Rabu, 7 Januari 2015

SURAH BANJIR






SURAH BANJIR

Untuk minggu ini mari kita lupakan sementara kemana kapal terbang resmi kerajaan Malaysia - Pesawat 9M-NAA- hilang merayau-rayau. Untuk sementara waktu ini mari kita gatungkan perbincangan tentang Obama. Buat sementara waktu kita lupakan apakah arahan Obama kepada 'budak suruhannya' di Padang Golf Hawaii.

Minggu ini saya mahu membuka surah banjir. Untuk saya banjir yang melanda ini telah membuka wacana baru. Surah banjir membuka wacana politik, sejarah dan budaya. Surah ini wajib dibuka untuk memberi pencerahan. Surah ini diharapkan dapat memberi pemahamam makna BANJIR tahun 2014.

Musim tengkujuh – musim hujan – peralihan angin di Laut Cina Selatan telah berlaku semenjak alam ini wujud. Gerakan angin yang membawa hujan adalah hukum alam. Semenjak zaman berzaman di Utara Semenajung Tanah Melayu – wilayah pantai timur – akan diserang angin dan hujan. Malah masuk sahaja bulan November pantai-pantai Timur Semenanjung akan bergelora. Nelayan TIDAK ke laut. Laut akan kembali tenang dalam bulan Febuari atau March.

Malah umum mengetahui banyak pulau-pulau tempat percutian dan tempat bercanda-canda di Pantai Timur akan ditutup. Laut bergelora dan merbahaya. Hujan mencurah turun. Air sungai melimpah naik. Kesah ini telah diturunkan dari mulut ke mulut – dari jenerasi ke jenerasi. Ini telah menjadi pengetahuan ilmiah.

Sungai Pahang, Sungai Perak, Sungai Kelantan – sama saperti Menam Chao Praya, sama saperti Hwang Ho, sama saperti Sungai Ganges dan Indus, sama saperti Sungai Nil, sama saperti Sungai Tigris di Iraq – adalah pusat tamadun manusia. Ini kerana sungai yang membawa air adalah punca kehidupan. Lembah-lembah yang dilalui oleh sungai-sungai ini amat subur. Disinilah bermulanya tamadun dan kehidupan.

Justeru – adalah anggapan bodoh jika ada yang menyangka bahawa warga yang tinggal tepi tebing-tebing sungai ini ' kurang akal ' kerana memilih hidup ditepi sungai. Atau anggapan - mereka yang tinggal dilembah-lembah subur ini hanya mencari 'nahas' kerana pasti akan dilanggar bencana.

Memang betul – setiap musim tengkujuh - setiap tahun banjir akan sampai. Ada tahun yang ringan dan ada yang agak berat. Tetapi TIDAK saberat tahun 2014 ini.

Ketika saya membesar saya telah mengikuti warta berita dari Radio Malaya tentang banjir di Kelantan. Saya selalu mendengar rujukan turun naik air melalui ukuran 79 anak Tangga Bradley. Ada tahap bahaya jika air telah melintasi anak tangga ini. Tangga di Sungai Kuala Krai ini telah dibina pada tahun 1927. Tangga Bradley ini menunjukkan telah ada kesedaran tentang wujudnya banjir di Kelantan dan cara berjaga-jaga untuk menanganinya.

Apa yang berbeza sekarang? Kalau dari tahun 1927 sudah diketahui apa bezanya dengan banjir hari ini? Kalau dulu ada banjir hari ini juga ada banjir. Fakta ini betul – dulu banjir – hari ini juga banjir. Tetapi ada perbezaan yang hakiki.

Untuk pencerahan tentang fakta banjir hari ini biar saya bersurah tentang satu fakta yang mungkin TIDAK ada sesiapa selain dari saya yang mengaju dan memaparkan.

Fakta yang ingin saya nyatakan disini ialah PEMBALAKAN. Apa 'spesialnya ' pencerahan pembalakan ini?

Memang betul dahulu ada pembalakan di Kelatan dan Pahang, Kedah dan di Perak. Tetapi pembalakan pada tahun 60an,70an dan 80'an 'tersusun dan terkawal'. Tidak wujud apa yang dipanggil pembalakan haram. PEMBALAKAN HARAM ini tidak wujud di Tanah Melayu. Konsep pembalakan haram ini muncul di Sabah dan Sarawak. Hanya semenjak 20 tahun kebelakangan ini budaya 'pembalakan haram' telah merebak ke Semenanjung.

Apakah pada ditahun-tahun 60'an dan 70'an Jabatan Perhutanan cukup hebat? Pegawainya bekerja dengan rapi? Tidak ada kong kalikong? Apa teknoloji yang wujud ketika itu?

Mustahil 30 tahun dahulu Jabatan Hutan HEBAT berbanding dengan sokongan peralatan teknoloji hari ini. Justeru timbul persoalan bagaimana hutan dan pembalakan terkawal? Apa teknolojinya?

Jawabnya : Parti Komunis Malaya (PKM). Dalam hutan dan dipanggir hutan Pahang, Kedah, Kelantan dan Perak ada tempat-tempat dan wilayah dimana kader PKM bergerak. Organisasi politik PKM bergerak bersama dengan pasukan gerila. Dalam hutan belantara ini PKM mendirikan perkampongan untuk menyusun kader politik dan angkatan bersenjata. Umum mengetahui sejarah bagaimana Orang Asal juga ramai yang menjadi kader dan penyokong PKM.

Ini bermakna di Tanah Melayu pada ketika itu – wujud dua kuasa. Satu kuasa dari Kuala Lumpur dan satu lagi kuasa yang beroperasi dari sempadan Siam/Tanah Melayu. Kuasa lahir dari laras senapang.

Kerajaan Perikatan memiliki soldadu, manakala PKM juga memiliki gerila bersenjata. Dua kuasa politik yang memiliki senjata ini sedang bertembung. PKM sedang memperluas pengaruh. PKM menjalankan kerja politik dikampong pendalaman sebelum masuk ke pekan dan kota. PKM menyusun kaum tani.

Sebagai taktik untuk mempertahan wilayah yang mereka kuasai - gerila-gerila PKM juga memasang bom jerangkap diserata pelusuk hutan. Hanya kader PKM sahaja yang tahu dimana bom ini dipasang. Justeru masuk hutan untuk mencuri balak dengan membabi buta akan membawa maut. Ini fakta sejarah.

Justeru mustahil ada Cukong atau Pak Lebai Berketayap yang berani masuk mencuri-curi balak. Penyamun Tarbus sedar akan bahaya bom jerangkap. Malah, syarikat pembalak yang mendapat lesen dari kerajaan untuk membalak juga tahu bahawa dalam hutan ini ada lagi satu pasukan pengawalan.

Para pembalak tahu mereka TIDAK boleh melakukan sebaragan dalam hutan. Kerana itu kita TIDAK pernah mendengar atau membaca berita ada anak dara Orang Asal dirogol pembalak saperti yang berlaku di Sabah atau Sarawak. Para pekerja balak tahu bahawa kader PKM dalam hutan ini TIDAK makan rasuah dan tidak patah oleh rayuan China Doll. Kader PKM memerhatikan sikap dan tingkah laku pembalak.

Kesah pembalak bertemu dengan gerila ini selalu dilapor media arus perdana pada tahun 70'an. Malah ada juga berita yang melaporkan bahawa PKM mengutip cukai dari pembalak.

Ini bermakna kewujudkan PKM dalam hutan Perak, Kedah, Pahang dan Kelatan telah memilihara ekosistem bumi tropikal pada ketika itu. PKM telah menyelamatkan hutan balak dari dirompak. Ini khidmat positif PKM berlaku secara TIDAK dirancang. Banjir dizaman ini tidak segila tahun 2014.

Dua puluh tahun dahulu Perjanjian Damai Haadyai telah ditanda tangai antara PKM dengan Kerajaan Persekutuan. Ini bermakana PKM tidak lagi berada dalam hutan. Gerila PKM keluar. Semua bom jerangkap yang telah dipasang wajib dimusnahkan. Ini termaktub dalam Perjanjian Damai Haadyai.

Pejanjian Damai ini telah diharapkan akan membuka ruang ekonomi kepada kawasan pendalaman di Kelantan. Memang tepat dan betul ada peluang ekonomi. Peluang ekonomi yang paling senang ialah merembat hutan balak. Umum mengetahui tentang berita tuduh menuduh antara Parti Pas dengan parti United Malays National Organisation berkenaan Hutan Balak.

Parti Islam ini selalu dituduh oleh Parti Ketuanan Melayu sebagai kumpulan jahat yang telah menjual hutan balak Kelantan kepada Towkay Cina dari Singapura. Tuduhan ini kita baca dalam media arus perdana. Kita juga diberitahu - malah ditunjukkan gambar bagaimana Hutan Lojing dan bukit bukau di Kelantan telah boleng sesudah balak di rompak.

