YANG LAIN MENGUASAI EKONOMI
Minggu lalu saya membuka persoalan konsep budaya penakrif. Budaya penakrif ialah budaya induk. Dalam semua negara bangsa wujud budaya induk yang mengikat dan menyimpai negara bangsa. Budaya induk yang perlu diterap, di kembang dan di ampohkan di Tanah Melayu ialah budaya Melayu. Ini kerana budaya China dan India, Bangla dan dan dan… adalah budaya pendatang.
Budaya penakrif lahir dari pasir, dari lumpur, dari hutan, dari sungai, dari sawah dari paya Alam Melayu.
Dimana-mana di pelusuk dunia ini - di Eropah , di Afrika atau di Arab budaya penakrif adalah budaya asal. Yang datang kemudian akan memperkayakan budaya penakrif yang sedia wujud. Yang datang kemudian dirayakan bersama.
Ada berapa negara terkecuali dari hukum sosial ini. Ianya agak berbeza dengan apa yang berlaku di negara-negara yang ditakrif sebagai Negara Pendatang atau settler state. Contoh negara settler state ialah Canada, Amerika Utara, Australia, New Zealand, Israel dan Singapura.
Kita menyaksikan bagaimana dalam negara pendatang ini budaya asal tenggelam atau hampir pupus. Atau hari ini hanya dijadikan bahan tarikan pelancung. Bani Melayu di Singapura, Bani Maori di New Zealand, Bani Red Indian di Amerika, Bani Abo di Australia dan Bani Palestin di Israel. Di negara-negara ini budaya asal telah ditengggelami oleh pendatang baru - kaum imigran - yang jumlahnya cukup tinggi. Jumlah besar ini akhirya berjaya menumpaskan yang asal.
Tetapi kenapa di Tanah Melayu - majoritinya Bani Melayu tetapi kelihatan budaya Melayu gagal untuk menjadi budaya penakrif?
Jawabnya - ekonomi, ekonomi dan ekonomi.
Dan dalam tulisan ini saya ingin menerangkan bagaimana ekonomi mengagalkan kemunculan budaya penakrif Bani Melayu yang kompak, tersusun dan berwibawa.
Ketika Siam, Belanda, Portugis , Inggeris dan Jepun datang menjarah ke Tanah Melayu - Bani Melayu telah memiliki adat istiadat dan budaya. Malah sebelum Islam Arab datang Bani Melayu telah memiliki agama, kepercayaan dan Dewata Mulia Raya.
Dewata Mulia Raya ini saya ajukan ini dibuktikan wujud melalui bahan arkeoloji di Lembah Bujang Kedah. Saya juga mengajukan Batu Bersurat Kuala Berang sebagai artifek bertulis tentang kewujudan Dewata Mulia Raya - tuhan Bani Melayu sebelum masuk Islam.
Tamadun Bani Melayu berasaskan ekonomi pertanian di era Lembah Bujang. Bani Melayu ke sawah berpadi. Ke hutan mencari buruan. Ke laut, sungai dan paya untuk menimba ikan. Malah lebih tepat lagi pada ketika itu ekonomi Bani Melayu tidak bergantung pada mata wang. Jual beli dalam pemahaman kita hari ini tidak wujud. Jual beli yang wujud ialah ekonomi bertukaran - butter trade. Ini asas ekonomi sebelum sampainya sistem ekonomi kapitalisma yang dibawa oleh Inggeris.
Inggeris memperkenalkan sistem ekonomi kapitalis. Ini untuk memastikan kekayaan Tanah Melayu ini dapat dipunggah untuk membina kota London dan budaya Anglo-Saxon.
Kedatangan Bani China dan Bani India - yang di bawa dari Tanah Besar China dan Bharat ini bertujuan untuk menjarah dan merampok harta kekayan Tanah Melayu dan memunggah kekayan ini ke London.
Perampokan dan penjarahan ini hanya boleh dilakukandengan bantuan kaum buruh dari Tanah Besar China dan Bharat. Bani Melayu yang hidupnya ‘lumayan’ tidak mahu menjadi hamba Inggeris. Berbanding dengan Bani India yang di paksa atau Bani China yang merempat kebuluran dari Tanah Besar.
Maka adalah lojik bagi Inggeris untuk menggunakan pertukaran tenaga buruh dengan ringgat dan sterling. Maka sistem ekonomi kapitalis diperkenal. Kuasa ringgit, pitis, kupang mula memasuki ke alam Melayu.
Bani China dan Bani India adalah kumpulan terawal yang dimajukan dalam sistem ekonomi kapitalis ini. Jangan silap faham Bani China yang duduk dipekan dan bandar telah lebih awal menikmati kebajikan yang diwujudkan oleh sistem kapitalis. Ini kerana Tuan Elis dan Tuan Evon, Tuan OCPD dan Tuan D.O semuanya duduk dalam pekan dan bandar. Justeru Bani China menikmati lebih awal air dalam besi dan api dalam kaca.
Ekonomi kapitalis ini lebih kukuh dan lebih rakus dari ekonomi pertanian - cukup makan cukup pakai - Bani Melayu. Ini hakikat dari hukum evolusi perkembangan ekonomi.
Kekuatan awal ekonomi kapitalis Bani China ini telah dibantu pula oleh jumlah Bani China yang masuk ke Tanah Melayu. Sebahagian di bawa secara resmi oleh Inggeris. Ramai juga yang datang sama saperti Bangla, Nigerian, Myamar dan Vietnam yang hari ini menceroboh masuk secara haram ke alam Melayu.
Justeru bandar dan pekan diseluruh Tanah Melayu dimiliki oleh Bani China.Dengan jumlah yang besar akhirnya Bani China tidak ambil pot terhadap Budaya Bani Melayu. Kekuatan ekonomi dan jumlah adalah hukum sosial yang membuatkan Bani China ini lebih angkuh jika dibandingkan dengan Bani China yag berada di Indonesia atau di Siam.
Kalau di Indonesia mustahil ada Bani China yang tidak tahu bertutur dalam Bahasa Indonesia. Mustahil. Tapi di Tanah Melayu masih wujud.
Di United Kingdom, di Belgium atau di France jika ada Bani China atau Bani Apa Pun yang tidak mahu belajar bahasa Inggeris, Flemsih atau Peranchis maka mereka akan ‘ mampos kering’. Ini kerana wujudnya budaya penakrif yang secara tersendiri memaksa si Pendatang Halal atau Pedatang Haram untuk belajar berkomunikasi dengan menggunakan bahasa tempatan.
Contoh terbaik ialah kes Hishamuddin Rais. Apabila saya diberi suaka politik di Belgium saya ditempatkan dalam satu perumahan dimana saya berkongsi dapur dengan Bani Iran, Bani Angola, Bani Chile, Bani Vietnam dan Bani Kambodia. Dalam minggu ke tiga sesudah saya sampai - saya dan yang lain-lain telah memula belajar Bahasa Peranchis.
Pendatang baru ke Belgium tidak ada pilihan. Jika kamu tidak tahu bahasa Peranchis atau Flemish maka kamu sendiri akan mati kering.
Ini tidak berlaku di Tanah Melayu.
Jangan silap faham - apabila saya mengajukan betapa wajibnya diwujudkan budaya penakrif di Tanah Melayu bukan bermakna tarian singa, kuil atau Tok Pekong akan di lupus - atau diruntuh. Tidak. Ini bukan tujuan budaya penakrif.
Disinilah wacana kita - anak semua bangsa - di Tanah Melayu ini selalu terpesong. Sengaja dipesongkan dengan niat JAHAT oleh sosok-sosok dan kumpulan yang TIDAK MAHU mewujudkan budaya penakrif. Bahasa Tamil, bahasa Tionghua, tarian singa, membawa kavadi, bergendang ketika ke kubur - semua ini hanyakan bentuk budaya. Ini manifestasi budaya. Ini bukan budaya penakrif.
Jangan silap faham bukan bentuk budaya yang saya tentang. Saya tidak menentang apa-apa. Saya hanya menganalisa dan mengajukan sesuatu. Justeru bukan bentuk budaya yang saya persoalkan. Yang saya ajukan ialah betapa perlunya budaya penakrif/core culture yang dominan untuk membidani kelahiran satu negara bangsa.
Di Tanah Melayu yang majmuk, di Sabah Sarawak yang penuh dengan bahasa dan kepelbagian pastilah bentuk-bentuk seni ini akan dirayakan. Kepelbagaian ini adalah keindahan. Tetapi dalam masa yang sama budaya induk - budaya penakrif - wajib wujud sebagai juru mudi negara bangsa.
Ini bukan hegemoni Bani Melayu. Ini hukum alam semula jadi. Kalau pendatang datang ke United Kingdom maka budaya penakrifnya pastilah budaya Anglo-Saxon. Kalau ke Peranchis pastilah budaya penakrifnya Celtic dan Germanic. Kalau ke Iran dimana wujud Bani Kurds, Bani Baluci, Bani Arab, Bani Turks, Bani Azaibajani maka budaya penakrifnya tetap budaya Parsi. Bagitu juga di Turki - ada Arab, ada Kurdish, ada Armenian - tapi budaya penakrif tetap budaya Turks.
Bani Melayu cukup arif dalam hal ini. Datuk nenek moyang Bani Melayu dari zaman berzaman telah meninggalkan ajaran - di mana bumi dipijak disitu langit dijunjung. Ke kandang kerbau kita menguak ke kandang kambing kita membebek. Ini pandangan yang saintifik dan lojik.
Mereka kaum pendatang wajib menerima hakikat ini. Saya tidak tahu apakah Bani China dan Bani India ini sama saperti sikap Belanda minta tanah? ( ini kesah yang lain).
Saya cukup yakin pemimpin United Malays Nantional Organisation juga sedar hal ini EKONOMI ini. Parti ini pada awal sejarahnya telah didanai dan dibantu oleh kuasa penjajah Inggeris. Kemudian parti ini untuk pilihan raya 1955, 1959, 1964 yang memerlukan perbelajaan telah didanai oleh para cukong , towkay dari Bani China yang duduk dibandar dan pekan.
Ini fakta bukan lebong Hishamuddin Rais. Malah Tun Musa Hitam pernah bercerita tentang hal ini.
Bentrokan Mei 13 1969 itu sebenarnya adalah manifestasi persolaan nasional yang belum selesai. Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah juga manifestasi dari persoalan nasional yang saya timbulkan ini.
Persoalan nasional ini perlu mencari jalan penyelesaian. Hari ini semakin ramai Bani Melayu sedar bahawa mereka masih ketinggalan dalam hal ekonomi. Mereka dketepikan dari pekan, bandar dan kota.
Bandar bandar masih lagi di miliki oleh Yang Lian. Wal hal bandar adalah tempat dan pusat kemunculan gerakan intelektual, gerakan bahasa dan gerakkan budaya. Paria ialah kota budaya dan kota intelektual Bani Peranchis. London adalah kota intelektual dan kota budaya Bani Inggeris. Edinburgh ialah kota budaya dan kota intelektual Bani Scot.
Jika Ipoh, Penang dan Kuala Lumpur masih dimiliki oleh Yang Lian maka mustahil budaya Melayu akan berjaya menjadi budaya penakrif.
Kelucahan dan keangkuhan Yang Lain ini semakin menjadi-jadi.Sejarah dan nama-nama asal kampong Bani Melayu saperti Kampong Kerinchi dan Pantai Dalam telah diubah untuk menjadi Bangsar South. Ini hanya satu contoh.
Ini berlaku kerana Bani Melayu gagal mewujudkan budaya penakrif. Budaya penakrif ini digagalkan kerana Bani melayu tidak menguasai ekonomi. Hari ini dikuliah dan diheboha-hebohkan bahawa Bani Melayu bergantung dengan kuasa politik.
Kuasa politik Bani Melayu ini amat rapuh.Parti Ketuanan Melayu yang dilihat berkuasa , walau pun dengan slogan Hidup Melayu pada hakikatnya parti ini sedang ditaja oleh mereka yang menentang kelahiran budaya penakrif.
Maka akhirnaya kita kembali kepada persoalan awal - ekonomi - ekonomi - ekonomi. Adakah Bani Melayu akan menemui jalan keluar? Tunggu minggu hadapan. (TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45
------------------