.

Rabu, 21 Mac 2018

PERANGKAP AKAN MELEJANG






 PERANGKAP AKAN 

MELEJANG

Tangkap Pencuri! Perdana Menteri Malaysia Sedang Merancang Menipu Pilihanraya. 

Stop , Thief. Malaysia’s PM is about to steal election. 

Ini saya terjemahkan dari tajuk tulisan lidah pengarang majalah The Economist keluaran 10hb March 2018 yang lalu. Saya ulangi lagi -  ini tajuk tulisan dari lidah pengarang. Untuk para wartawan, untuk pemerhati politik dan untuk yang sedar - lidah pengarang  - membawa makna yang dalam. 

Kalau tulisan dari lidah  pengarang Utusan Melayu maknanya ini dasar dan pandangan Utusan. Ini juga selari  dengan dasar dan pandangan  parti United Malays National Organisation yang menjadi kerajaan. Ini kerana akhbar Utusan adalah milik United Malays National Organisation. Maknanya tulisan itu juga adalah dasar kerajaan.

Justeru The Economist ini suara siapa? Kenapa bunyi lidah pengarangnya amat kasar terhadap Najib? Terlalu kasar terhadap  seorang pemimpin Melayu Islam yang warak.  Kasar terhadap pemimpin Melayu Islam yang jujur berhemah dan  yang tak pernah  tinggal sembahyang. 

Malah Si Najib ini terbukti warak. Si Najib ini baru sahaja membawa kuam keluarga  - anak , bini, adik ,menantu dan ibu - berumrah ke Mekah dengan menggunakan duit orang ramai. Menaiki kapal terbang kerajaan. Tidak ramai anak yang warak lagi soleh saperti Najib yang ada keupayan dan kemampuan berumrah membawa sanak saudara yang ramai. Ini kehebatan Najib. Amin.

Malah Najib yang warak lagi suci  ini sempat masuk melawat makam Nabi Muhamad. Ada gambar terpampang sebagai bahan bukti kesucian Najib. Tetapi saya juga terbaca ada suara sumbang  yang mempertikaikan apakah ini betul Makam Nabi Muhamad? Ini kerana mengikut pandangan yang alim lagi berilmu Makam Nabi telah lama ditutup.

Walau apa pun - untuk saya sama ada Najib pergi umrah dengan kaum keluarga dengan menggunakan duit kerajaan atau tidak bukan satu isu penting. Sama ada Najib melawat Makam Nabi atau tidak juga tidak penting.

Apa yang amat amat penting ialah kenapa majalah The Economist ini bagitu kasar terhadap seorang pemimpin Melayu Islam yang warak, syumul , jujur dan berhemah?

Ini persoalan hakiki dari  mata hati 30 juta anak semua bangsa - bangsa semua agama - warga Malaysia. Ini tidak termasuk 7 juta pekerja asing dan pendatang haram yang juga pasti tertanya-tanya kenapa Najib dituduh  oleh majalah  The Economist sebagai PENCURI.

Sebelum saya memanjangkan labon biar saya terangkan makna - to steal election. Dalam bahasa Inggeris to steal election  bukan mencuri pilihanraya. To steal election bermakna akan menipu pilihanraya untuk menang. 

Pada padangan The Economist Najib akan menipu dalam PRU14 ini untuk menang. Padangan The Economist ini kelihatan selari dengan pandangan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah dari Pakatan Harapan. Malah ahli-ahli Pakatan Harapan dan penyokong Pakatan Harapan juga telah sedar akan rancangan jahat Si Najib  yang akan menipu PRU14 untuk menang.

Lalu saya  kembali  bertanya - kenapa The Economist ini menuduh Najib ini pencuri dan penipu? Suara siapa dibelakang lidah pengarang The Economist? Apakah majalah  yang berpusat di kota London ini bersekongkol dengan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah. Apakah ini agenda China Lim Kit Siang dari Democratic Action Party? Atau ini kumpulan lama Anwar Ibrahim bergetah kembali?

Kenapa pandangan The Economist ini selari dengan pandangan Pakatan Harapan. Ini membuatkan saya tertanya-tanya. Kenapa?

Dalam ceramah Mahathir di Bachok Kelantan, di Kamunting Perak dan yang yang paling akhir  pada Ahad 18hb March lalu di Seremban ,  Dr Mahathir terus menuduh Najib ini pencuri dan penipu. Mengikut Mahathir Najib  akan menang PRU14 hanya dengan jalan tipu.

Mahathir mengulangi 900 perempuan bernama Fatimah Ismail yang bakal jadi pengundi hantu. Mahathir mengulangi kesah  70 orang Melayu, India  dan China yang duduk disatu rumah dialamat yang sama. Mahathir  menerangkan 400,000 undi awal dan hampir 1 juta undi pos. Semua ini adalah penipuan.

Tapi mengikut Mahathir penipuan paling afdal lagi cun ialah persempadan semula. Maaf - Mahathir tidak menggunakan perkatan cun. Perkataan cun ini dari saya Hishamuddin Rais.

Mahathir kata Najib pencuri. The Economist kata Najib pencuri. Mahathir kata  Najib akan menipu PRU14. The Economist juga berkata Najib akan menipu untuk menang PRU14.

Hairan bin pelik bagaimana ini terjadi. Agenda siapa ini? Apakah Mahathir telah mengupah The Economist untuk menperlekeh Najib.

Jika kita tanya Lebai Google maka kita akan diberitahu bahawa majalah ini adalah milik syarikat The Economist Group. Syarikat ini dimiliki oleh keluarga Cadbury, Rothschild, Shroder, Agnelli, Lyton dan beberapa keluarga yang lain. Majalah ini telah muncul semenjak tahun 1843. Maknanya sudah lebih dari 100 tahun.

Nama keluarga yang paling menonjol pastilah Rothschild. Saya yakin ramai pembaca tahu bahawa Rothschild ini adalah keluarga Yahudi yang memiliki harta kekayaan yang melimpah ruah. Keluarga ini memiliki bank, kilang,  kilang senjata, majalah dan seribu satu macam jenis perniagaan.

Maka pada hemat saya suara lidah pengarang The Economist itu pastilah mewakili kepentingan kaum keluarga ini. 

Semua keluarga ini adalah kaum kapitalis. Maknanya majalah ini mewakili suara kapitalis besar. Maknanya The Economist mewakilki kepentingan  kaum peniaga antarabangsa. 

Untuk para ilmuan majalah The Economist  ini mewakili apa yang dipanggil MNC - Multi National Cooperation. MNC ini adalah syarikat gergasi dunia. Bukan tahap warung Mek Jah. Bukan tahap restoran Amjal. Bukan tahap gedung membeli belah  Mydin. Syarikat MNC ini berupaya  menyusun, mengatur perjalanan sistem ekonomi kapitalis dalam dunia kita ini.

Hakikatnya semenjak ledakan Bing Bang atau semenjak  Kun Faya Kun - tidak adalah majalah yang bagitu berkuasa dan penting dalam alam kapitalis kita ini. Majalah The Economist ini kait berkait dengan akhbar The Financial Times yang juga berpusat di Kota London.

Wow! Majalah ini cukup hebat. Panglima majalah ini ialah modal. Modal pada pandangan majalah ini  wajib menjuari politik. Modal didahulukan - politik mengendalikan. Politik diwujudkan untuk mengembangkan modal. Justeru The Economist menjadi kitab dan hadis rujukan dalam dunia modal.

Lalu kita semua bertanya kenapa majalah ini mengutuk dan memperlekeh seorang pemimpn Melayu Islam yang warak? Kenapa majalah ini benci terhadap Najib? Apa salah Najib?  Kenapa Najib dilakukan sabagini rupa?

Bukankah Najib ini tidak pernah tinggal sembahyang? Najib ini seorang yang warak walau pun ada  tuduhan dari surat Akuan Bersumpah  arwah P I Bala yang menuduh Najib ini pernah bersegama depan belakang  dengan Altantuya. Model cun lagi bergetah ini telah mati dibunuh oleh  Sirul dan Azilah.

Apakah bersegama depan belakang  dengan si Altantuya ini  membuatkan Si Najib ini menjadi pencuri saperti tulisan lidah pengarang The Economist? Mustahil. Justeru apa lagi kesalahan  Najib sahingga pemimpin Melayu Islam yang warak ini diserang?

Pada 16 March 2016 Tuan Haji Ahmad Rasidi Hazizi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom telah  bangun menjawab bagi pihak Najib. Tuan Haji ini menyelar tulisan The Economist ini. Menurut Tuan Haji ini semua laporan itu adalah palsu dan tidak betul.  

Laporan tentang 1MDB itu semuanya fitnah dan tohmah. Mengikut surat  Tuan Haji  Pak Duta  mustahil Najib yang warak lagi syumul akan menipu untuk menang dalam PRU14. Malah Najib semenjak menjadi Perdana Menteri telah mengemudikan Malaysia dengan baik.  Majalah The Econoimist ini membawa lagu kolonial kata Tuan Haji wakil kita di London.

Nasib baik Malaysia memiliki Pak Duta  yang cekap lagi bijak menjawab dan menepis segala tohmahan The Economist. Bijak menulis dalam Bahasa Inggeris. Nasib baik Pak Duta kita bukan Tan Seri Muhammad Muhamad Taib. Kalau Mat Taison ini Pak Duta kita di London hancus mancus Tanah Melayu kita ini. Amin

Saya telah memerhatikan dan membuat peta tentang pencuri dan penipu yang  dikatakan bernama Najib ini. Saya perhatikan dengan rapi. Dengan jelas saya melihat memang   wujud satu konspirasi  bertaraf antarabangsa  yang sedang merancang untuk menerajang Najib. 

Ini projek Regime Change - projek tukar kerajaan.

Lalu saya teringat kembali kepada Presiden Marcos pada tahun-tahun 80’an. Bukan hal kasut isterinya yang saya ingat tetapi cara dan rupa bentuk konspirasi global yang diatur dan disusun untuk menerajang Marcos. 

Peranan media antara bangsa - Majalah The Times, The Newsweek, Far Eastern Economic Review, BBC, CNBC, ABC  dan termasuk majalah The Economist. Media-media  milik kaum kapitalis besar ini terus menerus menyerang Marcos hingga  Presiden Marcos ini mati terkulai.
Ilmelda Marcos, isteri Sang Presiden ,  bekas ratu cantik tidak sempat melarikan diri dengan semua kasut-kasutnya. Kesian.

Bayangkan betapa jahatnya media antarabangsda ini sehinggakan  bekas ratu cantik ini tidak sempat memakai kasut untuk lari.

Inilah yang saya takuti. Saya takut kempen terajang Najib yang sedang dijalankan oleh media antarabangsa ini menjadikan seorang perempuan gemok pendek  yang bernama Rosmah Mansor  tidak sempat membawa lari semua beg Birkinnya. Jika ini berlaku maka  sejarah  sedih berulang lagi. 

Dunia akan teringat bagaimana  Ilmeda Marcos tak sempat lari dengan kasut. Janganlah hendaknya  Si Rosmah tak sempat lari dengan beg tangan Birkin. 

Lalu, saya  harap-harapkan Si Rosmah ini akan membuat persediaan awal. Persediaan awal saperti memesan pesawat pengangkut Antonov 124. Kapal terbang ini boleh membawa muatan beg Birkin tanpa masaalah. Malah  yang berat berat termasuk si Rosmah sendiri boleh dimuatkan ke dalam Antonov 124.

Para pembaca akan bertanya bila agaknya konspirasi meneranjang Najib ini akan  berakhir? Bila perangkap akan melejang? Jawapan awal  ialah apabila  Najib telah cabut lari?  Tapi bila?  Kenapa The Economist menyerang? Untuk ini sila tunggu minggu hadapan. (tt)



NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45



--------------------

2 ulasan:

bengkak berkata...

pantek ahhh.. potong stim boto lah nak tunggu minggu dopan!!

Tanpa Nama berkata...

Abam tt, post kau kali ni berupaya mencelikkan mata pejam aku terhadap 3 perkara. 1- Akuan Bersumpah arwah P I Bala yang menuduh Najib ini pernah bersegama depan belakang dengan Altantuya. Model cun lagi bergetah ini telah mati dibunuh oleh Sirul dan Azilah - Ini baru nampak ketara motif altantuya dibunuh oleh sirul dan azilah, sesuatu yang dah lama jadi tandatanya semua! Sebenarnya sirul dan azilah dua-dua syok kat altantuya yang cun melepak tu dan berlaku perebutan antara mereka, tetapi akhirnya mereka berdua setuju berdamai dan bershare demi keamanan negara dan bangsa, namun selepas itu baru mereka sedar menerusi pi bala yang altantuya juga bermain kayu 5 melibatkan razak dan anak razak. Sedar mereka tak setanding PM dan penasihat PM serta rasa cemburu kembali meluap, sirul dan azilah pun buat keputusan off saja minah tu. 2- Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom telah bangun menjawab bagi pihak Najib. Tuan Haji ini menyelar tulisan The Economist ini. Menurut Tuan Haji ini semua laporan itu adalah palsu dan tidak betul - Maka inilah sebab sebenar kabinet dapur najib beriya nak gubal akta baru untuk berita palsu, nak wujudkan kuasa untuk rampas majalah, harta dan duit the economist yang melimpah ruah di britain atau mana saja. Sebelum ni aku ingat akta tu untuk tangkap tukang hasut miskin macam kau je. 3- Saya takut kempen terajang Najib yang sedang dijalankan oleh media antarabangsa ini menjadikan seorang perempuan gemok pendek yang bernama Rosmah Mansor tidak sempat membawa lari semua beg Birkinnya - Patutlah orang umno semua bela najib, sebenarnya nak bagi handicap atau kelebihan pada suami dia yang kaki pendek tu untuk masa lebih awal mula kemas segala koleksi beg dia lalu mula berlari, tak aci la dia pendek sedangkan mat saleh fbi tu semua 6 kaki tinggi semua kaki panjang! Jahat mat saleh ni, taknak lawan atas padang yang sama rata. Ciss!