Berita pembalakan ini menjadi buah mulut dalam banjir 2014 ini. Justeru, Menteri Besar Kelantan telah menafikan tentang peranan pembalakan. Malah Nik Abduh seorang Ahli Parlimen PAS telah menyalahkan rakyat Malaysia yang menimbulkan kemarahan Allah kerana TIDAK menyokong hudud. 

Sebenarnya cakap-cakap tentang hudud dan 'online' dengan Allah ini adalah cakap para politikus. Ini cakap-cakap dalam usaha untuk megkalihkan peranan manusia dalam banjir yang baru berlaku. Hudud akan dijadikan alat untuk menutup surah Balak dan penyelewengan pentabiran Pas di Kelantan dari diketahui umum.

Memang betul hukum alam akan membawa banjir. Peredaran musim akan membawa tengkujuh. Dalam masa yang sama adalah juga betul dan tepat bahawa peranan manusia juga memburukkan lagi banjir ini. Dalam kes banjir yang baru berlaku ini tidak dapat tidak peranan pembalakan adala salah satu dari puncanya.

Manusia kini menjadi angkuh. Manusia menjadi tamak. Manusia semakin gila mengumpul harta. Ada yang berselindung disebalik kaum, bangsa dan raja. Ada juga yang berselindung dibelakang ketayap dan agama. Hakikatnya manusia sedang membantai alam dan menggali bumi untuk mengumpul harta kekayaan.

Alam telah lama menangis sedih. Bumi telah lama sakit. Bukit dan hutan telah lama gering. Hanya kita mansia yang angkuh dan sombong tidak melihat ini. Tanda-tanda sudah jelas terpampang.

Sila pergi berdiri ke tebing ke Sungai Kelantan, sila pergi ke tebing Sungai Pahang – perhatikan betul betul. Buka mata dan buka hati. Lihat tangisan darah dari sungai ini. Air sungai ini sedang berdarah. Air sungai ini sedang mengalirkan darah bumi. Warna coklat, warna hitam , warna lumpur adalah darah bumi. Sungai kita sedang menangis. Apakah ada hati yang melihat. ( TT)


NOTA
tulisan ini telah disiarkan dalam
SUARA KEADILAN
sesiapa yang ingin melanggan akhbar minguan ini
sila pukul talipon:
03-92-21-30-45


-------------

4 ulasan:

  1. 1. nama penuh umno ialah united malays national organisation BARU. ditubuhkan pada tahun 1988.
    2. gesa pejabat tanah negeri2 keluarkan senarai pemegang lesen2 balak.
    3. dilaporkan sebatang pokok balak dewasa boleh menyimpan 1,400 liter air hujan. hutan2 balak yg telah dirembat diganti dgn pokok2 kelapa sawit & tanaman sayur. berapa liter species boleh simpan air hujan.
    4. musibah yg sendiri bikin akan berterusan.
    5. lagi 3 bulan 1malaysia akan terima malapetaka. ini pun sendiri bikin.

    BalasPadam
  2. TT agak terlupa bahawa selain gejala pembalakan haram yang menyumbangkan kepada banjir mega di Kelante peranan pemanasan global juga harus diambil kira. Pemanasan global disumbang banyak oleh negara industri tinggi seperti AS dan China dan juga India dan negara2 dari KE (EU). Kini setiap wilayah, mukim atau kawasan di atas planet ini menunggu giliran untuk menerima impak kemusnahan total dari fenomena pemanasan global. Pemanasan global dan dibantu bersama oleh banjir, ribut taufan,tornado dan suhu ekstrem akan menghentam bumi di mana saja tanpa mengira populasi kawasan itu sama ada orang kaya, miskin, beragama atau tidak atau berideologi sosialisme atau kapitalis. Pendek cerita apabila manusia skru alami(nature) maka alami akan mengskru pula manusia dan hidupan lain termasuk haiwan dan tumbuhan turut bersama jadi mangsa tak berdosa.

    BalasPadam
  3. Ada benarnya abduh rembat balak....
    Cilaka sudah sampai....

    BalasPadam
  4. Tuan Guru TT

    Panjang sangat lah

    Ini cerita bebudak bahalol mentedarah harta rakyat ke ????

    Sini ada juta juta bebudak bahalol muka agak2 sama saja macam Mat Bahalol kan...

    BalasPadam