Selasa, 6 Ogos 2013

TAMAROD SEDUNIA DITERUSKAN LAGI!






 WARGA ARAB
BAGUN MELAWAN

 MESIR  DAN PROJEK PEMBODOHAN

Saya telah menggarap empat tulisan mengenai Mesir. Selain dari keinginan saya untuk membawa pencerahaan saya juga turut sama bertamarod. Tamarod membawa makna – berontak/melawan. Saya garap  tulisan itu agar kita dapat  bersama merayakan garis politik jalan raya yang dibawa oleh anak-anak muda di Mesir.

Tamarod  kini bukan hanya di Mesir, bukan hanya di Turkey, bukan hanya di Brazil – kini tamarod sedang merebak ke seluruh dunia.  Kita  telah membaca  bagaimana tamarod di Brazil telah berjaya mengagalkan kenaikkan harga tiket bas. Kita telah melihat bagaimana tamarod di Istanbul telah menjadikan Edorgan  tempang  dalam cita-citanya untuk menjadi Presiden Turki.  

Demonstrasi  jalan raya kini telah menjadi satu budaya politik dunia. Dalam dunia pasca moden hari ini jalan raya adalah tempat pertempuran politik untuk menuntut keadilan, menuntut hak  dan melawan kezaliman. Jika tahun enam puluhan anak muda telah bergerila di hutan, bergerila dipadang pasir  dan bergerila dalam bandar -  kini metod politik pasca moden telah berubah.   Anak muda kini turun ke jalan raya.

Membaca sejarah  tahun 60’an dan 70’an, kita akan bertemu  dengan Brigades Rouges Itali, Japanese Red  Army,  Weatherman dan Black Panther dari  Amerika,  Baader-Meinhof  di German, Mujahedin al-Khalq di Iran  , Action Direct di Peranchis, Sandero Luminoso di Peru, Al-Fatah di Palestin  dan dan dan. Semua ini adalah gerakan anak muda yang bangun mengangkat senjata melawan kuasa imperial Anglo-Amerika dan kaum pemodal multinasional.

Kini anak muda  bertamarod ke jalan raya membawa  ‘mod politik ‘ baru.  Sebenarnya  turun ke jalan raya ini bukan satu ‘mod politik’ yang baru. Metod berdemo dijalan raya telah  digunakan oleh CIA untuk menjatuhkan PM Iran Mohammad Mosaddeh pada tahun 1953. Metod ini juga telah digunakan oleh CIA pada tahun 1965 untuk menjatuhkan Bung Karno.

Tetapi metod jalan raya ini telah dirampas kembali oleh anak muda Amerika dan   anak muda Eropah dizaman Perang Vietnam. Anak-anak muda sedunia  yang menentang  Perang Vietnam telah  menjadikan jalan raya sebagai wadah politik.  Mereka telah berdemo menentang perang Vietnam - di London, Rome, Paris, Washington, Bangkok dan Kuala Lumpur.

Politik jalan raya  yang  menjadi ikon sejarah, yang menaburkan imej  romantik   ialah apabila anak anak muda dan mahasiswa kota Paris turun ke jalan raya untuk menjatuhkan Presiden Charles de Gaulle pada bulan Mei 1968.  Paris dan Mei68 akan terus menjadi  rujukan awal tamarod anak muda sedunia.

Politik jalan raya dalam era pasca moden – diera Arab Spring -  telah dibantu oleh teknoloji  internet, teknoloji digital dan alat komunikasi yang terpantas.  Teknoloji terkini telah  membantu mengembang ampoh  Musim Bunga Arab.  Teknoloji ini juga membantu mengumpulkan puluhan ribu anak muda di Istanbul, di Rabat, di Bahrain dan di Yemen. Politik jalan raya  telah berjaya menjatuhkan rejim-rejim zalim di Tunisia dan Mesir. Di Bahrain dan di Yemen tamarod belum selesai.

