Selasa, 23 November 2010

KESAH PENGLIPUR KITA BERMULA




PENGEMBARAAN MAK JANDA




TOK SELAMPIT MULA BERLABON

Macam macam punya gila. Macam macam punya sandiwara sedang dipentaskan. Lepas satu satu tak habis habis. Macam macam punya cerita. Macam macam punya labon. Aku yang jadi tukang karut ini tak sempat nak berjangok ada sahaja cerita baru yang wajib di selampitkan.

Belum pun abis cerita Lubang Saifool ada pulak cerita budak sekolah mati kena terkam buaya di Shah Alam. Sebelum ini ada kes anak China cekik leher sendiri. Kes ini masih belum selesai. Sudah bertahun tahun laporan mahkamah tak siap siap sampai uban aku tumbuh di ketiak. Agaknya sudah reput leher anak China dalam kubur tapi siasatan macam mana dia cekik leher dia sendiri masih jadi satu misteri.

Kesah punya kesah - ada satu kesah yang jadi raja segala kesah kesah. Inilah dia Datuk dan Nenek Moyang dari semua kesah kesah yang pernah dikesahkan. Inilah kesah benar. Kesah benar yang benar-benar belaka. Kesah Mak Janda yang ingin jadi Permaisuri.

Al-kesah mengikut kata sahibul hikayat adalah seorang Mak Janda dari negeri entah berentah. Dari apa yang telah disurahkan Mak Janda ini ditakdirkan pendek dan gempal ketika dilahirkan. Dari zaman kanak kanak lagi orang sekampong telah memanggil dia Minah Becok kerana mulutnya cukup becok. Becoknya bukan macam murai tercabut ekor tapi macam Samy Vellu ditemu bual oleh RTM.

Maka orang orang kampong pun membuat pantun dan seloka:
Ada saorang Minah Becok
Badannya gempal kakinya tepok
Siang tidor malam bermimpi
Hendak menjadi Raja Permaisuri


Maka mengikut tuan yang empunya cerita Minah Becok ini pun membesarlah. Maka Si Minah ini berkahwin dan beranak. Mengikut cerita yang didengar melalui akhbar BacaGembira si Minah ini telah tujuh kali berkahwin dan tujuh kali bercerai. Berita kahwn cerai kahwin cerai ini – sehingga sekarang masih belum digazetkan dalam parlimen. Ianya masih menjadi rahsia negara.

Tidaklah terhitung jumlah anak yang lahir sehinggakan orang kampong membuat pantun dan seloka:

Siang tidor malam bermimpi
Hendak menjadi Raja Pemaisuri
Pilih jantan silih berganti
Memasang perangkap nak jadi bini menteri


Maka pada satu hari baik bulan yang baik si Minah ini telah pergi berjumpa Tok Bomoh untuk menilek dan melihat nasib. Ingin mencari ubat yang mujarab agar dapat menguruskan badan dan memaniskan muka. Maka pada ketika dan waktunya sampailah si Minah ini ke kampong Tok Bomoh. Sayangnya Tok Bomoh ketika itu tidak berada di rumah.

Lama juga si Minah ini menunggu. Untuk merehatkan badan si Minah duduk ditepi tangga sambil mengira bulu kaki. Mengikut tuan empunya cerita Tok Bomoh ini bukan sahaja pandai menilik nasib malah Tok Bomoh ini cukup handal dalam hal tangkap menangkap jin. Mengikut ceritanya Tok Bomoh ini baru sahaja dijemput untuk menangkap jin yang telah melarikan seorang anak dara sunti di Besut.

Tunggu punya tunggu Tok Bomoh pun sampailah ke rumah. Salam diberi tangan dijabat. Memang betul Tok Bomoh ini bukan kecik anak. Misainya berdenting dan rambutnya panjang keriting. Apabila masuk sahaja ke anjung rumah si Minah ternampak banyak ijazah-ijazah dan surat tauliah terpampang didinding.

Betul betul di dinding tengah kelihatan tersimpan dalam bingkai kaca gambar Tok Bomoh sedang menerima ijazah dari Fazley International Colege dalam bidang ilmu perikanan. Macam mana dari menangkap ikan boleh beralih untuk menjadi pakar menangkap jin wala hu alam bisawab hanya Chua Soi Lek sahaja yang maha mengetahui.

Tok Bomoh terus bertanyakan apakah niat yang hendak dipinta oleh si Minah Becok. Maka si Minah pun bercerita yang dia mahu menguruskan badan macam Celin Dion dan mencantikkan muka macam Paris Hilton. Minah Becok juga mahu tahu apakah ada jantan lagi yang sanggup menjadi suaminya kerana dia telah tujuh kali menjanda. Mendengar nama-nama ini Tok Bomoh duduk termenung dan terus menggaru lutut.

Kemudian Tok Bomoh mengambil beberapa majalah Voque dan Elle dan terus mencari muka Paris Hilton dan Celine Dion. Bila bertemu gambar yang dicari si Tok Bomoh mengangguk kepala dan mulutnya mula berkumat kamit sampai buih muncul dibibirnya.

Selesai menjampi Tok Bomoh ini terus mengeluarkan tujuh balang plastik yang tertutup rapi dengan kain hitam. Menurut Tok Bomoh dalam botol plastik ini adalah tujuh ekor jin kapir tetapi telah berjaya disunatkan. Jin-jin ini telah ditangkap di Besut Terangganu. Mengikut Tok Bomoh jin-jin ini telah cuba melarikan seorang anak dara sunti. Kerana telah bersunat maka jin ini akan menjadi hamba suruhan Tok Bomoh ini.

