Sabtu, 23 Ogos 2008

TERKINI

Terkini, Anwar Ibrahim telah pun memulakan ceramahnya pada sekitar jam 11.43pm, di Penanti.

Hujan renyai-renyai masih lagi turun, tetapi orang ramai tetap tidak bergerak.

Laungan reformasi menjadi permulaan kepada ceramah.

Helikopter yang menyuluh tadi juga sudah tidak kelihatan lagi.


TERKINI DARI PENANTI

Ceramah oleh Anwar Ibrahim diadakan di sini pada malam ini.

Dalam keadaan hujan renyai-renyai ini sudah ribuan pendengar yang berada di sini.

Sekitar jam 11.15pm, sebuah helikopter telah pun tiba untuk menyuluh ke arah khalayak dan kawasan sekitar tempat ceramah diadakan.

Setakat ini Anwar Ibrahim masih lagi belum sampai dan pentas ceramah sedang diisi oleh Azmin Ali.

Sementara itu, 20 buah kereta penyokong PKR dari Rembau telah pun tiba di Penanti untuk turut sama mengikuti ceramah Anwar Ibrahim.

Kumpulan penyokong ini menginap di hotel di Juru.

TERKINI TERKINI TERKINI

Sebuah lori penuh dengan banner 'Anwar PM- Israel Buka Kedutaan' telah ditahan oleh Angkatan Muda Keadilan di Seberang Jaya.

Sekarang ini lori tersebut berada di Balai Polis Seberang Jaya.

TERKINI - 3 HARI SEBELUM D-DAY

Malam ini Dr. Harun Din akan mengadakan Sembahyang Hajat di Masjid Bandar Baru Perda.

YB DAN MENTERI BN HILANG MENYEPI

Ramai YB daripada Barisan Nasional tidak menunjukkan muka di pilihanraya kecil P44 Permatang Pauh. Ini agak berbeza daripada apa yang berlaku di pilihanraya kecil Ijok.

Yang ke hulu ke hilir dan 'full-time' di P44 hanyalah Najib Razak.

Sabri Ismail datang dengan pemain bulu tangkis yang gagal mendapat pingat emas di Beijing 3 hari dahulu.

Azalina, Muhyiddin Yasin, Shahril Samad dan Zahid Hamidi langsung tidak muncul-muncul. Mungkin mereka hadir tetapi tidak ke hadapan.

Tidak ada Menteri Besar United Malays National Organisation yang datang. Cuma bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang kerap muncul, mungkin kerana rumahnya dekat dengan jetty Tanjung.

Rais Yatim mungkin masih dalam keadaan 'terperanjat' kerana menerima RM50 dan dituduh menerima 'rasuah' pada hari penamaan calon satu minggu dahulu.

HJ HADI TIDAK NAMPAK BATANG HIDUNG

Hj Hadi Awang yang pernah mengeluarkan Amanat Haji Hadi tidak kelihatan batang hidung di Permatang Pauh.

HUSAM BERSAMA ANWAR

Husam Musa, Mat Sabu dan Dr.Hatta telah hadir di Permatang Pauh. Mereka telah berkempen dalam beberapa ceramah sepentas dengan calon P44 Anwar Ibrahim.

EZAM KEMPEN UNTUK PKR

Ezam Mat Nor kelihatan berkempen untuk PKR. Klip Vcd Ezam berceramah mengutuk 'kaw kaw' United Malays National Organisation telah dimainkan di Bilik Gerakan PKR.

Klip ini menjadikan penonton ketawa.

D- DAY PERMATANG PAUH

Tiga hari sebelum D-Day Permatang Pauh.

Apa dia D-Day yang selalu didengar-dengar dalam istilah politik?

D-Day ialah Dunkirk Day. Dunkirk ialah kota pantai di utara Peranchis yang berhampiran dengan negara saya - Belgium.

Istilah ini timbul dalam Perang Dunia Kedua.

D-Day ialah nama 'kod rahsia' di mana tentera Amerika dan British akan menyerang tanah besar Eropah pada hari 'rahsia' yang ditetapkan

D-Day ialah satu strategi tentera untuk mendaratkan tentera darat ke pesisiran pantai Dunkirk. Pendaratan ini akan dibantu oleh tentera udara.

Hari D-Day ini terus diingati oleh orang Peranchis dan Eropah sebagai satu hari yang bersejarah.

D-Day ini telah di gambarkan dalam filem Peranchis yang bertajuk Dunkirk di mana Jean Paul Belmondo menjadi protagonist. Hollywood juga membuat filem The Longest Day dengan tema yang sama. The Longest Day menampilkan hampir seluruh pelakon jantan Amerika dan British.

LOPORAN CUACA - SABTU 3 HARI SEBELUM D-DAY

Pagi ini kawasan di sekitar Permatang Pauh, Butterwoth, Prai hingga ke Sungai Petani panas terik.

Jalan- jalan di sekitar Permatang Pauh kelihatan kosong. Hampir semua Bilik Gerakan daripada kedua-dua parti yang bertanding kosong.

Kereta yang berlegar-legar di Permatang Pauh kebanyakannya ialah pelancong politik. Semua pekerja politik sedang berehat untuk kembali aktif seperti Count Dracula di waktu malam.

STOP PRESS - WAYANG MALAM INI

Sivaji The Boss akan ditayangkan malam ini (SABTU) jam 9.00 malam.

Tempat : Markas Bilik Gerakan Angkatan Muda Keadilan, Jalan Tenggiri, Seberang Jaya (di belakang stesen minyak Shell)

Sila bawa tikar, kacang putih dan rokok gulung.

Genre filem : Tamil. Komedi/Politik




HADI JADI PM

Kain rentang besar telah kelihatan dipasang di bulatan-bulatan jalan : Hadi Jadi PM.

Kain rentang ini kebanyakkannya dapat dilihat di kawasan Seberang Jaya. Muktamar Pas di Ipoh yang baru selesai telah ada 'pemintaan' agar Haji Hadi Awang dinaikkan 'pangkat' untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Haji Hadi dikenali sebagai susuk yang bertanggung jawab mengeluarkan 'Amanat Haji Hadi'. Dalam Amanat ini Hj Hadi telah mengeluarkan pendapat - sesiapa sahaja yang bukan Pas adalah 'kafir'.

Banner pro Hj Hadi yang dianggap layak untuk menjadi PM ini dilihat oleh orang ramai sebagai satu usaha terdesak United Malays National Organisation untuk memecahkan setiakawan dalam Pakatan.

Ada juga orang kampung yang melihat banner ini sebagai satu lawak untuk meng'cartoon'kan Haji Hadi.

POLIS DI TAMBAH

Di Permatang Pauh hari ini telah ada 6 ribu orang anggota polis yang bertugas. Ini bertambah satu kali ganda daripada empat hari dahulu.

Di hujung minggu Permatang Pauh kelihatan dipenuhi oleh Polis dan FRU. Di mana ceruk pun akan kelihatan anggota polis tercongok bertugas.

TERSEREMPAK DENGAN POLIS

Pagi Sabtu jam 3.40 pagi di jalan kampong Kubang Semang, saya terserempak satu kumpulan polis yang bertugas untuk mengawal dua kumpulan anak-anak muda daripada dua parti politik - Pakatan dan Barisan - yang sedang memasang sepanduk.

Pemasangan poster, sepanduk dan bendera daripada dua kumpulan ini betul berhadapan antara satu sama lain.

SILAT DAN BERSILAT

Telah diberitakan Omar Din, guru silat yang pro-United Malays National Organisation telah memanggil ahli-ahli Silat Lincah dan Selendang Merah untuk turun ke Permatang Pauh.

WAYANG BERGERAK

PKR telah membawa panggung bergerak dalam lori besar. Filem dan klip Reformasi dimainkan.

Panggung ini berpindah dari satu kampung ke satu kampung yang lain.

MAT EZAM DAN KJ

Orang-orang United Malays National Organisation di Permatang Pauh telah menolak Mat Ezam dan Khairy Jamaluddin atau KJ nama manjanya.

Laporan culaan dua hari dahulu menunjukkan Pakatan mendapat 55% sokongan manakala United Malays National Organisation mendapat 45%.

Dengan kesampaian Ezam Mat Nor dan KJ, sokongan terhadap United Malays National Organisation telah menurun kepada 30% dan Pakatan melonjak kepada 70%.

POSTER NAJIB

Di sekitar Seberang Jaya poster Najib Razak memakai baju Melayu merah kelihatan terpasang di sepanjang jalan. Silap-silap haribulan pengundi akan menganggap Najib Razak yang bertanding.

Poster Abdullah Badawi memakai baju biru dengan latar belakang biru kelihatan agak gelap dan pudar, ada juga terpasang tetapi tidak semewah dan sebanyak poster Najib.

RASTA MAN DI PERMATANG PAUH

Jangan silap baca. Poster-poster kecil yang membawa warna ‘Rasta’ Bob Marley yang tepasang di beberapa tempat di Permatang Pauh bukan daripada 'jah'. Ini adalah poster calon AKIM yang telah mula dipasang.

Berlatarkan warna hijau dan ada bulatan puting di tengah-tengah menyerupai lambang Pas. Di tengah-tengah bulatan putih ini ada warna ‘Rasta’.