KIBARKAN
SANG SAKA
SEJARAH PERJUNGAN
MELAWAN PENJAJAH
MERDE
– MERDEHEKA
Seorang
menteri dari parti United Malays National Organisation mencadangkan digubal satu
rang undang-undang untuk mewajibkan dan memaksa rakyat Malaysia
mengibarkan Jalur Temberang... ooops...Jalur Gemilang pada setiap bulan Ogos. Sang Menteri ini sedang gelabah kerana orang ramai – rakyat Malaysia -
langsung tak ambil pot tentang bulan Ogos. Bulan Ogos adalah bulan yang dipanggil oleh gerombolan ini Bulan Kemerdekaan.
Kadang-kadang
saya naik kasehan melihat gerombolan politikus dari United Malays National
Organisation. Selalunya saya merasa
gumbira dan ketawa melihat lawak kebangangan mereka. Saya juga bersedih kerana mereka buta sejarah. Kesedihan
menjadi lawak kerana gerombolan
politikus ini juga amat-amat buta politik.
Bila
tulisan ini disiarkan – Hari Malapetaka 31 Ogos – akan sampai dalam masa empat hari. Ertinya empat hari lagi dalam istilah United
Malays National Organisation kita akan menyambut Merde...oppps... Merdeka. Tarikh
31 Ogos dalam naratif gerombolan difahami sebagai hari mereka dinobatkan untuk menjadi
raja.
Wahai
para pembaca yang budiman, lihat dijalan raya. Buka mata dan pandang. Amati
betul-betul. Dijalan raya tidak ada
teksi. Tidak ada kereta persendirian. Tidak ada bas. Tidak ada van. Tidak ada
bas sekolah. Tidak ada Mat Rempit. Tak ada keendraan apa pun yang sedang mengkibarkan Jalur
Temberang...opps...Jalur Gemilang.
Pilu
dihati ini menjadi bertambah lawak. Pada tahun ini Lori Bawa Pasir pun tidak
mengkibarkan bendera. Selalunya lori pasir akan memasang bendera agar dilihat
patriotik. Pasang bendera untuk menghindarkan dari ‘kena pau’ oleh mata-mata
yang sentiasa mencari kesalahan lori pasir. Kalau lori pasir pun sudah benci
dengan bendera ini maka jelas propaganda
United Malays National Organisation sedang sakit tenat.
Tetapi
kenapa agaknya warga Malaysia enggan mengkibarkan bendera yang dipanggil
bendera Malaysia?
Kita
wajib menyingkap kembali sejarah negara
bangsa - sejarah kelahiran Tanah Melayu yang kemudiannya menjadi Malaysia. Sejarah inilah yang selama ini telah dinyahkan oleh United Malays National
Organisation. Tetapi dengan wujudkan sistem maklumat internet dari hari ke hari warga
Malaysia terutama anak–anak muda sedang menggali kembali sejarah yang selama
ini cuba dikambus. Penipuan sejarah yang
diciritkan oleh United Malays National Organisation kini terbongkar.
Setiap
kali bulan Ogos sampai United Malay National Organisation yang akan
tercirit mulut mengakui bahawa ‘kemerdekaan’ negara ini didapati dengan jalan
damai. Merdeka Tanah Melayu dimenangi melalui berunding. Pooorah. Yang berunding ialah Uniterd Malays National
Organisation. Parti ini TIDAK pernah melawan dan tidak pernah menentang penjajah British. Buktinya cukup
senang.
Penjajah
ialah musuh. Penjajah ialah orang jahat. Penjajah datang untuk mengambil tanah, minyak, kelapa,
rempah , emas , balak dan dan. Penjajah menjadikan anak tanah jajahan sebagai
hamba. Penjajah beli barangan tempatan dengan harga murah dan jual
dengan harga mahal. Penjajah merampok dan menjarah tanah jajahan.
Justeru
dalam sejarah Asia, Afrika dan Latin Amerika semua kuasa kolonial penjajah
telah dilawan oleh anak watan. Indonesia melawan Belanda. Pilipina melawan Sepanyol. Rakyat Vietnam
bangun melawan Peranchis dan kemudian Amerika. Burma melawan British.
India melawan Bristish. Ramai nasionalis dari negara-negara ini ditangkap, dipenjara,
dibunuh atau dibuang negeri kerana menentang penjajah.
Sila
tanya kepada ahli United Malays National Organisation siapakah pemimpin parti
mereka yang telah melawan Bristih? Siapa pemimpin mereka yang
telah ditangkap Bristish atau yang telah dipenjara oleh British atau dibunuh
British? Kalau ada pemimpin United Malays National Organisation sebesar tungau sekali pun yang bangun melawan Britsih maka sejarah akan tabik hormat. Tetapi hakikatnya saekor
pun tidak ada.
United
Malays National Organisation – yang namanya masih nama Inggeris – bukan parti nasionalis
anti-Bristish. Mereka adalah parti barua
British. Parti ini adalah alat penjajah Bristish. Justerunya namanya masih lagi nama Inggeris.
Naratif
kemerdekaan yang diciritkan oleh United Malays National Organsiation bukan naratif perjuangan menentang Bristish.
Naratif mereka ialah ‘ menentang orang yang menentang Bristish’. Setiap bulan Ogos mereka akan tercirit
dengan kesah bagaimana mereka menentang Parti Komunis Malaya. Mereka
akan tercirit dengan tohmahan menentang Parti Kebangasan Melayu Malaya. Mereka
menentang Gerila Pembebasan Rakyat Malaya yang bangun angkat senjata melawan
penjajah.
United
Malays National Organisation menentang (PKM) Parti Komunis Malaya, menentang (PKMM) Parti Kebangsaan Melayu
Malay, menentang (KMM) Kesatuan Melayu Muda, menentang Hisbul
Muslimin, menentang (API) Angkatan Pemuda Insaf, (AWAS) Angkatan Wanita
Sedar. Nama-nama ini adalah parti dan
kumpulan nasionalis yang telah bangun menentang
penjajah British.
Jelas
United Malays National Organisation TIDAK pernah menentang British. Tidak ada
naratif melawan untuk mendapatkan Merdeka. Parti ini telah bangun menentang orang yang menentang
Bristish. Ini sejarah jahat United Malays National Organisation. Jelas, tugas parti ini ialah
menjadi barua British untuk menentang kaum nasionalis yang bermandi darah
mengangkat senjata melawan British. Inilah
naratif bulan Ogos yang mereka gembar gemburkan sebagai ‘bulan kemerdekaan’.
Tarikh
31 Ogos ialah Hari Malapetaka. Pada tahun 1957
- di Hari Malapetaka - Bristish telah meninggalkan kuasa dan
memberikan Tanah Melayu ini untuk
diperentah oleh United Malays National
Organisation dan kuncu-kuncunya.
Semenjak dari tarikh ini Tanah
Melayu dan kemudian Malaysia tidak
sudah-sudah terus ditimpa oleh
malapetaka.
Satelah
memahami babak babak sejarah ini maka
kita akan sedar kenapa rakyat Malaysia - anak semua
bangsa - enggan mengkibarkan
bendera yang kini telah dikenali sebagai Jalur Temberang. Bendera ini adalah
ciplakan. Kita tidak perlu pergi belajar
ke Oxford atu Sorbonne untuk memahami fakta ciplakan ini. Malah anak mahasiswa
dari Universiti Sintok pun dapat
memahami bahawa Jalur Temberang ini diciplak dari Star-Spangled Banner –
bendera Amerika Syarikat.
Kebencian
dan keenganan anak semua bangsa untuk mengkibarkan Jalur Temberang ini
semakin menjadi–jadi hinggakan perlu
satu rang undang-undang. Kenapa ini berlaku?
Biar
saya terangkan kenapa ini terjadi. Bulan Ogos
tahun 2013 adalah tanda penolakkan yang amat jelas terhadap Jalur Temberang - simbol milik United Malays National Organisation ini. Ini terjadi kerana kurang lebih 3 bulan
dahulu rakyat Malaysia telah ditipu oleh
United Malays National Organisation. Dalam PRU13 yang baru selesai United
Malays National Organsiation telah menang dan kembali berkuasa. Menang dan
kembali berkuasa dengan jalan tipu. Penipuan ini cukup jelas dan disedari oleh orang ramai.
Terbukti
bahawa rakyat Malaysia – anak semua bangsa – dalam PRU13 telah menolak United Malays National Organisation dan
kuncu-kuncu. Tetapi dengan licik dan penuh perancangan yang disusun oleh Suruhanjaya Pilihan Raya – gerombolan
yang telah ditolak oleh rakyat ini kembali berkuasa. Ini menyebabkan orang ramai bertambah marah
dan benci kepada Jalur Temberang yang
menjadi simbol United Malays National Organisation.
Apa
yang saya tulis ini bukan untuk bacaan satu kumpulan minoriti. Apa yang saya tulis
ini bukan sentimen kumpulan kecil. Apa yang saya lakar ialah suara dan tuntutan
52% warga Malaysia – anak semua bangsa.
Apabila Anwar Ibrahim bercakap, apabila Hadi Awang bersuara atau apabila Lim
Kit Siang mengeluarkan pandangan – itu
adalah suara dan pandangan 52% warga Malaysia.
Orang
ramai – 52% warga Malaysia - merasa
ditipu dalam PRU13. Orang ramai - 52% - yakin kemenangan mereka telah
dirampas. Orang ramai tahu bahawa kuasa United Malays National Organisation ini
adalah hasil dari penipuan yang
dirancang. Maka tanda awal yang dapat
mereka nyatakan tiga bulan
kemudian ialah mereka tidak ambil pot
tentang Jalur Temberang.
Rasa
muak dan mual terhadap kerenah United Malays National Organisation ini belum
selesai. Kemarahan orang ramai kerana
kemenangan mereka dirampas tidak akan terhenti. Rasa muak, benci dan marah ini sedang dikongsi oleh 52% warga Malaysia. Rasa
kemarahan ini sedang membara.
Justeru
para menteri dan para politikus dari United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya wajib sedar
bahawa mereka berkuasa kerana penipuan.
Suara mereka bukan suara majoriti. Para aparacik parti dan para pegawai
kerajaan wajib sedar bahawa kerajaan
hari ini adakah kerajaan haram yang ditubuhkan melalui penipuan.
Bagaimana
pula dengan lagu Negara-ku yang kini akan dimainkan dalam panggung wayang? Para penonton akan dipaksa mendengar lagu
ini. Ini juga menjadi berita heboh bulan
Ogos. Sebenarnya lagu Negara-ku ini sama
saperti Jalur Temberang. Lagu yang dipangggil lagu kebangsaan ini adalah hasil ciplakan. Lagu asal La Rosalie dari
Peranchis, menjadi Memula Moon, menjadi lagu Terang Bulan di Indonesia dan
diciplak untuk menjadi lagu Negara-ku.
La
Rosalie , Memula Moon, Terang Bulan atau Negara-ku akan dipaksakan kepada
penonton panggung wayang. Ini akan
menjadi lawak seram. Tidak ada sesiapa yang memiliki harga diri dan tahu
sejarah asal usul lagu ini akan bangun hormat pada lagu ini. Lagu Negara-ku adalah hasil ciplakan. Tidak perlu ditutup lagi sejarah ini. Segala
yang diciplak lambat laun akan diketahui umum. Lambat laun akan dihumbankan.
Tidak
dapat tidak Malaysia hari ini memerlukan satu bendera baru yang memiliki motif wataniah untuk melambang
sejarah pejuangan anak bangsa. Bukan
bendera ciplakan dari bendera Amerika.
Malaysia juga memerlukan satu lagu
kebangsaan baru yang menjiwai tempo dan
naluri sejarah bangsa. Malaysia dengan politik baru akan menghumbankan ke dalam tong sampah sejarah semua yang diciplak.
Melahirkan yang baru ini adalah tugas anak muda yang telah
diberikan oleh sejarah. (TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan
akhbar minguan ini sila pukul talipon: 03 - 92-21-10-45
SILA KLIK IKLAN YANG DILIHAT
dana dari iklan akan di wakaf
kepada dapor jalanan
projek memberi makanan kepada
warga kota tanpa tempat tinggal
-----------