LEPAS FLET
ROBOH KE MANA
ROHINGYA INI
NAK DUDUK ?
AMIN
TUTUP SATU
MASALAH
MUNCUL MASALAH
YANG BARU
KHALAS
Pemilik tanah penempatan Rohingya mohon maaf, ambil tanggungjawab penuh selesai isu
HULU LANGAT: Pemilik tanah yang dijadikan penempatan oleh pelarian etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, di sini, meminta semua pihak memberi ruang kepada keluarganya untuk menguruskan kerja merobohkan struktur dibina di kawasan berkenaan.
Kerja merobohkan penempatan sekitar bangunan empat tingkat umpama flat, yang dibina secara tidak sah oleh pelarian Rohingya itu mula dirobohkan semalam dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu dengan kos ditanggung sepenuhnya pemilik tanah.
Anak perempuan kepada pemilik tanah berkenaan yang enggan namanya disiarkan, berkata pihak keluarga mengambil maklum mengenai video tular berkaitan penempatan itu dan berjanji mengambil tanggungjawab penuh dalam menyelesaikan perkara terbabit.
"Bagi pihak keluarga, saya memohon maaf kepada semua pihak atas apa yang berlaku. Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk menangani perkara ini mengikut saranan dan arahan kerajaan," katanya ketika ditemui BH di lokasi, semalam.
Perobohan berperingkat
Wanita itu berkata, kerja-kerja meroboh penempatan terbabit dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan struktur kediaman yang terletak di sekitar kawasan penempatan sebelum bangunan empat tingkat dirobohkan.
"Kami sedang uruskan satu demi satu. Bangunan flat ini (yang terakhir) akan dirobohkan. Di bahagian belakang sana, sebenarnya sudah ada yang dirobohkan, tetapi perkara itu tidak dipaparkan. Gambar yang dikongsi kebanyakannya gambar lama.
"Kami cuma memohon beri masa dan ruang untuk melaksanakan kerja-kerja ini mengikut arahan serta garis panduan yang ditetapkan kerajaan," katanya sambil menghargai kerjasama agensi kerajaan dalam menangani isu itu dengan baik.
Beliau berkata, sebelum ini urusan berkaitan bangunan terbabit dikendalikan ahli keluarga lain sebelum tanggungjawab itu diserahkan kepadanya.
"Kini saya menguruskan segala perkara berkaitan bangunan ini dan akan memastikan isu yang timbul dapat diselesaikan dengan sebaiknya. Saya juga ingin menegaskan bahawa kerajaan telah melakukan yang terbaik dalam menguruskan perkara ini.
"Namun, disebabkan beberapa masalah dalaman keluarga, proses penyelesaian sebelum ini tertangguh," katanya.
Terdahulu, tinjauan BH sebelum kerja meroboh dijalankan, mendapati bangunan empat tingkat yang dibina secara tidak sah di kawasan terpencil itu sudah mula lengang kerana dikosongkan penghuninya.
Sebahagian besar premis di bangunan terbabit kini dikunci rapat, dipercayai penghuninya sudah berpindah ke kawasan lain selepas penempatan berkenaan tular, sejak awal minggu ini.
Tinjauan juga mendapati beberapa peralatan perniagaan di warung makan yang terletak di kawasan sekitar bangunan itu dilihat ditinggalkan tergesa-gesa, manakala bekalan elektrik didapati masih lagi berfungsi.
Keadaan sekitar bangunan itu turut menunjukkan kawasan berkenaan bukan sekadar penempatan, malah dijadikan kawasan perniagaan kecil bagi komuniti pelarian Rohingya.
Bahagian bawah bangunan itu menempatkan tempat memproses kopi, manakala di bahagian belakangnya pula terdapat sebuah bengkel, kawasan parkir lori serta sebuah warung.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Johan Abd Aziz, menyifatkan penggunaan sebuah jengkaut tidak mencukupi untuk merobohkan struktur bangunan di kawasan berkenaan.
Katanya, beliau dimaklumkan oleh Pegawai Daerah Hulu Langat bahawa peruntukan sebanyak RM600,000 untuk merobohkan bangunan empat tingkat itu masih lagi belum diluluskan oleh kerajaan negeri.
"Kita rancang nak minta pada kerajaan negeri tapi belum sempat nak sampai peruntukan, pemilik tanah sudah buat sendiri (perobohan). Itu yang saya tekankan, pemilik tanah ini kena bertanggungjawab," katanya.






