Jumaat, 25 September 2020

CERITA DARI SANA CERITA DARI SINI


CERITA DARI SANA 

CERITA DARI SINI 

                 https://www.malaysianow.com/

Semenjak pandai membaca aku sudah membaca. Seingat aku di rumah ketika membesar sentiasa ada buku. Ada buku dalam tulisan Rumi dan Jawi. Emak dan Kakak pemilik asal. Kakak ada buku Inggeris. Untuk buku kakak aku hanya menengok gambar. Akhirnya buku buku ini sampai ke tangan aku.

Di rumah aku membesar sentiasa ada akhbar – Utusan Melayu tulisan Jawi. Keluarga kami melanggan. Dari Utusan aku berkenalan dengan Dol Keropok dan Wak Tempe. Melalui Utusan aku juga berkenalan dengan watak Nancy dan Sluggo. Aku merentas hutan Afrika bersama Tarzan dan Jane melalui Utusan. Dunia kanak-kanak aku terbentuk melalui Utusan. Aku dibesarkan oleh Utusan.

Sesekali aku terserempak dengan akhbar Rumi Berita Harian. Pada hemat aku ketika itu Berita Harian ini adalah akhbar orang pekan. Yang Jawi untuk kami orang kampung. Ini lahir dari pengamatan aku sendiri kerana rata-rata tulisan Jawi dikenali oleh orang kampung.

Tapi di sini aku bukan mahu bersurah tentang Utusan atau tentang Jawi dan Rumi. Aku ingin bersurah tentang cerita itu dan ini – cerita yang aku baca, aku dengar, aku lihat dan aku alami.

Lima ratus tahun dahulu Tun Sri Lanang (1565-1659) menulis Salalatus Salatin untuk cucu-cicit keturunan Bani Melayu.

Munshi Abdullah (1796-1854) merakam dan menulis perjalanan zamannya. Aku mengenali Raja-Raja Melaka, Tun Perak, Tun Fatimah , Dang Anum dan Sang Rajuna Tapa melalui Tun Sri Lanang.

Aku berkenalan dengan watak Lord Minto dan watak Tuan Raffles (1781-1826) dan Tuan Farquhar melalui Munshi Abdullah. Aku juga kenal dengan pemadat candu Raja Hussein (1776-1835) yang menjualkan Singapura kepada Raffles.

Hakikatnya aku wajib berterima kasih kepada Munshi Abdullah kerana dari zaman kanak-kanak lagi aku sudah diperkenalkan dengan perangai dan cita-cita kongsi gelap China yang datang ke Tanah Melayu.

Justeru aku mahu meniru mereka dengan merakamkan kisah-kisah yang aku dengar dan aku lalui.

Kisah dan detik yang akui lalui itu sudah lama pergi. Zaman itu sudah lama berlalu. Ianya tidak akan datang kembali. Hanya ingat-ingatan yang memungkinkan aku kembali ke sana. Tapi babak-babak ini selalu berlayar dalam hidup aku. Kadang-kadang tergambar cerah. Kadang-kadang kabur. Kadang-kadang aku sedih. Selalunya aku ketawa bila mengingati kembali kisah-kisah ini.

Kisah ini juga adalah guru yang amat setia yang sama-sama membantu dan membina watak aku untuk menjadi aku. Aku ini aku adalah hasil pengumpulan semua kisah-kisah ini. Tanpa kisah dan labun dan cerita dongeng ini aku tidak akan menjadi aku. Tanpa pengalaman yang aku lintasi aku tidak akan jadi aku.

Aku menjadi aku apabila semua kisah-kisah ini dikumpulkan. Jumlah kesemua kisah-kisah inilah yang mewujudkan aku. Kisah dan pengalaman ini mempersekolahkan aku. Hinnga ke hari ini aku masih belajar dari guru dan sekolah ini. Amin.

Inilah indahnya hidup. Kita semua menjalani hidup yang dipagari dan dipupuk oleh pelbagai babak dan pelbagai kisah. Setiap hari adalah hari bercerita. Hidup ini ialah penceritaan. Hidup ini adalah kisah-kisah yang kita lalui.

Justeru aku berlaku adil untuk merakam kembali ingat ingatan aku agar ianya tidak hilang untuk selama-lamanya.

Kisah dan watak yang aku surahkan adalah watak dan sosok-sosok orang biasa. Nama dan sejarah mereka tidak akan tercatit dalam buku sejarah mana-mana negara.

Tetapi mereka memainkan peranan dalam perjalanan hidup Hishamuddin Rais. Nama dan watak mereka hanya tercatit dalam sejarah Hshamuddin Rais.

Mereka sama membina wujudiah aku. Maka kerana itu aku akan menuliskan kembali kisah-kisah ini.

Ingatan aku ini juga adalah tanda aku berterima kasih kerana satu ketika dalam hidup ini aku pernah bertemu, berkenalan, berbaik sangka, bergembira, ketawa, jatuh cinta dan berpisah dengan watak-watak ini. Yang tinggal hanyalah ingatan. 

Hingga berjumpa minggu hadapan

https://www.malaysianow.com/



2 ulasan:

Unknown berkata...

ber degau2..

Awanama berkata...

MalaysiaNow lah pulak. Kah kah kah