Jumaat, 26 September 2025
RAMPAS TANAH UNTUK PEMAJU
Isu pampasan, rumah: Penduduk Jinjang serah memo ketiga desak DBKL
Gabungan Persatuan Isu Pampasan dan Perumahan Jinjang Selatan Tambahan hari ini menyerahkan memorandum ketiga kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Mohd Sharif, menuntut penjelasan dan tindakan segera berhubung isu pampasan serta perumahan yang berlarutan sejak bertahun-tahun.
Setiausaha gabungan itu, Ameer Khan Bargathalli berkata memorandum itu mendesak pihak berkuasa menilai semula proses pemberian rumah dan pampasan kepada penduduk asal projek pembangunan yang bermula sejak 2013.
Menurutnya, banyak janji tidak ditunaikan, pampasan rendah ditawarkan, malah timbul kebimbangan bahawa penerima pampasan bukan daripada kalangan penduduk asal.
"Ini sudah kali ketiga memorandum diserahkan. Masih tiada tindakan konkrit daripada pihak DBKL.
“Kami hanya mahu keadilan bagi penduduk yang telah menetap di sini lebih 70 tahun," katanya kepada Malaysiakini selepas penyerahan memorandum itu di ibu pejabat DBKL.
Empat isu utama dibangkit
Dalam memorandum berkenaan, empat isu utama diketengahkan.
Ameer Khan menjelaskan seramai 67 pemegang Lesen Pendudukan Sementara (TOL) tidak menerima tawaran rumah percuma mahupun rumah gantian walaupun telah mendiami kawasan itu sejak tujuh dekad.
Isu itu turut melibatkan 43 pemilik kedai yang memegang TOL sejak tahun 1970-an. Mereka dikatakan tidak menerima pampasan atau unit gantian, bertentangan dengan janji yang dibuat oleh pegawai kementerian sebelum ini.
"Kami dimaklumkan oleh setiausaha menteri ketika itu, Puan Nurin, bahawa pemilik kedai akan dipertimbangkan untuk rumah gantian. Namun, tiada sebarang perkembangan sejak itu," katanya.
Selain itu, dia turut mempersoalkan kelewatan pembinaan rumah keluarga kedua serta ketiadaan senarai penerima yang layak.
Malah, dakwanya unsur penyelewengan pernah berlaku dalam kes rumah keluarga pertama apabila banyak unit rumah diberi kepada pihak luar dan bukan kepada pemilik asal.
"Banyak unit rumah sebelum ini diberikan kepada pihak luar, bukan kepada pemilik asal. Kami khuatir perkara sama sedang berulang," katanya.
Ameer Khan turut melahirkan kekecewaan apabila proses semakan semula bancian untuk menyiasat dakwaan 'kecurian hak rumah' ditutup tanpa sebarang tindakan.
“DBKL tak nak layan aduan yang kita buat,” katanya.
“DBKL suruh kita buat bancian semula dan saya dah buat satu persatu dan dapati terdapat orang luar yang curi pampasan. Tapi DBKL tak nak layan aduan yang kita buat,” tambahnya.
Desak DBKL beri penjelasan rasmi
Sehubungan itu, gabungan tersebut mendesak Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL) memberikan penjelasan rasmi serta mengambil tindakan segera demi memastikan keadilan untuk penduduk Jinjang Selatan Tambahan.
"Kami tidak mahu isu ini terus didiamkan. Penduduk berhak tahu status mereka dan berhak mendapat layanan yang adil serta telus daripada DBKL dan pihak berwajib," katanya.
Setakat ini, DBKL belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas.
“Saya cabar Dr Akmal ni untuk berdebat dengan saya. Jangan hanya jadi jaguh kampung.
“Saya nak tengok dia anak jantan ke tak sebenarnya. Sebab orang cakap dia hebat.
“Kalau hebat datanglah sini. Dia akan kena buku dengan ruas nanti,” katanya.
Tambahnya, dia bersedia berdebat di mana-mana lokasi, sama ada di Jinjang, di PWTC atau tempat lain, tanpa mengira masa.
Latar isu perobohan
Akmal sebelum ini dilaporkan mempersoalkan tindakan dua darjat pihak berkuasa dalam menangani isu perobohan rumah di Kampung Sungai Baru dan Jinjang Selatan Tambahan.
Sebelum ini, media melaporkan penduduk, peniaga dan pengusaha kilang di kawasan berkenaan yang diarahkan mahkamah berpindah menarik nafas lega selepas dimaklumkan tiada tindakan perobohan akan dijalankan buat masa ini.
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata keputusan itu dicapai selepas perbincangan dengan beberapa agensi kerajaan berkaitan.
Sebelum itu juga, seramai 38 peniaga di Jinjang Selatan Tambahan menyuarakan rasa tidak puas hati selepas mendakwa DBKL mengeluarkan notis pengusiran paksa.
Ameer Khan sebelum ini turut menzahirkan kekecewaan kerana hanya ditawarkan pampasan sekitar RM5,000.
SEMENJAK
DAP BERKUASA
KES RAMPAS
TANAH RAKYAT
MAKIN
MENJADI-JADI
KHALAS
MALAYSIA KINI DIANCAM ?
Sindiket di KLIA: 'Thanos' tuntut ganti rugi, ancam saman Mkini
Seorang yang mendakwa dirinya sebagai ‘Thanos’–tetapi menafikan terlibat dengan sebarang sindiket–mengugut untuk menyaman Malaysiakini susulan penyiaran laporan berkaitan kegiatan rasuah di pintu masuk negara.
Dalam notis tuntutan yang dihantar melalui tetuan Hamzan Daiza & Associates minggu lepas, dia mendakwa portal ini menyiarkan laporan berunsur fitnah terhadap Thanos.
Berita dirujuk adalah 'Phantom travel': Satu lagi sindiket di KLIA dan Sindiket di KLIA: Thanos 'dihukum' pindah ke unit baru.
Laporan-laporan itu, menurut Hamzan Daiza & Associates, menyebabkan anak guam mereka mengalami kerosakan reputasi dan menyebabkan ancaman padanya.
"Ia juga memberikan kesan yang mendalam kepada kerja anak guam kami dan juga gangguan secara mental kepada anak guam kami," katanya dalam surat tuntutan guaman itu.
Selain itu, katanya, "fitnah" itu juga tersebar meluas di pelbagai platform media sosial oleh pengguna maya, menyebabkan dia mendapat kecaman awam.
Hamzan Daiza & Associates juga berkata Thanos, berdasarkan gred dan pangkatnya, tidak mempunyai kuasa melakukan perkara yang dinyatakan dalam artikel Malaysiakini.
Peguam Thanos juga berkata maklumat dipaparkan Malaysiakini tiada asas dan diterbitkan dengan niat memalukan dan merosakkan reputasi anak guam mereka.
Thanos justeru menuntut permohonan maaf dari Malaysiakini, penarikan balik artikel itu serta jaminan bertulis untuk tidak menerbitkan kenyataan berunsur fitnah kepadanya.
Malaysiakini juga dituntut membayar ganti rugi dan pampasan–yang jumlahnya hendaklah dipersetujui oleh Thanos–susulan dakwaan kecederaan dan kejatuhan reputasi serta kesusahan yang dialaminya.
Malaysiakini pada 22 Jun lalu mendedahkah kewujudan satu lagi sindiket di KLIA yang dinamakan phantom travels (pengembara hantu), yang membolehkan pegawai kerajaan melancong ke luar negara tanpa rekod imigresen.
Nama Thanos muncul apabila sumber ibu pejabat imigresen di Putrajaya mendakwa seorang kakitangan imigresen yang dikenali sebagai ‘Thanos’ mempunyai kekayaan luar biasa meskipun berpangkat rendah.
Dia dilaporkan sebagai rakan kepada seorang lagi pekerja imigresen diadukan kepada polis kerana dikaitkan dengan sindiket fly (penipuan cop keluar masuk).
Pada 30 Julai–kira-kira sebulan selepas itu–portal ini melaporkan bahawa Thanos dipindah unit daripada satu pasukan pengurusan imigresen Terminal 2 KLIA kepada unit lain, yang terlibat dalam kerja-kerja pejabat.
Sumber ibu pejabat imigresen menganggap pertukaran itu sebagai “hukuman” kepada Thanos.
‘Hanya jalankan tugas sebagai wartawan’
Sementara itu, Malaysiakini telah menjawab surat tuntutan itu dan mempertahankan bahawa kedua-dua laporan itu dihasilkan secara adil dan neutral serta tidak berunsur fitnah.
"Walau apa pun, anak guam kami hanya menjalankan tugas mereka sebagai wartawan untuk melaporkan isu berkaitan kepentingan awam," menurut surat jawapan Malaysiakini yang dikeluarkan melalui tetuan Kanesalingam & Co.
Malaysiakini juga menawarkan hak untuk menjawab kepada Thanos dalam itu itu, tertakluk kepada dasar-dasar editorial yang biasa.

