Aku bersiul senang hati kerana akhirnya aku sampai ke Singapura. Duduk di Geylang. Berkawan dengan Anuar anak Pak Long Sani yang sebaya dengan aku. Malah nama dia sama macam nama abang aku.
‘ Kita orang Geylang... bukan Tempinis... bukan Bedok...bukan Changi....kita orang geng Geylang... kita lagi hebat ... dari dia orang...’ Anuar dengan lorat Singapura berbangga menyebut beberapa nama kampung Melayu di Singapura ini.
Semuanya nama-nama ini aku tak tahu dan tak pernah dengar. Yang selalu aku dengar di radio dalam program permintaan lagu ialah nama Hospital Kandang Kerbau. Banyak lagu permintaan ditujukan kepada ibu yang dalam rawatan di hospital ini untuk melahirkan anak.
Awalnya aku agak malu bercakap lorat Nogoree. Tapi akhirnya aku tak segan dan terus bercakap lorat Nogoree. Hanya aku tidak mengguna ganti nama ese , eden dan doyan. Hakikatnya aku di Singapura tapi lorat Nogoree aku masih pekat. Tak mungkin aku akan berubah.
Anuar membawa aku merayau-rayau di sekitar kawasan rumahnya. Aku perhatikan Geylang adalah kampung Melayu. Aku terperanjat bila melihat rumah yang amat rapat sekali. Rumah pun bukan besar sangat. Tidak selumayan rumah di Kampung Tengkek.
‘ Pasal apa bawah rumah ado pagar.... ado kotak...roban ayam ko ..’ Aku bertanya.
‘ Ohhh... dia orang sewa bawah rumah... itu bukan kotak ayam... itu bilik ... atas rumah besar tuan duduk.. bawah rumah dia orang sewa buat tempat tidur... ‘ Anuar memberi penjelasan.
Aku hairan. Tak pernah aku lihat kampung Melayu begini miskin – bawah rumah ada rumah. Bawah rumah ada orang tidur. Bawah rumah pun jadi rumah sewa.
Kami melintasi sederet pendek kedai China. Aku lihat tak jauh bezanya dengan kedai China di pekan Kuala Klawang. Aku nampak ada papan iklan wayang.
‘ Ado panggung ko wayang kek sini? ‘ Aku bertanya.
‘ Ada dalam pekan .. jauh dari rumah ... kita orang kalau nak nonton filem...gambar Melayu... kita orang pergi ke sana...’ Anuar menggunakan perkataan filem dan gambar Melayu dan bukan nengok wayang.
Di kaki lima kedai aku ternampak terlantar beberapa helai getah gelang, Aku ambil. Aku nampak satu lagi. Aku ambil lagi.
‘ Kamu hendak buat apa dengan getah ini..’ Anuar bertanya hairan.
‘ Ekao tak main gotah .. tak main gotah ko kek sini ..’ Aku menjawab dengan bertanya.
‘ Main macam mana? Anuar hairan.
Jawapan Anuar ini menjadikan aku lagi hairan kenapa budak-budak di Singapura tidak tahu main getah.
Semenjak petang itu mata aku terus memerhati ke jalan, ke tepi longkang, ke kali lima kedai – mata aku mencari getah. Aku mula memungut dan mengumpul getah gelang. Di lengan kiri aku telah ada gelang getah berwarna warni
Aku anggap Singapura ini kaya sekali. Getah gelang boleh dipungut di tepi jalan. Di Kuala Klawang kalau aku hendak main getah aku perlu membeli dari kedai China 5 sen untuk 35 helai.
Di rumah Pak Long Sani seperti ada jadual .Di waktu pagi Mak, Kak Lang dan Mak Long Sani akan ke pasar. Kemudian mereka bersama-sama memasak. Kami makan tengah dan malam di rumah.
Di hari ke dua aku terdengar Emak aku dan Mak Long Sani berbual. Mereka menyebut beberapa nama.
‘ Kamu Zaleha... kamu datang jauh wajib lawat Makam Habib Noh... kamu guru sekolah wajib bawa anak-anak lihat Sekolah Gambar... kalau kamu ada masa pergi lawat How Par Villa... Si Budin tu pandai memandu.. kamu tidak akan sesat...’ Mak Long Sani memberi cadangan.
Kami anak beranak dari kampung hanya mendengar surah orang Singapura. Tidak ada satu pun nama-nama yang dicadangkan oleh Mal Long Sani terpasak dalam ingatan aku. Semuanya baru aku dengar.
Pengetahuan aku tentang Singapura hanya melalui lagu R. Azmi. Aku hairan kenapa Mak Long tidak menyebut Jambatan Merdeka. Tidak menyebut Happy World. Hanya R. Azmi yang menyebut nama-nama ini.
‘ Laki Wold , Happi Wold... ni apa ? Aku bertanya kepada Anuar.
‘ Mana kamu tahu ?’
‘ Dengar dari lagu R. Azmi...’ Aku menjawab.
‘ Taman hiburan... ada joget.. ada judi..ada musik.. seronok disana... inang inang... tari menari... suka berjoget...’ Anuar menerangkan sambil bertanya.
Mata aku terbuka. Belum pernah aku mendengar tempat semeriah ini. Joget. Aku ada melihat orang berjoget ketika kenduri kahwin. Di Kampung Tengkek joget dipanggil bertandak.
‘ Minta pada Ayah kamu.. pergi waktu malam...’
Aku senyap tidak menjawab. Aku sedar bahawa Anuar tak tahu bahawa Abah aku ini lulusan dari Gunung Semanggul. Mustahil dia akan membawa kami semua ke pusat hiburan.
Hari Ketiga kami pergi mencari Wan Timah aku. Dia tinggal dengan Tok Sheikh di Arab Street. Ini rumah kedai. Bilik belakang telah dipetak-petakan untuk menjadi bilik kecil cukup untuk sebilik dua orang. Pak Cik Barau dan isterinya menginap di rumah Tok Sheikh yang sama.
Selain dari rombongan dari Jelebu aku nampak ada lagi beberapa pasang bakal haji yang lain. Semuanya sebaya dengan Tok Wan Timah aku. Umur telah melintasi 60 tahun. Aku tidak tahu dari mana asal usul mereka.
Emak aku bercerita ada juga ada bakal haji dari Sumatera yang datang Ke Singapura untuk mengambil kapal haji di Singapura. Tak perlu pergi ke Jakarta, Datang ke Singapura lagi dekat.
Tarikh belayar telah diketahui. Lagi satu minggu kapal akan sampai. Wan Timah, Pak Cik Barau dan Isterinya aku nampak semuanya dalam keadaan bersedia. Semua memegang tasbih di tangan.
‘ Ada apa-apa lagi yang perlu...’ Ayah aku bertanya kepada ketiga-tiga bakal haji dari Kampung Chenor.
‘ Kok ada ikan masin disini boleh tambah...’ Wan aku memberi cadangan.
Pergi ke haji ini wajib ada persediaan. Bawa beras, ikan kering, daging salai, rempah rampai, gula kopi untuk makan dalam perjalanan. Dalam kapal bakal haji boleh memasak dengan dapur semawar.
Wan Timah aku juga ada membawa kaca mata hitam. Ini mengikut kesah yang didengar - kaca mata hitam ini perlu untuk tutup mata ketika menyeberang padang pasir yang hangat dengan cahaya mata hari.
‘ Nanti saya cari ikan kering tu.....’ Abah aku memberi pengakuan kepada Emaknya.
Dalam kereta ketika nak mencari kedai jual ikan kering Emak dan Abah berbual tentang kain baju di Singapura yang harganya murah. Ini kerana Singapura mengamalkan bebas cukai.
Esoknya kami keluar awal. Aku nampak Abah dan Emak aku ada rancangan khas. Cara mereka berbual aku rasa ada satu yang menarik akan berlaku.
Betul. Emak dan Abah aku masuk ke kedai kain baju. Mak aku membeli kain batik Jawa, kain batik lepas, dan kain pelekat Cap Gajah. Banyak juga mereka membeli. Anak-anak hanya mengekor.
‘ Semua ini kena basuh dulu.. jemur kering...’ Emak aku memberi penerangan kepada Kakak aku.
‘ Tak pakai lagi.. basuh buat apa? Aku bertanya.
‘ Nak jadikan macam sudah dipakai... nanti kastam buka beg di lihat kain baju ini macam kain lama... kita tak payah bayar cukai...kita bukan nak meniaga..’ Cik Gu Zaleha menerangkan kepada anak muridnya.
Dari deretan kedai kain baju Abah aku terjumpa kedai tukang jahit. Kemudian aku perhatikan tukang jahit China mengukur kaki Abah aku. Kemudian Uda Budin pun ikut sama.
‘ Cepat betul di Singapura ini.... boleh siap dalam lima hari...’ Abah aku dan Uda Budin keluar dari kedai jahit dengan gembira kerana sempat menempah seluar. Kami anak-anak hanya mengekor.
‘ Budin... kita pusing-pusing ... rayau rayau tepi laut.. kita tengok pantai.... ‘ Ayah aku meminta Uda Budin membawa kami bersiar-siar.
Kami masuk ke dalam pekan kemudian sampai ke jalan di tepi laut.
‘ Inilah dia Jambatan Merdeka...’ Emak aku bersuara ketika kereta kami naik atas jambatan. Aku ternampak ada patung singa di atas batu.
‘ Inilah dia patung singa... Sang Nila Utama beri nama pulau ini Singapura...nama asal pulau Temasik...’ Cik Gu Zaleha membeli kuliah sejarah.
Mata aku memandang keluar untuk melihat kali terakhir patung singa itu.
‘ Bang... lopeh ni ke mano kito.. ado apo laiee nak nengok....’ Pak Uda Budin bertanya kepada Abah aku.
‘ Kito pergi lawat Makam Habib Noh...’
Kereta kami sampai. Uda Budin meletakan kereta di bawah bukit. Kemudian kami naik ke bukit. Aku tak tahu apa yang berlaku. Aku nampak ada bangunan macam potongan masjid tapi kecil.
Kami anak beranak mendaki naik tangga. Ramai juga keluarga Melayu yang sama naik tangga dengan kami. Di bahagian atas kami masuk ke dalam bilik. Tidak ada siapa yang bersuara. Semua sepi. Di tengah bilik ini ada kubur bersimen dan dibaluti kain hijau dengan tulisan Jawi. Aku belum pernah melihat kubu Melayu bersimen macam ini.
Bilik ini ada bau kemenyan dan ada bau bunga rampai. Aku ternampak ramai orang menampung tangan berdoa di hadapan kubur. Aku sebenarnya tak faham apa yang sedang berlaku dihadapkan mata aku. Aku hanya mengekor Emak dan Abah aku.
Turun dari tangga aku lihat ada beberapa orang minta sedekah. Mereka macam orang India miskin tapi ibu India ini memakai kain tudung. Ada juga kanak-kanak sebaya dengan aku berdiri meminta sedekah.
China Apek dan nyonya juga ada berdiri di tepi tangga meminta sedekah.
‘ Kubo apa ini Mak..’ Aku bertanya.
‘ Ini makam keramat Habib Noh... orang alim... wali... orang nak naik haji semua akan datang ziarah makam ini dulu.... sebelum ke Mekah... ‘ Emak aku memberi penjelasan.
‘ Kubur atas bukit...’ Aku mahu kepastian.
‘ Sebelah sana itu masjid... Masjid Salleh.... kawan baik Habib..’ Abah aku mencelah memberi penerangan.
