat puluhan. Muka klise - muka SB. Mereka tidak memperkenalkan diri mereka. SBlah konon - merahsiakan nama masing-masing. 

‘ Tak ingat lagi ke?  SB rambut beruban yang lebih senior bertanya pada saya.

Saya cuba membawa ingatan. Gagal. Saya memutar rekod ingatan dimana saya pernah bertemu dengan Si Mamat ini. Gagal.

‘ Saya juru gambar yang ambil gambar untuk kad pengenalan dulu. Dah lupa ke? Kan saya yang tolong buatkan…. masa awak baru balik dulu…’ Dengan bangga dia memperjelas duduk pekara dengan saya.

‘ Wow! Ini 22 tahun dulu…  minta maaf. Dah lama sangat. Apa khabar. Dah naik pangkat. Dulu jaga kamera sekarang dah jadi pegawai penyiasat.’

Sepulang dari 20 tahun berkelana saya telah ditahan dibawah ISA selama dua minggu. Sebelum dibebas  pihak polis telah menguruskan  pemberian kad pengenalan baru untuk saya. Dan SB Senior ini ketika itu ditugaskan mengambil gambar. 

Bila cerita ini terbuka saya sekali lagi menghulurkan tangan bersalaman. Aduh! Sejarah  membuatkan kami bertemu kembali. SB Junior hanya tersenyum melihat  dua ‘kawan’  lama.

Kami memulakan siasatan. SB Senior ada membawa beberapa helai kertas A4.  Saperti telah dirancang - dia ada beberapa soalan yang wajib diajukan kepada  saya. SB Junior memerhatikan SB Senior bertanya dan menulis. 

Saya tidak tahu antara  berdua ini siapa yang lebih tinggi pangkatnya dan apa pangkat mereka. Apa yang saya yakin mereka berdua bukan Ketua Twitter Negara mengikut istilah  lukisan Zunar.

Paling membosankan bila direman polis  ialah pengulangan pertanyaan biodata tentang diri saya. Nama. Umur. Nama emak , ayah , abang , kakak, adik dan dan dan. Berpuluh kali pekara ini telah ditanya. Seharusnya semua maklumat ini  telah ada dalam rekod polis. 

Ini menjadi kemarahan kepada mendiang Ronald Reagan yang telah menghadiahkan dunia kita ini  dengan sistem internet yang pada satu ketika dulu hanya dimiliki oleh Jabatan Pertahanan Negara Amerika dan CIA.  Tapi kita gagal menggunakan sistem ini sapenuhnya.

Kerana saya OKT, saya dikurung maka saya wajib melayan soalan-soalan bodoh ini.  Maklumat baru yang ada pada saya hanyalah - ayah, ibu dan abang saya telah meninggal. Dan saya masih lagi belum kawin. Justeru tidak ada anak.  Kerana tak kahwin maka seharusnya SB tak  tak perlu tanya nama isteri. Tak perlu tanya berapa orang anak  - lelaki atau perempuan

Oh! Malaysia ku. Inilah hasil dari 60 tahun proses  pembebalan yang telah dilakukan oleh United Malays National Organisation terhadap anggota polis.

Kemudian diikuti dengan soalan tentang BERSIH5.  Pihak SB ingin tahu dari mana dana datang. Apa hubungan dengan Soros. Kedua SB ini membuka telinga untuk mendengar jawapan. Lalu saya terang bahawa saya bukan lagi anggota Jawatan Kuasa Bersih. Tugas saya hanya berkempen dan menghasut.

Kemudian sampai soalan apakah saya dibayar oleh Bersih? Bila soalan ini muncul saya ketawa terbahak-bahak. 

‘ Memang Bersih sampai hari ini belum settle bil bil saya….’ Saya sengaja meninggalkan kesangsian dalam kepala dua SB ini.  Mana tahu jika petir menyambar mereka  hingga membolehkan mereka berfikir sekali lagi sebagai umat manusia yang cerdas. Bukan hanya mengikut arahan.

Soal jawab kali ini ini agak mesra. Tidak saperti  soal siasat oleh 6 orang SB ketika saya ditahan di Bilik Sulit dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri tahun 2001 dahulu.

Tetiba  muncul satu soalan. Soalan ini pasti telah dirancang oleh Badan Bertindak Jawatakuasa Soal Siasat SB Negara. Untuk saya ini soalan cepu emas.  Ini soalan klasik yang wajib diumumkan kepada dunia. Dunia wajib tahu soalan ini. Dan dunia juga wajib tahu jawapan dari Hishamuddin Rais.

‘ Encik Hisham… kenapa kumpulan anaki.. ananko.. anarr ko…yang tulis-tulis cat  A didinding dinding tu… semua orang kata ini pengikut  Encik Hisham..mereka sinonim dengan Hisham.’

Bila soalan ini muncul mata saya beralih ke kiri dan ke kanan memerhati dua orang SB ini.  Saya cuba menyusun fikrah agar mereka ini faham  jawapan dari saya.

‘Tuan… tolong jangan sangkut pautkan saya dengan kumpulan anarko anaki ini.. kalau Tuan sangkutkan mereka dengan saya dan tuduh mereka ini dari Bangsar maka ini samalah saperti Tuan menuduh  Haji Hadi itu seorang Shia…’

Saya berhenti dan memerhatikan muka mereka. Beberapa saat mereka cuba menghazam apa yang saya tuturkan. 

