Kampung Batu Serambai jauhnya tiga batu dari pekan Kuala Klawang. Terletak di jalan utama Jelebu ke Seremban. Ini kampung Melayu tradisional. Ekonomi utamanya getah dan sawah padi. Buah-buahan dan barang hutan juga menjadi punca duit pencarian tapi bermusim.
Kampung ini diairi oleh batang Klawang berpunca dari curahan air terjun Jeram Toi. Jeram ini terletak di bahagian pergunungan akhir kaki Banjaran Titiwangsa .
Di tebing kiri dan kanan sungai ini adalah lembah sawah padi yang subur. Aliran air sungai menjadi tulang belakang bukan saja Batu Serambai malah di seluruh Jelebu.
Sawah di tebing kiri dan kanan sungai ini mewujud perkampungan. Pekan Kuala Klawang itu sendiri sebahagian darinya dipagari oleh sawah. Kuala Klawang - pekan ini terletak di tanah subur pertemuan dua sungai - Sungai Klawang dan Sungai Gagu.
Dari kajian ilmu alam - Jelebu adalah lembah gaung yang dikelilingi oleh bukit bukau di kaki Banjaran Titiwangsa. Ini menjadikan Jelebu daerah yang paling kering di Malaysia.
Bila aku pindah dari pekan Kuala Klawang ke Batu Serambai pada tahun 1959 aku merasa tidak janggal. Aku belum menjadi budak pekan yang tegar. Empat tahun tinggal di Kuala Klawang tidak menjadikan aku budak pekan.
Sungai dan sawah Batu Serambai menyambut aku. Di hadapan rumah guru Sekolah Umum Batu Serambai ialah sawah yang luas terbentang. Buka pintu depan rumah aku – yang kelihatan ialah sawah terbentang.
Dalam jenjang sawah ini ada lubuk dan lopak air yang dipenuhi dengan ikan. Sungai menjadi pusat orang kampung mencari ikan. Laluan anak-anak air dan aliran bonda – laluan air ke sawah - menjadi wilayah yang didiami oleh ikan.
Masih cerah lagi dalam ingatan aku pada pagi Sabtu itu Abang aku telah berjaya mendapat empat ekor ikan Nil nama asal Talipia. Pagi cuti sekolah itu aku dan Abang aku telah memancing di tepi lubuk limpahan kolam ikan yang dimiliki oleh Haji Shamsuddin.
Kolam ikan ini berpagar. Abang aku dan aku memancing di luar pagar di tepi pembetung laluan air dari kolam.
Kolam ikan ini terletak tidak jauh dari sekolah dan rumah kami. Haji Shamsuddin memelihara ikan Nil. Ketika hujan lebat air kolam melimpah maka ada ikan-ikan peliharaan akan menerobos lari masuk ke dalam anak sungai.
Inilah ikan yang berjaya dipancing oleh Abang aku pada pagi itu. Aku tak dapat ikan. Aku hanya tumpang glamor bila aku buka cerita pada kawan-kawan tentang tertangkapnya empat ekor ikan Nil.
Memancing sebenarnya adakah perkataan yang generik yang memberi pengertian menangkap ikan. Aku budak kampung memiliki banyak perkataan yang lebih tepat untuk menggambarkan perbuatan menangkap ikan.
Kalau Arab memiliki berbelas-belas perkataan untuk menerangkan apa itu unta – aku budak kampung juga memiliki berbelas-belas perkataan untuk menerangkan perbuatan menangkap ikan.
Memancing hanya satu kata yang umum. Memancing sama maknanya dengan mengail. Ertinya menangkap ikan dengan tali kail yang ada umpan. Memancing menggunakan joran.
Hendak menangkap ikan ini ada pelbagai cara dan teknik.
Menjala menggunakan jaringan jala yang dianyam khas dari benang. Jala ditebari ke dalam kolam atau lubuk atau sungai. Menjala memerlukan kawasan air yang luas. Terbaik air kolam atau lubuk yang tenang. Juga wajib memiliki kebijaksanaan teknik dan tenaga untuk menebar jala.
Bukan semua orang boleh menjala. Budak-budak tidak ada keupayaan untuk menjala. Aku sendiri tidak pernah berjaya menebar jalan.
Melukah – memasang lukah - perangkap ikan yang di buat dari buluh. Lukah dipasang pada laluan air yang deras. Ikan yang berjalan ke hilir akan masuk ke dalam lukah. Sama seperti yang dilakukan oleh Badang untuk mendapat bayak ikan yang akhiri dicuri makan oleh hantu.
Menajur memasang mata pancing dalam kolam , tasik atau paya. Pancing tajur berjoran akan ditinggalkan untuk beberapa jam atau sehari sebelum di pungut kembali.
Mengail cucuk – memasang sebanyak mungkin mata pancing pada joran yang pendek. Mata kail diikat pendek pada joran kemudian dicucukkan ke tepi tebing sungai. Esok paginya baru di pungut kembali untuk melihat rezeki.
Mengotek menggunakan anak katak sebagai umpan. Mengotek ini khusus untuk menangkap ikan haruan.
Menjaring menggunakan jaring serkap yang di buat dari dawai pagar halus. Menukul menggunakan jaring benang yang diangkat dengan hulu buluh.
Menangguk menggunakan tangguk yang dianyam dari buluh. Tangguk ini membantu untuk menangkap ikan ketika menimba kolam atau lubuk.
Menimba – mengeluarkan air dari kolam atau lubuk untuk menangkap ikan. Bila air telah ditimba maka aku mula menggecar. Ini untuk mencari dan menangkap ikan dengan tangan atau tangguk dalam lopak sawah , lubuk atau kawasan paya yang airnya cetak atau hanya berlumpur.
Menyuluh – ini sama seperti mencari kancil dan landak d waktu malam. Menyuluh menggunakan lampu picit.
Kalau menyuluh kancil pemburu membawa senapang. Ketika menyuluh ikan aku membawa parang panjang. Nampak saja ikan yang terapung tidur di waktu malam aku akan libas dengan parang. Biasanya hasil menyuluh semua ikan terluka badan atau terputus dua.
Menjeramak menangkap ikan menggunakan jala kecil. Tangan meraba-raba di tepi tebing sungai sambil jeramak menunggu ikan yang telah diganggu dan cuba melarikan diri.
Lopak sawah , lubuk dan sungai mengenalkan aku dengan ikan. Aku kenal rupa tilan, sepat , haruan, sembilang, puyu, baung, keli, limbat dan sebarau.
Malah dari kecik lagi aku telah mengenal ikan karin. Ini ikan yang kecik yang akan mengembangkan sirip yang berwarna warni untuk berlaga. Atau mengembangkan sirip bila berhadapan dengan cermin. Tahap disedari yang dilihat bukan musuh tapi diri sendiri.
Seronok memang seronok. Inilah budaya ikan yang membesarkan aku ketika di Batu Serambai.
Ketika itu ada juga aku mendengar ada Si Polan Si Polan dari Kampung Hulu Sana dan Hilir Sini telah berjaya menangkap banyak ikan dengan menggunakan bom letupan.
Aku tertarik dengan kesah mengebom ikan. Lalu aku merisik cara membuat bom ikan.
Aku wajib membeli mercun sebanyak yang mungkin. Buka kertas mercun dan keluar dan kumpulkan semua belerang mercun. Masukkan belerang sepadat mungkin ke dalam buluh atau batang besi paip. Kemudian pasang sumbu pada besi paip ini. Bakar sumbu dan sebelum meletup balingkan bom ini ke dalam tasik, sungai atau kolam.
Air dalam kolam akan meledak. Ikan akan dipukul oleh ledakan air. Ikan mati terapung menunggu bakul untuk dipungut.
Aku menjadi berahi dengan cerita bom ikan ini. Lalu aku mencuba. Tapi gagal meleset. Aku tidak memiliki besi paip. Aku gunakan buluh. Aku juga tidak memiliki modal yang lumayan untuk membeli mercun sebanyak yang mungkin. Lima papan mercun tidak mencukupi untuk mengisi ke dalam buluh. Tapi aku telah mencuba.
Kekecewaan dan kegagalan aku diredakan apabila aku mendengar tentang bahaya ‘tangan putus’ akibat dari bom ikan. Kesah ini menakutkan aku.
