Rabu, 27 Mei 2020

MERAYAKAN ISLAM BUDAYA










MERAYAKAN

ISLAM BUDAYA

Tulisan ini saya garap pada hari Selasa 26/5/2020 . Bulan puasa telah berlalu.  Yang berpuasa telah selamat berpuasa.  Hari ini hari raya ke tiga.  Lemang, ketupat , rendang dan tapai masih ada lagi. Raya tahun ini kita berkhalwat kerana memerangi Karona.  PKPB - Perentah Kawalan Pergerakan  Bersyarat masih berkuat kuasa.  Walau pun PKPB wujud ini tidak menggangu kita untuk berhari raya.

Di Malaysia Hari Raya saperti Hari Krismas, Dewali, Tahun Baru China ada cuti umum. Maka semua warga tahu bila puasa bermula dan bila hari raya sampai. Wajib diketahui – jangan pura buat tidak tahu - bahawa di Malaysia ini ada pelbagai    genre Islam. Semuanya  genre -genre Islam ini akan merayakan  Hari Raya.

Genre Islam yang saya maksudkan ini bukan Sunni dan Shiah. Bukan Wahabi atau Salafi. Di Malaysia ini ada  genre lain. Dari pemerhatian impirikal   , saya memberi genre Islam Malaysia   kepada  Islam Kahwin, Islam Kontrek, Islam Pangkat ,   Islam Politik, Islam Ekonomi dan  Islam Kad Pengenalan.


Islam Kahwin ialah mereka yang memelok agama Islam  kerana  mahu berkahwin. Ini kerana  di Malaysia  sesiapa yang bukan penganut Islam diwajibkan menjadi Islam  dahulu jika ingin berkahwin dengan wanita atau lelaki yang beragama Islam. 


Menganut  Islam Kahwin ini diwajibkan untuk mendapat surat nikah. Untuk melarikan diri dari dianggap mengadakan hubungan seksual tanpa kebenaran JAKIM – Jabatan Agama Islam Malaysia atau  aparacik agama di negeri-negeri.  Penganut Islam Kahwin ini memelok  Islam untuk  mendapatkan  lesen halal sex. Amin.


Islam Kontrek pula ialah bilamana seseorang  yang bukan Islam mahu mendapat kontrek dan peluang perniagaan  yang lumayan. Ini berlaku ketika Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan dan mengampoh. Dengan menganut agama Islam maka kontrek dan ruang perniagaan terbuka luas. Jika sesudah masuk Islam  sosok ini pergi naik Haji dan mendapat gelaran Datuk walau pun  dibeli maka taraf keIslaman sosok genre ini akan melonjak naik. Perniagaan jadi kaya raya.


Islam Pangkat terdapat banyak dalam jabatan kerajaan , dalam tentera , polis dan dalam GLC – Syarikat Kerajaan.  Juga dikalangan ahli perniagaan. Dasar cenderung Bumiputera yang diamalkan oleh United Malays National Organisation akan lebih bersimpti kepada sosok bukan Islam yang memelok agama Islam. 


Dalam jabatan kerajaan pencapaian sosok  bukan Melayu  tidak mungkin  boleh maju  hingga   ke kemuncak.  Pegawai kerajaan bukan Melayu mustahil akan  sampai ke tahap  Setia Usaha Kerajaan.  Hakikatnya dasar kenaikkan pangkat  bukan berasaskan ‘qualification’ tapi berasaskan ‘kulitfication’. Dengan menjadi Islam warna  kulit akan berubah dan pangkat akan berlunjur datang. Amin.


Islam Politik ini dilakukan untuk tujuan meluaskan ruang berpolitik. Politik ini bukan hanya menjurus kepada pilihan raya tetapi ada yang ngelencong kearah ini.  


Paling  banyak terjumpa Islam Politik  dikalangan dunia akademia.  Ahli-ahli akademik yang bergelar Doktor memiliki ijazah Phd tapi  bukan Islam  tidak akan dipedulikan. Jika mahu dilihat sebagai pakar rujuk dalam media dan tv atau pandangan didengar oleh  United Malays National Organisation  maka jalan  rentas ialah memelok  agama Islam. 