Saya membuka wacana tamarod dengan membawa rujukan politik jalan raya  dari seluruh  dunia  dengan niat untuk mengajukan  satu persoalan hakiki. Untuk saya persoalan ini  amat fundumental. Dari pengamantan saya suasana budaya politik kita sedang nazak.  Justeru saya wajib mengajukan soalan ini.

Soalannya ialah -  apakah budaya tamarod sedunia ini bersama  perkembangan teknoloji terkini akan membantu anak-anak muda di Malaysia  untuk bangun menjatuhkan rejim United Malays National Organisation  yang telah berkuasa lebih dari  50 tahun?  Untuk saya jawapannya pasti boleh –  pasti  boleh yang positif.

Tetapi sebelum kita bersama merayakan perkataan ‘ boleh dan positif ' , pada hemat saya   ada  pekara yang wajib  kita tuntaskan dahulu. Ada perkara yang saya rasa perlu kita bersama lintasi dahulu. Ini kerana saya rasakan ada kejulingan, ada kekeliruan dan ada kecelaruan fikrah dalam membaca dan memahami  politik Malaysia dan politik antarabangsa.

Saya  telah lama merumuskan bahawa kejayaan yang paling besar United Malays National Organisation ialah kejayaan membodohkan warga Malaysia terutama Manusia Melayu. Proses pembodohan ini telah membonsaikan akal dan fikrah  Manusia Melayu. Akal dan fikrah Melayu telah dibantutkan dari   berkembang. Yang wujud hanyalah akal-akal kontot yang tidak berupaya untuk berfikir secara kritikal.

Proses pembodohan jelas dibuktikan dengan  peranan dan usaha   media Melayu   untuk membangangkan Manusia  Melayu ke tahap gaban. Contohnya:  Tahun lalu sebuah kontena bahan mentah – rare earth – telah dibawa masuk dari Australia ke Kuantan. Utusan Malaysia  akhbar milik United Malays National Organisation telah  memaparkan dimuka hadapan gambar  satu kumpulan Melayu yang sedang meramas dan memegang bahan mentah rare earth. Gambar ini membawa tajuk : Kilang Lynas Selamat.  Keselamatan kilang ini dibuktikan kerana ada  Mak Cik Tua  Bertudung  yang berani menggintil-gintil bahan mentah rare earth tanpa mendapat kecederaan.

Untuk saya gambar dan berita ini saheh  telah membodohkan Manusia Melayu. Pembaca Melayu TIDAK diberitahu bahawa bahan mentah rare earth ini kalau belum diproses memang selamat tidak ada santau radioaktif. Santau radioaktif ini  hanya akan muncul apabila  bahan mentah ini dibakar dan  diproses.

 Apabila saya melihat gambar Mak Cik Tua Bertudung ini saya merasa sedih kerana bukan sahaja Si Mak Cik ini dibangangkan malah seluruh pembaca  Melayu dibodohkan ke tahap gaban.  Paling sedih media Melayu ini bukan sahaja telah menipu Melayu  malah telah menjadi barua kepada syarikat santau radioaktif ini.

Proses pembodohan ini sedang merebak.  Saya sendiri cukup yakin bahawa projek pembodohan ini telah sampai ke tahap yang amat kritikal.  Respon dari surat- surat yang saya terima  terhadap tulisan saya mengenai Mesir dan Syrian menambahkan lagi keyakinan saya bahawa   ‘ masyarakat  Melayu ini sedang sakit  tenat’.

Saya dapati ada kumpulan pembaca tulisan saya tidak memiliki daya  fikir yang kritikal. Saya telah menunjukkan dengan fakta politik  bahawa apa yang berlaku di Syria itu bukan pertempuran antara  Sunni dengan Shiah. Hakikatnya  - apa yang berlaku di Syria ialah projek kuasa imperial  Anglo-Amerika dan Zionis untuk mengawal bumi  Arab.  Mengawal  bumi Arab bertujuan untuk mengawal telaga  minyak dan telaga gas. Kenapa agaknya pekara sesenang tupai melocat didalam belukar ini pun gagal difahami oleh satengah pembaca.