Mengikut Tok Bomoh permintaan Minah Becok ini boleh dimakbulkan dengan bantuan jin-jin ini tetapi ada syaratnya. Permintaan ini perlu ada pengeras. Perlu dibawa saekor ayam betina, saekor ayam jantan berkaki hitam dan dua buah kelapa kuning, tiga butir telor ayam dara, seketul bara arang batu dan sebiji garam gunung. Tok Bomoh juga memerlukan dua tiket Air Asia ke Cheng Mai atau Saigon dan bilik hotel selama tujuh hari disana.

Bila mendengar ini maka Minah Becok tersenyum dan bersetuju. Si Minah meminta tujuh hari untuk menyediakan semua yang dipinta.

Maka orang-orang kampong pun membuat pantun dan seloka:
Minah Becok nak kuruskan badan
Celine Dion jadi ikutan
Dari janda nak jadi dara
Sanggup membuat apa saja
Minum garam makan bara


Si Minah dengan segera telah menyediakan semua permintaan Tok Bomoh. Dua tiket ke Saigon dan bilik hotel telah di tempah. Ayam, garam,buah kelapa dan bara arang batu semua telah didapati.

Genap tujuh hari maka pergilah sekali lagi Minah Becok berjumpa dengan Tok Bomoh. Tok Bomoh menerkam dan terus membelek belek tiket Air Asia. Tok Bomoh tersenyum puas. Kemudian Tok Bomoh mengumpulkan semua barang pengeras dan mula membaca jampi dan serapah. Selang beberapa minit tetiba Tok Bomoh berhenti.

Tok Bomoh marah dan terus berkata ‘…. ini bukan telor ayam dara? Ini telor hang beli di Jusco…’

Minah Becok mengigil takut. Dia terketar-ketar dan terus berkata. ‘…. di kampong saya tak ada lagi ayam dara…. yang ada hanya ayam janda…’. (TT) bersambung

17 ulasan:

  1. ahaha.. membaca sambil bergurindam seloka

    BalasPadam
  2. kah3...kesusteraan melayu klasik terbaik..kah3..

    BalasPadam
  3. ceh...panjangnya kisah janda nih..kah kah kah

    Tapi kat kampong aku ada ' Lembu Janda'. Sebab lakinya dah kena sembelih raya korban..kah kah kah

    BalasPadam
  4. Tengik baunya kopi Mak Janda,
    Minuman kegemaran Menteri Perdana,
    Bukan saja saya hendak menggoda,
    Tapi juga nak merembat harta negara,

    ... kih.. kih.. kih.. jemput minum Bang TT kopi Janda...

    BalasPadam
  5. TT.. gua no kemen sbb ini cerita ko memang pakar dari A SAMAD SAID.. tapi ko tak layak jadi sasterawan sbb ko tak reti mengampu..

    selagi hidup dalam malaysia, jangan mimpi pihak yang benar semuanya akan betul dan menang! nabi saw dulu pun, bawa cerita benar, orang2 taif baling batu jer.. kat sini kene siram air gatal..

    yang penting, kita mesti belajar merembat cara umno merembat.. semuanya selamat dan tiada masalah.. yang tak selamat ialah, perut jadi botot sbb makan harta haram banyak sangat!

    BalasPadam
  6. klkarlah pulak.. sambungan nanti chanel sama jugak tau.

    BalasPadam
  7. terbaik laa!! boleh jadi cerpen!!

    BalasPadam
  8. giler !!!! bnyk2 post .. nie la yg pling bgus .. DOL !!! mmg RABAK habis .. klu x yah tapis lg bgus .. senang ak paham sket .. bg ak tau sume pasal skandal menteri nie.. menteri . mmg palat .. btol .. keje mkn harta rakyat ...

    BalasPadam
  9. Jandalah ada kick. cuba kau tengok artis2 malaysia nih, lepas tukar status jadi janda baru laku, kahkahkah

    BalasPadam
  10. patut le 2 hari tadak mari...
    tt ada hati ngan mak janda tu ker??
    ha222...

    BalasPadam
  11. Hanya Chua Soi Lek yang maha mengetahui..

    EPIC kahkahkah!!

    BalasPadam
  12. aku rasa la
    ending cerita ni mesti tok bomoh tu sondol minah ni dulu

    lepas tu tok bomoh bawak minah tu pergi saigon 7 hari; dan diikuti dengan 7 kali sondolan

    lepas tu baru tok bomoh tu bagi tangkal dan minah tu jadi kurus

    aku rasa laaa

    BalasPadam
  13. kah kah kah telor ayam janda

    agaknya telor ayam janda dikutip di belakang unisel...

    kah kah tt hang mmg kaki labon

    aku baca hari2 blog hang sampai muntah telor ayam janda..kah3

    BalasPadam
  14. lepas bomoh sondol mak janda tu, dia bagi lah kat najib...tamat lah cerita tu

    BalasPadam
  15. ada satu kereta kat maysia ni..namanya janda......

    oleh kerana takutkan mak janda gedebab tu...maka dinamakan kereta tu rondo.....

    janda tu dalam bahasa jawa adalah rondo.....

    tak pernah lihat?...tanya naza....

    kah kah kah kah kah kah ....

    BalasPadam
  16. kalau dara mcm mana nak bertelor woi? ayam teruna lain la ada 2 telur.

    BalasPadam