KENYATAAN MEDIA : 24 OKTOBER 2013
DEMI KEADILAN HARI INI DAN MASA DEPAN,
AYUH KITA TOLAK POCA 2013.
Prevention of Crime Act (Amendment and Extension) 2013 atau POCA 2013 telah diluluskan oleh Parlimen pada 2 oktober lalu. 133 ahli parlimen Barisan Nasional bersetuju dengan pindaan tersebut berbanding 66 ahli parlimen Pakatan Rakyat yang tidak bersetuju.
Dengan lulusnya pindaan terbaru ini, maka kita akan menyaksikan akan ada rakyat Malaysia yang ditangkap tanpa waran dan tanpa bukti. Individu tersebut akan direman sehingga 39 hari untuk disiasat tanpa dibenarkan bertemu peguam. Selepas 39 hari, individu itu boleh dikenakan perintah tahanan lanjutan selama dua tahun, kononnya untuk mencegah individu berkenaan daripada melakukan jenayah.
Tangkap tanpa waran, kurung tanpa bicara, bukankah ini persis seperti ISA?. Maka Menteri dan Kerajaan Malaysia tidak perlu menafikan jika rakyat melabelkan POCA 2013 sebagai ISA 2.0
HILANG HAK MEMBELA DIRI DI MAHKAMAH
Persoalannya, bermula daripada ditangkap sehinggalah dikenakan tahanan 2 tahun, seseorang itu tidak langsung diberi peluang untuk membela diri di mahkamah. Tanpa dibuktikan bersalah, sesorang itu terus dihukum tanpa dibicarakan. Bagaimana jika orang yang ditahan itu benar-benar tidak melakukan kesalahan yang dituduh keatasnya? Dimana ruang untuk orang tersebut membela diri? Apakah wajar seseorang itu dihukum hanya berdasarkan siasatan sebelah pihak iaitu pihak Polis, sedangkan orang yang dituduh dinafikan hak untuk membela diri di Mahkamah.
Kita perlu faham bahawa setiap rakyat memiliki hak untuk dibicarakan di Mahkamah sekiranya dituduh bagi suatu kesalahan. Hak ini termaktub dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan. Hak ini juga diperuntukkan secara esklusif dalam banyak dokumen Hak Asasi Antarabangsa seperti Perkara 10 Universal Declaration of Human Rights dan Perkara 11 International Covenant on Civil and Political Rights.
Bahkan dalam Islam juga terdapat kaedah Fiqh iaitu Al Aslu Bara Atu Az Zimmah yang bermaksud seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh hakim di Mahkamah. Kaedah ini bertepatan dengan prinsip asas undang-undang iaitu ”Innocent Untill Proven Guilty” yang menjadi teras kepada sistem keadilan diseluruh dunia. Tidak kira sebesar mana pun kesalahan yang dituduh, seseorang itu perlu diberi ruang untuk membela diri di Mahkamah. Sekiranya disabitkan bersalah, maka seseorang itu perlu menerima hukuman seberat mana pun yang dikenakan ke atasnya.
POCA 2013, KEMBALI MENGHALALKAN ARBITRARY DETENTION (TANGKAPAN SESUKA HATI)
Menteri Dalam Negeri dalam satu pendedahan yang dibuat Malaysiakini mengatakan, motif penahanan 2 tahun tahanan lanjutan adalah bagi menahan suspek bagi kes jenayah yang tidak cukup bukti atau tidak ada bukti. Kenyataan ini merupakan satu kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab bagi seorang Menteri. Kenyataan ini juga bermaksud Menteri Dalam Negeri menghalalkan tangkapan sesuka hati yang bercanggah dengan semangat kebebasan diri yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menahan seseorang selama dua tahun hanya kerana Polis gagal mendapatkan bukti yang mencukupi merupakan perbuatan yang tidak bertamadun. Menteri sepatutnya lebih memahami hak orang yang ditahan seperti yang terkandung dalam Seksyen 28 Kanun Prosedur Jenayah yang mewajibkan pihak Polis memaklumkan orang yang ditahan tentang sebab dia ditahan. Namun dengan menghalalkan tangkapan sesuka hati, bermakna hak ini akan dicabuli kerana seseorang itu boleh ditahan tanpa sebab dan bukti yang kukuh.
APAKAH PENGALAMAN HITAM 60 HARI BEKAS TAHANAN ISA AKAN BERULANG?
Sepanjang ISA berkuatkuasa, banyak cerita mengenai penyeksaan yang dilakukan pihak Polis terhadap orang yang ditahan. Bahkan sehingga Disember 2011, iaitu selepas Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan ISA, Gerakan Mansuhkan ISA masih menerima aduan mengenai seorang tahanan dari Iraq yang diseksa semasa dalam tempoh 60 hari pertama di bawah ISA.
Saya percaya penyeksaan ini tidak akan berlaku sekiranya orang yang ditahan diberikan hak untuk diringi Peguam semasa disoalsiasat. Sekiranya merujuk kepada seksyen 9(5) POCA 2013, terdapat klausa yang menafikan hak orang yang ditahan untuk ditemani Peguam semasa soalsiasat dijalankan. Maka peruntukan ini dikhuatiri akan memberi ruang kepada penyeksaan ala ISA akan berulang.
POCA 2013 TIDAK MEMBERI NILAI TAMBAH KEPADA POLIS.
Saya percaya, POCA 2013 tidak akan memberi sebarang nilai tambah kepada kecekapan dan keberkesanan pihak Polis menjalankan tugas. Yang akan berlaku hanyalah tangkapan sesuka hati atas nama membanteras jenayah. Yang akan berlaku hanyalah penafian hak untuk dibicarakan atas nama menjaga keamanan. Yang akan berlaku hanyalah pengunaan POCA 2013 secara agresif bagi menutup kelemahan pihak Polis melalukan kerja asas seperti Crime Monitoring dan Intelligent Procurement.
Disebalik Negara-negara maju lain mencipta solusi yg lebih mesra hak asasi untuk menangani jenayah, Malaysia pula melangkah ke belakang dengan kaedah yang tidak pro hak asasi. Saya ingin mengambil contoh usaha Pentadbiran Amerika Syarikat dalam menangani jenayah yang semakin meruncing. Berbanding Malaysia, Pentadbiran Clinton pada era 90-an mengambil langkah drastik dengan mereformasi sistem kepolisan bagi menambah kecekapan Polis menjalankan tugas.
Antara yang boleh dilakukan ialah meningkatkan jumlah pihak Polis yang bertugas di kawasan awam dan menaiktaraf kelengkapan pejabat Polis. Langkah ini diambil bagi memastikan masyarakat sentiasa ditemani pihak Polis di kawasan yang berisiko. Polis juga perlu diberikan kelengkapan yang mecukupi seperti kereta peronda dan motosikal bagi memastikan rondaan awam tidak tergendala akibat masalah teknikal.
Selain itu Kerajaan juga harus berusaha mengurangkan birokrasi arahan dengan memberi kepercayaan penuh kepada Pegawai Polis di lapangan menjalankan tugas tanpa campur tangan pihak atasan. Di Malaysia kita sudah pasti sering mendengar alasan “Kami ikut arahan orang atas” yang diberikan oleh pihak Polis dalam menghalang perhimpunan aman atau protes jalanan. Saya kira inilah birokrasi yang perlu dihapuskan. Pegawai Polis yang bertugas perlu diberi kepercayaan penuh untuk bertindak secara professional tanpa kongkongan melampau pihak atasan. Perkara yang sama pernah disuarakan oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan apabila beliau mendedahkan bagaimana Menteri sering campur tangan dalam urusan pihak Polis.
Antara perkara lain yang boleh dibuat ialah mereformasi sistem laporan Polis. Jika dahulu masyarakat terpaksa pergi ke balai Polis untuk membuat laporan Polis, namun perkara itu perlu diubah kepada Polis boleh menerima laporan di tempat awam dengan menyediakan sistem laporan yang dipermudahkan melalui borang aduan. Perkara ini juga sering menjadi masalah kepada rakyat Malaysia apabila individu yang ingin membuat laporan perlu ke balai Polis untuk membuat laporan. Keadaan tambah sukar apabila Polis sering mengambil masa yang lama untuk merekodkan aduan. Keadaan ini sedikit sebanyak mengganggu kecekapan Polis dalam menjalankan tugas.
Selain itu, antara komposisi penting reformasi Polis yang boleh dicontohi daripada pentadbiran Clinton ialah peningkatan gaji Polis. Melihat kepada kadar emolumen Polis di Malaysia, maka tidak harian jika terdapat pihak Polis yang kurang motivasi dalam bertugas. Dengan Kos kehidupan yang semakin meningkat, kemudian terpaksa berhadapan dengan risiko keselamatan yang tidak menentu, maka sudah pasti kadar gaji pokok yang bermula 1,100 ringgit sebulan adalah terlalu rendah. Kadar ini terlalu rendah jika dibandingkan dengan kadar gaji Polis di Singapura yang bermula dengan kadar pokok 1,700 Dolar sebulan. Sedangkan secara nisbahnya, seorang anggota Polis di Singapura hanya mengawasi 132 orang berbanding seorang anggota Polis di Malaysia yang perlu perlu mengawasi 500 orang.
Hakikatnya, reformasi sistem kepolisan yang dilakukan oleh Pentadbiran Clinton ini telah berjaya mengurangkan kadar jenayah di Amerika Latin melebihi 50 % bermula tahun 1992 sehingga tahun 2000. Ini membuktikan, tanpa undang-undang drakonian, jenayah masih dapat dibendung melalui pemerkasaan pihak Polis.
AYUH, SOKONG KEMPEN RAKYAT TOLAK HUKUM TANPA BICARA
Kempen ini telah dilancarkan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) pada 19 September yang lepas iaitu sebelum pindaan POCA 2013 diluluskan di Parlimen. Kempen ini dianjurkan bagi memberi pendidikan kepada masyarakat Malaysia mengenai Hak Untuk Dibicarakan (Right to Trial) yang merupakan salah satu prinsip hak asasi yang menjadi milik eksklusif setiap insan. Kempen ini juga pada mulanya diadakan sebagai bantahan kepada Kerajaan Malaysia yang dilihat mahu mengembalikan semula undang-undang tahan tanpa bicara. Namun kebimbangan itu menjadi kenyataan apabila pindaan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 telah diluluskan parlimen dengan mengandungi kuasa tahan tanpa bicara.
Antara aktiviti yang dijalankan di bawah kempen ini ialah pementasan Teater Bilik Sulit yang telah dijalankan di beberapa lokasi seperti Kuala Lumpur, Batu Pahat dan Tampoi Johor. Pada 9 November depan teater ini akan dipentaskan di Kepala Batas sebelum ke Bukit Mertajam pada 10 November.
Selain pementasan teater, SUARAM juga akan menjalankan aktiviti edaran risalah dan flashmop bagi menerangkan kepada masyarakat mengenai Hak Untuk Dibicarakan dan mendedahkan mengapa rakyat perlu menolak undang-undang drakonian seperti POCA 2013.
SUARAM juga ada menyediakan bahan bercetak yang mengandungi informasi tentang Hak Untuk Dibicarakan dan maklumat mengenai undang-undang drakonian yang wujud di Negara ini. Untuk sebarang maklumat lanjut, orang awam boleh menghubungi SUARAM di talian 03-7784 3525 atau melayari laman sesawang www.suaram.net.
Sekian.
Ahmad Syukri Bin Che Ab Razab
Peyelaras
Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
SUARAM ni bila nak mansuhkan mahkamah gerombolan pulak? Mahkamah diadakan untuk membodohkan org ramai..
BalasPadamMinority report ala umno. to prevent future crime, catch the innocent first!
BalasPadam