Isnin, 1 September 2008

BAGITU LAMA DAHULU

Bagitu lama dahulu ketika nenek saya masih hidup. Ketika itu semuanya cukup indah. Kami tidak memiliki banyak. Tapi alam kami penuh dengan kegembiraan. Zaman itu – zaman yang telah berlalu – zaman yang telah diambil oleh masa.

Bila puasa sampai saya cukup gembira. Bukan sebagai kanak-kanak yang warak tetapi sebagai kanak-kanak yang tidak pernah sabar menunggu pesta-pestaan di bulan Ramadan. Lumayan dengan pelbagai makanan dan manis-manisan.

Ketika kanak-kanak ada harinya saya akan berpuasa penuh. Ada hari setengah hari. Ada hari tidak puasa langsung. Semuanya indah. Ibu, bapa , abang dan kakak saya tidak pernah menjanjikan syurga atau neraka – mereka juga telah melintasi zaman yang sama. Saya tidak pernah di besarkan dengan Syurga dan Neraka – janji manis dan janji ganas. Kami membesar dalam kampong dengan penuh budaya kampongan Melayu.

Rumah kami tidak ada arloji. Terlalu jarang ada tetanga di kampong yang memilikinya. Hanya masjid dan mungkin di rumah Ketua Kampong yang ada arloji. Arloji tangan pastilah sesuatu yang jarang dimiliki.

Rumah kami memiliki concorong – beteri basah – kalau bateri menjadi kering maka susahlah mendengar suara tanda berbuka. Tapi dunia masih indah. Datuk Undang kami akan meledakan meriam untuk memberitahu orang kampung bila waktu tepat untuk berbuka. Dentuman meriam ini akan di sambut oleh pukulan beduk dari masjid ke masjid dari surau ke surau. Akhirnya semua daerah tahu bila waktu berbuka.

Kami kanak-kanak lebih awal lagi telah memasang telinga untuk mendengar ledakan meriam ini. Bayangkan kami kanak-kanak cuba mengagak-agak dan meneka bila agaknya meriam ini akan meledak. Ianya menjadi satu permainan dari budaya kemeriahan puasa daerah kami. Ini terlalu lama dahulu, sebelum dunia senja kampong kami dibingarkan oleh kereta dan motosikal.

Paling enak ialah berbuka di surau. Saya akan mandi di sungai lebih awal. Kadang-kadang secara menyuruk-nyuruk saya mengambil bedak puteh ibu saya sebagai tanda hormat - entah untuk siapa, saya pun kurang sedar. Bukan untuk Yang Maha Esa mungkin untuk dilihat suci dan bersih.

Pilihan makanan cukup lumayan di surau. Ada berbagai manisan dan kueh mueh untuk di nikmati. Tidak pernah lauk, gulai dan kueh kami di datangkan dari kedai atau dari warong. Semua buatan sendiri.

Makanan ke surau tidak pernah datang dalam plastik semuanya datang dalam mangkuk tingkat. Sesudah dipakai ianya dibasuh dan bolih di gunakan hingga hari kiamat. Tidak ada yang membazir. Tidak ada apa-apa yang kami buang. Kami bukan pencinta alam – kami tidak sedar pun tentang alam, cuaca dan panas. Kami hanya tahu ini budaya kami merayakan kehidupan segembira yang boleh kami rayakan.

Yang datang ke surau ini hampir ke semuanya saudara mara yang ada petalian darah. Duduk di kampong adalah duduk di kelilingi oleh saudara mara. Jiran dan tetangga juga tidak ada beza dari kaum keluarga sendiri.

Di surau kami tidak ada ucapan-ucapan ganas-ganas tentang Syurga dan Neraka. Tidak ada sesiapa pun yang akan bercerita tentang politik jauh sekali tentang ekonomi, saham atau pink form. Tidak pernah ada perebutan untuk menjadi imam atau ahli jawatankuasa. Kami kanak-kanak disedarkan – yang tua di hormati – yang jahat di jauhi.

Sesudah magrib kami berbuka untuk memakan juadah yang dihidangkan. Ketika menunggu Isyak ada Datok, Pak Cik, Abang dan Mak Cik yang akan mengulung tembakau nipah. Jarang sekali ada yang menghisap rokok cigaret. Tidak ada diskriminasi gender di surau kami. Sireh dan pinang juga bertukar tangan.

Ketika inilah yang kami - kanak-kanak – menungu-nungu. Dalam suasana perayaan ini kami akan di benarkan untuk mengulung nipah tanpa tembakau dan memakan sireh atau pinang. Betapa indahnya bulan puasa ini kerana kami telah di terima sebagai ‘orang dewasa’ dengan sireh di mulut dan rokok nipah di bibir.

Kemudian kami bertarawih. Di surau kampong kami tidak ada garis pemisah antara jemaah lelaki dan perempuan. Kami bukan orang Arab atau orang Pakistan – kami orang Melayu. Saf sembahyang kami cukup senang. Dimana saf lelaki berakhir disana saf perempun bermula. Kami, kanak-kanak di barisan belakang. Sambil berbaris sambil kami tersenyum dan mata menoleh ke kiri dan ke kanan untuk meniru-niru perbuatan orang dewasa. Bagitulah kyusuknya kami kanak-kank. Kami juga tidak faham apa makna ayat-ayat yang sedang dibacakan. Bila orang dewasa  tunduk kami tunduk bila sujud kami sujud. Tidak lebih dari itu.

Tetapi saya yakin pastilah Yang Maha Esa mengetahui niat suci kami untuk menyambut bulan puasa yang paling mengembirakan.

Di surau kampong , kami tidak pernah di susah-susahkan dengan pelbagai ritual yang pelik-pelik. Kami bukan orang Arab dan bukan orang Pakistan. Kami orang Melayu. Saya tidak pernah tahu apa itu Sunni dan apa itu Shiah. Apa yang saya tahu inilah budaya kami untuk merayakan kehidupan sebagai tanda terima kaseh kami kepada Yang Maha Esa.

Hampir terlupa, paling menarik di surau kami ialah lampu minyak api yang cahayanya berkuasa begitu jauh sekali hingga dapat menerangi tangga surau. Bayangkan surau kamilah  - satu-satunya bangunan yang terang bercahaya dalam bulan puasa. Cahaya ini juga adalah tanda bahawa kami sekampong sedang beramal ibadat. Sesekali ianya malap dan perlu dipam semula. Antara gelap dengan terang ini - kami kanak-kanak akan berkerumun melihat abang-abang kami – mepam angin ke dalam lampu.

Lewat malam kami berundur pulang. Ada yang berpelita dan ada yang berlampu picit. Ada yang berjalan dalam gelap gelita. Ada yang berbasikal. Tidak ada yang bekereta atau bermotosikal.

Kami kanak-kanak merasakan waktu yang telah melintasi jam sepuluh telah bagitu lewat sekali. Esok kami akan ke sekolah. Kampong kami telah gelap dan sunyi. Sesekali kedengaran bunyi Belatok Malam dengan iringan cengkerik yang tidak pernah putus-putus.

35 ulasan:

  1. Tuan, susah sekali ingin bertemu lagi suasana sebegitu di ketika ini. Kanak-kanak, ibu dan bapak kanak-kanak dihidangkan dgn pelbagai 'makanan' oleh TV. Manusia beragama Islam kini lebih suka bersantai depan TV daripada 'bersenam' dalam surau / masjid.

    BalasPadam
  2. Saudara Isham,

    Zaman dulu, berjalan dengan pelita atau dalam gelap gelita itu suatu kebiasaan. Masing-masing, lelaki dan wanita bermaruah tinggi dan saling hormat menghormati. Tidak pula berlaku perkara yang tidak diingini.

    Zaman sekarang, setiap waktu tidak selamat lagi. Masuk rumah terus kunci. Silap hari ada pencuri, kena tetak dan terus mati.

    BalasPadam
  3. Bro Isham,
    Kampung aku moden sikit dari kampong hang. Dalam bandar Ipoh, dah pakai letrik cuma rumah aku pakai lampu gaselin- mak bapak aku tak mampu masuk api. Aku kontrak menegepam angin. Surau kampung ada power amp tapi suara nya kuat sikit dari tak pakai amp. So, pak bilal pakai ketuk kerantong (beduk). Dia ketok 3 kali, aku tambah 20 kali lepas tu buka moreh makan sampai tak ingat dunia. Bulan yang penuh seronok kerana boleh main dari magrib sampai habih terawih sebab mak aku ingat aku semayang. Bapak aku keroja bawak lori projek hidro empangan temenggor, site selalu kena bom dengan kominis, jarang balik rumah, aku enjoy sakan. Balik semayang terawih mak akan membebel, camna terawih muka berminyak macam kena salai....

    BalasPadam
  4. Antara tulisan-tulisan saudara dalam blog ini, inilah tulisan yang paling saya gemari... Teruskan...

    BalasPadam
  5. puasa bermula
    raya dikira
    syok semuanya
    tiada sengsara...

    of course time has changed but still syok and forget the sengsara, at least for a month.
    Enjoyce!...kata Ella.

    BalasPadam
  6. Teringat dulu suasana macam bro isham, tapi sekarang masjid tak buat moreh lagi sebab JK masjid/surau kate nanti niat bukan nak sembanhyang tapi nak makan. Say tak setuju lansung dgn pendapat ni. Moreh yg sebabkan budak meriah ke masjid & surau. barulah mereka tak melepak. Pls JK Masjid jangan ngarang sangat dengan bebudak, bagi chan macam kita masa kite bebudak dulu

    BalasPadam
  7. bro isham teringat aku pengalaman yang sama, tapi bebudak skrg susah ke masjid sebab JK masjid garang-garang. Lagi satu masjid skrng jarang ada moreh. Dia orang kata nanti orang datang nak makan bukan niat nk sembahyang. tapi itulah yang meriahkan bebudak ke masjid. Jadi kurang masalah lepak...kesian bebudak skrg.

    BalasPadam
  8. bila baca cerita abang isyam ni...tersentuh rasanya hati...teringat zaman kecik2 aku...kami pun guna lampu minyak tanah tu atau pun nama manjanya 'Lampu gaselin'..asalkan nak maghrib je abang aku anak lelaki sulong dirumah akan mula mengepam lampu tadi...yg bestnya aku tak tau macam mana benda pelik tu boleh keluarkan cahaya yg begitu terang sekali...indah sungguh!! bila umur 7thn wak (Gelaran utk bapaku}dah berduit sikit dan kami pun masuk api...aku lagi pelik macam mana wire2 dan tali2 tu boleh keluarkan cahaya...

    BalasPadam
  9. gila nostalgia...

    tak mau wat filem ?

    BalasPadam
  10. Salam Tuan,

    Sungguh indah kenangan dizaman kanak-kanak, tak tergambar kemeriahan pada si kanak-kanak, Tapi itu dulu, yang tinggal kenangan untuk di ceritakan pada anak cucu...

    Salam

    BalasPadam
  11. hai abang isyam, tak tido lagi?
    tiba-tiba malam ni terasa sangat nostalgia lalu, teringat masa dok asrama di sekolah dulu...aku ni bukannya warak tapi dah namanya bersekolah di sekolah agama...jadi setiap malam bulan puasa kami akan bertadarus beramai-ramai..seronok sangat, berlumba mengaji sebab nak pastikan dapat habis satu juzuk satu malam...tapi yg tak bestnya bila uzur...aduh mak ooi...kena lak 7 - 8 hari, lepas boleh jer puasa...jenuh nak mengejar kawan2 yg dah tinggal kan aku tu...tapi alhamdulillah setiap tahun ramadhan mesti dapat khatam quran sekali, tapi sekarang aku dah tak sempat lagi utk bertadarus.... mungkin sibuk sgt dgn itu dan ini...terawih pun dah tak buat lagi, cuma lepas isyak di rumah tu, ngajilah se surah dua... sekarang giliran anak2 aku pula yg dok diasrama tu...dulu bila aku dok asrama..kerana kononnya antara yg terbijak dikampung...tapi anak2 sekarang bila dihantar keasrama, dikatanya kita menghukum diorang...ntah lah... apa nak jadi dgn dunia sekarang...

    BalasPadam
  12. seronoknya saya membaca coretan abang. malang sungguh remaja masa kini seperti saya yang tidak dapat menikmati suasana sebegitu..

    BalasPadam
  13. pehhh sempoi bro isham...teruskan menulis artikel yang best2 bro isham memang cool...x boring baca setiap artikel bro isham...