Manakala Islam Ekonomi  sering berlaku dikalangan keluarga  bukan Islam yang miskin.  Yang merempat dan papa kedana. Yang malang menimpa berkali kali. Mereka melihat dan menyedari dasar kerajaan United Malays National  Organsition dan aparacik agamanya  akan lebih bersimpati kepada  Saudara Baru. Sebelum  memelok agama Islam sosok yang  miskin  merempat ini tidak dipandang jauh sekali  dianggap saudara.


Tup tup. Apabila  Si Miskin  ini  memelok agama Islam maka dengan serta merta mereka  ditakrif sebagai  Saudara Baru. Justeru  saudara baru akan mendapat bantuan ekonomi. Amin.

Islam Kad Pengenalan  ini adalah Islam paling ramai. Islam Kad Pengenalan ini wujud kerana  di Malaysia agama Islam  wajib dipakai pada lengan baju.  Maka cara yang sopan ialah agama di cap di kad pengenalan masing-masing.


Saya bukan penganut Islam Kahwin, Islam Politik, Islam Pangkat  atau Islam Kontrek.   Bukan. Bukan. Bukan. Tapi agak tidak salah walau pun tidak tepat  jika saya ditakrif sebagai Islam Kad Pengenalan.   


Tepat lagi benar  - saya adalah  penganut Islam Budaya.   Sebagai penganut  Islam Budaya saya juga  bersama merayakan  budaya berhari raya. Pasti ramai kurang arif, tidak tahu apakah dia Islam Budaya.  Malah tidak sedar walau pun hakikat di Malaysia dan dinegara majoriti Islam –  penganut Islam Budaya adalah yang teramai. 


Yang indahnya  ramai para penganut Islam Budaya ini sendiri tidak sedar bahawa mereka itu sabenarnya  adalah penganut Islam Budaya. Mereka  tahu apa yang mereka lakukan tapi tidak tahu mereka tergulung dalam konsep dan takrifan Islam Budaya. 


Dalam dunia ini wujud penganut  Kristian  Budaya,  Yahudi Budaya atau  Hindu Budaya. Hakikatnya  majoriti umat manusia dalam dunia ini mengamalkan pelbagai bentuk beragama berbudaya. 

Takrifan Islam Budaya ialah sesiapa saja yang mendahului  dan merayakan budaya asal usul mereka.  Anutan budaya mereka amat promodial. Wujud berakar jauh dari zaman kuno ratusan ribu tahun. Budaya turun temurun disampaikan dari zaman  nenek moyang.  Dari mulut ke mulut. Dari jenerasi ke jenerasi. Dari gaya hidup ke gaya hidup.


Justeru mereka memilih Islam sebagai agama rakyat. Mereka tidak memelok agama Islam. Datuk nenek moyang  mereka  sedia Islam. Mereka  dilahirkan dalam keluarga Islam.  Mereka mungkin agnostic, pemikir bebas mahu pun ateis. Tapi mereka tidak akan meninggalkan budaya kolektif dan pengalaman  kesedaran kolektif dari alam disekelililing mereka.


Hakikatnya Islam Budaya  bukan Islam Ritualis.  Jauh sekali mereka menerima budaya Arab secara total  yang dijual sebagai Budaya Islam tanpa tapisan fikrah yang rasional.


Islam Budaya  menerima  budaya Arab  bukan kerana ianya Arab. Tidak juga menolak budaya Arab kerana ianya Arab. Islam Budaya rasional. Mengambil yang terbaik sebagai modal perjalanan.



Dalam masa yang sama Islam Budaya secara terbuka   akan menerima dan mengguna pakai apa sahaja ciri dan pola budaya dunia dari anak semua bangsa yang merayakan kehidupan umat manusia


Islam Budaya membebaskan diri dari kongkongan  Islam yang telah dilembagakan oleh kuasa daulah. Islam Budaya menolak Islam Daulah yang  berasaskan kuasa dan kuat kuasa. Islam Budaya melihat dengan jelas bagaimana lembaga-lembaga agama diwujudkan  dan diberi kuasa Tuhan dalam usaha    mempertahan daulah atas nama Tuhan.

Penganut Islam Budaya sedar bagaimana Islam malah apa sahaja agama telah digunakan oleh daulah untuk mengawal umat manusia. Pengalaman tamadun dari wilayah dan bangsa lain menyakinkan bahawa agama hanyalah alat yang digunakan oleh daulah untuk  memperkuat kuasa. 


Atas nama Yahwe, atas nama Buddha, atas nama Isa dan atas nama Allah  atas nama Krishna kita melihat bagaimana agama ini  telah dipergunakan demi mengumpul kuasa  untuk  menjarah harta kekayaan.


Di Israel, Yahwe dikatakan telah memberi ayat  persetujuan untuk menjarah tanah Palestin. Di Myamar Buddha dikatakan  telah bersetuju agar warga  Rohingya dibantai dan dihalau keluar dari Myamar.  Di Eropah nama Isa telah menghalalkan  darah  sesiapa sahaja yang bukan berkulit puteh.  Di Bharat India  darah bertabur dan mayat penganut Islam  bergelimpangan atas nama Krishna.


Di Nigeria, Mali, Syria, Pakistan,  Kurdistan    Allah  dikatakan telah mengeluarkan ayat-ayat untuk bersetuju agar  dibunuh, dibakar atau diledakkan sesiapa sahaja yang dianggap tidak bersetuju atau membawa ajaran sesat.


Penganut Islam Budaya menolak semua ini. Islam Budaya tidak mengakui bahawa dirinya  lebih atas dari yang lain. Atau lebih bawah dari yang atas. Islam Budaya menganjurkan kesaksamaan umat. 


Islam Budaya melihat bahawa anak semua bangsa dan bangsa semua agama adalah sama sederajat. Bumi ini adalah Ibu Pertiwi. Bumi Manusia ini milik anak semua bangsa dan bangsa semua agama.

Di Malaysia ini - bayangkan betapa meriah dan idahnnya  kehidupan jika kita bersama-sama merayakan  pelbagai perayaan dari Krismas, Dewali, Tahun Baru China, Gawai. Hidup ini adalah perjalanan. Dalam perjalanan kita singgah menyinggah. Kita tumpang menumpang. Kita ambil mengambil. Kita tolak terima.Tapis dan pakai.


Ketika saya kanak-kanak konsep duit raya tidak wujud di kampong-kampong. Ini phenomena beraya di bandar. Bila kedudukan ekonomi kampong bertambah baik budaya ini menjalar ke kampong.


Akhirnya kita temui  bagaimana budaya Tionghua memberi sampul merah Ang Pau  pada sambutan pesta Tahun Baru telah  diubah suai oleh  Islam Budaya untuk menjadi sampul hijau – Duit Raya.  Budaya sampul hijau  datang dengan sendiri. Tanpa arahan. Tanpa ayat. Tanpa warta Jakim atau Jais.


Inilah indahnya Islam budaya.

Bagitu juga main mercun, bunga api dan meriam buluh. Membakar mercun  dan bunga api pasti datang dari budaya Tionghua. Di kampong dimana modal  kurang anak anak membakar meriam buluh. Budaya membuat bising ketika berpesta dari budaya Tionghua kini menjadi ikutan anak semua bangsa. Dewali mercun meletup, Krismas  dan  perayaan Tahun Baru  mercun dan bunga api meletup. Berkahwin dan menyambut pengantin pun mercun dibakar. 


Perlu diberitahu bahawa lemang   dan ketupat yang menjadi  simbol yang amat penting dalam Islam Budaya  datangnya dari cara memasak Sakai.Hingga ke hari ini Orang Asli masih menggunakan buluh untuk memasak nasi atau ubi.


Tapai. Jangan kita lupakan tapai. Tapai  adalah symbol ulung tanda mercu keagungan Islam Budaya. Pada satu ketika dulu diberitakan ada niat untuk mengharamkam tapai. Ini kerana  tapai ini mengandungi alcohol. Satu tangga lagi untuk menjadi samsu.  Gawai itu adalah pesta  menuai – pesta air tapai.


Inilah contoh ciri dan bentuk budaya yang menyerap masuk dari pelbagai  bangsa. Masa dan suasana menjadi Tok Mudim dan Mak Andam untuk menyambut kelahiran ciri budaya baru ini. 


Sebagai penganut Islam Budaya dalam suasana memerangi  Covid-19 tahun 2020 ini saya berhari raya dengan lemang, rendang dan ketupat. Untuk pertama kalinya dalam dua dekad ini saya berhari raya tanpa tapai. Amin. (TT)


1 ulasan:

Awanama berkata...

Alhamdulillah Isham Rais sebenar sudah kembali. Kah kah kah.