Jumaat, 5 Disember 2014

BANGGA BILA DISAMAN MUSUH







BANGGA DISAMAN PERTAHAN SUBSIDI RAKYAT

Pada hari ini, saya menerima surat memohon penjelasan (demand letter) dari firma Hafarizam Wan & Aisha Mubarak bagi pihak Najib Razak mengenai kenyataan saya di dalam video bertajuk “Kenapa Kita Pertahan Subsidi Minyak”. Surat seperti ini adalah surat awal sebelum tindakan saman diambil.

Video tersebut adalah rakaman sebahagian dari ucapan saya di Bandar Tun Razak pada 22 November 2014 yang lalu yang mempertahankan subsidi minyak sebagai hak rakyat. Rakaman tersebut boleh didapati di laman MediaRakyat dan capaian https://www.facebook.com/video.php?v=870155893018919&set=vb.145165568851292&type=2&theater

Saya sudah menjangkakan bahawa  Najib Razak akan mengambil tindakan saman terhadap saya selepas rakan saya YB Tony Pua telah menerima surat yang sama minggu lepas. Saya percaya ia ada kena mengena dengan kritikan berterusan dari kami berdua mengenai 1MDB.

Saya berasa bangga mendapat saman dari seorang Perdana Menteri kerana mempertahankan hak rakyat untuk mendapatkan subsidi minyak sekurang-kurangnya 30 sen seliter dalam keadaan pimpinan negara berbelanja sewenang-wenangnya dana rakyat dalam projek-projek yang membebankan rakyat seperti 1MDB.

Saya telah menyatakan secara terbuka bahawa saya bersedia berdebat dengan mana-mana pimpinan Umno baik yang muda atau tua, menteri atau tidak dalam mempertahankan subsidi minyak ini. Sehingga sekarang tidak ada seorang pun pimpinan Umno – dari Ketua Pemudanya hingga Ketua Penerangan yang berani tampil berdebat mengenai subsidi minyak ini.

Maka, surat ke arah tindakan saman dari  Najib  Razak ini kena tepat pada masanya. Dalam keadaan tiada pimpinan Umno yang berani berdebat secara terbuka mengenai subsidi minyak, sewajarnya Najib Razak tampil menjawab hujah-hujah saya secara terbuka.

Saya sekali lagi mencadangkan beliau tampil berdebat dengan Anwar Ibrahim khusus mengenai isu subsidi minyak yang menjadi isu besar di kalangan rakyat.

Sementara itu, saya akan menjawab surat Najib Razak dan bersedia memberi keterangan di mahkamah kelak. Saya juga percaya Najib Razak akan menggunakan mahkamah dengan menjadi saksi dan memberi keterangan mengenai 1MDB, wang pencen dan kes-kes lain yang berkaitan dengan keputusan beliau memotong subsidi.


RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

4 Disember 2014



-----------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan