PENIPUAN DALAM PRU14
SEDANG DI RANCANG
APA
DIA PRU?
Sekali
lagi saya memaksa diri saya untuk menulis sajelas mungkin tentang pilihan raya
umum. Saya merasakan ini adalah tanggung jawab yang amat besar agar saya dapat
menerangkan sajelas mungkin tentang PRU.
Saya berharap penerangan ini akan dihazam sebagai santapan
fikrah. Saya harapkan tulisan ini akan membawa pencerahan dari kekacauan fikrah politik
yang sedang berlaku sekarang
Pertama-tama
: Sacara jelas tanpa berselindung saya nyatakan
sekali lagi, walau pun saya telah menulis puluhan kali bahawa Malaysia
kita ini adalah sebuah negara Dunia Ketiga. Malaysia memiliki ciri dan pola
negara DUNIA KETIGA. Pola ekonomi negara Dunia Ketiga ialah bergantung kuat dengan kepentingan syarikat
gergasi antarabangsa. Borjuis nasional
negara Dunia Ketiga lemah dan dibuli
oleh pemodal antarabangsa.
Politik
dalaman negara Dunia Ketiga adalah anti-demokrasi dan anti-kebebasan. Elit politik untuk meneruskan
kuasa wajib tunduk dengan kepentingan kuasa imperial Anglo-Amerika. Dalam realpolitik, negara-negara Dunia Ketiga jatuh dibawah
taklok Empire Anglo-Amerika. Dunia Ketiga adalah tanah jajahan bentuk baru –
dijajah oleh modal.
Justeru
dalam negara Dunia Ketiga TIDAK pernah berlaku perubahan kerajaan melalui pilihan
raya. Dalam negara Dunia Ketiga jika
pilihan raya boleh mengubah apa-apa – pilihan raya itu telah lama diharamkan.
Apakah
perlu saya membuktikan hujah ini? Sila
ingati kembali bagaimana Parti Rakyat Berunai pada tahun 1962 menang hampir kesemua kerusi Majlis Tempatan
yang dipertandingkan dalam PRU terbuka. Hasilnya kuasa penjajah British
menangkap pemimpin dan mengharamkan Parti Rakyat Berunai.
Pada bulan Disember
1991 di Aljeria, Parti Islamic Salvation
Front (FIS) dalam PRU awal telah menang besar. Kemenangan ini digagalkan
oleh kuasa tentera. Dan contoh paling
akhir ialah apa yang sedang terjadi di Mesir. Gerakan anak muda pro-demokrasi telah dibajak oleh tentera yang menjatuhkan
Morsi yang menang kerusi Presiden Mesir melalui pilihan raya.
Dalam
realpolitik Dunia Ketiga pilihan raya ini hanyalah ‘wayang dan sandiwara'. PRU disandiwarakan
untuk mengabui mata orang ramai. Orang ramai ‘terkhayal’ dengan PRU. Walhal
pilihan raya ini dijalankan untuk memenangkan kumpulan dan gerombolan elit
politik dan ekonomi yang sedang
berkuasa.
Apakah
yang saya tulis ini amat susah untuk difahami. Apakah ada
juga pembaca yang memiliki daya fikrah yang
terbantut? Saya amat yakin ramai
pembaca merasa mereka telah
ditipu dalam PRU13 yang lalu. Mereka kecewa. Mereka patah hati. Dalam kekecewaan ini pasti ramai yang terperanjat.
Saya
juga merasa kecewa. Saya kecewa BUKAN kerana Pakatan Rakyat tidak dapat mengambil
alih Putrajaya. Saya tidak kecewa kerana
Anwar Ibrahim tidak menggantikan Najib Razak.
Mustahil saya akan kecewa kerana
dari awal lagi saya telah menulis, saya telah berforum dan saya telah
berceramah menerangkan kepada umum bahawa
PRU13 ini akan dijalankan dengan penipuan. Secara terbuka dengan hitam puteh
saya telah menulis bahawa United Malays National Organisation akan kembali
berkuasa. Malah saya telah membuku semua pandangan saya ini sebelum PRU13
berjalan.
Apa
yang mengecewakan saya ialah kenyataan dan tingkah laku para politikus dalam
Pakatan Rakyat. Tindakan politikus inilah yang amat amat mengecewakan saya. GerakanAnakMuda# 505 memang jelas menolak
keputusan PRU13. Anak-anak muda menuntut agar diadakan sekali lagi pemilihan
dikawasan-kawasan yang jelas berlaku penipuan.
Kawasan
penipuan ini adalah kawasan lampu padam ketika undi sedang dikira. Kawasan dimana jumlah undi rosak
lebih banyak dari jumlah undi menang. Kawasan dimana Borang 14 tidak wujud.
Kawasan dimana Mat Bangla dan Pengudi Hantu ditangkap. Kawasan dimana ada peti undi sampai lewat.
Anak-anak muda yang turun ke jalan
raya menuntut Pengerusi SPR dan Pegawai
SPR meletak jawatan.
Sayangnya para politikus terjebak dengan
‘saluran-saluran’ betul. Saluran-saluran betul
ini diwujudkan oleh United Malays National Organisation khas untuk memastikan ‘
kemarahan rakyat kerana ditipu’ dapat diredakan. Kes ‘tidak puas hati ‘ ini di
bawa ke mahkamah.
Bawa
kes tipu undi ke mahkamah amat
mengecewakan. Ini kerana mahkamah adalah milik United Malays National
Organisation. Dalam negara Dunia Ketiga mahkamah adalah sebahagian dari jentera daulah – state machinery. Mahkamah
digunakan untuk memastikan rakyat dapat ditundukkan demi kepentingan
elit politik dan elit ekonomi.
Dalam
negara Dunia Ketiga mahkamah tidak akan menyebelahi kaum tertindas. Ini adalah pola
dan watak mahkamah dalam negara Dunia Ketiga kerana Tuan Hakim, Tuan Peguam
Negara dan Tuan Pendakwa semuanya adalah sebahagian dari elit yang berkuasa. Mereka
dibayar gaji, dinaikan pangkat dan dapat derajat Datuk dan Tan Seri kerana setia berkhidmat
untuk menjaga kepentingan United Malays National Organisation.
Untuk
saya semua ini adalah ABC politik. Kerana ianya ABC politik maka saya merasa kecewa
apabila saya difahamkan hampir 1 juta ringgit telah dibayar untuk membawa kes
tipu undi PRU13 ini ke mahkamah. Ada kes yang dipaksa membayar 90,000 ringgit. Bayangkan ketika berkempen tidak sebanyak
90.000 ringgit yang dibelanjakan.
Sila
buntangkan mata. Saya ingin memberi tahu
bahawa Mahkamah Kuala Brang Terangganu telah membuat keputusan dimana Parti Pas wajib
membayar 150,000 ringgit kerana membawa ‘kes tipu undi’ ke mahkamah.
Bayangkan
jika suku dari jumlah duit-duit ke
mahkamh ini diberikan kepda tim AnakMuda#505 – saya amat yakin politik
kita tidak sebodoh yang kita lihat
sekarang. Dengan 1 juta ringgit – yang ditelan oleh mahkamah – jika dijadikan
peruntukan kempen menekan SPR pasti kita akan lihat jawapan yang berhasil. Duit sebanyak ini pasti dapat menghumbankan Pengerusi
dan Timbalan Pengerusi SPR.
Saya rasa ramai pembaca turut kecewa apabila membaca apa yang saya
tulis ini. Bukan sahaja orang ramai
telah ditipu oleh SPR malah para
politikus Pakyat Rakyat pun tidak bertindak jujur dan stratejik. Para politikus
ini terjebak dengan ‘cara mahkamah’ dan terus menjadi mamai. Pada hemat saya
politikus ini menjadi mamai kerana gagal
memahami bahawa Malaysia ini adalah negara Dunia Ketiga.
Kekecewaan
saya ini dikecewakan lagi dengan
perkembangan politik terkini. Pada minggu pertama sesudah 505 saya ada mendengar
tentang perbincangan dan labon tidak
resmi para politikus Pakatan Rakyat tentang keputusan PRU13. Mereka berlabon
sesama sendiri untuk menilai apa yang telah berlaku pada 505.
Pada
awalnya hanya labon kosong yang akhirnya menjadi perbincangan resmi untuk melihat apa yang telah berlaku dalam PRU13. Banyak tung
tang ting yang telah ditimbulkan. Banyak kepala
yang telah digaru untuk berfikir kenapa Pakatan Rakyat kalah. Macam-macam dikhabar beritakan. Ada yang
berkata bahawa ada kesilapan salah pilih calon. Ada yang berhujah tentang kegagalan bahagian dan cabang. Ada yang berhujah
kawasan itu kalah kerana Anwar tidak
datang berceramah. Ada yang berhujah
mengatakan poster dan selebaran sampai lambat. Ada yang berhujah kawasan mereka
tidak ada duit dan dan dan....
Akhirnya
para politikus ini membuat rumusan bahawa Pakatan Rakyat GAGAL kerana TIDAK
dapat undi Melayu. Hujah ini amat
lantang kita dengar dari suara alim ulama Pas yang sedang berbincang secara
resmi di Kota Sarang Semut Kedah.
Bila
saya mendengar hujah bahawa Pakatan tidak sampai ke Putrajaya kerana TIDAK ada
sokong orang Melayu saya jadi marah. Ini adalah marah yang amat marah. Saya
marah kerana hujah ini tidak sepenuhnya tepat. Hujah kalah PRU13 kerana tidak
ada sokong Melayu ini adalah kenyataan paling songsang. Kenyataan ini tidak
bersandarkan dengan fakta politik – jauh sekali fakta ilmiah.
Apakah
susah sangat untuk memahami bahawa Pakatan Rakayat telah menang besar. Dalam
PRU13 Pakatan Rakyat mendapat 52% undi popular. Tidak timbul undi Melayu, undi
China atau undi Ibana. Jumlah 52% dalam sistem 50+1 ertinya Pakatan Rakyat
menang. United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya hanya mendapat
47% undi rakyat. Dalam sistem 50+1 yang
mendapat 47 adalah telah kalah.
Jika
Pakatan Rakyat menang mendapat 52% undi
kenapa Najib Razak dan bukan Anwar Ibrahim yang menjadi PM. Disini saya terangkan sekali lagi. Pekara
ini telah saya garap berkali-kali.
Dalam
PRU13 Pakatan Rakyat BUKAN melawan parti United Malays National Organisation dan
kuncu-kuncunya. Yang ditentang dan dilawan oleh penyokong Pakatan Rakyat ialah
sistem pemilihan yang telah dibentuk oleh SPR untuk memastikan Pakatan Rakyat
akan terus kalah. Sistem ini tidak ada sangkut paut dengan undi
Melayu. Kalau pun Pakatan mendapat 50% undi Melayu, Najib dan gerombolan Ketuanan Melayu masih
terus berkuasa.
Apakah
susah sangat untuk mermahami makna
perkataan SISTEM? Kereta berjalan
kerana ada sistem injin. Injin itu hidup melalui satu sistem yang telah direka
untuk membolehkan kereta bergerak. Kereta Kancil sistem injinnya berbeza
dari sistem injin kereta jenis
Ferrari. Sistem memiliki struktur. Justeru pilihan raya kita
memiliki sistem - memiliki struktur. Sistem dan struktur ini diwujudkan melalui Parlimen. Bunyinya sedap –
melalui Parliemn i.e suara Orang Ramai.
Hakikatnya
– hampeh. Bukan suara Orang Ramai. Kerana selama ini – Parlimen adalah milik
United Malays National Organisation. Justeru pelbagai hukum dan undang
pilihanraya telah diluluskan untuk menjadi benteng dan tembok dimana parti
Ketuanan Melayu ini mustahil dapat dilkalahkan dengan kiraan undi.
Justeru
adalah salah untuk membuat rumusan bahawa Pakatan Rakyat kalah kerana TIDAK ada
sokongan Melayu. Sistem pemilihan- made in Malaysia - ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Ianya
bukan sistem injin Kancil. Sistem pemilihan inilah yang
mengalahkan Pakatan. Saya menulis tentang ‘sistem ‘ agar membawa pencerahan. Agar kita semua tidak membuang masa dan wang ringgit menghantukkan kepala kerana Mak Cik Felda tidak mengundi Pakatan. (TT)
NOTA
tulisan ini
telah disiarkan dalam
SUARA KEADILAN terbaru
sesiapa ingin melanggan akhbar mingguan
ini sila pukul talipon: 03-92-21-10-45
SEBUAH KITAB
HISHAMUDDIN RAIS
SILA KLIK IKLAN YANG DILIHAT
dana dari iklan akan di wakaf
kepada dapor jalanan
projek memberi makanan kepada
warga kota tanpa tempat tinggal
----------