Rabu, 16 April 2014

BALING 1974-2014




1974-2014
Add caption

BALING 1974


Kegagalan adalah Anak Buluh Betong yang tidak diketahui siapa ibu dan bapa.  Kejayaan  adalah ‘geng bang’ yang menjemput banyak sosok  yang akan mengaku ibu dan ayah. Kegagalan akhirnya akan  mati sunyi bersendirian. Manakala Kejayaan membawa banyak saudara mara, chulai, menantu dan besan dan  mereka berkenduri tak sudah sudah.  Inilah yang berlaku kepada Sejarah Baling 1974.

Ketika  Anwar Ibrahim ditampok kuasa, sebelum ditendang oleh  Anak Lelaki Iskandar Kutty, ada beratus puluh yang mengakui bersama Anwar untuk menjadi Arab brother in Malaysia dan pergi ke Baling. Ini kerana  diakhir ‘pengakuan’ bukan saja akan mendapat hadiah pink form – silap-silap dapat menjadi YB.

Ini amat berbeza ketika gelora REFORMASI turun ke jalan raya  pada tahun 1999. Bengolan Mat Pink Form dan Mat Arab Brother in Malaysia ini tidak pula turun ke jalan raya. Menikus takut hilang kerja  atau hilang pangkat. Walau pun pangkat  ini diterima kerana telah mengakui bersama Anwar di Baling. Jawatan kerja pun bukan kerana kelayakan tetapi kerana mengaku ada bersama demo ‘ Baling’.

Baling pekan kecil di wilayah utara Semenanjung ini memang bersejarah. Disini  dijalankan perundingan antara Tunku Abdul Rahman dengan Chin Peng pada tahun 1955. Pada bulan November 1974 ada dua tunjuk perasaan besar di Baling. Puluhan ribu warga Baling keluar ke jalan raya berarak  menuntut keadilan dari Razak Hussein.  Empat puluh tahun kemudian - pada 6 April yang lalu telah diadakan satu Rapat Rakyat untuk mengingati kembali   sejarah Baling 1974. Kali ini yang menyusun Baling 2014 ialah Parti Pas.

Dalam tulisan  ini saya ingin merakamkan satu sudut pandangan tentang Baling 1974. Ini hanya pandangan dari kaca mata saya. Saya tidak berani mengatakan ini  adalah keseluruhan babak dan sejarah  Baling 1974.  Kawan-kawan yang lain wajib juga menulis sama untuk mengutarakan sudut pengalaman mereka pula. Mustahil  6 Orang Buta itu dapat memberi gambaran sebenarnya saekor gajah.

Ketika warga Baling keluar ke jalan raya  November 1974 , saya BELUM pernah sampai ke Baling. Saya hanya berjaya sampai ke Baling pada tahun 2006. Tetapi Babak Pertama/First Act hidup saya telah tersangkut kuat dengan Baling. Saya berkelana ke seluruh dunia selama 20 tahun sesudah berlakunya Baling 1974. Babak Kedua hidup saya adalah merantau. Ketika dalam peratauan saya terus disabitkan dengan Baling 1974.

Dari benua ke benua, dimana sahaja diberhenti dan bertemu warga Malaysia mereka akan bertanyakan Baling 1974. Pertanyaan sepontan ini  sebenarnya adalah tanda setiakawan. Tanda mereka menyokong apa yang telah berlaku di Baling pada tahun 1974.

Pada Bulan April 2014 ini adalah lucah, salah dan tidak jujur jika saya tidak merakamkan nama-nama pemimpin mahasiswa yang turut sama terlibat dalam Baling 1974.  Dari fakta sejarah  pemimpin PMUKM saperi Idris Jusi, Rahman Rukaini  dan Halim Arshad  terlibat sama. Pemimpin KSITM saperti Ibrahim Ali dan Darby memainkan peranan. Dari PMUSM Kamal Selamat atu Bung Selamat turut sama. Rahmatullah Khan dan Hasan Karim dari Kolej Pertanian Serdang. Ini termasuk pemimpin pelajar dari ITK ( Institute Teknoloji Kebangsaan) dan Politeknik Ungku Omar Ipoh – yang hingga ke hari ini sejarah gagal merakamkan nama-nama mereka. 

Diantara nama-nama  yang saya rakamkan disini ada nama yang menjijikan kerana keterlibatan mereka dalam organisasi rasis. Walau terlibat dalam Lembaga Rasis – ini tidak bermakna kita wajib melupakan peranan mereka dalam sejarah. Saya  tidak berlaku adil  kepada sejarah dan kepada diri saya sendiri jika saya mengenepikan nama Ibrahim Ali atau Idris Jusi. Mereka hadir pada tahun 1974. Mereka adalah  pemimpin pelajar pada ketika itu. Dari fakta sejarah mereka juga  ditahan dibawa ISA kerana terlibat dalam Baling 1974.

Sejarah  yang jujur akan merakam semua yang terlibat –  dari kiri dan  dari kanan. Justeru saya akan berlaku TIDAK jujur  jika saya mengatakan Si Anu dan Si Polan tidak bersama Baling 1974. Apa  yang  terus berligar dalam kepala saya hingga ke hari ini – siapakah ribuan mahasiswa  yang turun berdemo itu?  Dimana mereka sekarang? Apa yang telah dan sedang mereka lakukan? Hakikatnya sejarah  wajib  terus merayakan  ribuan  mahasiswa mahasiswi dari UM,  UKM, ITM, USM, ITK, Polyteknik Ungku Omar dan  pelajar yang lain yang turun sama  ke jalan raya pada Disember 1974.

Mustahil saya mengenali mereka semua. Mustahil saya mengingati nama-nama 8.000 orang ahli PMUM. Tapi wajah-wajah muda mereka tidak pernah luput dari ingatan. Wajah-wajah mahasiswa yang berdemo pada tahun 1974  telah saya  bawa  berkelana ke empat benua. Sama ada saya di Melbourne, Hong Kong, Karachi, Paris, Wavre atau Brixton wajah-wajah ini segar dalam ingatan. Ini kerana anak-anak muda 1974 inilah  yang memberikan keyakinan kepada roh saya bahawa apa yang sedang saya lakukan adalah tepat dan benar.

Justeru, ribuan  mahasiwa siswi yang  turun berdemo pada Disember 1974 wajib sama  dirayakan sebagai protoganis Baling  1974. Tanpa mereka  Ibrahim Ali, Kamrazaman Yacob, Adi Satria, Hamzah Kassim,Halim Arshad, Rahman Rukaini,  Idris Jusi, Anwar Ibrahim, Hishamuddin Rais dan dan tidak akan wujud. Juga wajib  sama dirayakan  oleh sejarah ialah puluhan ribu  warga   Warga  Miskin Desa  dari Sik, Baling, Tikam Batu dan wilyah  Utara Kedah yang telah turun ke jalan raya  berdemo pada November 1974.

Ketika demo pertama di Baling saya dan kawan-kawan di kampus Universiti  Malaya tidak mengetahui apa yang telah terjadi di Kedah. Pada bulan November 1974 kami sedang bercuti sebelum masuk penggal ketiga – Penggal Pepereksaan.

Pada ketika itu  bangunan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) telah dikunci, dipaku dan menjadi kawasan larangan. PMUM sebagai satu organisasi pelajar telah digantung. Ini adalah hasil dari tunjuk perasaan siswa UM  yang menyokong Gerakan Penduduk Miskin Kota di Tasik Utara pada 19 September 1974.

Kerana berdemo di Tasik Utara di Johor Bahru, kerana menyokong para Setinggan Tasek Utara saya bersama arwah Yunus Ali  telah ditahan dan dimasukan  ke penjara Air Molek selama 1 minggu. Beberapa hari kemudian penahanan bertambah lagi dengan masukanya  Khoo Su Wan dari UM dan  Chia Yong Tai mahasiswa dari Universiti Singapura bersama 3 warga Miskin Kota.  Ketika dalam penjara Air Molek saya adalah Setiausaha Agong PMUM Majlis ke-16 dan baru sahaja dilantik untuk menjadi Presiden PMUM Majlis ke-17.

Di Univeristi Malaya, ketika  kami  ditahan  telah  berlalu benterokan. Mahasiswa dan kepimpinan PMUM telah merampas dan mengambil alih Universiti Malaya.  Mereka merampas UM dengan tuntutan agar kami di Air Molek dibebaskan. Mengambil alih universiti adalah satu tindakan radikal yang menjadi trend mahasiswa pada ketika itu - dari  Berkeley, ke Oxford, ke Sorbbone  ke Adeleide hingga berjaya dilakukan di  Universiti Malaya.

Rampasan kuasa mahsiswa ini telah dipatahkan oleh kumpulan yang memanggil diri mereka MTN – Majlis Tertinggi Nasionalis. Sebenarnya dibelakang MTN ini ialah satu Lembaga rasis ala fascist  yang  muncul beroperasi untuk kali pertama di Universiti Malaya. Lembaga rasis ini diberi nama BTN – Biro Tata Negara. BTN ini adalah anak syarikat United Malays National Organisation. Organisasi  rasis BTN ini masih wujud hingga ke hari ini. Masih menjalankan program rasis.

MTN bersama BTN dengan cara ganas a la fasis telah menangkap pemimpin PMUM. Kekecohan yang disusun dan yang dirancang  ini telah membawa ketegangan. Suasana ini telah ‘menghalalkan’  penggantungan PMUM oleh pihak Universiti dan Kerajaan. Ini sebelum secara resmi diperkenalkan Pindaan AUKU 1974.

PMUM pada ketika itu adalah persatuan pelajar yang kedua terkaya sesudah Australian Union of Students. Dengan ahli seramai 8.000++ PMUM memungut yuran wajib sebanyak 24 ringgit seorang untuk setiap tahun. PMUM bergerak secara demokratik. Pemimpin dipileh melalui undian.

Selain dari dana yuran,  PMUM juga memiliki perniagaan – cafeteria, kedai gunting, kedai buku, bilik billiard, kantin dan  bilik tumpangan. PMUM juga memiliki empat buah bas, van, motosikal  dan kelengkapan mesin cetak. Bas PMUM berjalan disekitar PJ dan Kuala Lumpur memungut pelajar masuk dan pulang ke  kampus secara percuma.  Dengan dana yang lumayan PMUM juga mengeluarkan pinjaman kepada pelajar. Saya amat yakin ramai pelajar terutama  yang BUKAN BUMIPUTERA, yang sekarang menjadi ‘orang besar-besar’ telah mendapat dana pinjaman dari PMUM.

Saya memberi latar ini agar para pembaca dapat memahami suasana  gerakan pelajar pada ketika itu. PMUM yang tersusun rapi ini memiliki keupayaan – keintelektuan dan dana -  untuk menentang dan memperlekehkan  dasar anti rakyat ytang diajukan oleh  United Malays Natyional Organisation. PMUM dari segi sejarah sentiasa menyebelahi rakyat tertindas. Baling hanya salah satu dari sejarah PMUM bersama rakyat. (TT) -bersambung

 
 NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam akhbar SUARA KEADILAN
sesiapa yang ingin melanggan 
akhbar mingguan ini sila pukul talipon
03-92-21-10-45

----------

1 ulasan:

  1. kali pertam tgk TT masa muda....kah...kah....kah...

    BalasPadam