Jika seseorang memiliki keupayaan berfikir secara kritikal apabila membaca apa yang sedang berlaku  di Syria pasti akan timbul  pelbagai soalan. Contohnya :  Yang bermazhab Shiah di Syria hanya 10% dari 28 juta rakyat.  Tentera Syria majoritinya bermazhab Sunni.  Jika konflik di Syria ialah konflik Shiah lawan Sunni pasti soldadu Bashar yang bermazhab Sunni telah bangun menibai Bashar.  Pasti telah lama Bashar tekubur. Kenapa ramai Manusia Melayu tidak memilik khudrat  untuk menimbulkan soalan ini?

Kalau kita beralih untuk melihat apa yang berlaku di Mesir maka kebongsaian juga muncul. Saya ajukan pandangan bahawa bahawa apa yang berlaku di Mesir itu ialah  demo  rakyat Mesir untuk menjatuhkan  Mubarak   yang zalim. Kemudian berdemo lagi – kali ini menentang pentabiran Morsi yang tidak terbuka.

Ketika ini cita cita suci anak muda Mesir untuk mendirikan Mesir yang lebih adil dan demokratik telah dibajak oleh tentera. Tentera telah merampas kuasa. Saperti di Syria soldadu Mesir juga bermazhab Sunni. Seharusnya dengan fikiran kritikal akan timbul soalan kenapa Sunni membunuh Sunni? Atau kenapa ada  Sunni menentang Morsi dan  ada Sunni menyokong Morsi?

Bonsai fikrah ini semakin menjadi-jadi.   Kejayaan United Malays National Organisation  memandulkan fikrah Manusia Melayu sedang merebak. Kalau kita perhatikan secara rapi Manusia Melayu yang bonsai fikrah ini  juga memiliki sifat berjiwa rendah. Sifat jiwa rendah ini berjaya ditanamkan bukan hanya  melalui proses pembodohan  tetapi  melalui proses  menakut-nakutkan.

 Saya cukup yakin – projek pembodohan dan projek menakut-nakutkan Manusia Melayu ini berjalan seiring. Dari segi teori ilmiah sebelum seseorang itu  dapat dibodohkan maka sosok itu perlu ditakut-takutkan. Apabila takut maka amat senang untuk dibodohkan hingga gagal untuk memiliki tabaii manusia untuk berfikir  secara kritikal.

Pada bulan puasa tahun ini amat jelas proses menakut-nakutkan Manusia Melayu sedang berjalan ligat. Manusia Melayu terus dikepong dengan ajenda  eksklusif pengunaan  nama Allah. Dalam masa yang sama dalam bulan puasa ini Utusan  Malaysia telah mengolah naratif   watak Manusia Melayu  yang  ‘cukup lembik’ lebih lembik dari ‘bakuteh’.

Manusia Melayu ini diwatakkan  oleh Utusan  sebagai bagitu rapuh pegangan imannya.  Terlihat sahaja anjing ‘berhari raya’ dengan serta merta Manusia Melayu yang bonsai fikrah ini hilang pedoman dan putus iman. Ketika inilah  Manusia Melayu ini ditakut-takutkan seolah-olah  bulan hadapan  Anjing dan Biawak  akan mengambil alih pentabiran negara.

Sayugia diberi ingatan. Agar jangan menusuk sembilu ke dalam luka. Kita  wajib berwaspada kerana  Melayu Bonsai yang berjiwa rendah ini  sedang  memanifestasikan rendah jiwa mereka dengan  ‘angkuh sombong’.   Sifat  Angkuh sombong ini sedang  menggunakan bentang Agama.  Apakah makna semua ini? Apa hubungan  ini  dengan Tamarod?