‘ Bukan geng Cik Isham laaa…”

‘ Geng Bangsar panggil mereka ini  anarko pening. Kalau mereka geng saya maka Haji hadi itu adalah   geng Shiah. Kalau mereka geng saya maka Haji Hadi dah jadi Shiah…’ Kali ini mereka  terbarai ketawa. Rupa-rupanya - bodoh-bodoh alang si SB ini dapat  juga mereka  faham metapora yang saya utarakan.

Hampir 3 jam kami dalam bilik itu. Tetiba masuk  seorang lagi SB yang lebih muda. Mungkin dari bilik yang lain yang  soal siasat telah selesai. Atau ini tanda semua sudah beres dan boleh tutup kitab. SB senior bertanya ada apa-apa yang lain. Semua geleng kepala.

Kami bersalaman. Tamat episod dengan SB. Jam telah lewat. Kami dibawa kembali ke lokap. YB Tian dan  Lokman dibawa pulang ke Jinjang. Kenapa   kami dipisah-pisah  saperti ini saya tidak ada teori. Walau pun semua kami yang ditahan kes Bersih5 dibawah  kawalan ASP Tan Shyong Shan dari Dang Wangi.

Dalam lokap kami bertukar maklumat tetang apa yang ditanya oleh SB. Armand bercerita yang berjumpa dengan dia  seorang  Pegawai Besar dari Bukit Aman. Pegawai ini  ingin tahu  dimana dua orang  lagi dari kumpulan Baju Merah Merah yang dikhendaki polis.

‘ Aku rasa mereka dah ke Danok…’ Ini jawapan Armand sambil  kami pecah ketawa.

‘ Esok Isnin kita akan bebas. Lebih baik hari Senin  hari Senin ada media. Ahad tak ada media…’  Armand Baju Merah memberi kuliah tentang pentingnya media untuk para politikus.


‘Sham… minggu depan  Perhimpunan Agong  UMNO… aku akan masuk  ke dewan lambat sikit… ha ha .. bagi dia orang tengok aku masuk..’

‘ Biar pun saya bersama Tian Chua… bersama Hishamuddin  Rais.. tapi mereka gagal mempengaruhi saya….’ Armand melawak seolah-olah dia sedang berucap dihadapan Persidangan Pemuda UMNO Malaysia.

Esoknya - pagi Senin pagi pembebasan sampai. Tapi kami tidak pula diminta menukar pakaian. Dalam kepala saya bertanya - Apakah reman akan disambung.

Kami dimasukkan ke dalam dua buah kereta dan terus dibawa bergerak. Aduh ke mana pulak hendak dipindahkan.

Rupa-rupa   telah ada arahan agar kami tidak lagi menggunakan lift dari tingkat  1 ke tingkat  7.  Di tepi pintu lift ada ruang awam. Mungkin media telah ada disana dan kami tidak mahu dilihat bergari.

Sesampai ke tingkat 7 -  YB Tian Chua, YB Zuraidah dan Lokman telah menunggu. Mereka tidak memakai pakaian lokap saperti kami. ASP Tan ada bersama. Dia juga tidak memakai uniform.  Bila ASP Tan melihat kami masih lagi dengan pakaian lokap dia marah kerana yang bertugas dilokap tidak mendengar arahan yang kami akan dibebaskan.

Panggilan talipon dibuat untuk menghantar pakaian kami ke tingkat 7. Akhirnya semua beres. Barang-barang kami dipulangkan.  Fahmi Reza merasa tidak puas hati. Dia terus bertanya tentang lukisan dan talipon bimbit masih disimpan polis. Talipon Lokman  juga ditahan polis. Talipon bimbit  Nokia  saya tidak diperlukan oleh polis kerana tidak ada apa-apa maklumat. Inilah kehebatan Nokia cap ayam.

‘ Bagaimana dengan baju ini? Kepada siapa saya nak pulangkan..’ Baju T yang saya pakai itu dipinjamkan oleh seorang pegawai polis di IPK Kuala Lumpur Sabtu lalu. Baju T Bersih5 saya telah dirampas sebagai bahan bukti.

‘Ambillah.. tak perlu pulangkan..’ Ini arahan dari ASP Tan.  Dalam diam-diam saya juga sempat mengambil satu seluar  pendek lokap sebagai kenang-kenangn.

Saya berdiri memandang ke luar tingkap kaca dari Tingkat 7. Saya  nampak dengan jelas banguan Mara, Komplek Pertama , Medan Tuanku dan Maju Junction.

‘ Itu Isham… tempat aku cari makan… tu banguann yang cat puteh itu.. Pejabat giat Mara..’ Si Armand menunjukkan pejabat dia yang tidak jauh dari tempat kami ditahan.

Kemudian nama Armand dipanggil. Dia dibebaskan lebih awal dari kami semua.  Kami bersalaman. Dari tingkap yang sama saya ternampak  diseberang jalan satu kumpulan media telah bersedia menunggu. Saya harapkan si Armand ini akan mendapat liputan. Malah saya berharap dia akan dapat tepokan berdiri ketika di Persidangan Pemuda UMNO nanti. Saya yakin  PRU14  yang akan datang  si Armand ini akan bertanding.

Apa yang telah dirancang oleh YB Howard. YB Tian Chua bersama Armand saya kurang tahu.  Tapi saya yakin mereka semua ini  ahli politik.  Tidak saperti saya tukang hasut. Untuk tukang hasut - apa yang tersurat itulah yang tersirat.  

Yang tersirat sekarang ialah - sebelum ke pilihanraya  PRU14 kita wajib sekali lagi ke jalan raya. Lewat tengah hari  kami dibebaskan. Amin. (TT)

NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45






------------------------

Tiada ulasan: