MENDERMA
UNTUK KEBAJIKAN UMUM
Ayuh Bersama Segmentasi Wanita Muda SAMM Derma Darah dan Organ
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melalui segmentasi terbarunya iaitu Wanita Muda SAMM sedia untuk menganjurkan sebuah aktiviti murni yang mampu menyelamatkan banyak nyawa, iaitu memperluas kempen derma darah dan organ.
Hasilnya, Segmentasi Wanita Muda SAMM telah menjalin kerjasama dengan Pusat Darah Negara dan Pusat Sumber Transplan Nasional untuk satu program menderma darah pada hari ahad ini 24 Februari, bertempat di Pusat Darah Negara. Program yang dinamakan "Setitis Darah Sejuta Harapan & Jom Derma Organ" bakal menyaksikan setiap peserta diberi penerangan khusus mengenai kempen derma organ dengan tujuan kesedaran umum.
Maklumat terperinci program adalah seperti di bawah;
Program: Setitis Darah Sejuta Harapan & Jom Derma Organ
Tarikh: 24 Februari
Masa: 10pg - 3ptg
Lokasi: Pusat Darah Negara, Jalan Tun Razak (Sebelah Tasik Titiwangsa)
Pertanyaan: 013-5918017, 013-6437033
Walaupun SAMM dikenali dengan sifat radikal anak muda, namun tanggungjawab kepada negara, nusa dan bangsa tidak dilepaskan. Wanita muda SAMM mencabar anak muda tidak kira apa jua gender untuk turut serta dalam aktiviti ini kerana sesungguhnya derma darah ini juga 'radikal' dalam maksud keberanian yang memberi manfaat kepada semua.
Wanita Muda SAMM menyifatkan kempen seperti derma darah dan organ ini wajar diperluas agar terus mendapat sambutan yang akhirnya mampu menyelamatkan lebih banyak nyawa. Menderma darah dan organ bukan sahaja mampu menyelamatkan orang yang tidak dikenali, malah juga terdapat kebarangkalian orang yang diselamatkan itu adalah teman-teman dan saudara sendiri.
Justeru, ayuh bersama Wanita Muda SAMM menderma darah dan bersama memupuk kesedaran betapa keperluan menderma organ kepada yang memerlukan itu adalah satu usaha yang luhur lagi mulia.
MINAH CUN DARI
RADIO BANGSAR
Penyelaras Wanita Muda SAMM
---------