Ahad, 11 Januari 2015

HAK MENGGULINGKAN KERAJAAN




Rakyat berhak menggulingkan kerajaan menerusi demonstrasi aman

Badan Amanah TBH Demi Demokrasi merasa kesal keputusan mahkamah seksyen pada 9hb Januari 2015 bahawa aktivis sosial Hishamuddin Rais didapati bersalah dan dihukum dendaan RM5000 atas tuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan bagi mengguling kerajaan menerusi demonstrasi jalanan dalam satu ceramah pada 13hb Mei 2013.

Kami berpendapat Hishamuddin Rasi berhak menyeru rakyat menyertai demontrasi jalanan aman untuk memaksa parti pemerintah yang melakukan penyelewengan dan penipuan dalam pilihanraya umum ke-13 supaya mengembalikan demokrasi. Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun sekiranya bersifat aman.

Maka seruan Hishamuddin Rais untuk mengadakan demonstrasi jalanan secara aman masih dalam lingkungan kebebasan bersuara. Penggunaan undang-undang zalim menghukum Hishamuddin Rais telah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan mencabul hak demokrasi beliau.

Sistem demokrasi zaman moden berlandaskan satu prinsip utama iaitu kuasa berpusat pada rakyat. Legitimasi pemerintah berasal daripada persetujuan yang diperintah. Jika pemerintah menyalahgunakan kuasa untuk mencabuli hak-hak rakyat, rakyat berhak menukarkan pemerintah. Legitimasi pemerintah amat dicurigakan kerana rakyat tidak dapat bertoleransi dengan penyelewengan dan penipuan yang berlaku pada PRU-13.
Tribunal Bersih telah membuat kesimpulan pada March 2014 bahawa Suruhanjaya Pilihanraya gagal dalam semua aspek sebagai pihak yang menangani pilihanraya yang sepatutnya menjamin proses tersebut bebas dan adil.

Contoh terbaik demonstrasi jalanan aman menggulingkan kerajaan ialah peristiwa ‘kuasa rakyat’ Filipina pada tahun 1986. Beratus-ratus ribu rakyat Filipina berkumpul di Epifanio de los Santos Avenue untuk menunjukkan bantahan terhadap pilihanraya yang dianggap kotor dan tidak adil. Demonstrasi tersebut berjaya memaksa diktator Ferdinand Marcos mengundurkan diri dan menamatkan pemerintahan kuku besinya 20 tahun. Maka menggulingkan kerajaan dengan demonstrasi jalanan aman adalah hak demokrasi rakyat.

Kami menggesa bahawa kerajaan memansuhkan akta hasutan dengan segera dan menghentikan penggunaan undang-undang zalim untuk menindas aktivis-aktivis sosial dan pemimpin-pemimpin parti pembangkang. Kami juga berharap agar pihak mahkamah merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan dan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dalam menangani kes yang melibatkan gerakan politik dan sosial supaya mempertahankan hak-hak asasi manusia rakyat Malaysia.

Badan Amanah TBH demi Demokrasi


----------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan