Jumaat, 14 November 2014

HAK RAKYAT







Pendidikan Percuma dan Autonomi Pendidikan Tinggi Adalah Hak Rakyat Berasaskan People Economy

Pendidikan merupakan satu hak asasi manusia yang termaktub dalam Artikel 6 Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Walaupun deklarasi tersebut hanya menetapkan pendidikan percuma untuk peringkat rendah dan menengah sahaja namun sebagai sebuah Kerajaan yang kononnya menuju ke arah People Economy, seharusnya Kerajaan Persekutuan perlu memikirkan untuk memberikan pendidikan percuma sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Pemerintah sering memperbesarkan mitos bahawa adalah mustahil untuk menyediakan pendidikan peringkat pengajian tinggi yang percuma kerana kos terlalu tinggi dan ianya adalah merupakan pelaburan individu. Pemerintah juga baru-baru ini mengatakan bahawa rakyat perlu membayar sebanyak 50 peratus cukai sekiranya mahu pendidikan percuma.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berpandangan bahawa sikap Kerajaan Persekutuan hari ini terhadap bidang pendidikan pengajian tinggi tidak mencerminkan falsafah sebuah kerajaan tetapi lebih mirip kepada tindakan dan falsafah kelompok pemodal yang mencari keuntungan atas nama apa sekalipun.

Pendidikan peringkat pengajian tinggi ini adalah satu pelaburan komuniti bukannya pelaburan individu seperti yang digambarkan dalam mitos Putrajaya. Pengajian tinggi akan memberikan keuntungan yang amat signifikan kepada masyarakat dan negara melalui perkembangan modal insan. Pendidikan dan pengetahuan akan membawa harapan masa depan negara yang cerah.

Sasaran Putrajaya untuk menjadi negara berpendapatan tinggi perlulah datang dengan keupayaan modal insan yang berdaya saing dan mempunyai daya intelek yang bagus. Malahan, untuk mencapai pendapatan tinggi juga memerlukan lebih ramai rakyat dapat meningkatkan taraf mereka daripada tenaga kerja kurang mahir dan separa mahir kepada tenaga kerja mahir. Semua ini akan hanya tercapai melalui ilmu pengetahuan.

Kedegilan Putrajaya untuk memberikan pendidikan percuma di peringkat pendidikan tinggi akan terus membebankan graduan-graduan sebaik sahaja mereka memasuki alam pekerjaan dan tidak mencerminkan hasrat Bajet 2015 untuk mengamalkan dasar ekonomi rakyat. Beban pinjaman pendidikan yang menjangkau puluhan ribu jika bermula di peringkat sijil sehinggalah ke peringkat ijazah sarjana muda, ditambah lagi dengan bebanan kos sara hidup yang meningkat dan pinjaman kenderaan dan sebagainya akan mengecilkan pendapatan boleh belanja bagi kelompok ini. Akhirnya, impian untuk menuju negara berpendapatan tinggi bertukar menjadi bencana yang mengerikan apabila ramai anak muda dalam lingkungan usia awal 30-an diisytiharkan muflis.

Selain itu, bagi mengupayakan kebolehpasaran para graduan, Kerajaan Persekutuan sepatutnya mengambil satu tindakan progresif dan radikal dengan membenarkan autonomi pendidikan di peringkat pengajian tinggi dan seterusnya membebaskan universiti-universiti daripada cengkaman kuku besi politik. Professor-professor dan para pelajar mestilah mempunyai kebebasan untuk melaksanakan kajian, melontar pandangan dan pendapat serta lain-lain metodologi percambahan ilmu.

Putrajaya perlu mencontohi aspek kebebasan akademik yang diamalkan oleh negara-negara maju yang mana akhirnya gandingan professor dan pelajar dapat memberikan input yang baik terhadap garapan polisi dan dasar fiskal negara. Ambil contoh bagaimana di Australia, Australia National University (ANU) sangat dikenali dan berada di dalam ranking antara 20 universiti terbaik di dunia kerana seringkali menjadi "think tank" kepada Kerajaan mereka untuk melakukan kajian intensif dan memberikan input sebelum sesuatu polisi itu digunapakai terutamanya dalam bidang ekonomi.

Sehubungan itu, SAMM menyeru setiap rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam satu protes pendidikan percuma sempena "International Global Week Fight For Free Education" pada 21 November 2014 bermula jam 2.30 petang di hadapan KLCC demi menuntut hak rakyat dalam pendidikan percuma dan autonomi peringkat pengajian tinggi.

Pendidikan Percuma dan Autonomi Pendidikan Tinggi adalah hak rakyat

Muhamad Zulkhairie
Jurucakap Kempen Pendidikan Percuma
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)





















-----------

2 ulasan: