Jumaat, 2 Ogos 2013

TOLAK SEMUA UNDANG UNDANG ZALIM




UNDANG-UNDANG

 ‘PENANAHAN UNTUK  PENCEGAHAN’ 

BUKAN CARA 

MEMERANGI JENAYAH

KEADILAN memandang berat tuntutan sesetengah pihak yang ingin mengembalikan hak kerajaan untuk menahan suspek dibawah Ordinan Darurat (EO) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Malaysia tidak memerlukan undang-undang ‘penahanan untuk pencegahan’ seperti ini, yang boleh disalahgunakan oleh kerajaan. Lebih-lebih lagi pada masa kini, di mana kepercayaan rakyat kepada institusi-institusi awam adalah amat rendah, dan pendapat awam adalah sangat berbelah-bahagi.

Pihak yang ingin mengembalikan undang-undang ini telah mendapat sokongan daripada sesetengah individu penting didalam kerajaan. Mereka berpendapat, rang undang-undang ini diperlukan untuk menangani kadar jenayah yang kian menular.

Mereka juga berhujah bahawa, sebahagian besar aktiviti jenayah yang melibatkan keganasan telah dilakukan oleh tahanan yang dibebaskan selepas pemansuhan EO.

Kami mempertikaikan pandangan tersebut kerana tiada bukti kukuh yang mengaitkan pemansuhan EO dan ISA kepada kadar jenayah ganas yang kini semakin menular. Tanpa bukti kukuh, hujahan pihak-pihak yang ingin memperkenalkan balik EO dan ISA, adalah hanya pandangan semata-mata.

Kami juga ingin mempersoalkan, mengapa anasir-anasir jenayah ini tidak boleh ditahan dan didakwa mengikut  ketetapan undang-undang yang sedia ada?

Mengapa pihak berkuasa berpendapat bahawa hanya penahanan tanpa perbicaraan - yang biasanya hanya digunakan pada zaman darurat - boleh menangani jenayah ganas? Apakah yang menghalang pihak berkuasa daripada bertindak terhadap jenayah dan penjenayah mengikut ketetapan undang- undang yang sedia ada?

Malaysia tidak lagi memerlukan undang-undang yang menzalimi dan memecah belahkan masyarakat. Undang-undang sedemikian pernah dan boleh disalahgunakan oleh kerajaan untuk tujuan politik.

Apa yang Malaysia perlukan sekarang, tetapi tidak dapat diberikan oleh pihak kerajaan ,adalah lebih ramai pegawai polis dimana masa dan sumber mereka didedikasikan terhadap pencegahan jenayah dan bukan terhadap dakwaan selektif berunsurkan politik.

Adalah amat penting untuk rakyat Malaysia menyedari bahawa kadar jenayah kini yang semakin menular, tidak boleh dijadikan suatu alasan untuk mengugat hak asasi rakyat.

Rakyat juga tidak boleh membenarkan kadar jenayah yang tinggi untuk memusnahkan cara hidup yang sedia ada, membawa unsur ketakutan dan syak wasangka sesama rakyat.

Adalah amat perlu bagi semua rakyat Malaysia untuk bersatu-padu mendesak kerajaan untuk menjaga keselamatan dan  membela kebebasan rakyat.

Meskipun Perdana Menteri Najib Razak telah memutuskan untuk memansuhkan EO dan ISA kononnya sebagai sebahagian daripada usaha ‘transformasi’nya, namun beliau memperkenalkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) sebagai ganti yang masih mengundang banyak masalah. Pada masa sama, meskipun beliau telah mengumumkan hasrat memansuhkan Akta Hasutan, namun pendakwaan di bawah akta tersebut meningkat.

Langkah untuk kembali ke dasar-dasar lama akan membuktikan jaminan Najib bahawa pentadbirannya akan menamatkan era ‘Kerajaan mengetahui segala-galanya’ hanyalah sia-sia. Perdana Menteri tidak boleh membenarkan suara-suara jumud di dalam pentadbirannya memperlekehkan jaminannya untuk melakukan perubahan.

Kami menyeru Perdana Menteri untuk bukan sahaja memerangi jenayah mengikut ketetapan undang-undang yang sedia ada, tetapi untuk juga membela kebebasan asasi semua rakyat Malaysia.

Beliau perlu berkerjasama dengan semua pihak yang berkepentingan didalam hal ini. Keselamatan dan kebebasan rakyat adalah dua unsur penting yang tidak boleh dipisahkan demi kemajuan negara ini.

Semua rakyat Malaysia sewajarnya mengingati prinsip asas ini: mereka yang mengorbankan kebebasan mereka demi keselamatan tidak akan memperoleh kedua-duanya.

Kedua-duanya adalah saling bergantung antara satu sama lain: rakyat Malaysia berhak dan mesti memperoleh kedua-duanya jika negara ini hendak benar-benar maju ke hadapan.

NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGARAH KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT






-----------

1 ulasan:

DIDI KOTA BELUD berkata...

Rombak polis tu jadi macam polis singapore....baru aman....ketua polis sekarang tukar...kalah dan salah dan dah kena saman dan menang pun emak kugan tu......ini aku heran...apasal ketua polis negara takder yang india...kadazan...cina....iban.....ini asik melayu korap je.....apasal takdr yang kristien...hindu...buddha...ini asyik melayu islam korup jer......rombak je polis tu dengan menteri menteri dia sekali kalau najib bijak....ITU PUN KALAU DIA BIJAK.....?????