    http://suarasaktii.wordpress.com/

    BalasPadam
  14. bestnyer hidup di kampung. aku hidup di kampung juga. tapi kampung setinggan di kuala lumpur tahun 90an. kini kampungku itu sudah diratakan lalu dibina rumah bungalow. kami dipindahkan di rumah flat kos rendah di pinggir kuala lumpur.
    teringat kembali aku dulu sewaktu bulan ramadhan. ketika itu aku sekolah menengah. era reformasi 1998. sebelum reformasi, surau di tempat ku hanya melakukan solat terawih 8 rakaat dengan 3 rakaat witir. selepas 4 rakaat terawih, akan diadakan tazkirah ( kiranya seperti berehat sebentar, sambil tok imam mengambil kesempatan utk menggunakan waktu bertazkirah dimana paling ramai orang kampung solat berjemaah berbanding hari biasa).
    selepas reformasi tercetus, alih2.. JAWI mengarahkan surau ditempatku untuk melakukan solat terawaih 24 rakaat dengan 3 rakaat witir. bagi kami yang masih mentah, itu tersangat melampau kerana kami berfikir kami bukan lagi bersolat hanya bersenam utk meletihkan kaki. maka dengan itu, tazkirah pun sudah ditiadakan lagi menurut arahan jawi tersebut. sebenarnya arahan itu hanya bertujuan untuk 'mengharamkan' tazkirah takut2 digunakan oleh ustaz2 utk menghantam kerajaan.
    sekian terima kasih.

    BalasPadam
  15. Sdr, Isham,

    Bila baca Halaman Sdr. buat aku teringat zaman bawa Andang kelapa dibakar bagi menerang laluan.

    Zaman kedai saje ada TV yang dikira Supermarket orang kampong.

    Teringat bila ada Tayangan Gambar Melayu awal serumah telah berkumpul untuk ambil tempat macam pesta.

    Sejarah cerita melayu Pontianak Dari Gua Musang, cukup takut nak tonton nyorok belakang Mak Cik aku. Hari itu TV mainkan balik dan pertama kali dalam sejaraj aku tonton sampai habis...

    Yang jadi ketawa inilah filem Pontianak yang tiada Pontianak aku ketawa seorang diri..Lama baru puashati...kira sejarah letu..

    GanyaS

    BalasPadam
  16. samo la kito bang isham. den ingat laie maso den kocik kocik... poie surau, kampong pun takdo apo apo. kalau poie sughau tu memang best. dapek makan sodap sodap. dulu macam abang isham cakap la... mano ado oghang kacau oghang. sumo eh adek beghadek... skaghang ni dah tak do apo laie. sumo member member den dah takdo kek kampong laie... sunyi sopi

    BalasPadam
  17. Gila lah ko Isham. Hidup yang kau cerita macam hidup kami yang 'common malays' (bukan 'common pariah')

    BalasPadam
  18. Selain mereka tidak perlu membeli beras di kedai, penduduk kampong ini juga boleh dikatakan tidak memerlukan wang yang banyak untuk menampung kehidupan seharian mereka. Mereka tidak makan lauk seperti daging, ayam dan ikan tiap-tiap hari seperti orang di Bandar. Mereka mungkin makan nasi dengan bergulaikan sayur nangka hari ini, besok mereka gulai pisang, hari seterusnya mungkin mereka gulai jantung pula. Semua bahan-bahan yang mereka buat gulai boleh didapati di merata kampong tanpa perlu dibayar. Selain yang disebutkan tadi mereka boleh dapat pucuk ubi, pucuk paku, pucuk memperai, pucuk labu, pucuk keledek, rebung, keladi dan sebagainya dengan mudah untuk dibuat gulai.


    Sambil itu mereka juga menternak ayam. Sesetengahnya ada memelihara lembu, kerbau dan kambing. Sekali-sekala mereka menyembelih ayam untuk dibuat lauk. Juga kadang-kadang mereka menangkap atau memancing ikan di lubuk atau di sawah untuk dijadikan lauk. Hanya sesekali saja mereka pergi ke pasar untuk membeli ikan dan sayur di pasar. Wang yang mereka dapat biasanya digunakan untuk membeli keperluan seperti gula, garam, kunyit, minyak tanah, tepung, pakaian dan beberapa peralatan rumah yang asas yang memang tidak boleh didapati di kampong.

    http://aliasmohdyusof.blogspot.com/2006/08/kampung-ku.html

    BalasPadam
  19. syahdunya.....
    tak terkomen apa2 pun.....

    BalasPadam
  20. Bro Hisyam, indah banget zaman kekanak dulu. Bila membaca tulisan bro ni, terasa airmata seakan berada dibibir mata, bukannya sedih tetapi sayu apabila anak2 moden tidak dapat megalami apa yg kita rasa.

    Memori zaman itu amat indah. Bila melihat anak sendiri membesar tanpa mencatat zaman indah mereka sendiri, terasa alangkah zalimnya zaman mereka kini.

    Teruskan bernostalgia kerana ianya juga sebahagian dari memori kami.

    BalasPadam
  21. membaca tulisan bro ini. membawa saya terawangan. tiba2 segalanya menjadi indah, santai, tenang. semangatnya hidup. best la bro...

    BalasPadam
  22. Time ni lah, mlm2 dapek kluar (org tua ingat kito gi terawih). Pakai andang kelapa jalan2 keliling kampung (hantu takdak sobab semuo dah kono rantai)sambil melastik pelita orang. Paling 'thrill' kalau kono kojar. kalau musim buah2an time nilah pogi mencuri buah, padahal bukan nak makan sangat pun. Cukup time dekat2 terawih nak habis barulah sampai kat masjid menunggu utk moreh. Bilo dah beranak pinak sekarang, balik rayo pun payah nak jumpo kawan2 sopormainan dulu. memasing dah dah bawak diri & komitmen sondiri. Utk mengonang kombali kepada anak2lah kito bercerito..

    BalasPadam
  23. This is a very touching entry.You should write a book on your kampong life.Kadang-kadang kita perlu memandang ke belakang untuk berasa bersyukur atas apa sahaja kita ada hari ini.Tetapi ini tidak bermakna kita tidak perlu bekerja keras lagi untuk hari-hari yang lebih cemerlang.

    Thanks for sharing.

    Tiub Lori

    BalasPadam
  24. syahdu je bila baca cerita ni....

    BalasPadam
  25. Arloji= Telefon

    Cencorong=Radio

    Betul tak? Ni Bahasa Melayu klasik ni...

    BalasPadam
  26. Saya tidak sempat menonton DARI JEMAPOH KE MANCHESTER, Boleh tak dibuat satu tulisan, kalau boleh jangan ringkaskan, tulis detail bagaimana peristiwa dari university malaya abang hisam keluar menyeludup diri hingga boleh sampai ke UK, dari malaysia pergi mana, lepas tu pergi mana, lepas tu pergi mana, kemudian macam mana balik semula.

    Boleh la cerita

    BalasPadam
  27. arloji tu jam

    cencorong plak adalah radio

    BalasPadam
  28. Salam..

    Sungguh meyusup kalbu..
    Tetapi itulah perubahan paling besar pada zaman ini.
    Sekarang banyak surau yang dah terbiar.
    Tiada remaja dan kanak-kanak yg memeriahkan.
    Orang sekarang selalu kacau orang lain dan buat hal sendiri.
    Tiada muafakat sebab fahaman politik.

    Zaman Yang Hilang..
    Tetapi kenang terindah kerna betul-betul punya kebebasan.

    Selamat..Takbir!!

    BalasPadam
  29. Bro iSham

    tetiba aku terasa nostalgia pulak dengan tulisan ko nie.. bagus iSham.. membaca tulisan ko bagaikan sehidang nasik dengan macam2 lauk yang lengkap dengan pedas, manis, masin, ulam dan sambal belacannya.. macam2 rasa..

    teruskan menulis dari hati ikhlas ko..

    Wasalam..

    BalasPadam
  30. Yang ini syok aku baca. Samo yo den. He he

    BalasPadam
  31. Nostalgic...ade part 2 or 3 ke?

    Brader, u have never failed to amaze me!!

    Bravo sir...

    BalasPadam
  32. Terlalu syahdu saya rasakan apabila membaca cerita tuan, seakan mengingatkan kembali zaman kanak-kanak saya ketika saya bebas bermain di dalam kebun getah opah tanpa risau adanya gangguan dari makhluk berkepala hitam. Teruskan, saya suka cerita tuan.

    BalasPadam
  33. Bro Isham.Salam Ramadhan.Semasa kecil saya pernah dicerita oleh abang saya kisah perjuangan abg Isham di kampus sshingga abg merantau jauh.Lalu hati saya berkata"Alang kah baik kalau abg dpt kembali ke kpg halaman.Insan ini kaya dan sarat dgn pengalaman.Dgn izin ALlah abg kini kembali.Thanks for sharing kenangan lalu nan indah.Byk pengajaran yg diperolehi.Terus menulis.Take Care. Prie.

    BalasPadam
  34. Buka puasa makan bahulu,
    Pastu belasah jeruk cermai,
    Indah sungguh kenangan dulu,
    Menggamit pulang ke desa permai.


    Banyak kije kepala pening,
    Makan penedol konon nak ubat,
    Blog Bro Isham begitu happening,
    Terlepas baca pasti terkulat.

    BalasPadam
  35. menyentuh sekali post ini. walaupun tahu kita bukan kanak2 di zaman yang sama, tapi tetap, pengalaman ramadhan di kampung memang tak jauh bezanya.

    BalasPadam