MERAKAM SEJARAH
PROJEK ISLAM MELAYU
‘I speaks the truth. You have every right to mention the truth and fact to the people and the rakyat…’
Ini kata-kata Agong kepada Anwar Ibrahim yang saya pungut dari YouTube. Kata-kata ini adalah petikan labon ceramah pertama Anwar di Padang Timur satelah dibebaskan pada 16 Mei 2018 yang lalu.
Saya pungut ucapan ini kerana saya juga akan mengekori nasehat Agong kepada Anwar. Saya juga wajib bercakap benar dan memaparkan fakta kepada rakyat dan orang ramai.
Menjadi tugas saya untuk menyangkal yang karut. Untuk mengenepikan berita palsu. Untuk menyebar luas maklumat yang betul. Untuk menganalisa kemungkinan baru.
Justeru, pada hemat saya pada ketika ini anak semua bangsa wajib bertanya arah ke mana negara bangsa kita ini sedang dipacu?
Soalan ini amat penting. Satelah 9 Mei ruang demokrasi telah terbuka maka anak semua bangsa wajib terus berhadapan dengan kebenaran dan mendapat fakta. Bukan lagi dikelentong dengan retorik dan berita palsu. Kebenaran dan fakta wajib dipapar kepada umum. Amin.
Lalu satu lagi soalan timbul. Apakah projek sailang rancangan Mat Songel telah tamat?
Jawabnya: Projek Mat Songel masih berjalan. Belum selesai. Belum tamat. Masih lagi wujud ? Betul wujud - masih lagi berjalan.
Biar saya nyatakan secara jelas bahawa projek sailang adalah projek yang mahu menghalang kelahiran kerajaan Pakatan Harapan dibawah pimpinan Mahathir Muhamad.
Projek sailang ini mahu Pakatan Harapan gagal menubuhkan kerajaan. Projek sailang ini memastikan agenda reform - digagalkan.
Pada 9 Mei 2018 anak semua bangsa telah memilih empat parti - PKR, DAP, BERSATU dan AMANAH untuk memimpin negara ini. Fakta sejarah telah menunjukkan kelahiran kerajaan PH bukan mudah. Dalam tulisan-tulisan awal, saya telah merakamkan bagaimana Mat Songel yang menyamar sebagai Bidan Terjun telah cuba menggugurkan kelahiran kerajaan baru ini.
Walau pun akhirnya Bidan Terjun telah gagal menghalang kelahiran PH ini tidak bermakna projek sailang Mat Songel telah tamat. Atau telah dibubarkan. Tidak. Projek sailang ini saperti gamat dan hydra. Dipancung, dipotong dan dicincang tapi masih berupaya menyambung diri untuk meneruskan projek mengsailang kerajaan Pakatan Harapan.
Projek sailang ini telah berubah bentuk satelah kerajaan PH baru berjaya ditubuhkan.
Sekali lagi saya nyatakan disini. Politik ialah kuasa. Dengan memiliki kuasa politik kita boleh memiliki punca ekonomi. Dengan memiliki punca ekonomi kita akan berupaya untuk memperkuat kuasa politik. Ini hukum politikal ekonomi yang tidak akan berubah-alih dimana saja politik bergerak. Di Amerika, di Eropah atau pun di Asia hukum ini semuanya sama. Selagi sistem ekonomi kapitalis digunakan maka hukum politikal ekonomi ini akan wujud.
Apa sangkut pautnya hukum ini dengan Mat Songel dan Pakatan Harapan?
Jawabnya cukup jelas. Mat Songel dan kuncu-kuncunya mahu memiliki kuasa politik. Kumpulan Mat Songel sedang merancang untuk mendapat kuasa. Kegagalan untuk menghalang Mahathir dari menjadi Perdana Menteri tidak memadamkan cita-cita kumpulan Mat Songel untuk merampas kuasa.
Dalam masa yang sama para songel yang telah kalah ini tidak akan menyerah diri. Kalah ertinya hilang kuasa. Hilang kuasa ertinya masuk penjara.
Pada Khamis 10 Mei 2018 jam 11 pagi Najib yang masih lagi memimpin kerajaan penjaga - caretaker goverment - telah membuat ucapan siaran langsung dimedia leteronik. Isi ucapan Najib ini ialah ‘ …tidak ada satu pun parti yang memiliki kerusi majoriti dalam PRU14…’
Najib kemudian memperinci dengan menyatakan bahawa Barisan Nasional mendapat 79 kerusi, PKR mendapt 49 kerusi dan Pas mendapat 18 kerusi. Apa makna ucapan Najib ini?
Jam 5 petang pada hari Khamis yang sama saya telah bertemu dengan Zahid Hamidi. Ini telah saya nyatakan dalam tulisan awal. Zahid telah mengulangi kenyataan Najib tentang tidak ada parti yang memiliki kerusi majoriti.
Zahid telah mengeluarkan nota dari saku seluarnya tentang angka-angka kerusi yang dimenangi oleh UMNO, PKR dan PAS
Sama saperti Najib, Zahid juga memisahkan kemenangan 104 kerusi Pakatan Harapan yang menggunakan logo PKR. Untuk Zahid yang menang ialah PKR yang mendapat 49 kerusi.
Apa maknanya ini? Mengakui hanya kerusi PKR bermakna mengenepikan kerusi AMANAH, DAP dan BERSATU. Apa udang ada tersimpan dibelakang Istana.
Ingatkan kembali tentang babak panggilan talipon. Satelah dibebaskan Anwar telah mengumumkan bagaimana Najib telah membuat dua panggilan talipon ketika dirinya masih lagi dalam tahanan. Ertinya panggilan talipon Najib kepada Anwar dibuat sebelum kerajaan Pakatan Harapan ditubuhkan. Sebelum Mahathir mengangkat sumpah dihadapan Agong.
Minggu lalu dalam temubual dengan stesen tv Siam sekali lagi Anwar telah menimbulkan pekara ‘ panggilan talipon Najib’.
Dari temubual stesen tv Siam ini kita mendapat tahu bahawa Najib ada ‘ projek cadangan’ untuk Anwar. Jawapan Anwar kepada Najib ialah menasehatkan Najib untuk membuat pangggilan talipon kepada Mahathir.
Apa projek cadangan dari Najib ini?
Jangan lupa Zahid juga telah menerangkan kepada saya bahawa….’ bos ada call…’
Pada petang Khamis itu Zahid telah memberitahu saya tentang stratiji baru. Stratiji untuk mewujudkan satu kerja sama baru. Justeru pada hemat saya kiraan angka-angka kerusi yang dimenangi itu adalah sebahagian dari stratiji perancangan kerja sama baru ini.
‘ Tanpa Mahathir….’ Inilah yang keluar dari mulut Zahid.
‘ Tanpa Najib…’ Inilah jawapan dari Hishamuddin Rais.
Apabila saya kumpulkan semua fakta. Apabila saya cantumkan semua kenyataan ini maka saya rumuskan bahawa Najib mencadangkan untuk menubuhkan satu altenatif - perserikatan politik baru. Satu perseriktan yang lain dari Pakatan Harapan. Perserikatan baru ini tanpa Mahathir Muhamad. Perserikatan baru ini melihat Mahathir sebagai musuh utama.
Mahathir dilihat sebagai musuh kerana Mahathir telah berjaya menjatuhkan Najib. Berjaya mengalahkan parti United Malays National Organisation. Justeru perserikatan baru ini sedang melihat bahaya yang akan dibawa oleh Mahathir dan kemungkinan Parti Ketuanan Melayu bakal dimusnahkan oleh Mahathir.
Untuk menyelamatkan ‘ Bani Melayu’ satu kerjasama baru wajib diwujudkan. Satu pensenjajaran baru wajib muncul. Maka Najib membuat panggilan talipon. Maka Zahid membuat panggilan talipon.
Tetapi, sikap Anwar yang menasehatkan Najib agar membuat panggilan talipon kepada Mahathir pasti telah memandulkan projek cadangan Najib.
Apakah agaknya sampai ke sini sahaja projek Najib ini?
Projek ini jelas untuk mewujudkan kerjasama antara UMNO, PKR dan PAS. Asas kerjasama ini ialah Bani Melayu dan Islam. Maka pensejajaran baru ini mahu mewujudkan apa yang dikenali sebagai Negara Melayu Islam.
Hari ini suara Melayu Islam ini masih kedengaran. Rentak dan tarinya masih belum reda. Ianya tidak mencurah jatuh tapi tanda-tanda masih dapat kita baca.
Kita terbaca kenyatan Anwar Musa - Setiausaha Agong United Malaysa National yang baru. Annuar Musa menyatakan yang dia sanggup berkerjasama walau pun dengan DAP. Kita juga terbaca kenyataan Anwar Ibrahim yang sanggup bekerjasama dengan pembangkang.
Desas desus juga sering kedengaran tentang kedudukan kerusi Parlimen. Kita terdengar bahawa Zahid Hamidi memiliki sekian sekian banyak kerusi. Kita terdengar si Nazri Aziz memiliki sekian sekian banyak kerusi. Kerusi yang ‘dimiliki’ ini adalah tanda sokongan dari para YB. Jika dilakukan satu perserikatan baru maka para YB itu akan ikut sama.
Kelihatan perserikatan baru ini satu bentuk united front. Kalau dulu saya mencadangan united front untuk menyokong Mahathir menjadi PM. Kini pensejajaran baru ini ialah united front untuk mengsailang Mahathir Muhamad.
Pelik tetapi inilah hakikat politik yang pada hemat saya sedang berlaku hari ini.
Najib kecewa kerana Mahathir mengambil alih kuasa darinya. Para Mat Songel juga kecewa kerana projek sailang Mahathir telah gagal. Justeru ada titik pertemuan terhadap Mahathir. Ada sesiapa lagi siapa yang merasa terancam dengan Mahathir?
Jawabnya ada. Jangan lupa suara tangisan rayuan tentang Jakim. Suara tangisana tentang UITM. Suara bantahan terhadap 17,000 talibarut Najib yang diberhentikan kerja. Suara tidak puas hati kerana DAP memiliki kuasa dalam Pakatan Harapan. Semua ini adalah tangisan untuk merayu dan mengolah persetujuan dalam persediaan mendirikan perserikatan baru.
Ada lagi ke?
Mahathir Muhamad cukup jelas dengan pendirian tentang China Merah. Untuk pertama kalinya semenjak 1949 pemimpin Parti Komunis China mendengar ditelinga mereka bahawa Komunis China sedang mengamalkan penjajajan bentuk baru - new form of colonisation. Menurut Mahathir kita bukan sahaja mahu ‘ free trade ‘ kita juga mahu ‘fair trade’. Bukan hanya perniagaan bebas tapi juga perniagaan adil bukan berat sebelah.
Dengan tersenyum Mahathir menyatakan pekara ini dalam satu sidang akhbar bersama pucuk pimpinan Parti Komunis China di Beijing.
Peranan China Merah dengan Jho Low, peranan China Merah di Forest City, peranan China Merah dengan Tembok Besar Kuantan - semuanya telah dibongkar oleh Mahathir Muhamad. Pasti ada yang tidak senang mendengar. Forest City di Johor menjadikan Mahathir tidak popular dengan kerabat Johor. Ini amat jelas.
Justeru Melayu Islam Raja - agenda lapok United Malays National Organistion sedang dijaja sekali lagi. Suara laungan tentang Pakatan Harapan hendak menghapusakan kaum feudal dan raja raja melayu telah mula kedengaran.
Sebenarnya semua ini adalah tangisan mengolah persetujuan untuk mengsailang Mahathir dan membantutkan agenda reform.
Satelah melihat dan merakamkan semua ini saya ramalkan dalam masa tidak lama lagi Parti Islam PAS akan membuat kenyataan kesediaan Parti PAS untuk bertahaluf siasasi dengan agenda Malayu Islam saperti satu ketika dahulu dalam Pakatan Rakyat. Bertahaluf dengan siapa hanya Guru Nanak yang mengetahui.
Jika ini berlaku apa maknanya. Tunggu minggu hadapan. (tt)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45
-------------------