Khamis, 2 April 2009

TERKINI !!!



PAKATAN RAKYAT MOHON YDP AGONG TANGGUH PERLANTIKAN NAJIB
- Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 2 April (Hrkh) - Pakatan Rakyat memohon limpah restu Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin agar menangguhkan pelantikan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam, yang dijadualkan jam 10 pagi esok.

Dalam surat yang dihantar ke Istana Negara, Pakatan Rakyat memohon YDP Agong membuat penangguhan itu supaya beliau disiasat dan dibersihkan terlebih dahulu daripada pelbagai tuduhan yang dihadapkan kepada Timbalan Perdana Menteri.



PETISYEN DESAK TUNDA LANTIK PM
- mkini

Kesemua 81 ahli parlimen Pakatan Rakyat menyerahkan satu petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong, memohon perkenan baginda agar menangguhkan pelantikan Datuk Seri Najib Abdul Razak sebagai perdana menteri.

Petisyen itu, yang diserahkan kepada Istana Negara semalam, ditandatangani oleh penasihat PKR Datuk Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ketua parlimen DAP Lim Kit Siang.

Ahli-ahli pembangkang menyatakan pelantikan tersebut - yang dijadual 10 pagi esok - haruslah ditunda sehingga satu suruhanjaya bebas dibentuk untuk membersihkan Najib daripada segala tuduhan salah laku.

Mereka juga berkata Najib wajarlah disiasat berhubung dakwaan beliau mempunyai kaitan dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu - yang menjadi bahan berita media asing akhir-akhir ini.

Isu komisyen pembelian kapal selam pertama negara Scorpene yang dikaitkan dengan Najib, waktu itu menteri pertahanan, dan wanita Mongolia berkenaan.

Bakal perdana menteri sering menafikan pembabitannya, malah menyatakan beliau tidak pernah mengenai wanita itu.

Berikut disertakan surat yang dihantar ke Istana Negara:

28 Mac 2009
1 Rabiul Akhir 1430

Mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong

Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah

Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Malaysia dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Ampun Tuanku,

Dengan hormat dan takzimnya patik sekalian merafa'kan sembah dan berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala, mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kesejahteraan.

Ampun Tuanku,

MEMOHON PERKENAN UNTUK MENANGGUHKAN LANTIKAN PERDANA MENTERI BARU SEHINGGA NAMA BELIAU DIBERSIHKAN OLEH SURUHANJAYA BEBAS

Patik sekalian mewakili semua 81 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengan penuh takzim ingin merafa' sembah mengenai rancangan YAB Perdana Menteri untuk mengadap Seri Paduka Baginda pada 2 April ini bagi menyatakan hasrat meletakkan jawatan dan menyerahkan jawatan beliau kepada YAB Timbalan Perdana Menteri yang merupakan Presiden Umno yang baru.

Ampun Tuanku,

Jawatan Perdana Menteri ini merupakan suatu jawatan tertinggi dalam negara yang menjadi maruah sesebuah negara. Jawatan yang sebegitu penting seharusnya diberikan kepada individu terpilih yang bersih dan tidak dipersoalkan integritinya.

Baru-baru ini terdapat banyak skandal yang mengaitkan nama YAB Timbalan Perdana Menteri seperti komisyen pembelian kapal selam Scorpene yang melibatkan negara Perancis. Yang paling mengejutkan adalah peristiwa pembunuhan seorang wanita Mongolia yang dikatakan turut mengaitkan nama beliau. Perkara di atas telah tersebar ke seluruh dunia dan diulas di banyak akhbar dan majalah seluruh dunia.

Oleh kerana perkara di atas begitu banyak diperkatakan dan memandangkan jawatan Perdana Menteri begitu penting buat negara ini, adalah amat wajar sekiranya Seri Paduka Baginda menangguhkan lantikan Perdana Menteri yang baru ini sehingga segala dakwaan berkenaan disiasat oleh sebuah Suruhanjaya Bebas dan nama beliau dibersihkan demi menjaga maruah negara ini.

Ampun Tuanku,

Patik sekalian akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekalung penghargaan ke atas keprihatinan dan pertimbangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala melanjutkan usia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan seluruh kerabat Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan yang berkekalan.

Amin Ya Rabbal 'Alamin

Ampun Tuanku,

Patik sekalian dengan segala hormat takzimnya;

Bagi pihak Ahli Parlimen Pakatan Rakyat

YB Dato' Seri Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang merangkap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR)

YB Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

YB Lim Kit Siang
Ketua Ahli Parlimen Democratic Action Party (DAP)




5 ulasan:

  1. AKU TAK HARAP BETUL DENGAN BAKAL PM NIE...TUDUHAN PUN TAK CLEAR LAGI. DIA PATUTNYA SAMAN DULU AKHBAR PERANCIS TU KALU BETUL DIA TAK TERLIBAT...TAK TERLIBAT?

    BalasPadam
  2. TANGGUH SAMPAI PRU 13...YEAH!!!!!

    BalasPadam
  3. Takpa lepas ni bila persidangan parlimen yg akan datang buatlah usul undi tak caya pada PM...pastinya semua geng yang kalah pemilihan umno akan sokong dengan pembangkang termasuklah KJ, shahrir, azlina, dan ramai lagi cuba congak2 kalau boleh
    makan...buat je usul biar najib rasa tergugat...sure PR akan buat...!!!

    BalasPadam
  4. Dah terlambat..ngapa baru sekarang nak hantar surat? Walau bagaimana pun harap2 Yang Dipertuan Agong akan membuat pertimbangan yang paling wajar.

    BalasPadam
  5. Tuanku..
    Pertimbangkanlah harapan kami ini..

    PS-ingat!! gaji tuanku kami yang bayar tau..

    AMPUN TUANKU..dan kami juga ampunkan tuan..

    BalasPadam