Selasa, 2 Mac 2021

SIAPA TOKAN DADAH

 



SIAPA TOKAN DADAH ?


MAHKAMAH Tinggi di Kuala Terengganu hari ini menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas seorang pemandu lori setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine bernilai RM22 juta, empat tahun lalu.

Hakim Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohammad Ishak Ramli, 37, setelah gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh yang turut didakwa atas pertuduhan sama iaitu Nur Muhammad Izzudin Nordin, 29, seorang kelindan lori telah dilepas dan dibebaskan.

Mohammad Ishak dan Nur Muhammad Izzudin, masing-masing didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 203.9467 kilogram (kg) di dalam ruang muatan sebuah treler jenis Volvo yang diletakkan di tepi sebuah rumah sekitar Bukit Payong, Marang, pada 11 malam, 25 September 2017 – BERNAMA 24 /2/2021

Berita di atas aku pungut dari laporan Bernama  yang terbit pada 24 Februari 2021. Kes jatuh hukum ini baru sahaja dilaporkan.

Berita seperti ini bukan satu yang ganjil atau pelik.  Malah  selang  seminggu, selang sebulan ada sahaja kita  terbaca kes tangkapan kastam , kes mahkamah , kes operasi polis dan kes jatuh hukum yang melibatkan ganja, ketum, pil kuda, syabu dan seribu satu macam jenis dadah. 

Jangan lalai dan  jangan tak faham :   Untuk aku semua  berita ini adalah  penerusan sambungan perang dadah yang dilancarkan oleh Presiden Amerika Richard Nixon pada 18 Jun 1971.

Tuan puan para pembaca  yang budiman aku ada satu permintaan. Sila  ulang baca  potongan berita laporan Bernama di atas. Baca dengan hati-hati. Kemudian fikir tenang-tenang. Gunakan fikrah yang lapang lagi rasional.

Tarik nafas panjang tutup mata dan   bayangkan tali gantung.

 Kemudian tanya diri sendiri dengan perkara-perkara ini:

1 -  Kalau  Ishak Ramli ini ada harta sebanyak 22 juta ringgit kenapa dia menjadi pemandu lori ?

2 – Kalau Ishak Ramli ini ada harta sebanyak 22 juta ringgit  kenapa dia tidak membuka syarikat lori sendiri ?

3 -  Siapa Ishak Ramli ini ? Adakah dia seorang jutawan Bumiputera? 

4 – Kenapa nama  Ishak Ramli  tidak bermula dengan Datuk atau Datuk Seri. Malah Haji pun tidak ada tersangkut  pada namanya walau pun disahkan memiliki dadah bernilai 22 juta ringgit.

Aku harap dengan fikrah yang tenang  para  pembaca akan menerima pencerahan  yang aku tuliskan disini. Kita semua wajib bersimpati dengan Ishak dan kaum keluarga Ishak. 

Hukum gantung bukan main guli. Sekali tarik padam semua. 

Pencerahan dari aku ialah : Ishak Ramli ini  hanya seorang pemandu lori. Dia bukan jutawan. Dia tidak memiliki  harta  berjumlah 22 juta ringgit. Ishak bukan tuan pemilik  apa apa syarikat pengangkutan.

Tan  Seri, Datuk atau Haji tidak  tersangkut pada namanya kerana dia hanya seorang  pemandu lori. Ishak Ramli  bukan jutawan Bumiputera.

Kalau Ishak hanya pemandu jadi siapa tuan empunya  lori?  Apa peranan Ishak? Siapa tauke Ishak? Siapa empunya dadah bernilai 22 juta ringgit ini ? Nilai dadah 22 juta ringgit ini bukan kecik anak. 
Bayangkan 22 juta ringgit ini boleh beli berapa keping roti canai? Sila tanya  YB Khairuddin Takiri  dengan 22 juta ringgit ini boleh beli berapa puluh buah kereta Audi Q7?  Atau tanya   Timbalan MB Kelantan Nik Amar Nik Abdullah berapa buah kereta Mercedes dapat dibeli dengan duit sebanyak 22 juta ringgit?

Maka timbul persoalan hakiki siapa  sebenarnya   sosok yang bernama Ishak Ramli ini ?

Biar aku beri pencerahan .  Aku tak kenal  Si Sahak ini. Pada hemat aku Si Sahak ini hanya   ‘tukang bawa’. Dalam istilah  perang  dadah – dalam istilah jabatan kastam, dalam istilah polis  -   Ishak ini dipanggil keldai. Dalam istilah Interpol – Polis Antarabangsa - Ishak ini dikenali sebagai mule. 

Mule ini keldai dalam bahasa Orang Putih.

Guna pakai perkataan keldai atau mule  bukan bertujuan untuk menghina.  Ini satu penghormatan  kerana  keldai  adalah  sejenis  bintang yang gagah  berupaya mengangkat barang yang berat  ke mana saja diarahkan. Tapi keldai ini haiwan yang agak bodoh.  

Keldai bernama Ishak ini hanya pembawa. Dia mengambil dari satu tempat dan membawa ke satu tempat yang lain. Keldai ini makan upah. Keldai ini  sedar dan tahu ada  barang yang dibawanya. Barang yang dibawa  ini berharga. Lagi mahal  nilai barang yang dibawa maka lagi ramai  duit masuk dalam saku keldai.

Jadi siapa yang tuan empunya dadah ini?

Jawapan kepada persoalan ini  bunyinya susah  untuk dijawab. Tetapi sebenarnya  pihak berwajib tahu salur galur dan rangkai dadah ini.  Pihak kastam dan pihak polis tahu siapa di belakang perniagaan dadah ini.

Kalau tahu kenapa tidak bertindak?

Bro. Sabar dulu.

Aku tahu ramai  kawan kawan kita yang memahami  dadah  apabila mereka  melihat Mat Pet sedang lek lok di tepi jalan. Atau bila Abang dan Kakak kita terbaca  di Harian Metro  tentang seorang  Mat Gian memukul ibu sendiri   dalam keadaan khayal.  Atau  membaca berita Zamani  penyanyi Kugiran Slam sedang menyanyi dalam lokap. Atau kita ketawa dan hairan apabila mendengar Rais Yatim cuba  melekatkan konsep najis kepada dadah. 

Untuk aku  semua ini hanya manifestasi dari perang  dadah yang telah  dimulakan oleh Presiden Nixon  pada tahun 1971 dahulu.

Seperti yang telah aku tulis perniagaan dadah ini telah bermula lama dahulu. Ketika Inggeris  menakluk  dunia perniagaan dadah dimiliki oleh  kuasa empayar Baginda Queen Victoria. Kota London itu didirikan dari kekayaan menjual candu dari India ke China  selain dari hasil rompakan  bijih dan emas dari Tanah Melayu.

Perniagaan dadah ini gelap. Perniagaan gelap ini amat lumayan.  Dalam dunia  kita ini perniagaan pertama yang banyak membawa untung  ialah menjual senjata. Sesudah  meniaga senjata perniagaan ke dua yang lumayan ialah meniaga dadah.   

Data dari Stockholm Internasional  Peace Research Institute ( SIPRI ) pada tahun 2018 menunjukkan perniagaan senjata berjumlah  420 bilion dolar. Manakala data Bangsa Bangsa Bersatu  menunjukan perniagaan dadah berjumlah    321.6 bilion  dolar untuk tahun 2003.

Lebih dari 1% ekonomi dunia ini bersabit dengan jual beli dadah. Ini aku pungut dari laporan World Drugs Report Bangsa-Bangsa Bersatu tahun 2005. 

Bila kita ulang baca berita Ishak Ramli dan dibandingkan dengan data Bangsa-Bangsa Bersatu maka kita disedarkan bahawa betapa ciputnya 22 juta ringgit nilai  dadah yang ditemui dalam lori Ishak.
Kalau Ishak ini keldai ciput siapa dia yang tidak ciput?

