Khamis, 3 Oktober 2013

TAHANAN TANPA BICARA DIULANG KEMBALI




BILIK SULIT 

Akta Pencegahan Penjenayah: Satu Mainan 

Media dan Kuasa

2 Oktober, 2013 – Di mana-mana Negara di dalam dunia ini, ada sang penguasa yang menggunakan media arus perdana untuk “membina persetujuan” (manufacturing consent) di antara golongan elit dengan masyarakat massa agar kekal berkuasa. Bermula daripada Perang Dunia Pertama dan Kedua, Perang Vietnam sehingga ke konflik di Asia Tengah hari ini, jika dianalisa secara kritis, media arus perdana mendukung agenda mereka yang berkuasa untuk mengawal politik dan ekonomi dunia.

Di Malaysia, para pengkaji media kritikal akan bersetuju bahawa analisa media tidak dapat dipisahkan daripada kuasa, mahupun sebaliknya. Misalnya setelah Wawasan 2020 dilancarkan oleh Mahathir pada tahun 1991, dua masalah sosial yang dianggap serius di kalangan anak muda secara tiba-tiba menjadi isu hangat lagi heboh dalam media arus perdana sekitar tahun 1993 – “budaya lepak” dan “bohsia”.

Media arus perdana melabelkan “budaya lepak” sebagai kegiatan merayau di kalangan pemuda pemudi, dan “bohsia” sebagai gadis remaja yang terdedah kepada pergaulan bebas. Malah, media arus perdana juga mengaitkan “budaya lepak” dan “bohsia” sebagai punca segala penyakit sosial lain seperti penagihan dadah, merokok, masalah displin, pelajaran dan kesihatan. Penglabelan ini mengukuhkan persepsi bahawa anak muda terjebak dengan gejala sosial yang tidak sihat dan perlu diatasi dengan segera demi mencapai Wawasan 2020.

Akhirnya media arus perdana berjaya mewujudkan budaya takut lagi mengukuhkan hegemoni di mana rakyat cenderung “bersetuju” (consent) dengan program kerajaan seperti Karisma, Rakan Sukan dan Briged Muda bagi “menyelamatkan” para pemuda pemudi. Secara tidak langsung masyarakat umum “disatupadukan” di atas kedua-dua masalah sosial itu dan seterusnya menyokong dasar kerajaan di bawah agenda Wawasan 2020, maka sebarang suara yang mempersoalkan dasar sang penguasa dipinggirkan sama sekali.

Hari ini kami menyaksikan satu lagi adegan baru dengan skrip lama – Pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA). Bacaan pertama pindaaan PCA dibacakan oleh Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid minggu lalu di Dewan Rakyat bertujuan mengukuhkan kedudukan untuk menahan penjenayah tanpa bicara sehingga dua tahun. Penahanan tanpa bicara merupakan intipati utama dalam akta zalim – Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telahpun dimansuhkan, namun kini dihidupkan semula dalam PCA yang sedang dipinda.

Biarpun aktivis sosial dan politik yang progresif kuat menyanggah pindaan PCA, pandangan masyarakat umum kemungkinan besar berbeza dalam isu ini. Hal ini kerana sang penguasa mula “membina persetujuan” dengan laporan kes tembakan demi kes tembakan dalam media seawal Julai sehingga ke Ogos. Bekas Ketua Polis Ismail Omar pernah berkata, peningkatan kadar jenayah adalah disebabkan oleh pemansuhan ISA dan Akta Darurat, di mana sejumlah 1,473 tahanan dibebaskan.

Projek “membina persetujuan” ini diikuti pula dengan babak-babak: pertama, laporan berita rumah terbuka hari raya Menteri Dalam Negeri sendiri diganggung samseng pada 24hb Ogos; kedua, nama dan ciri-ciri khas 52 individu dan 49 pertubuhan haram disiarkan dalam semua media arus perdana pada 27hb dan 29hb Ogos; ketiga, laporan mengenai tangkapan besar-besaran dijalankan di seluruh Negara mulai akhir Ogos; akhirnya, pembentangan pindaan PCA di Dewan Rakyat pada akhir September. Walaupun Ahmad Zahid berkata kerajaan masih terbuka untuk membincangkan penambahbaikan terhadap pindaan PCA selepas bacaan kedua, dia turut memberi amaran kepada peguam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar tidak menyebelahi penjenayah dalam menentang pindaan ke atas PCA.

Kisah “budaya lepak” dan “bohsia” dikongsi lebih awal untuk memperlihatkan persamaan skrip “membina persetujuan” dalam kedua-dua adegan ini:

Pertama, merekacipta sebab musabab, iaitu penyakit sosial di kalangan pemuda pemudi menjadi batu penghalang kepada Wawasan 2020, dan keselamatan masyarakat terancam kerana mansuhnya ISA dan Akta Darurat serta kewujudan pertubuhan haram;

Kedua, mewujudkan matlamat utama, iaitu mencapai Wawasan 2020, dan mengembalikan kuasa menteri dengan menghidupkan semula intipati utama ISA iaitu penahanan tanpa bicara;

Ketiga, menjalankan propanganda media, iaitu “menyatupadukan” rakyat melalui krisis moral di kalangan anak muda bagi menyokong agenda Wawasan 2020; “menyatupadukan” rakyat melalui krisis keselamatan Negara bagi menyokong penahanan tanpa bicara.

Persoalannya, adakah kadar jenayah hanya meningkat selepas ISA dan Akta Darurat dimansuhkan? Apakah motif sebenar pelaporan media yang hanya fokus krisis keselamatan Negara hasil daripada pemansuhan ISA dan Akta Darurat, tanpa menyelami isu integriti dan kebertanggungjawaban polis, isu peluang pendidikan dan pekerjaan semua lapisan masyarakat, dan jurang kemiskinan yang kian melebar dalam masyarakat? Siapakah sebenarnya yang mendapat manfaat daripada penahanan tanpa bicara – rakyat, atau sang penguasa?

Sesungguhnya, media tetap tidak bebas dan dikawal oleh kerajaan meskipun Akta Mesin Cetak dan Penerbitan telahpun dipinda tahun lalu, di mana media cetak masih perlu memohon permit penerbitan daripada kerajaan dan menteri berkuasa menggantung permit penerbitan.

Maka jelasnya agenda media yang tidak bebas merupakan agenda sang penguasa; agenda sang penguasa – BN pula merupakan agenda Umno yang bakal mengadakan Perhimpunan Agung Umno pada Disember akan datang.

Hakikatnya agenda Umno bukan lagi Wawasan 2020, tetapi survival politik masing-masing. Pindaan PCA bukan lagi setakat disasarkan kepada pertubuhan haram mahupun parti pembangkang dan NGO, malah brangkali ia turut digunakan oleh individu tertentu untuk menghapuskan musuh politik dalam Umno sendiri menjelang Perhimpunan Agung Umno.

Rujukan:
Zaharom Nain, and Wang , Lay Kim (1999) “Much ado about nothing? Mainstream research, Malaysian media and moral panics”. Jurnal Komunikasi, Vol 15, 1999 (pp. 21-38).
Edward S. Herman, (2000), “The Propaganda Model: A Retrospective”. Journalism Studies, Vol 1 (1), 2000 (pp. 101-112).

GINIE LIM
Penolong Pengarah Penyelidik
INSTITUT RAKYAT

-----------

2 ulasan:

DDKB berkata...

" EXPLOITATION DE' L' HOMME PAR L' HOMME DAN EXPLOITATION NATION PAR NATION.'........ini revolusi .......ini yang kami mahu.

Awanama berkata...

Tanpa bicara maknanya akan ada penipuan dan penganiayaan...