KESAH KELUARGA
MAT KOYO
Adalah hamba
telah mendengar kesah ini dari datuk hamba yang telah mendengar kesah ini dari datuk kepada datuk hamba. Maka bukanlah
niat hamba melabonkan kesah ini untuk mencari dana dan laba. Bukan bertujuan
untuk berdada dan berbangga. Jauh sekali untuk mencari dosa dan pahala.
Adalah niat
hamba agar kesah ini akan diturunkan dari cucu kepada cicit kepada cucu kepada
cicit. Hendaknya dapat kita jadikan kesah sebagai kesah tiang pasak negara. Kesah menjadi tauladan penunjuk jalan dimasa hadapan.
Mengikut tuan
empunya ceritera adalah satu keluarga lima beranak yang hidup dihujung kampong
Lidah Bercabang di negeri Entah Berantah. Sang ayah dipanggil Long Libon,
isteri dipanggil Mek Jitun. Dua anak lelaki bernama – Pidun dan Kitam. Anak
bongus seorang anak dara sunti yang
cantik lagi menawan.Berambut ikal mayang. Tumit puteh lagi melepak. Sekali
tersenyum seurat kembang. Nama diberi Pelesit Sundal Malam.
Maka ramailah
orang bertanya kepada hamba kenapa
Pelesit Sundal Malam nama diberi.
Maka kepada Si Bijak Bistari yang
bertanya jawapan hamba hanya satu. Hamba ini hanya pembawa kesah. Mendengar dari Tok Perawi dari Tok Perawai.
Saheh mereka sahehlah hamba. Kenapa nama diberi hamba tidak tahu apa
sejarah apa salasilah.
Adalah
dikesahkan kehidupan keluarga Libon dan Jitun ini amat susah. Menumpang di
tanah orang. Sang Ayah, ibu anak beranak
berkerja mengambil upah. Musim padi mengambil
upah mengubah benih. Musim menuai membanting padi. Musim hujan memasang lukah.
Musim kering mengambil upah memanjat kepala.
Ke hutan mencari manau. Ke bukit mencari rotan. Ke gunung mencari damar.
Adalah
mengikut tuan empunya hikayat. Maka pada satu ketika yang ditetapkan. Pada hari
yang tertulis maka awan puteh pun mulalah
berkumpul-kumpul untuk menjadi awan hitam. Kilat memanah sabung
menyabung. Halilintar memecah bumi. Katak terus berlagu memanggil hujan. Kera
dihutan pindah ke gunung. Inilah tanda musim tengkujuh akan sampai.
Musim
tengkujuh ini adalah musim rezeki untuk Long Libon. Jala telah dianyam. Lukah
telah disimpai. Tiga beranak
pun turunlah ke paya dan danau untuk memasang lukah memasang bubu.
Sembilang dan puyu berlari-larian. Haruan dan keli bermandi manda. Inilah masa
yang dinanti nanti.
Dalam hujan
lebat sebagini ketika Raja di Istana enak beradu.Ketika Tok Penghulu sedang
berurut. Ketika anak dara menyikat rambut. Ketika inilah Jantan Tiga Beranak
ini behempas menebar jala memasang
lukah.
Pada saat dan
ketikanya saperti telah ditakdirkan. Saperti telah tersurat dalam kitab. Tetiba
jala Long Libon tersangkut. Maka
turunlah Pidon dan Kitam ke dalam sungai mencari sebab angkara. Si Ayah menunggu dengan sabar. Hati sedih
lagilah pilu jika jala terkoyak lagi. Benang amat mahal. Timah amatlah susah dicari.
Tetiba muncul
Pidon dari dalam sungai terhungap-hungap. Kemudian muncul pula Kitam. Kedua-dua
kelihatan mengigil takut. Budak jantan ini mengeletar bukan kerana sejuk.
Mereka telah terlihat sesuatu didalam sungai. Long Libon bertanya angkara.
Apakah telah terlihat Buaya Puteh atau ternampak Puteri Duyong. Sang anak menggeleng kepala tidak bersuara. Tetiba kedua-kudanya terkencing dalam seluar.
Long Libon tak
mahu jalanya koyak rabak. Inilah sahaja harta peninggalan ayah. Inilah harta
penyambung hidup. Maka Long Libon terus
masuk ke air dan menyelam. Pidon dan Kitam berpelokan sambil mata memandang ke
dalam sungai.
Bagitulah
kesah yang hamba dengar. Semenjak petang jala tersangkut kehidupan keluarga Long Libon mula berubah.
Semuanya berubah. Orang mula berkesah
tentang Long Libon yang menjadi Mat
Koyo. Bukan saja dapat membeli tanah kampong yang mereka tumpang malah Long
Libon a.k.a Mat Koyo telah membeli tanah sawah dan tanah getah. Kalau
dulu Pidon dan Kitam hanya memiliki dua seluar dan dua kemeja. Kini anak jantan
dua orang ini telah kenal dengan Hugo Boss dan Jermyn Street. Malah Mek Jiton
juga telah mula memakai gigi bersumbi emas.
Pelesit Sundal
Malam mengikut tuan yang empunya kesah telah
dua kali menjemput Vidal Sassoon
untuk datang mendandan rambut. Kini Si
Sundal Malam telah mula belajar mengaji. Mengikuit kesahnya cucu kepada cucu kepada cicit Abdullah Munshi
dari Bandar Hilir Melaka telah dijemput datang untuk menjadi guru mengajar
dirumah Long Libon.
Hanya Long
Libon tidak berubah. Kain sarongnya masih bertampal-tampal. Bajunya masih baju
yang lama. Sesekali kelihatan dia memakai selipar Jepun kalau tidak Long Libon
sentiasa berkaki ayam. Hanya satu
perubahan yang jelas. Kalau dahulu Long Libon hanya mengulung rokok pucuk dengan
tembakau. Kini Long Libon telah pandai menggulung kertas Rizla dengan tembakau Drum.
Maka
orang-orang Lidah Bercabang terus bergosip. Ada yang berkesah bahawa Mat Koyo telah menang loteri. Ada yang berkesah bagaimana
Mat Koyo terjumpa harta Karun. Ada juga yang berkesah bahawa Pelesit Sundal
Malam kini telah menjadi Awek kepada Ketua Pemuda.
Setiap kesah
ini sambung menyambung. Bercambah dan bertambah. Ada orang kampong yang berani
bersumpah laknat di Masjid. Mamat ini mengaku ternampak Pelesit Sundal Malam
bersama dengan seorang Datuk Seri sedang minum cendul dibelakang Panggung Rex
Ipoh. Tidak ada siapa yang dapat buktikan tentang Kesah Cendul ini kerana dalam
kampong ini tak ada siapa yang pernah ke Ipoh. Jauh sekali nak tahu dimana
letaknya Panggung Rex. Tak tahu mana yang benar dan mana yang lebong. Nampaknya
dimana babak yang tak seronok ditambah dengan Aji-No-Moto untuk menyedapkan
cerita.
Hairan memang
menghairankan.Bagaimana satu keluarga miskin kini telah hidup bukan sahaja mewah.
Malah telah melintasi keupayaan Tok Penghulu.
Hamba yang
mendengar kesah ini merasa tidak puas
hati. Maka minggu lalu hamba sendiri telah pergi berjumpa Long Libon untuk
mendapatkan kesah sabenar. Memang susah untuk sampai ke Kampong Lidah Bercabang
ini. Setiap kali hamba bertanya arah rumah Long Libon setiap kali hamba dapat
jawapan yang berlainan. Maka tahulah hamba kenapa nama kampong ini Lidah
Bercabang.
Tujuh hari
tujuh malam hamba menapak mencari dari kampong ke kampong dari rumah ke rumah
akhirnya hamba berjaya juga. Long Libon kelihatan sehat
segak dan sasa. Mek Jitun lemah lembut berbudi bahasa tidak bersumbi emas.
Manakala Kitam dan Pidun tidak sombong dan tidak riak. Tidak memakai Hugo Boss.
Hamba dengan segala sopan dijemput naik kerumah. Ketika melangkah tangga mata
hamba terlintas nampak anak dara sunti
Pelesit Sundal Malam.
Dipendekkan
kesah yang panjang hamba dengan sopan
bertanya tentang apa sebenarnya kesah
jala tersangkut. Empat beranak yang duduk bersila di depan hamba terus ketawa.
Ini menjadikan hamba lebih hairan. Disaat genting ini muncul Pelesit Sundal Malam
membawa dulang minuman petang. Mata
hamba mencuri pandang. Dalam hati hamba
berkata - mustahil anak dara sesopan ini akan menjadi Awek Ketua Pemuda atau
betina simpanan Datuk Seri.
Soalan hamba
tergantung tidak berjawab. Kejantanan hamba kini diganggu oleh Pelesit Sundal Malam. Hamba tak tahu
bagaimana hendak meyambung cerita. Hamba rasa diri hamba sedang terperangkap
oleh keluarga Long Libon. Hamba merasa
tekanan datang tapi hamba tak tahu dari mana tekanan ini datang.
Tetiba hujan
pun turun. Petir sabung menyabung. Halilintar memecah bumi. Masa dan ketika
saperti inilah jala Long Libon
tersangkut dalam sungai. Suasana ini menjadikan hamba bertambah gelisah. Hamba ingin meminta diri tetapi mustahil dalam hujan
yang lebat ini hamba boleh menapak pulang. Sungai semakin sebak. Tanah berair
dan berlumpur. Maka tidak dapat tidak hamba wajib menunggu.
Mata hamba memandang hujan yang turun mencurah
hamba. Tetiba terdengar Long Libon bersuara. Mata hamba beralih ke muka Long Libon.
“ Bagini kesahnya. Kau tahu kesah Badang? Pernah kau dengar
kesah Badang dan muntah hantu?”
Hamba
tersentak. Hamba tahu benar kesah si Badang ini. Ketika si Badang ini jadi berita ‘hot’, majalah Times telah meminta hamba membuat
laporan berita. Memang susah untuk mencari Badang. Hamba dapat bantuan Wahid Satay. Si Wahid ini secara
rahsia telah berjaya bertemu Si Badang
ketika Wahid berlakun memainkan watak Badang.
Hamba terfikir jika kesah Long Libon ini sama setaraf dengan kesah
Badang maka ianya akan pasti dapat liputan CNN.
“ Tuan hamba
ini datang dari jauh. Nak bertanya kesah kami sekeluarga. Kami tak ada apa
rahsia’, Long Libon memecah kesunyian.
“ Betul... tak
ada apa yang nak kami sorokan... ” tambah Sang Isteri.
‘ Tuan hamba
tahu Zahid Hamidi Menteri Dalam Negeri? Tuan hamba dah baca laporan Audit
Negara? Tuan hamba tahu apa terjadi dengan pistol dan senjata polis yang
hilang? Tuan hamba tahu apa terjadi kepada jet injin yang hilang?’
Hamba
terperanjat besar kerana hamba hanya
bertanya tentang jala tersangkut. Kenapa soalan hamba dijawab pula dengan
pelbagai jenis soalan. Hujan diluar
semakin ligat.
“ Tuan hamba
bermalamlah disini. Tunggu hujan reda. Lepas makan malam ini kita sambung
kembali cerita ini ”.( TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa yang ingin melanggan
akhbar mingguan ini
sial pukul talipon
03-92-21-10-45
--------