Yang tidak ciput ialah tokan dadah.  Jangan silap lihat tokan dadah bukan Mat Pet. Bukan Mat Serabai seluar koyak. Bukan Mat Lekeh penjaga parking kereta.   Jika pembaca memiliki gambaran  Mat Pet atau Ishak Ramli sebagai tokan dadah maka anggapan  pembaca adalah salah sama sekali.

Tuan empunya perniagaan dadah bukan duduk di Kampung Kerinchi atau duduk di rumah setinggan  di Balakong. Bukan. Bukan. Bukan. 

Kalau Di Kuala Lumpur tokan dadah rumahnya di Bukit Kenny kalau tidak di Country Height. Kondonya di Pavillion Bukit Bintang. Kalau di London rumahnya di Notinghill Gate. Kalau di New York fletnya  di Fifth Avenue.  Tokan dadah ini bukan kecik anak. Mereka  kaya dan raya. 

Kalau diketahui rumah, alamat, wilayah tempat tinggal  kenapa tidak di tangkap?

Bro , sabar dulu.

Perniagaan dadah ini bertali barut dengan penguasa negara.  Tokan dadah ada hubungan intim dengan penguasa daulah.

Apa? Perniagaan dadah ada hubungan dengan  kerajaan? Ada hubungan  dengan penguasa negara? Ada hubungan dengan Presiden, Perdana Menteri, Menteri, Yang Berhormat, Senator  , Tuan Hakim ?

Mai sini aku terangkan - lebih jelas dan tidak berlapik-lapik:
Perniagaan dadah ini dijalankan dengan pengetahuan kerajaan. Jual beli dadah dikendalikan oleh jentera kerajaan. Tokan dadah ialah sebahagian dari kerajaan.

Betul ke apa yang dutulis oleh  Hishamuddin Rais ini? Atau ini fitnah kerana Hishamuddin Rasis ini anti kerajaan?

Bukan fitnah Hishamuddin Rais. Ini fakta. 

Tokan terbesar dadah dalam dunia hari ini ialah CIA – Central Intelligence Agency  Amerika Syarikat.  Kuasa hegemoni, kuasa politik dunia dan kuasa ekonomi dunia  hari ini dimiliki oleh kuasa imperial Amerika justeru perniagaan dadah yang lumayan ini juga dimiliki oleh Amerika.

Ini hanya pengulangan sejarah. Dulu sebelum perang dua kedua  kuasa imperial dunia  ialah kuasa kolonial  Inggeris. Ketika itu  perniagaan candu dan dadah dimiliki, dikawal oleh suku sakat Baginda Queen. 

Apakah fakta ini susah untuk  difahami?

Tetapi jika CIA menjalankan perniagaan dadah kenapa Presiden Nixon melancarkan Perang Dadah pada  18 Jun  1971. Presiden Amerika  sendiri adalah  Ketua Angkatan Tentera Amerika. Lembaga CIA di bawah  Kementerian Pertahanan Amerika.'

Oppss... sabar dulu. Ada berita baru  masuk pada  Ahad 28/2/2021  dari Bernama: 

JELI – Polis mengenal pasti beberapa dalang utama sindiket penyeludupan dadah di negara ini yang berselindung di sebalik status ‘Tan Sri’, ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata Jabatan Narkotik di Bukit Aman kini dalam proses untuk mengambil tindakan terhadap tauke dadah terbabit, yang juga didapati hidup mewah dengan berselindung di sebalik perniagaan yang sah menyebabkan polis sukar untuk mendapatkan maklumat yang boleh mengaitkan mereka dengan kegiatan pengedaran dadah.

Hayati berita ini dahulu. Tunggu sambungan minggu hadapan. (TT)





2 ulasan:

C++ berkata...

Bhai TT,

Yang paling atas sekali dalam semua nih... kira paling upline aderlah geng warna kunyit... Hahaha... yang itu takdak sapa berani sentuh..

C++
CipanTapirTenuk.Blogspot

Jungle man berkata...

Kasihan ishak ramli dia hanya penghantar barang tolonglah tukar pertuduhan itu drp mengedar kepada memiliki demi agama bangsa dan negara amin