Ahad, 24 Ogos 2008

STOP PRESS : RAMLANG PORIGI

Ramlang Porigi turut memohon maaf kerana kehadirannya di dalam majlis sumpah laknat.

Dia berasa gugup apabila melihat ribuan orang berhimpun menantikan ketibaannya di Padang Ibu.

Terdapat antara 3-4 ribu orang di sini mengikut anggaran mata kasar.

Ramlang turut menambah, dia melihat Saiful kelihatan 'happy' di dalam majlis sumpah laknat tersebut.

Teks sumpah laknat telah disiapkan terlebih dahulu oleh 'pihak atasan'

STOP PRESS : PADANG IBU 1130 MALAM

STOP PRESS: PADANG IBU 1130 MALAM

Imam Masjid Wilayah, Ramlang Porigi baru sahaja selesai menyampaikan ucapannya.

Ucapan pendek Ramlang Porigi hanya mengambil masa sekitar 7 minit sahaja.

Dia mengaku bahawa dia adalah seorang daripada 9 imam Masjid Wilayah.

Ramlang Porigi menyatakan bahawa dia telah dipaksa untuk hadir ke majlis sumpah laknat tersebut olah ‘pihak atasan’.

Dia juga mengakui bahawa teks untuk sumpah laknat tersebut telah disediakan oleh ‘pihak atasan’ dan dia tidak tahu menahu langsung mengenainya.

Ramlang Porigi juga meminta kepada semua pihak agar berhenti menuduhnya terlibat di dalam perancangan majlis sumpah laknat tersebut.

Ramlang Porigi selepas itu dibawa turun dengan diringi ketat oleh pasukan keselamatan. Pihak media antarabangsa kelihatan cuba untuk mendapat temubual dengannya.

Kg Padang Ibu terus sesak dengan orang ramai dan kereta yang diletakkan di bahu jalan.

Sejarah baru telah terukir untuk kampong ini yang lokasinya memang begitu jauh ke dalam.

11.15 malam di Padang Ibu

Pada ketika ini, keadaan di Padang Ibu adalah begitu sesak sekali.


Orang ramai berada di sini untuk mendengar apa yang bakal disampaikan oleh Ramlang Porigi berkenaan majlis sumpah laknat Saiful.


Kereta-kereta telah pun diletakkan di bahu jalan.


Turut kelihatan sama ialah wartawan-wartawan penyiaran, termasuk dari luar negara.


Ketika ini Ramlang Porigi juga sudah berada di pentas dengan diringi sendiri oleh para pengawal PKR.


Anwar Ibrahim juga sudah berada di sana.

CERAMAH DI KUBANG SEMANG

Ceramah PKR di depan masjid Kubang Semang sedang diadakan pada ketika ini.

Lebih 400 orang pendengar berada di sini pada ketika ini.

Jalanraya sekitar kawasan Kubang Semang dan Permatang Pauh secara keseluruhannya masih lagi sesak.

Jalanraya menuju ke Padang Ibu juga sangat sesak ketika ini.

Ia disebabkan oleh orang ramai yang menuju ke sana untuk mendengar apa yang bakal disampaikan oleh Ramlan Porigi.

MALAM INI DI PERMATANG PAUH

Saya baru sahaja melintasi Taman Guru, dari Bukit Mertajam.

Terdapat sebuah bilik gerakan Barisan Nasional di sini.

20 buah kerusi plastik telah disediakan tetapi saya hanya melihat sekitar 6 buah kerusi sahaja yang diduduki manusia untuk mendengar ceramah.

200 meter dari bilik gerakan tersebut saya melintasi pula kelompok ceramah PKR.

Seorang anak muda mahasiswa sedang menyampaikan ceramah di situ.

Sekitar 200 orang pendengar berada di dalam kelompok ceramah tersebut.

Jalanraya sekitar kawasan ini masih lagi terus sesak, sejak petang tadi.

Di sebuah bilik gerakan Barisan Nasional yang lain, tayangan VCD anti Khalid Jaafar dan IKD kelihatan mendapat sambutan.

Hampir sekitar 40 orang kelihatan memenuhi bilik gerakan Barisan Nasional di situ.

RAMLANG PORIGI DI PENTAS PKR

'Imam' Masjid Wilayah, Ramlang Porigi yang menjadi tumpuan dan kontroversi selepas kehadirannya di majlis sumpah Saiful sekali lagi bikin gempar.


Dia mengakui bahawa cara bersumpah itu tidak betul dan dia telah terpaksa untuk menerima dan berada di dalam majlis sumpah tersebut.


Malam ini, Ramlang Porigi akan mendedahkan segalanya berkaitan isu tersebut di pentas PKR Permatang Pauh.


Sama-sama kita nantikan.

UTUSAN ME- LAYU-LAYU

Sesiapa yang datang dari Selatan ke Permatang Pauh dan melintasi tol Juru akan bertemu dengan satu kumpulan penyokong United Malays National Organisation yang menghulurkan akhbar-akhbar secara percuma ke setiap kereta yang sedang membayar duit tol.

Di akhbar-akhbar ini tercop – Hadiah Untuk Pengundi.

Akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian dan NST yang tidak ramai pembaca ini terpaksa diberi percuma untuk bakal pengundi.

Petang Ahad jam 4.00 di Permatang Pasir telah kelihatan seorang lelaki yang berbungkus kepala dan memakai cermin mata hitam bergerak menyebarkan akhbar-akhbar ini.

Lelaki ini begitu malu kerana menyebarkan akhbar ini maka dia terpaksa menyorokkan mukanya daripada dikenali oleh orang ramai.

TIGA FAKTOR BOLEH MEMBAWA REBAH

Hakikatnya pada ketika ini Anwar akan menang dengan cemerlang. Tetapi ada 3 faktor yang boleh membawa rebah.

Pertama: Sokongan Pas agak 'loheh/longgar' di Permatang Pauh. Bendera Pas tidak banyak terpasang. Ini juga akibat karenah beberapa gerombolan Pas yang ingin sangat menjadi sebahagian daripada gerombolan United Malays National Organisation. Ahli-ahli Pas yang bersimpati dengan gerombolan Pas pro-gerombolan United Malays National Organisation mungkin tidak mengundi Anwar.

Kedua : Fairuz yang menjadi YB Adun Penanti 'tidak begitu pop' dengan banyak orang di Permatang Pauh. YB ini dianggap 'angkuh' oleh sesetengah warga Permatang Pauh.

Ketiga : Lebih daripada 30% pengundi Permatang Pauh bekerja di kilang. Mungkin kilang-kilang ini tidak bercuti walaupun kerajaan Pakatan Pulau Pinang telah mengisytiharkan cuti. Mengundi hari bekerja juga akan mengurangkan ramai bakal pengundi yang mungkin tinggal di luar Pulau Pinang.

Hari Selasa di pilih oleh SPR memang berniat 'busuk'. Kalau hari Isnin ramai yang akan memanjangkan cuti hujung minggu. Hari Selasa menyusahkan pengundi yang jauh.

DI PERMATANG PAUH 35 TAHUN KEMUDIAN

Dia berasal dari Kulim, kini tinggal di Butterworth. Dulu dia bersekolah di Penang Free dan tinggal di Kolej ke-4 Universiti Malaya. Saya tinggal di Kolej ke-5. Dia belajar Ilmu Alam. Saya belajar Sejarah. Dia lulus berijazah, saya pula melarikan diri dari UM untuk membuat sejarah. Ini 35 tahun dahulu.

Semuanya berlaku dengan tidak sengaja. Hujung minggu ini kami bertemu kembali di Permatang Pauh.

Bila bersalaman di hadapan rumah tumpangan, saya teringat kembali bagaimana kami bertemu ketika kami 'freshie' di Universiti Malaya pada bulan Mei 1971. Kolej ke-4 dan Kolej ke-5 'bermusuhan' bukan hanya waktu orientasi malah terus 'bermusuhan' dalam hal sukan sepanjang tahun.

Kolej ke-4 memiliki sesuatu yang tidak ada di Kolej ke-5 – siswi bergetah. Dalam hal mencari kekasih kami di Kolej ke-5 gagal. Tetapi Kolej ke-5 adalah yang terbaik di UM dalam hal sukan dan politik.

Kali ini kami di Permatang Pauh tidak lagi 'bermusuh'. Tidak ada apa yang kami rebutkan.

Saya tidak akan memberikan namanya di sini kerana dia telah membelot. Membelot kerana dia telah mula bersimpati dengan PKR. Ini tidak seharusnya dilakukan kerana dia berjawatan Guru Besar – orang kerajaan.

Kini dia dan isterinya telah pencen. Mereka mempunyai empat orang cahaya mata - semua anak gadis. Seorang anak gadisnya mati dilanggar lori. Tiga orang yang lain tidak lagi tinggal di rumah. Lalu dia bercerita betapa hidup ini telah berubah. Satu ketika dahulu dia sering berebut dengan anak-anak untuk menonton tv. Kini dia sering menelefon anak-anak meminta mereka pulang bercuti.

Dua susuk pencen, kini kesunyian. Untuk berlibur dia memelihara berbelas-belas ekor kucing. Lalu kami bercerita hal kucing. Saya hanya memiliki tiga ekor kucing – Curvey, Mami dan Siti. Dia bertanya hal Ramdan – anjing saya – yang telah berpindah rumah. Dia bertanya kenapa kucing saya bernama Siti – lalu saya terangkan kucing saya ini mukanya sama seperti muka Siti Nuthaliza. Lalu kami ketawa bersama.

Kami ke Sungai Petani kerana saya memerlukan internet. Lalu dia memandu kerana dia tahu selok belok daerah ini. Sambil saya 'online' sambil kami berlabun. Dia minum teh. Saya minum kopi o kosong. Kemudian kami makan bubur labu.

Bayangkan betapa hidup ini telah berlalu.

Selesai di internet cafe kami beredar ke Permatang Pauh. Dia tahu selok belok semua jalan-jalan di mukim ini. Halatuju kami ialah mencari kedai Gulai Itik. Dia kenal betul dengan kedai ini. Malah dia selalu makan di sana. Sayang, kedai ini masih bercuti.

Kami beredar dan merayau-rayau melihat bendera, poster dan bilik-bilik gerakan. Cerita kami terputus-putus.Tidak teratur. Kami tertanya dan menyoal - apa terjadi kepada si anu dan si anu. Apa yang dibuat oleh si dia dan si dia.

Di dalam kereta tiba-tiba anak gadisnya menelefon dari rumah. Anak gadisnya bertanyakan di mana letaknya 'sikat kucing' kerana kucing-kucing ini perlu di sikat untuk dimanjakan. Lalu saya teringat kepada 3 ekor kucing saya yang hampir setahun tidak mandi.

Kami berhenti di warong yang ada menjual popiah. Sekali lagi kami kecewa. Kedai ini juga ditutup. Akhirnya kami singgah di sebuah warung. Saya membeli cucuk-cucuk buah untuk dijadikan pembuka selera. Dia meminta mee goreng dan kuey teow. Saya makan mee campur bihun. Enak sungguh kerana kami lapar.

Hari semakin gelap. Permatang Pauh semakin sibuk. Dia ingin pulang. Lalu kami mengucap selamat tinggal. Jika tidak kerana Permatang Pauh tidak mungkin saya bertemu dengan ‘Dia’ ini.

KUBANG SEMANG KETIKA INI

Kesesakan lalulintas yang luarbiasa sedang berlaku di Kubang Semang ketika ini.

Ketibaan para pelancong politik pada waktu ini telah menjadi punca utama kepada kesesakan lalulintas tersebut.

BREAKING NEWS/PEMECAH BERITA

Pihak polis telah memberikan kenyatan dan menafikan adanya 'letupan bom'.

Mengikut pihak polis inilah 'kerja-kerja kurang akal' oleh 'budak-budak nakal'.

Police denied it was a bomb but just some pranks from naughty mischief.

TERKINI DARI PERMATANG PAUH

Cuaca mendung. Hujan rintik-rintik. Mungkin akan hujan lebat di sebelah malam.

SEMBAHYANG HAJAT

Pada malam ini ada Sembahyang Hajat akan diadakan di Masjid Perda bersama Nik Aziz.

MESYUARAT TERGEMPAR

Semua peguam yang berada di Permatang Pauh akan mengadakan mesyuarat tergempar jam 10 malam ini.

Mesyuarat akan diadakan di Yayasan Aman.

Agenda malam ini ialah untuk menyusun tugas-tugas kerana berlaku beberapa tangkapan dan membantu daripada sudut perundangan.

CERAMAH DI PENANTI

Pada malam ini juga, MB Perak Mohamad Nizar Jamaluddin akan berceramah di Guar Perahu,Penanti. Besar kemungkinan Nik Aziz juga akan berceramah sama.

STOP PRESS

Setelah lama mencari, saya akhirnya bertemu dengan sebuah kedai makan Melayu yang khusus menjual Gulai Itik.

Buat masa ini kedai tersebut masih ditutup. Saya akan beri laporan Gulai Itik ini apabila saya telah memakannya.

Untuk sementara ini alamat kedai tersebut tidak akan saya bocorkan agar bila kedai ini dibuka Isnin nanti Gulai Itiknya tidak habis.

ANGKA SAWAN DI PENANTI

Sheikh Muszaphar Shukor kini dilaporkan sedang melangok di Penanti.


Bagi yang telah lupa, atau yang belum sempat kenal, dia ialah penumpang kapal angkasa Soyuz.


Tiket penerbangannya telah dibayar dengan wang pembelian jet pejuang Sukhoi.

AMARAN! APA YANG JANGAN DILAKUKAN DI PERMATANG PAUH

Pelancung politik semakin menyesak di Permatang Pauh. Jadi di sini adalah beberapa pekara yang perlu di beri perhatian teliti:

1 -Kalau hendak mendengar ceramah Anwar dan tersesat jalan di Permatang Pauh jangan sesekali bertanya di pondok yang ada lencana keris atau gambar dacing. Bahaya nanti patah gigi.

2 - Kalau hendak mendengar "stand comic Mat Ezam dan 40 Penyamun" jangan memakai baju T bercap kepala Anwar. Bahaya.

3 - Kalau hendak makan satay dan laksa percuma sila cari tempat orang yang paling sikit berkumpul. Pasti ada satay dan laksa.

4 - Apabila berjumpa anak muda yang memakai baju T bercap Anwar jangan tanya "malam ini Ezam berceramah di mana?" Bahaya.

5 - Kalau jumpa ular dan Mat Ezam jangan sesekali ketuk kepala ular. Ular adalah umat yang Maha Esa. Sayangi binatang liar. Kalau ular ini besar berikan Ezam untuk dijadikan makanan ular.

6 - Kalau mendengar ceramah Najib jangan sesekali bertanya "ibu negara Mongolia apa namanya?" Bahaya.

7 - Kalau mendengar ceramah Najib jangan sesekali bertanya "di Permatang Pauh ini ada kapal selam ke?" Bahaya.

8 - Kalau mendengar ceramah Malaysian Indian United Party jangan bertanya "Nala Kurapan itu kena penyakit kurap ke?" Bahaya.

9 - Kalau pergi ke pondok yang ada logo bulan jangan sesekali bertanya "Hadi yang nak jadi PM tu pandai ke cakap Mat Salleh?" Bahaya.

10 - Kalau pergi kedai Bundle dan nak tawar menawar harga memang hendak kena belangkong.

TERKINI DARI PERMATANG PAUH

Kes 'pesta robot' meletupkan bom kecil di Sungai Semambu sedang heboh menjadi cerita pagi Ahad.

Seperti cerita-cerita rakyat ianya akan bertokok tambah dengan Aji No Moto dan garam masala.

Seorang anak muda Rozaimin Elias 26 tahun dari pemantau NIEI telah melihat dengan mata kepala kejadian itu. Sebagai pertugas pemantau NIEI Rozaimin telah datang ke tempat kejadian untuk menyaksikan apa yang berlaku.

Menurut Rozaimin, dia melihat ada sebuah van polis terletak tidak jauh dari tempat kejadian. Juga kelihatan 'geng motorsikal besar'. Geng ini adalah tim squad polis yang datang membantu Unit Pemusnah Bom.

Ketika itu orang belum ramai yang datang melihat 'pesta robot' hanya ada diantara 20 ke 30 susuk.

Kemudian mengikut Rozaimin seorang anggita polis telah datang dan berkata '.... pi pi pi.. bom dah nak meletup...' Rozaimin ketawa melihat prosedur yang agak lawak ini.

Dia berundur ke kedai Bundle yang tidak jauh dari tempat kejadian. Tuan punya kedai Bundle telah berkata kepada Rozaimin '.... Puteri Amno duk tempat harrram...'

Rozaimin beredar dan tidak melihat apa yang berlaku seterusnya.

NOTA: NIEI - National Institute for Electoral Integrity ialah Ngo yang memiliki jaringan antarabangsa.

BOM DI LETUPAKAN DI KUBANG SEMANG PERMATANG PAUH

Pada pagi Ahad 24.Ogos 2008 sebutir bom kecil telah diletupkan oleh Unit Pemusnah Bom di Kubang Semang.

Bom ini telah diletupkan pada waktu dinihari dalam pukul 2.00 pagi lebih kurang.

Bom yang diletupkan oleh Unit Pemusnah Bom ini telah ditemui dalam kawasan berhampiran dengan Bilik Gerakan Puteri United Malays National Organisation Sungai Semambu.

Hampir 300 orang penduduk kampong telah melihat dan menyaksikan 'pesta robot mencari bom '. Robot telah digunakan untuk mencari bom dalam kawasan di sekitar Bilik Gerakan Puteri.Apabila bom ini diletupkan orang-orang kampung bertepuk tangan ketawa melihat 'pesta' yang tidak habis-habis di Permatang Pauh.

LATAR BELAKANG BOM

Kawasan di sekitar Bilik Gerakan Puteri United Malays National Organisation ini memang 'panas'. Orang-orang kampong kawasan ini tidak suka Bilik Gerakan Puteri didirikan. Kampong Sungai Semambu. Kampung ini dalam sejarah tidak pernah membenarkan United Malays National Organisation memasang bendera atau pun mendirikan Bilik Gerakan, waima di zaman Anwar dalam United Malays National Organisation.

Seorang anak muda yang ada semasa 'pesta' ini berlangsung telah berkata ..." prosedur nak letup bom pun agak lawak.... orang masih ramai masih sedang syiok melihat robot tiba-tiba ada arahan untuk berundur... belum sempat undur bom telah meletup. Orang bertepuk tangan..."

Tiga puluh meter dari tempat bom meletup ada sebuah restauran Tom Yam yang terus sibuk menjalankan perniagaan melayan pelanggan yangh baru sahaja selesai mendengar ceramah Anwar Ibrahim di Guar Perahu Penanti.

' Orang dalam restoran ini langsung tidak ambil peduli...' sambung anak muda ini dengan ketawa.

KENAPA BOM

Media milik Barisan Nasional pasti akan menuduh bom ini adalah hasil kerja tangan penyokong atau pekerja Parti Keadilan Rakyat.

Malah ramai penonton yang melihat 'pesta' di Sungai Semambu ini telah meramalkan bahawa yang akan menerima tuduhan pastilah PKR.

Apakah ini sebahagian dari kempen kerajaan Barisan Nasional untuk membatalkan pilihanraya kecil ini? Atau apakah ini satu tindakan terdesak untuk menakut-nakutkan para pengundi?

Ketika berita ditulis - Ahad jam 3.27 pagi - masih belum di ketahui kenyataan rasmi dari pihak polis dan kenyataan dari Unit Pemusnah Bom yang membawa robot itu.

BOM DI KUBANG SEMANG

Sebiji bom telah dilaporkan ditemui di bilkik gerakan Puteri UMNO di Kubang Semang.

Dengan bantuan pihak polis dan juga Unit Pemusnah Bom, maka bom tersebut telah berjaya dimusnahkan sekitar jam 0245 pagi.

Puteri UMNO ketika ini mendakwa, kesemua itu adalah kerja Parti Keadilan Rakyat.

Berita lanjut akan menyusul nanti.

NAJIB CERAMAH BERSAMA SATAY

Sementara itu, di simpang tiga Kubang Ulu, Najib Razak juga turut berceramah.

Paling menarik, turut bersama dalam ceramah Najib Razak ialah ‘satay’. Malahan ‘laksa’ juga turut hadir sama.

Seramai 401 orang peminat satay dan laksa telah menghadiri ceramah tersebut.

Nampaknya satay lebih ‘ramai’ daripada peminat itu sendiri.

CERAMAH TAMAT DI PENANTI

Anwar Ibrahim telah pun selesai berceramah pada jam 12 malam.

Jumlah pendengar adalah antara 7000 ke 9000 orang.

Hujan renyai-renyai masih lagi turun pada ketika ini.

Orang ramai juga mulai berasak-asak untuk pulang.