Tapi ada satu lagi cara menangkap ikan : dengan tuba.
Aku ada membaca pesta menuba ikan dari akhbar Jawi Utusan Melayu. Dari apa yang aku baca Sultan Pahang selalu mengadakan pesta menuba ikan ketika menyambut hari jadi.
Sultan menuba ikan di Sungai Pahang. Siang menuba ikan. Waktu malam Sultan bersama orang kampung kenduri berjoget bertandak merayakan hari jadi Sultan.
Aku hanya mendengar surah. Aku berangan-angan alangkah indahnya jika aku ini anak Pahang yang tinggal ditebing Sungai Pahang. Boleh aku tumpang sekaki.
Hakikatnya aku tak pernah melihat atau mengalami pesta menuba ikan ini. Yang aku lihat hanya gambar Sultan Pahang berdiri di atas perahu dalam Sungai Pahang bersama orang kampung.
Tentang menuba ikan ini aku ada satu rahsia. Tak pernah aku surahkan rahsia ini. Aku merasa takut untuk bercerita. Tapi kali ini satelah beberapa kali aku fikirkan maka aku memberanikan hati untuk membuka rahsia ini. Kesah ini belum pernah aku buka untuk sesiapa pun.
Rahsia ini bermula begini : Di hadapan rumah Raja Husin ada kawasan tanaman getah. Dalam kebun getah ini ada sekelompok tuba hidup menjalar. Tuba ini bukan pokok kayu yang meninggi. Ianya tumbuhan rendah. Tuba macam keledek berakar menjalar di atas bumi. Akar inilah yang mengeluar getah tuba.
Sebenarnya aku tak kenal tuba ini. Raja Musa anak Raja Husin memberi tahu dan mengenalkan cara dan teknik menuba ikan. Musa mendapat ilmu mengenal tuba ini dari ayahanda Raja Husin.
‘ Sam... ambek akar tuba ni... tumbuk dan masukan dalam lubuk...ikan akan mati...’ Musa mengajar aku.
‘ Betul ke?...’ Aku seperti biasa ingin mencuba apa saja. Cara menuba ikan ini yang aku dengar dari mulut Musa aku rasakan amat senang.
Satu pagi di waktu cuti sekolah aku telah membawa parang untuk mengali akar tuba. Musa telah datang bersama. Pagi itu kami hanya berdua. Aku merasa selesa kerana kalau ramai yang ikut selalunya tidak projek tidak berjaya.
Aku menggali dan memotong akar-akar tuba. Satelah dikumpulkan mengikut arahan Musa aku mula mengetuk dan memecahkan akar ini.
‘ Cukup ke banyak ini...’ Aku mahu penjelasan satelah aku mengetuk akar ini dengan batu.
‘ Lagi banyak ... lagi baik.. lumat-lumat...’ Musa menerangkan. Anak Raja Husin ini memberi arahan.
‘ Lebih baik kita ketuk akar ni... kek bonda ... lagi copek lagi sonang.....’ Aku mengikat gumpalan bakar tuba yang aku kumpulkan.
Kemudian kami bergerak menuju ke bonda. Bonda ini lorat orang Negori. Bonda ialah laluan air buatan manusia. Di buat khusus untuk menerima air sungai yang dialirkan dari empangan batu. Talian air bonda amat penting sawah. Tanpa air keluar dan masuk dari bonda sawah tidak dapat diusahakan.
Ketika Musa dan aku sampai ke tepi sawah air dalam bonda kurang. Air tidak mengalir. Aku tahu - Ini bermakna empangan batu di hulu telah dibuka. Air sungai tak masuk ke dalam bonda.
Aku melihat air bonda bertakung. Di beberapa tempat kelihatan lebih dalam seperti lubuk. Bila aku nampak ini aku gembira. Pada hemat aku di lubuk ini akan kami tuba.
Aku terus mengetuk semua akar tuba dengan batu. Kemudian aku mencari satu lubuk dimana aku lihat airnya lebih hitam dari yang lain. Maknanya air amat dalam dan banyak ikan.
Aku membalingkan akar tuba ke lubuk ini.
Kemudian aku dan Musa menunggu ditebing. Kami berpandangan. Tak ada apa berlaku. Kami menunggu lagi. Aku nampak ada kocakan air. Tapi tidak ada ikan kena tuba mengapung, meloncat mencari udara atau menggelepar seperti cerita-cerita yang selalu aku dengar.
Aku dan Musa duduk tepi tebing menunggu dengan harapan tuba kami akan menjadi. Gagal. Seekor ikan pun tak mati kena tuba kami. Lalu kami pulang.
Projek gagal ini tidak akan aku ceritakan kepada sesiapa pun. Kalau kami berjaya pasti aku dengan bangga akan menghebohkan kejayaan. Dengan tokok tambah untuk menaikkan derajat kejayaan kami. Kerana gagal maka aku senyap membisu.
Kegagalan anak yatim piatu. Kejayaan – walau pun anak haram – akan menjemput ramai yang bersedia untuk menjadi ayah dan ibu. Ini sifat manusia. Aku dan Musa senyap membisu.
Waktu berjalan. Hari bertukar.
Di sebelah hilir kampung Batu Serambai ada seorang guru pencen bernama Cik Gu Maarof. Di belakang rumahnya ialah bonda dan sawah. Cik Gu pencen ini juga dianggap dukun - dukun kampung. Cik Gu Maarof ini setiap pagi menghantar kuih untuk dijual di kedai Mak Cik Jarah.
Kuih muih Melayu – kuih gelang, kuih lepat ubi, kuih gulung – semua untuk pelanggan kedai kopi Mak Cik Jarah.
Di waktu petang Cik Gu Maarof akan datang sekali lagi untuk melihat apa yang terjual. Aku tidak tahu apa perjanjian Cik Gu Maarof dengan Mak Cik Jarah.
Seminggu satelah projek tuba aku gagal aku telah datang untuk membeli kuih di kedai Mak Cik Jarah.
Dalam kedai aku ternampak ada beberapa pelanggan sedang minum teh dan membaca akhbar. Aku nampak Baba, Chu Solat dan Ujang sedang minum teh.
Ketika ini juga Cik Gu Maarof datang untuk melihat berapa kuihnya telah terjual.
‘ Tak tahu apa jadi ... potang marin itik kito mati.. tibo tibo... bukan seko... tujuh eko... mati dalam bonda...’ Cik Gu Maarof berkata dengan kuat tapai tidak ditujukan kepada sesiapa.
‘ Mati macam mano?.’ Suara Chu Solat bertanya.
‘ Itik ni main .. mandi mandi bilo kepalo air sampai...air bonda baru nak pasang... itik nyudu sano sini tetibo ... ngolopor... lopeh itu mati... tergelimpang...kono hantu air apo ....’ Cik Gu Maarof memberi penerangan dan meminta dapat penjelasan.
Aku memasang telinga. Tangan kiri aku menggenggam kuih kacang buatan isteri Cik Gu Maarof.
‘ Sompek semboleh ko tak... ‘ Ujang bertanya.
‘ Dah mati.... tak sompek sombolih..’ Jelas Cik Gu Maarof
‘ Kepala air ni... kok ada racun ke...’ Chu Solat bertanya sambil memberi penerangan.
Bila aku mendengar perkataan racun aku menjadi takut. Aku tahu apa yang telah berlaku.
‘ Berapo eko mati.... Cik Gu... kono racunlaaa tu...’ Baba meletakkan akhbar untuk campur sama dalam perbualan.
‘ Tujuh eko... yang lain masuk ke bonda kemudian... tak jadi apo... yang main kepalo air tu yang mati...’ Cik Gu maarof memberi penjelasan.
Dada aku kembang kempis. Aku betul betul takut. Apakah mereka aku tahu tentang projek tuba aku. Ikan tak mati tapi itik yang mati.
Aku menapak perlahan-lahan. Aku berundur dari kedai Mak Cik Jarah dalam ketakutan.
Aku tak buka mulut kepada sesiapa pun. Aku takut jika aku beri tahu Musa apa yang aku dengar maka cerita itik mati ini akan terbarai.
Rahsia hanya akan selamat jika tidak diceritakan kepada sesiapa pun. Amin. (TT)