Kaji semula matlamat pembangunan bandar dan hak memiliki rumah untuk semua warga Malaysia sempena Hari Habitat Sedunia
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) telah menetapkan hari Isnin yang pertama dalam bulan Oktober setiap tahun sebagai " Hari Habitat Sedunia " (World Habitat Day). Objektif untuk Hari Habitat Dunia adalah untuk membincangkan keadaan bandar-bandar dan masalah-masalahnya dan juga memastikan semua warga dunia menikmati hak-hak asasi mereka dengan sekurang-kurangnya memiliki sebuah rumah yang selesa. Hari Habitat Sedunia tahun ini jatuh pada 7 Oktober 2013 dengan tema "Pengangkutan Bandar ".
Sebagai sebuah negara yang membangun , kerajaan kita seharusnya memandang serius tentang peringatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sempena Hari Habitat Sedunia ini dengan berganding bahu dengan negara-negara lain untuk mencapai matlamat membangun sebuah bandar yang lebih baik,selesa, sejahtera serta memastikan bahawa semua rakyat menikmati hak asasi mereka untuk memiliki rumah.
Beberapa tahun kebelakangan ini, keluarga orang muda menghadapi masalah untuk memiliki rumah. Kini ramai di antara orang muda terpaksa menanggung beban hidup yang berat termasuk memikul hutang kad kredit, membiayai pinjaman bank untuk kereta mereka dan sebagainya. Bagi mereka yang membeli rumah, mereka juga menjadi generasi hamba rumah yang terpaksa mengguna sejumlah besar pendapatan mereka untuk membiayai pinjaman bank.
Masalah yang dihadapi oleh orang muda dalam negara ini bukan sekadar beban hidup yang berat, malah tiada tempat untuk mereka tinggal. Malangya, kerajaan kita masih tidak memandang serius masalah-masalah ini dan mengambil initiatif untuk mencari penyelesaian demi kepentingan orang-orang muda dan masa depan negara.
Peningkatan harga hartanah boleh mencerminkan ekonomi yang berkembang pesat, tetapi kerajaan tidak boleh mengabaikan kebimbangan golongan berpendapatan rendah untuk memiliki sebuah rumah. Ramai keluarga yang tidak mampu memiliki rumah dan terpaksa sewa atau tinggal di kawasan setinggan. Hasil pembangunan negara tidak dinikmati oleh golongan besar rakyat Malaysia.
Walau bagaimanapun, pengumuman kerajaan Pulau Pinang untuk membina kira-kira 20,000 unit rumah mampu milik untuk warganya memang dialu-alukan malah perlu dilaksanakan dengan lebih cepat bagi menampung keperluan yang kian hari kian meningkat di Pulau Pinang.
Pembangunan sebenarnya perlu mendatangkan manfaat kepada orang ramai khasnya golongan bawahan yang merupakan majoriti dalam masyarakat kita. Kerajaan perlu memastikan bahawa semua pembangunan perlu seimbang dengan sosial ekonomi setempat. Jangan sampai membenarkan pembangunan yang tidak terkawal sehingga menghalau rakyat yang sudah tinggal di atas tanah tersebut lebih 30 tahun seperti yang baru-baru ini di Kampung Hakka, Mantin serta Permatang Tok Suboh di Bukit Mertajam.
Pihak pemaju juga perlu memikul tanggungjawab untuk melindungi hak memiliki rumah bagi golongan yang berpendapatan rendah dalam masyarakat ini, Dalam usaha mencari keuntungan, malah tanggungjawab sosial pemaju perlu dijalankan agar golongan ini tidak menjadi mangsa dalam pembangunan ekonomi.
Oleh itu, dalam zaman di mana jurang kekayaan dan kemiskinan yang semakin besar, tanggungjawab kerajaan adalah lebih berat agar rakyat tidak terpinggir atau ditindas oleh pemaju yang hanya mengaut keuntungan.
Marilah kita berjuang untuk hak rumah kepada semua rakyat serta melindungi rakyat bawahan yang susah.
LEE KHAI LOON
ADUN MACHANG BUBUK
KETUA PENERANGAN ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK)
-------