Rabu, 16 April 2014

LAGI KES TIPU


TIADA SELIAAN KETAT DAN PERTANGGUNGJAWABAN DALAM GERAN MOSTI

Sementara sepenuh perhatian diberikan kepada projek-projek besar yang dikendalikan Umno/Barisan untuk memastikan ketirisan dan rasuah tidak berlaku, sejumlah dana yang besar telah dibelanjakan setiap tahun melalui geran-geran yang dikendalikan oleh Kementerian Sains, Teknolgi dan Inovasi (MOSTI).

Ekoran dari Laporan Ketua Audit Negara 2013 yang memberi tumpuan kepada prestasi pengurusan Skim Jaminan Dana Pembiayaan Teknologi Hijau, saya telah mengambil langkah untuk menyemak prestasi dan seliaan yang terbabit ke atas geran-geran yang dikendalikan oleh MOSTI kerana ia melibatkan kementerian yang sama.

Hasil semakan ke atas laporan-laporan tahunan MOSTI, pewartaan dan berita, jumlah dana kerajaan seperti berikut telah diagihkan sebagai geran Penyelidikan & Pembangunan (R&D):

§  Mengikut Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9), RM1.7 bilion telah diperuntukkan bagi tahun 2006 hingga 2010 bagi tujuan R&D

§  Di antara tahun 2009 hingga 2013, sejumlah RM1.152 bilion telah dibelanjakan sebagai geran R&D iaitu sebanyak RM900 juta kepada Tabung STI (ScienceFund, Technofund, Innofund, Human Capital Development Fund), sebanyak RM246 juta kepada Tabung CRDF (Commercialization of R&D Fund) dan sebanyak RM6 juta kepada Tabung TAF (Technology Acquisition Fund)

Jumlah RM1.152 bilion bagi tempoh terkini bukanlah satu jumlah yang kecil. Jumlah ini sudah tentu menimbulkan kontroversi jika tidak memberikan pulangan yang sewajarnya bila mana kerajaan Barisan Nasional terus memotong subsidi untuk menjimatkan perbelanjaan, sedangkan jumlah yang dijimatkan itu dibelanjakan pula kepada geran-geran R&D seperti ini.

Semasa meluncurkan MOSTI Commercialisation Year 2014, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi  Dr Ewon Ebin mengakui bahawa hanya 20 hasil kajian R&D yang dikomersilkan setiap tahun. Beliau juga mengakui kadar itu rendah dan mensasarkan supaya ia ditingkatkan 3 kali ganda iaitu 60 hasil kajian yang dikomersilkan setiap tahun.

Kenyataan menteri itu membayangkan bahawa walaupun kerajaan membelanjakan lebih RM1 bilion dalam tempoh 5 tahun, hanya 20 hasil kajian R&D yang berjaya dikomersilkan setiap tahun. Ini adalah satu jumlah pengkomersilan yang cukup rendah jika dibandingkan dengan jumlah dana awam yang dibelanjakan kerajaan.

Ia menimbulkan persoalan – ke manakah sebenarnya dana ini digunakan? Benarkah ia digunakan sepenuhnya bagi tujuan pengkomersilan R&D atau ia digunakan bagi tujuan-tujuan lain?

Dalam dua minggu ini, saya akan mendedahkan beberapa penyalahgunaan dana R&D MOSTI yang menunjukkan bagaimana dana awam digunakan bagi tujuan selain dari R&D. Ia juga akan menunjukkan bagaimana kaedah geran (memberi wang tanpa perlu dibayar balik) digunakan sewenang-wenangnya untuk membantu individu tertentu sedangkan rakyat biasa berdepan kesukaran untuk mendapatkan pinjaman, apatah lagi geran.

Malah, salah satu dari keputusan yang memberi geran MOSTI pada jumlah yang sangat besar dan menimbulkan tanda tanya melibatkan campur tangan Najib Razak sendiri.

Pendedahan-pendedahan ini saya harap dapat membuka mata rakyat agar kaedah pemberian geran dan peruntukan dana yang berbilion ringgit yang tidak telus dikaji kembali dalam keadaan rakyat menghadapi kesukaran harga barang naik kerana potongan subsidi.

Sidang media yang seterusnya adalah pada hari Jumaat, 18 Mei jam 10 pagi mengenai penyalahgunaan dana MOSTI.


RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

15 April 2014


---------

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mosti ka,Mostu ka apa ka rakyat tak mau tauu...rakyat nak Free medical,free education,Kos sara hidup turun,sistem Public transport yg baik.itu je..Pergi cerita pasal Mosti ni kat makcik2 felda atau peniaga kecil,mampos diorang nak layan.sbb rakyat tak nak dengar benda ni..ini smua cerita middle class...