SATU CADANGAN
Sudah tiba masa laksana sekatan keluar masuk Malaysia, kata MTUC
PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak Putrajaya mengambil langkah mengadakan sekatan seperti yang dilaksanakan Itali bagi mengekang penularan Covid-19.
Langkah ini diambil berikutan peningkatan mendadak pesakit koronavirus itu di Malaysia.
MTUC berkata, tindakan yang diambil kerajaan dalam menangani pandemik ini dilihat belum mencukupi.
“Sekolah, universiti dan kolej masih dibuka begitu juga kilang dan pejabat di mana ribuan orang – sama ada orang dewasa dan kanak-kanak – terdedah dalam masa yang lama.
“Restoran, gerai, kedai kopi dan bistro masih menjalankan operasi seperti biasa dengan terlalu sedikit langkah pencegahan dalam memastikan kebersihan dan sanitasi pelanggan diambil kira pengusaha ini. Dalam bahasa mudah, perniagaan berjalan seperti biasa,” kata Setiausaha Agung J Solomon.
Beliau mengkritik tindakan pihak berkuasa yang tidak mengambil langkah untuk mengurangkan interaksi awam dalam usaha mengurangkan penularan penyakit ini.
Solomon juga mendesak kerajaan supaya menimbang langkah untuk memanjangkan cuti sekolah ketika ini dan melaksanakan langkah sama kepada sekolah persendirian, kolej dan universiti.
“MTUC mendesak agar kerajaan mengambil langkah paling berkesan walaupun ia dilihat sebagai langkah kurang popular dalam kalangan rakyat terutama peniaga,” katanya.
Malaysia mencatatkan 190 kes baharu Covid-19 semalam, dengan jumlah keselurahan 428 kes setakat ini.
Kebanyakan jangkitan baru dipercayai mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh yang diadakan di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur 2 minggu lalu.
MARI TERUS
BERHATI HATI
------------