Ucapan Selamat Hari Raya dahulu dari saya. Akan disambung minggu hadapan. (TT)



NOTA
tulisan ini telah disiarkan
oleh SUARA KEADILAN
sesiapa yang mahu melanggan
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon : 
03- 922 - 10 -45

SILA KLIK IKLAN INI
-------------

9 ulasan:



  1. Tamarrod di amerika pulak la.
    xpun tamarrod kat europe.
    xpun tamarrod di russia.
    xpun tamarrod di China.
    xpun tamarrod di Cuba.
    Xpun tamarrod di Vietnam.
    Xpun tamarrod di Korea Utara.
    Xpun tamarrod di Laos.

    BalasPadam
  2. Selagi ramai orang Melayu "berassumi politik Islam" selagi itulah mereka tidak akan faham apa yg TT tulis. Namun begitu TT juga tidak faham apa yg sy tulis sebelum ini, dimana sebenarnya adalah persoalan sangkaan falasi "politik Islam", mungkin itulah sebabnya komen sy sebelum ini dengan link yg disertakan tidak disiarkan diblog TT kah,kah,kah,kah.... tulisan sy yg begitu simple & kureeng intelektual pun boleh ditakuti TT kah,kah,kah,kah... komon bro TT give me change.... kah,kah,kah,kah....

    BalasPadam
  3. Mgkn ada part yg aku x setuju dhn hisham..tp bg aku apa yg hisham tulis adalah nikmat membaca dan memahami bg org2 yg belum dibonsaikan..kalau sapa2 tak suka,boleh baca utusan dan majalah mangga..dalam x suka korang dgn pencerahan hisham ni pun, visitor dia dh 26juta...sikit lg nk sama byk dgn blog hishamudin keris..kah..kah..kah...

    P/s : nk lg cool korang baca blog ni smbil pakai kasut aliph SYJ merah..kah..kah..kah...

    BalasPadam
  4. tulisan tt kali ni aku suka...tidak ada cara lain selain dari menggunakan ayat2 yg keras kepada makhluk melayu yg bodoh..angkuh..ego..sombong..kepada matrojak..english hang teruk oi...'give me change' ??hahahaha...selamat hari raya....raya melayu.....

    BalasPadam
  5. Kah kah kah...kali ni uncle sham sudah marah...uncle sham sudah bengang...perkara semudah tupai meloncat pun susah nak difahami....kah kah kah...uncle sham...inilah kesan pembonsaian terpimpin....semua ditarah mengikut acuan...luar pada acuan...haram jadinya....

    Aku nak tengok yang selalu dok kutuk lu...yang selalu berserban berlebai...mana kamu semua kali ni...ini mungkin pencerahan tamarod terakhir untuk ramadhan yang berkat ini....muncullah kamu semua menibai si tua ini....kah kah kah

    BalasPadam
  6. aku tak pakai lebai dan aku teraweh pun kadang2 pi tapi aku benci tt punya tamarrod..fuck la tamarrod!!so aku tibai tt hang kesah ka??

    BalasPadam
  7. tt tulisan kan menarik..tp kau seolah2 mengagungkan tamarrod dr puak yg salah contohnya tamarrod puak sekular di mesir dan turki..kali ni kau menyebut fatah di palestin..ini membuatkan aku merasa muak dgn tulisan2 kau..dan ini adalah kali terakhir aku jenguk blog kaunyg aku sgt minat selama 4 tahun..aku dpt rada pembaca laen pun begitu..harap mak long.

    BalasPadam
  8. Lantak hang lah ngan tamarood hang kalau rasa2 fhmn sosialis hang memudahkn hang meniti titi sirat di akhirat cubalah...berpeganglah dgn quran dan sunnah ...fhmn sosialis bkn kalam mukjizat pun cuma kuasa akal yg terhad di alam dunia je...

    BalasPadam
  9. TT.. Adakah pihak yang menyokong mursi sekarang ini di namakan tamarroddd.Tamarrood la yang menjahanam demokrasi Mesir. tamarrroood membajak kerja2 membonsaikan rakyat mesir. ZTukar la istilah tu TT.!! Phuuuiihhh ko TT.. Maaf zahir batin

    BalasPadam