Isnin, 1 Oktober 2012

RUMAH UNTUK WARGA TIDAK BERUMAH




KENYATAAN AKHBAR 
1 OKTOBER 2012
RUMAH UNTUK RAKYAT,
 BUKAN UNTUNG !


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menetapkan hari Isnin pertama bulan Oktober setiap tahun sebagai Hari Habitat Sedunia. Tahun ini, ia akan diraikan pada 1 Oktober 2012. Tujuannya adalah untuk kita meneliti perancangan bandar dan situasi hak asasi semua, untuk perumahan yang selesa.

Di Malaysia, hak perumahan kepada semua masih tidak tercapai. Ini kerana 70% rakyat Malaysia berpendapatan kurang daripada RM3,500 sebulan dan majoriti dari mereka tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana kebanyakan rumah yang dibina adalah untuk kumpulan yang berpendapatan tinggi sahaja. Lebih kurang 284,423 unit rumah kos rendah dan sederhana dibina untuk 70% penduduk berpendapatan rendah manakala 297,483 unit rumah kos tinggi atau mewah dibina untuk 5% yang berpendapatan RM10,000 dan ke atas sebulan. Malah harga rumah kos rendah sudah melambung dari RM25, 000 ke RM65, 000 hari ini. Gaji pekerja pula beku sejak 10 tahun lalu!

Di katakan, permintaan untuk rumah kos rendah sejak Rancangan Malaysia ke 3 melebihi penawaran. Kenapa tiada usaha untuk membina rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat? Terma ‘rumah mampu dimiliki’ untuk rumah-rumah berharga RM120, 000 – RM300, 000 adalah satu penipuan besar dan lawak jenaka. Kenapa kerajaan dan Bank sanggup memberi 100% pinjaman bank untuk rumah-rumah kos tinggi ini? Adakah mereka yakin apa yang berlaku di Greech dan Sepanyol tidak berlaku disini?  

Selain masyarakat kurang berkemampuan di bandar, Peneroka Bandar dan pekerja-pekerja ladang juga diingkari hak perumahan. Sehingga hari ini tidak ada satu akta atau undang-undang yang melindungi pekerja ladang  dan menjamin hak perumahan.

Peneroka bandar ialah masyarakat kota yang paling terpinggir dan tertindas. Selama ini, kerajaan regim BN memberikan ribuan janji palsu hanya untuk menagih undi mereka tetapi tuntutan umum mereka iaitu rumah selesa mampu milik atau lot tanah perumahan tidak pernah ditunaikan.

Pengorbanan warga peneroka bandar tidak boleh dipertikaikan. Hutan belantara dijadikan kota. Keperluan tenaga buruh di kilang-kilang dipenuhi. Tetapi titasan peluh mereka hanya dipergunakan oleh golongan majikan untuk menjadi kaya raya. Isu kaum dan agama pula dimainkan selama ini oleh ahli politik untuk memecahbelahkan mereka. Situasi ini menjadikan mereka berpecah dan tidak bersatu.

Kini, situasi politik tanah air sudah berubah. Warga peneroka bandar sudah bangun menentang penindasan yang berlaku. Taktik kotor kaum pemerintah dan majikan tidak lagi terpakai.

Pengusiran paksa di Kg Berembang telah menjadi topik nasional. Isu masalah rumah flat Dengkil yang menempatkan bekas para pekerja ladang dari Putrajaya jelas menunjukkan kegagalan kerajaan memenuhi keperluan asas rakyat untuk membina rumah selesa. Pengusiran dan penempatan paksa di rumah flat tidak akan menyelesaikan masalah warga peneroka Bandar dan pekerja berpendapatan rendah.

Justeru, pengabaian isu mangsa perumahan kini menjadi ancaman apa jua kerajaan yang memerintah. Perubahan ini akan hanya berkekalan sekiranya kaum peneroka dan pekerja  ini mampu berdiri sendiri tanpa mengharapkan bantuan sesiapa. Lapisan masyarakat yang berdikari menjadi ancaman kaum penindas dan usaha kita haruslah ke arah tersebut. Tuntutan perumahan rakyat kini tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk menagih undi mereka semata-mata.

Hari ini perumahan digunakan sebagai alat spekulasi untuk memperkayakan kaum kapitalis dan ini direstui oleh Kerajaan. Rumah bukan lagi hak asasi yang wajib dinikmati dan dimiliki oleh setiap rakyat. Sudah tiba masanya untuk rumah dibina untuk rakyat bukan untuk untung


KONSERT 8 TUNTUAN BERSIH

BIRO PEKERJA DAN PENEROKA
PARTI SOSIALIS MALAYSIA
1-10-2012
Untuk sebarang pertanyaan hubungi Sdr M.Sugumaran 0125061357





Tiada ulasan:

Catat Ulasan