'Kami terpedaya kerana yakin mereka orang agama' - Mangsa tipu pakej haji
SEREMBAN: "Ustaz pembimbing yang tawarkan pakej ini terkenal di Batu Pahat. Kami pilih sebab penganjur berjaya meyakinkan peserta, lagi pun kami kenal penganjur kerana mereka ada sesi kelas agama di sana.
"Maklumat jadual perjalanan diberikan juga lengkap dan meyakinkan, malah diberitahu tahun lalu jemaah dapat masuk (Makkah) dan memaklumkan semuanya dalam keadaan okey, tiada masalah," kata seorang daripada mangsa kes penipuan pakej haji.
Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Syed, 63, berkata pihak terbabit turut menganjurkan dua kali kursus haji dengan terakhir pada Februari lalu.
"Dalam ceramah, beliau (pembimbing) tiada cerita langsung hal kesusahan, hanya bagi tahu mengenai kaedah mengerjakan Haji Tamatuk, jadi kita yakin perkara itu boleh dibuat5
"Mereka menggunakan atas nama madrasah, jadi kami anggap mereka semua orang baik-baik, yang membuatkan kami yakin," katanya kepada pemberita di Mantin, dekat sini, hari ini.
Syed antara tiga sekeluarga yang menjadi mangsa penipuan pakej berkenaan termasuk isterinya, Sharifah, 64, dengan kerugian sebanyak RM81,000 ($24,528), dengan setiap seorang membayar RM27,000.
Media sebelum ini melaporkan perjalanan 47 jemaah warga emas Malaysia untuk menunaikan haji bertukar mimpi ngeri apabila ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang ahli agama.
Jemaah terpedaya dengan janji manis mendakwa dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tidak mempunyai visa haji.
Mangsa yang rata-ratanya berusia lingkungan 60-an dan 70-an, termasuk pasangan suami isteri, meluahkan kekecewaan selepas menyedari niat menunaikan haji bertukar pengalaman mencemaskan akibat janji palsu dan kegagalan pihak ejen menyediakan laluan sah.
Syed berkata, jemaah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan tidak menyangka kena meredah bukit dan melalui semak serta kawasan kilang.
"Kita pun tak jangka situasi ini, kami tak terfikir akan berdepan situasi seperti itu dengan jemaah seramai 47 orang dipecahkan dalam beberapa kumpulan. Kumpulan saya ada tujuh orang. Situasi kami berbeza-beza, ada yang kena rentas lebuh raya, ada yang masuk kebun, redah bukit, macam saya ditinggalkan di belakang kilang," katanya.
Syed berkata, dalam perjalanan ke Makkah, kalangan kami ada yang naik kereta, bas dan lori dengan bantuan orang tempatan.
Katanya, terdapat kumpulan hanya membabitkan jemaah wanita sahaja menyebabkan jemaah lelaki tidak puas hati kerana faktor keselamatan.
"Semua jemaah dapat masuk ke apartmen di Makkah, tetapi terkurung selama 21 hari kerana tidak boleh meneruskan perjalanan ke Arafah selepas bas dinaiki diarah berpatah balik oleh Polis Arab Saudi kerana ketiadaan visa haji.
"Lebih menyulitkan, tiada liputan internet, malah kami dilepaskan begitu sahaja. Bayangkan jika teksi Arab Saudi tidak sampai dan kami dibiarkan... kita nak ke mana, apa lagi dalam keadaan cuaca panas 50 darjah Celsius.
"Kalau tahu awal kami akan menempuh pengalaman ngeri seperti ini, tawar RM10,000 pun kami tak mahu," katanya.
Sementara itu, adik ipar Syed, Nurlila, 57, mengakui masih trauma dengan kejadian yang dialaminya di Makkah.
Beliau berkata, ketika di Makkah, makanan jemaah dicatu dan kadang kala hanya makan nasi dengan telur manakala makan tengah hari jam 2.30 petang.
"Kadangkala makan pun terpaksa dalam keadaan gelap. Sarapan selalu dapat lempeng dan roti jam 7 pagi.
"Kita ditahan di dalam bilik dan tidak dibenarkan buka tingkap hanya berdoa berzikir dalam bilik. Semua jemaah kena akur jika tak buat nanti ada penjaga yang arah berbuat demikian," katanya.
Nurlila berkata, walaupun insiden itu berlaku terhadap dia dan ahli keluarganya, mereka tidak akan berputus asa untuk pergi menunaikan haji.
Sementara itu, mangsa yang dikenali sebagai Nura, 64, berkata mendakwa keadaan jemaah hanya baik dalam tempoh lima hari sebaik mereka ketika tiba di Madinah.
Bagaimanapun, katanya, situasi itu berubah apabila pergerakan untuk menuju ke Makkah terhalang disebabkan ketiadaan visa haji yang menyebabkan 47 jemaah dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi.
"Perjalanan lancar selama lima hari pertama di Madinah, namun mula menghadapi masalah besar ketika mahu memasuki Makkah.
"Perjalanan masuk ke Makkah dibuat secara sembunyi menggunakan laluan dalam bagi mengelak kawalan pihak berkuasa Arab Saudi, membuatkan situasi sukar yang tidak pernah kami jangkakan," katanya ketika ditemui.
Nura berkata, jemaah dibiarkan bergerak di padang pasir dalam keadaan cuaca panas mencecah 50 darjah Celsius yang bukan sahaja membahayakan keselamatan malah nyawa.
Katanya, situasi itu juga menyebabkan ada kalangan jemaah yang pengsan kerana kekurangan tenaga.
Setiba di apartmen di Makkah, katanya, jemaah diarah hanya duduk di dalam bilik tidak dibenarkan membuka tingkap, selain lampu kena padam seawal jam 7 malam.
"Ada jemaah yang sakit, batuk dan lemah tetapi hanya diberi sejadah dan disuruh anggap itu dugaan. Tiada rawatan sewajarnya diberikan," katanya yang kali pertama menunaikan haji dan memilih pakej itu kerana diberikan penerangan meyakinkan selain dikendalikan oleh individu dikenali.
Beliau mengakui lega selepas selamat tiba di tanah air dan menyifatkan peristiwa itu sukar dilupakan dalam hidupnya terutama perlu meredah padang pasir pada waktu malam selain makan dicatu.
Terdahulu, media melaporkan polis menahan suspek utama kes 47 jemaah warga emas ditipu pakej haji, dipercayai menggunakan kedudukannya sebagai ustaz serta pemilik sebuah madrasah untuk meraih kepercayaan mangsa.
Suspek berkenaan juga dikenal pasti sebagai individu yang menerima pembayaran terus daripada jemaah ke dalam akaun bank atas nama madrasah dikendalikannya.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, dilaporkan berkata, suspek utama itu antara dua lelaki yang kini ditahan bagi membantu siasatan berkait kes berkenaan.
Setakat ini, dua individu warga tempatan berusia 58 dan 59 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan, masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai.

Dah cakap banyak kali, tak mahu dengar jugak woit kah kah kah kerja tertua jual agama jual burit, settle semuanya kena tipu, sekarang kita di ambang perang dunia ketiga, cepat cari panglima perang kita, siapa panglima perang kita woit? Kah kah kah check semua enjin ada atau tidak? Takut terjual sampai di Brazil woit kah kah kah
BalasPadam