Rabu, 25 November 2020

GARE DU NORD


GARE DU NORD

Jelebu tidak dilintasi oleh kereta api. Kali pertama aku ternampak stesen kereta api semasa aku berumur lima tahun. Ini ketika Bas Lim yang aku naiki lalu  di sebelah stesen kereta api Seremban.  Kereta api ketika itu tidak kelihatan kerana bukan waktunya.  Kali pertama aku naik kereta api pada tahun 1963  dari stesen Seremban ke Johor Bahru.

Bila aku masuk ke sekolah menengah di Kuala Kangsar  kereta api menjadi sebahagian dari hidup aku.  Setiap kali cuti penggal aku pulang balik naik kereta api  dari Kuala Kangsar  ke Seremban.  Aku cukup lancar  jadual perjalanan pulang. Lewat tengah malam naik kereta api  dari Kuala Kangsar. Sampai jam 8 pagi di Kuala Lumpur. Berhenti sebentar di stesen besar Kuala Lumpur. Jam 10 pagi aku sampai ke Seremban. Dari Seremban aku ambil bas ke Kuala Klawang Jelebu.

Habis cuti penggal aku naik  Bas Lim ke Seremban. Dari Seremban naik bas Foh Hup ke Stesen Bas Pudu Kuala Lumpur. Kemudian aku  menapak ke Foch Avenue   mengarah ke Stesen  Kereta Api Kuala Lumpur.  

Rutin ini masih terpahat dalam ingatan.

Ketika itu aku belum berupaya melihat betapa romantiknya perjalanan   dengan keret api.  Aku masih ingat lagi kertas tampalan  Kereta Api Tanah Melayu (KTM)  di beberapa gerabak. KTM telah menyediakan gerabak khusus untuk pelajar  pulang bercuti -   MCKK di Kuala Kangsar, STAR di Ipoh dan SDAR di Tanjung Malim.  Gerabak kami jauh dipisah-pisahkan agar tidak bergaduh. 

Ketika aku berkelana di  Melbourne Australia aku semakin  kerap menggunakan kereta api.  Australia sebuah  benua – negara besar. Dari kota ke kota jaraknya beratus ratus batu. Aku selalu  turun ke Adelaide  400 batu dari Melbourne. Aku naik  jam 8 malam di Stesen  Southern Cross  Melbourne sampai jam 8 pagi di Adelaide.

Bila aku sampai ke Eropah aku semakin memahami  betapa demokratiknya sistem pengangkutan  kereta api. Ini sistem pengangkutan  untuk rakyat – sistem terbaik untuk orang ramai.

Bila aku duduk di Wavre Belgium  aku menggunakan kereta api hampir   setiap hari. Setiap cuti  penggal pula aku akan naik kereta api dari Brussels ke London. Dari  stesen Wavre aku menuju ke Brussels kemudian ke Pelabuhan Ostend. Dari Ostend aku naik kapal laut selama empat jam ke Dover atau Folkstone. Dari sana aku  sambung dengan kereta api ke Stesen Victoria  London.  Aku telah mengambil  perjalanan ini berpuluh kali. Sama seperti aku ulangi naik kereta api pulang bercuti sekolah  dari Kuala Kangsar ke Seremban.

Surah aku ini bukan tentang sistem pengangkutan kereta api.  Tetapi ada kesah di belakang stesen kereta api. Ada kesah di belakang kesah.

Semakin jauh perjalanan dalam hidup aku ini  semakin beralih pandangan aku terhadap kereta api dan stesennya.  Aku tidak lagi melihat stesen kereta api seperti mana  aku melihat ketika aku  anak sekolah. Semuanya telah berubah. Mata dan hati aku telah berubah.

Setiap kali aku melintasi stesen KTM darah aku berderau. Detik-detik itu datang kembali. Ingatan itu menjadi segar. Imej-imej ingatan itu menjadi terpancar terang. 

Hari ini aku melihat setiap penumpang dalam gerabak adalah watak-watak yang memiliki kesah dan cerita. Aku selalu bertanya  pada diri aku  kenapa mereka duduk dihadapan aku. Kenapa tidak kerusi lain yang juga kosong. Apa kesah yang mereka pikul sebelum mereka masuk ke gerabak ini. Aku selalu berkhayal bertanya-tanya. Bermain-main dengan ingatan.

Di Melbourne Australia pada tahun 1977   aku  menonton filem Casablanca  garapan Micheal Curtiz pada tahun 1942. Aku menonton Casablanca di Varhalla Cinema  Melbourne -  panggung khusus  menayangkan filem-filem lama.

Ketika ini aku belum arif  tentang nahu, tanda atau makna imej filem. Tapi hati aku terkoyak  oleh   Casablanca. Kesah cinta, kesah perjuangan bawah tanah, kesah melarikan diri yang dibalut dengan pengorbanan dalam suasana  perang melawan fahaman fasisma dalam Perang Dunia Kedua. Aku terpegun melihat kehebatan Holywood dizaman kiri.

Di Varhalla  pada malam itu aku berkenalan dengan Gare du Nord – satu stesen kereta  api dalam kota Paris.  Aku mendengar dan merasakan suara  kecewa  dan perasaan patah hati Rick yang menunggu kekasihnya  Ilsa di   Gare du Nord. 

Dua kekasih dilamun cinta  ketika soldadu Hitler sedang  mara  menuju ke Paris. Rick dan Ilsa   ingin mengundur dari Paris ke Marseille wilayah Selatan yang lebih selamat. 

Petang itu hujan turun di Gare du Nord. Rick masih menunggu Ilsa. Matanya mencari cari.  Akhirnya kepolan asap kereta api meninggalkan kota Paris  tanpa Ilsa. Inilah  kesah  dua sosok dari dua negara bertemu dan jatuh cinta  dalam kota  Paris dalam zaman perang.

Hati muda aku tersiat tergoyak terganggu melihat janji seorang wanita secantik Ilsa. Ingatan aku terpahat pada Rick yang setia pada janji.

Satu  petang aku dalam kereta api  dari Brussels ke Wavre aku  tidak dapat tempat duduk. Kereta api agak padat kerana hujung  minggu. Aku berdiri menunggu kerusi kosong.  Satelah melintas tiga perhentian aku ternampak satu kerusi kosong. Kerusi  duduk  hadap berhadapan dengan dua  gadis. Aku mengangguk tanda hormat. Aku seperti biasa menjual senyum dan bertanya hendak mereka ke mana.  Hendak mengayat aku belum faseh berbahasa Peranchis.

Aduh! Mereka  dalam perjalanan pulang ke kampus  Louvain-la-Neuve.  Dua  gadis dari Sepanyol ini  belajar di univeristi aku. Maria mengikuti program pertukaran budaya Belgium – Sepanyol. Carmen mengikuti kursus pendek bahasa Peranchis. Aduh! Kenapa sekarang baru berjumpa. 

Esoknya  aku susul mereka di kampus. Lusanya kami berjumpa di cafe. Satu minggu kemudian  Maria dan Carmen  mengajak aku merasa makanan Sepanyol. Maria yang akan memasak Paella kerana  menyambut kekasihnya  Bernard yang akan datang dari San Sebastian.

Minggu ke dua aku pula mengajak  Maria, Bernard dan Carmen merasa masakan Melayu. Aku masak gulai ayam masak kunyit dengan  santan susu cair. 

Minggu ke tiga  aku jatuh cinta dengan  Carmen  gadis  Sepanyol dari wilayah Basque.

Carmen dengan bangga menerangkan bahawa mereka bukan bangsa Sepanyol tapi Basque. Bahasa mereka, tulisan mereka amat amat berlainan dari orang Sepanyol. Carmen memberi aku kuliah bahawa di Sepanyol ada bangsa  Catalan , ada Galicia  dan Basque selain  Sepanyol. 

Ketika ini  ETA ( Euskandi Ta Askatsuna)   gerakan bawah tanah Basque  sedang bergerila menuntut kemerdekaan dan mahu berpisah dari Sepanyol. Berita gerila ETA ini selalu aku baca dalam akhbar terutama bila ETA meledakkan bom disana sini.

Aku tak menyangka  aku sedang jatuh cinta dengan gadis nasionalis Basque. Ah lan wa sah lan. 

 Dua sosok dari dua negara yang berasingan jatuh cinta di negara asing. Kami sama-sama   merangkak  menggunakan bahasa Peranchis. Aku bernasib baik kerana Carmen boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. 

Sebenaranya aku tidak risau dalam hal bahasa. Kerana ketika bercinta semua indah. Ciuman dan pelokan tidak memerlukan kata-kata. Salah cakap dan salah tulis pun – kalau dalam percintaan  akan ditakrif sebagai romantik. Amin.

Ketika  berdua-duaan dalam bercinta  waktu berjalan amat laju.  Dalam cinta ketika menunggu  kekasih terasa   jari dan tangan arloji bergerak terlalu lambat.  Waktu dan masa  menjadi relatif dalam cinta.

Hari beredar.   Minggu berganti. Selesai pembelajaran  Carmen dan Maria pulang ke  San Sebastian. Aku tidak ke mana mana. Tapi aku berjanji untuk menyusul. Berjanji akan menyambung cinta.   Jauh kami hanya 1000 kilometer. Kami dipisahkan oleh Peranchis. 

Antara Wavre dengan San Sebastian ada Paris - kota percintaan.

Satu hari  aku pulang dari Brussels. Kereta api agak padat.  Aku berdiri menunggu kerusi kosong. Tidak jauh di hadapan aku berdiri seorang gadis. Saperti biasa aku menjual senyum dan bertanya dari mana hendak kemana.

‘ From Paris... ‘ Gadis ini dari Paris nak pulang ke Amsterdam. Gadis  Belanda ini amat peramah dan faseh berbahasa Inggeris. Kami bersembang. Badan kami yang bergoyang berdiri tidak mengganggu perbualan kami. Mata  aku membaca gadis cun ini. Sambil lewa gadis ini bercerita  yang dia ke Paris untuk bertemu kekasihnya. 

Awas Isham! Bila anak gadis secantik yang di hadapan mata mula berkesah tentang  kekasihnya ini tanda .. Isham lu jangan masuk. Lu jangan cuba-cuba masuk mengayat. Amin

‘  On 16 September  my boyfried and I ...we are going to Epernay...vendage.. ‘ Gadis ini terus lincah bercerita. Aku hanya mendengar dengan penuh perasaan ingin tahu.

‘Vendage... apa vendage ‘ aku bertanya.

‘Tu ne savais pas vendage....to cut grapes.. kamu tak tahu vendage... musim  memotong buah anggur..’

Lalu gadis ini menerangkan betapa seronoknya  kerja memotong anggur. Cuaca musim daun gugur bulan September yang indah. Ramai muda mudi siang  memburuh memotong anggur malam berpesta. Ramai tenaga kerja diperlukan  kerana  memotong anggur ini ditetapkan tarikhnya  – bila wajib bermula dan bila wajib berhenti.   

“ Champagne ..cutting grapes for making champange... wilayah Epernay anggurnya wajib  dipotong sarentak  khusus untuk membuat champagne.”

‘ Take the train from Gare dua Nord... then to Epernay... .. di stesen Epernay pasti ramai tuan ladang  anggur menunggu kereta api sampai... mereka mencari  pekerja.

‘ On y va..... mari kita pergi..’

“Wow..’ Gadis Belanda ini telah berjaya mengayat aku  untuk bertandang ke Epernay. 

Aku kagum dengan gadis dari Amsterdam ini. Dia   naik kereta api melintas  dua negara hanya nak jumpa kekasih. Kenapa aku tak boleh  membuat pekara yang sama.  Kejantanan aku terusik dan tercabar.

Malam itu aku  membuat keputusan untuk pergi  ke Epernay.

Esoknnya aku menalipon Carmen. Aku mengayat Carmen untuk bersama memotong anggur di Epernay.  Petang itu Carmen tidak memberi  jawapan muktamad. Dia wajib  melihat jadual kereta api  dari San Sebastian  ke Paris. Carmen juga mahu mengajak Maria datang bersama.  Aku wajib bersabar menunggu jawapan.

Dua hari  kemudian aku menalipon lagi.  Kali ini Carmen memberi jawapan tuntas. Maria enggan datang kerana Bernard baru sampai dari Madrid.  Carmen akan menaiki keretapi awal malam  dari San Sabsatian. Dia akan sampai ke Gare du Nord  esoknya  awal petang – hampir 20 jam perjalanan.

Semua tuntas. Aku mula  mengira  hari. Dalam masa sepuluh hari lagi aku akan ke Paris. Hati cinta  dan kejantanan aku mengelora. Telah hampir lima bulan Carmen pulang ke San Sebastian. Ketika berpisah kami ada menulis surat. Tapi di Eropah bercinta  dengan menulis surat telah 100 tahun  ditinggalkan.  Ini bukan zaman Cyrano de Bergerac yang surat cintanya menjadi  rujukan sastera Peranchis.

Sehari sebelum ke Paris aku menalipon Carmen sekali lagi. Aku menggunakan talipon awam di sebelah stesen kereta api Wavre. Bila aku meletakan gagang talipon seluruh badan aku ikut tersenyum gumbira.

Esoknya aku mengambil kereta api tengah hari di Brussels. Perjalanan dua jam lebih. Awal petang aku akan sampai ke  Gare du Nord.  Aku memang merancang untuk sampai dulu sebelum Carmen. Aku merasa selesa menunggu.

Gare du Nord aku sampai. Aku menapak  mencari cafe yang tidak jauh dari stesen. Aku hanya memesan kopi. Dalam  masa dua jam Carmen akan sampai. Kami merancang untuk bermalam di Paris. Aku tidak tahu sangat kota ini tapi dua kekasih wajib meneroka kota cinta ini.

Dua jam berlalu Carmen tidak juga sampai.  Aku setia menunggu. Mungkin kereta api terlambat. Mungkin  ada gangguan di jalan. Aku menenangkan hati  dengan berligar disekitar Gare dua Nord. 

Aku amati watak stesen kereta api dalam dunia ini semuanya sama. Di sekitar stesen terdapat banyak cafe dan kedai makan. Banyak  hotel dan rumah tumpangan yang harganya berpatutan.  Bukan hotel berbintang tapi hotel untuk singgah  bermalam sebelum meneruskan perjalanan. 

Aku telah mengenal pasti sebuah hotel yang aku  baca sewa yang diiklankan agak demokratik. 

Tiga  jam berlalu. Aku memandang jam di stesen.  Carmen tidak muncul. Hati aku mula berdebar. Apa terjadi.  Jam enam petang aku masih menunggu.  Risau resah kacau semua datang berkumpul.

Suara panggilan kereta api akan bergerak kerap kedengaran. Pengumuman ketua stesen  ini mengingatkan aku kepada Rick  yang menunggu Ilsa dalam hujan lebat. 

Dalam Casablanca panggilan terakhir  kereta api akan bergerak dalam masa tiga minit. Orang ramai yang berpusu lari dari soldadu Hitler dalam  hujan lebat. Tetiba muncul Sam kawan Rick. Sam datang  membawa surat pendek dari llsa. Dalam hujan Rick membaca surat Ilsa yang tulisannya semakin kabur dibasahi hujan.

Aku di Gare du Nord bersendirian. Tidak ada teman . Tidak ada kawan. Tidak hujan. Dan tidak ada soldadu Hitler.  Jam telah lama melintas 8 malam. Aku menuju ke  hotel yang aku kenal pasti  awal petang.  Tapi hotel ini telah penuh.  Aduh!  Memang bukan  nasib aku.  Aku menapak ke beberapa  hotel semuanya telah penuh. 

Lalu aku berfikir  untuk  aku jadikan kenang kenangan maka aku wajib tidur di Gare du Nord. Ketika aku baring berlunjur aku teringat bait puisi Usman Awang – maka dewasalah hati saorang  lelaki.

Kemudian aku bersandar sambil berlunjur ditembok. Aku tersenyum dan menepuk bahu aku sendiri.  Tepukkan tanda hormat  dan terima kaseh aku kepada tubuh badan Isham yang masih gagah berdiri  membawa hati yang hancur kecewa.

EPILOK

Pada musim daun gugur tahun 2018  aku singgah sekali lagi ke Gare du Nord. Aku cuba mencari kerusi  tempat aku menunggu Carmen. Tapi semuanya telah berubah.   Yang tinggal hanya ingatan. (TT)


TULISAN INI JUGA 
MUNCUL DI PORTAL MALAYSIA NOW
https://www.malaysianow.com/wacana/2020/11/25/gare-du-nord/



3 ulasan:

Awanama berkata...

Gare de nord sudahnya garu telur saja. Aduh,lain kali pastikan ada kekasih atau tidak. Lelaki bagi perempuan ada empat,1)rakan sembang 2)simpan rahsia 3) kekasih 4) teman tidur. Kalau keempat empatnya satu sosok selamat berbahagia. Kalau keempat empatnya sosok lain lain maka kacau.

Awanama berkata...

Aku pun di Gare du Nord, berseorangan...beza nya ialah, ia ada minggu yang sama, beberapa hari selepas peristiwa sembilan satu satu.

Duduk kat sana, akan sentiasa ada dua gendarmes bersama satu soldadu, pusing ke hulu ke hilir, sambil cencorong besar bermain suara lunak tegas awek Ferancis yang bagi amaran supaya berjaga jaga dengan barang persendirian. Kalau tak akan diambil untuk dimusnahkan...

Pengalaman zaman perang yang tak kesudahan...bayangkan, pengumunan perang terhadap terror, sampai sekarang belum ada pernamatan nya, belum ada armistice, belum habis lagi diperahkan harta kekayaan dunia ke elit kabal, belum habis rancangan nak jadi manusia sejagat abdi elit kabal...

Awanama berkata...

Sekarang ni banyak cerita pengalaman kena pow saja di Gare Du Nord - di Paris atau Brussels sama saja. Teringat gua tahun 2016 terserempak dengan seorang brader berketayap dari kelate yang nampak panik dan sasau di luar station. Gua perasan beg dia ada sticker royalti untuk kelantan. Bila gua tegur, rupanya beg dia satu lagi baru kena sambar dengan kaki copet Gare Du Nord. Katanya dia baru sampai untuk kerja dekat restoran pakcik dia. Semoga brader tu dah berjaya sekarang.