Pertikaian Petronas-Petros Jejas Industri Minyak Negara, Dakwa Muhyiddin
KUALA LUMPUR, 11 Jun 25 – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendakwa pertikaian hak pengedaran gas di Sarawak antara Petronas dan syarikat minyak negeri itu, Petros memberi kesan kepada keseluruhan industri minyak dan gas di negara.
Presiden Bersatu itu berkata, disebabkan pertikaian itu, Petronas lewat memulakan kerja eksplorasi yang menyumbang kepada penyusutan pendapatan syarikat.
“Selain itu, pertikaian antara Petronas dan Petros berhubunghak pengedaran gas di Sarawak yang belum selesai bukan sahaja menjejaskan pendapatan Petronas, malah turut memberi kesan kepada keseluruhan industri minyak dan gas di negara ini.
“Menurut laporan akhbar The Edge pada 2 Jun 2025, beberapa syarikat minyak dan gas di negara ini telah mencatatkan penyusutan pendapatan atau kerugian pada suku pertama 2025.
“Antara sebab utamanya ialah pengurangan penggunaan vesel dan kelewatan Petronas memulakan kerja-kerja eksplorasi akibat pertikaiannya dengan Petros,” kata Muhyiddin, dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan Muhyiddin hampir seminggu selepas isu Petronas dijangka mengurangkan kira-kira 5,000 tenaga kerjanya disebabkan ketidaktentuan ekonomi dan penyusutan hasil syarikat tercetus.
Muhyiddin juga mencadangkan kerajaan untuk membentangkan pelan kelestarian Petronas dan hala tuju industri minyak dan gas negara dalam kadar segera.
“Sekiranya keadaan ini berterusan, bukan sahaja Petronas dan pekerjanya yang berhadapan keadaan yang tidak menentu, malah keseluruhan syarikat dan pekerja yang terlibat dalam industri minyak dan gas negara akan terjejas.
“Pada masa ini terdapat 70,000 pekerja yang terlibat dalam industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas di Malaysia.
“Sebagai syarikat milik negara yang menyumbang sejumlah dividen yang besar kepada kerajaan dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, kepentingan Petronas dan pekerjanya mesti sentiasa dilindungi oleh kerajaan,” katanya.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, Petronas wajar melaksanakan proses pemberhentian kakitangan terlibat secara berperingkat selepas mereka dilatih dan kehidupan mereka agak terjamin.
Katanya, kumpulan pekerja itu perlu diberi latihan keusahawan dan bantuan modal untuk mereka menceburi bidang perniagaan yang sesuai dengan kelayakan dan kemahiran mereka.
“Dana-dana yang biasa digunakan untuk membantu usahawan-usahawan Bumiputera seharusnya digunakan untuk menolong mereka berdiri di atas kaki sendiri.
“Kerajaan harus bersama bertanggungjawab menangani isu ini,” kata Muhyiddin lagi. @politiko.my

Tetiba muncul? Mana hilang selama ini? Sihat dak ? Jangan buat lawak? Selama ini kemana? Kah kah kah dah kata bukan pemerintah kuat tetapi pembangkang semuanya nelayan petani pesawah kah kah kah baik diam saja tahap petani ikut dapat gaji elaun tetap pencen lagi syukur alhamdulillah selamat
BalasPadam