Aku merasa bangga kerana telah sampai ke kubur wali keramat. Aku tidak sabar nak buka cerita kubur keramat ini kepada kawan-kawan di sekolah.
Ketika di makam Habib Noh mata aku tidak mencari-cari getah gelang di tangga atau di jalan raya. Aku takut juga dengan kubur keramat ini.
Esoknya lepas makan tengah hari kami sekali lagi pergi ke rumah Tok Sheikh. Ayah aku nak menyampaikan ikan kering kepada Wan Timah
Dari sana Uda Budin membawa kami ke sekolah gambar. Aku tak faham apa dia sekolah gambar ini. Aku tak tahu apa yang menarik dalam sekolah gambar ini.
Di pintu besar aku nampak ada patung jantan berdiri tegak. Entah patung siapa aku tak tahu. Aku nampak lagi patung singa batu.
Masuk dalam bangunan ada macam macam barang -barang. Barang-barang ini tidak pernah aku nampak dijual di kedai. Semuanya dalam kaca.
Aku yang masih rendah agak susah juga nak melihat apa yang sedang di pamerkan.
Tertiba aku teringat . ‘ Di sekolah gambar Singapura ada patung batu... jantan dan betina kena sumpah jadi batu... mereka sedang berancuk... betina ini bini orang...’ Aku terlupa ini surah siapa dan di mana aku terdengar. Ini pastilah aku dengar ketika aku memasang telinga mendengar orang dewasa berlabun. Isinya cerah dalam ingatan aku.
Lalu aku membuka mata mencari-cari patung jantan dan betina ini. Gagal. Aku rasa letih bosan dan sekolah gambar ini tidak menarik. Aku tak faham kenapa Mak Long Sani mencadangkan Cik Gu Zaleha membawa anak-anaknya ke sekolah gambar.
Pulang dari sekolah gambar orang dewasa berehat . Aku masih ingin merayau-rayau. Mana tahu ada nasib terjumpa getah. Dalam hitungan aku telah memiliki 53 helai getah gelang. Jika mata rajin mencari mungkin boleh jadi seratus.
Maka petang itu Anuar dan aku merayu lagi. Kami melintasi deretan kedai yang tidak jauh dari rumah kami. Mata mencari-cari getah. Tertiba mata aku ternampak tiga orang gadis Melayu. Mereka sedang menunggu bas. Entah hendak ke mana – aku tidak tahu.
Wow! Moden. Gadis Melayu moden ranggi langsing bergincu. Di Jelebu tak pernah aku nampak Minah secantik ini.
Hah! Kepala aku tergambar radio. Aku teringat R. Azmi. Akhirnya aku berjaya bertemu dengan Nona Singapura di Geylang.
Macam itik pulang petang dia jalan melenggang Bibirnya merah bak delima merekah
Kain tinggi sebelah betisnya membayang
Itu dia Nona Singapura
Bajunya jarang hai ketat di pinggang
Bunga di depan bunga di belakang
Pinggang ramping diikat keras-keras
Sampai susah bernafas
Rambut hitam ikal mayang kerinting palsu
Menggerbang pakai sepatu asal dari kayu
Tas tangan plastik tersangkut dibahu
Itu dia nona Singapura
Tudung pelangi hai tak pakai lagi
Bajunya basah mandi air wangi
Orang kata semua tolak tepi
Asal senang di hati
‘ R.Azmi yang menyanyi tu... rumah dio kek mano ? ‘ Soalan budak kampung kepada budak pekan.
‘ Dia orang... anak wayang... orang filem.. bukan di Geylang.. dia orang tinggal di Jalan Ampas....’ Perbualan tamat.
Dua hari aku gagal menemui getah gelang. Di makam Habib Noh gagal. Di sekolah gambar gagal. Petang ini pun gagal sekali lagi. Tapi aku tersenyum senang hati kerana aku dapat melihat Nona Singapura. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/07/21/nona-singapura/