Sabtu, 25 September 2021

KOBID TAK PILIH MANGSA

 




Gelandangan masih tercicir dalam vaksinasi Covid-19, kata aktivis

WALAUPUN kadar vaksinasi Covid-19 populasi dewasa di Lembah Klang melebihi 100% tetapi aktivis dan politikus memberi amaran yang gelandangan di kawasan tersebut masih tercicir dalam usaha vaksinasi negara. 

Kebimbangan ini menyebabkan mereka mendesak penubuhan segera pasukan tindakan khas bagi mengenalpasti dan membuat tindakan susulan melibatkan kumpulan gelandangan.

Mereka juga mempersoalkan keputusan kerajaan menutup beberapa pusat vaksinasi yang menyebabkan gelandangan tidak mengetahui ke mana mereka harus pergi untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Nurul Fitrah Merican, penyelaras Dapur Jalanan KL berkata gelandangan bersedia menerima vaksin tetapi memerlukan bantuan berkaitan panggilan temujanji, tarikh dan pengangkutan ke pusat vaksinasi.

“Kami membantu mereka mendaftar vaksin pada Mac. Pada masa itu, mereka agak bimbang (tentang vaksin), tetapi semua orang perlu divaksin jadi mereka bersetuju,” katanya.

Bagaimanapun, bukan semua berjaya mendapatkan suntikan vaksin kerana ada sebilangan yang kehilangan MyKad dan ada juga yang berpandangan pusat vaksinasi terlalu jauh, kata Fitrah.

“Keseluruhannya, ramai yang mahu dapatkan vaksin, ramai yang berhubungan dengan kami adalah kumpulan miskin bandar dan warga emas. Mereka dapat vaksin awal apabila program vaksinasi baru bermula.

“Kalaulah kerajaan benarkan (vaksinasi) daftar masuk sejak dari awal lagi, memang bagus.”

Katanya, ramai gelandagan tidak mempunyai MyKad dan memburukkan keadaan, ada pusat vaksinasi tidak tahu bagaimana hendak mengendalikan kes sebegitu ketika program vaksinasi baharu bermula.

“Ditambah pula dengan keputusan kerajaan untuk mengubah prosedur vaksinasi dan menutup pusat vaksinasi, ia menjadi sangat mengelirukan.”

Fitrah berkata pada mulanya mereka mengatur supaya gelandangan dan miskin bandar mendapat vaksin di Rumah Prihatin di Hotel Grand Seasons Kuala Lumpur tetapi pusat itu ditutup sebelum dos kedua diberikan.

Mereka yang sudah mendapat dos pertama kini keliru kerana mereka tidak sedar yang lokasi dos kedua sudah dipindahkan.

“Ada yang tidak dapat dos kedua tepat pada masanya kerana mereka tak pergi. Tetapi setakat ini, kebanyakan mereka sudah divaksin penuh.”

Pada mulanya, hanya Pusat Vaksinasi Bukit Jalil bersedia menguruskan vaksinasi kumpulan tanpa MyKad dan petugas di sana sedar dan faham kebanyakan gelandangan dan miskin bandar tidak mempunyai telefon bimbit dan menguruskannya sesuai dengan keperluan kumpulan itu, tambah Fitrah.

Katanya lagi, ada juga yang mendapatkan dos pertama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) kini perlu pergi ke Bukit Jalil untuk dos kedua.

Beliau kini membantu mereka yang perlu ke Bukit Jalil kerana kebanyakan pusat vaksinasi di tengah ibu kota sudah ditutup sejak 16 September lalu. – 25 September, 2021.




TUA MUDA

MISKIN KAYA

AMIN

TIDUR DI ISTANA

TIDUR DI JALAN

AMIN

JANTAN SIDA

GAY PONDAN

AMIN

ADA  DUIT

TAKDA DUIT

AMIN

CHINA MELAYU

INDIA JAMBI  

KADAZAN JAWA

AMIN

PENDATANG HALAL

PENDATANG HARAM

AMIN

WARGA

PENDATANG

AMIN

SEMUA WAJIB

DAPAT SUNTIKAN

TANPA DISKRIMINASI

UNTUK 

KESELAMATAN

BERSAMA

AMIN

Tiada ulasan: