DAYAK BANGUN MEMBERONTAK

TIGA WARTAWAN 8 PELAJAR DITAHAN DI KL SENTRAL - mkini
Anggota polis bantuan di KL Sentral hari ini menahan 11 orang - lapan pelajar dan tiga wartawan - selepas satu sidang media di hab pengangkutan awam itu pagi tadi.
Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 10.30 pagi itu, anggota polis berkenaan mengarahkan pelajar tersebut supaya jangan berkumpul dalam kompleks pengangkutan awam.
Bagaimanapun, walaupun pelajar berkenaan bersurai seperti yang
diarah, tetapi lapan daripada mereka ditangkap ketika hendak meninggalkan stesen tersebut bersama tiga orang wartawan
Kepada
YB Hishammuddin Hussein
Menteri Dalam Negeri
Blok D1 & D2, Kompleks D
Pusat Pentadbiran
Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya 11 April 2011
Per: HENTIKAN PENAHAN WARTAWAN DAN HORMATI HAK EKSPRESI RAKYAT
Kami, Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia, membantah penangkapan 11 orang di sidang akhbar anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di Kuala Lumpur semalam. Turut ditangkap ialah tiga wartawan, manakala yang selainnya antara sebahagian daripada kira-kira 40 anak muda yang menghadiri sidang akhbar tersebut di KL Sentral, mengenai kempen SMM ”Jelajah Mahasiswa Selamatkan Rakyat”, yang bertujuan menentang politik kotor.
Kami amat kesal bahawa Polis Bantuan KL Sentral menahan tiga wartawan tersebut – A Zhafir dan Muhamad Afendy dari laman sesawang berita Parti Keadilan Rakyat, ”Keadilan Daily”, dan Muhamad Naim dari TV dalam talian kerajaan Selangor, ”TV Selangor” – walaupun mereka memperkenalkan diri sebagai wartawan.
Menurut Muhamad Afendy, kesemua 11 orang ditangkap setelah sidang akhbar selesai dan dibawa ke Balai Polis Jalan Travers untuk siasatan lanjut. Walaupun pihak atasan di situ telah membebaskan ketiga-tiga wartawan setelah identiti mereka dikenalpasti, pada hakikatnya dalam sebuah negara demokrasi wartawan tidak sepatutnya menghadapi ancaman penangkapan oleh polis semata-mata kerana menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka kepada rakyat jelata.
Justeru itu, kami menggesa pihak kementerian untuk mengambil langkah memastikan semua anggota polis memahami dan menghormati hak wartawan dan tidak menghalang mereka daripada menjalankan tugas mereka, terutamanya melalui penangkapan dan penahanan.
Kami juga menyeru pihak berkuasa supaya menghormati hak kebebasan ekspresi rakyat yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Walaupun polis berhak menahan peserta perhimpunan di bawah Akta Polis, undang-undang ini tidak boleh disalahgunakan untuk mengongkong kebebasan rakyat. Mahasiswi dan mahasiswa yang menghadiri sidang akhbar tersebut membawa pesanan secara aman dan tidak seharusnya diganggu mahupun ditangkap.
Yang Benar,
Chuah Siew Eng
Pegawai Program
Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia
