Isnin, 2 Februari 2015

SUARA ANAK MUDA






LENSA ANAK MUDA MALAYSIA (LENSA)
KENYATAAN AKHBAR: 2 FEBUARI 2015

PARTI PERLU BERKORBAN, BUKAN KORBANKAN PAKATAN RAKYAT

Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA) ingin menyuarakan kebimbangan terhadap situasi semasa yang sedang dihadapi oleh Pakatan Rakyat (PR). LENSA sifatkan tahun 2014 sebagai tahun yang malang buat PR apabila rakyat yang telah memberi undi kepada PR dihidangkan dengan konflik intra-parti pakatan yang tidak berkesudahan.

Bermula dengan perbalahan pemilihan Menteri Besar Selangor yang terheret sehingga 8 bulan, rakyat dipertontonkan pula dengan polemik hudud yang plotnya sentiasa berulang. Januari 2015 pula Pakatan Rakyat mulakan dengan perbalahan mengenai isu Pilihanraya Tempatan yang terheret sehingga ke isu 13 Mei.

Sepanjang tahun 2014 , tidak ada lagi idea-idea besar daripada PR yang mampu menjadi kiblat perbincangan rakyat. Tidak ada lagi kempen turunkan harga kereta, tidak ada lagi kedengaran idea-idea baru seperti Buku Jingga dan sebagainya.

Setiap Rakyat Bertanggungjawab Menjaga PR

Pakatan Rakyat perlu sedar, Tsunami yang berlaku dalam Pilihanraya Umum ke 12 dan 13 adalah hasil daripada rasa jemu rakyat terhadap corak pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional. 53% rakyat telah memberi undi kepada gabungan Pakatan Rakyat dengan harapan suatu perubahan berlaku di Malaysia.

Maka seharusnya kepercayaan rakyat ini menjadi pendesak kepada PR untuk sentiasa menjunjung amanah rakyat dan memperkukuh gabungan PR bagi mencapai cita-cita perubahan. Kepentingan rakyat ini sepatutnya menjadi matlamat mutlak Pakatan Rakyat. Harapan rakyat ini sepatutnya sentiasa tersemat dalam jiwa dan akal setiap pemimpin Pakatan Rakyat.

Apabila diperbincangkan mengenai hal ini, maka dengan pantas segelintir pemimpin Pakatan Rakyat akan menjawab, sememangnya mereka sentiasa memperjuangkan kepentingan rakyat. Tetapi apakah dengan mengheret perbalahan mengenai isu Hudud, PBT, 13 Mei menunjukkan rakyat sedang diperjuangkan?.

Lebih mengecewakan apabila timbul cakap-cakap dalam kalangan pemimpin utama Pakatan Rakyat yang mengatakan parti mereka bersedia untuk terpisah daripada PR hanya kerana pendirian yang berbeza antara parti. Apakah pemimpin ini sedar bahawa kenyataan ini ibarat mengkhianati kepercayaan rakyat. Apakah harapan 53%rakyat sudah tidak wujud dalam jiwa mereka?

Sudah semestinya perbezaan antara parti pasti akan berlaku kerana mustahil tiga parti berbeza akan sentiasa bersepakat dalam semua isu. Namun amat menghampakan apabila tiga parti harapan rakyat ini dilihat gagal mengurus perbezaan yang ada.

LENSA percaya setiap rakyat yang mahu melihat Malaysia terus bergerak maju ke hadapan perlu memastikan gabungan pembangkang ini sentiasa utuh. Hanya pembangkang yang kuat mampu menjadi pengimbang kepada corak pentadbiran Kerajaan. Malah dalam konteks Pakatan Rakyat, gabungan ini dilihat sebagai alternatif dan semakin hampir untuk memerintah Putrajaya.
Oleh itu tidak ada pilihan lain selain rakyat perlu berani mengkritik dan bersuara secara vokal bagi memastikan Pakatan Rakyat sentiasa berada di atas landasan perjuangan pro-rakyat dan tidak teralih kepada isu-isu picisan yang membantutkan perjuangan.

Parti Yang Perlu Berkorban, Bukan Korbankan Pakatan Rakyat.

Demi rakyat, sewajarnya setiap parti dalam gabungan Pakatan Rakyat perlu sedia berkorban bagi memastikan Pakatan Rakyat terus kukuh. Janganlah hanya kerana memperjuangkan cita-cita parti sendiri, Pakatan Rakyat sanggup dikorbankan. LENSA percaya cita-cita tertinggi yang perlu menjadi dasar perjuangan setiap komponen Pakatan Rakyat ialah memastikan Malaysia mendapat kerajaan baru selepas PRU14 yang akan datang. Kerajaan baru yang bakal membawa perubahan mendasar sekaligus melonjakkan Malaysia menjadi sebuah Negara Berkebajikan dan Demokratik. Inilah juga yang menjadi impian rakyat Malaysia.

Untuk mengejar cita-cita ini, semestinya memerlukan toleransi yang tinggi dalam kalangan pemimpin Pakatan Rakyat termasuk mengetepikan kepentingan individu mahupun parti. Sampai ke hari ini rakyat masih boleh melihat dengan jelas fraksi yang berlaku dalam kalangan pemimpin Pakatan Rakyat. Sebagai contohnya, PKR secara bersendiri memutuskan untuk melaksanakan Langkah Kajang tanpa dibincangkan secara teliti sesama gabungan PR. Begitu juga PAS dengan Rang Undang-undang Persendirian Hudud dan DAP dengan isu Pilihanraya Tempatan.

Bagaimana PR mahu yakinkan rakyat bahawa mereka boleh mentadbir Malaysia jika sesama gabungan pun mereka gagal mempamerkan toleransi yang baik. LENSA percaya masalah toleransi ini jugalah yang menjadi punca PR sehingga ke hari ini PR masih gagal mengeluarkan senarai kabinet bayangan dan calon Perdana Menteri.

Maka apa yang perlu dilakukan parti PR ialah duduk semeja dan selesaikan kemelut dengan semangat toleransi yang tinggi, bukannya masing-masing meninggalkan PR sekaligus mengetepikan harapan rakyat.  

Pemimpin Muda Perlu Buktikan Sesuatu Sebelum Rakyat Jemu.

Sukar untuk diperkatakan, namun amat jelas, pertikaian yang sedang berlaku dalam PR hari ini membabitkan pemimpin-pemimpin senior dalam ketiga-tiga parti. Oleh itu LENSA menganggap masa depan Pakatan Rakyat bergantung kepada pemimpin muda yang menjadi tulang belakang setiap parti. Ini bertepatan dengan kata-kata ilmuan Islam Ibnu Khaldun, yang menyifatkan kualiti generasi muda hari ini akan menggambarkan masa depan sesebuah Negara.

Jika kepimpinan pemuda dalam PAS, PKR dan DAP juga gagal mempamerkan hubungan yang lebih dinamik, maka sudah pasti tidak ada lagi ruang untuk rakyat meletakkan harapan terhadap Pakatan Rakyat. Walaupun menyedari wujudnya sentimen-sentimen tertentu dalam setiap parti, namun LENSA percaya semua sentimen itu akan tenggelam dan pupus sekiranya kepimpinan pemuda dapat meletakkan suatu agenda besar yang menjadi kiblat perbincangan dan gerak kerja seluruh kekuatan parti.

Apabila parti gagal meletakkan agenda yang jelas untuk diperbincangkan dan digerakkan, maka ahli dan seluruh kekuatan parti akan sibuk dengan konflik dalaman sehingga masa dan tenaga dibazirkan.  

Oleh itu LENSA amat berharap pemimpin muda dalam PR dapat mengembalikan fokus dan kekuatan parti ke arah isu-isu yang masih membelengu rakyat Malaysia. Segala konflik yang merencatkan jentera pemuda perlu dikesampingkan dan kesatuan intra-parti perlu segera dibentuk.

Forum Pakatan Rakyat, Masihkah Ada Harapan?

Bagi merungkai aspirasi kepimpinan muda Pakatan Rakyat, LENSA akan menganjurkan sebuah forum yang bertajuk Pakatan Rakyat, Masihkah Ada Harapan?, yang akan membariskan kepimpinan pemuda daripada setiap parti komponen Pakatan Rakyat.

PKR akan diwakili oleh YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat, PAS pula akan diwakili oleh Sdra Suhaizan Kayat yang merupakan Ketua Pemuda PAS Pusat, manakala DAP akan diwakili oleh YB Teo Kok Seong, Ketua DAPSY Malaysia. Selain wakil pemimpin muda PR, LENSA juga mengundang Sdra Mandeep Singh dari Kelab Bangsar Anak Muda selaku wakil anak muda dan Sdra, Safwan Shamsuddin, Pengerusi Pro Mahasiswa Nasional. Forum ini akan berlangsung pada 3 Febuari 2015, iaitu hari Selasa, bermula jam 8.45 malam dan bertempat di Dewan Tingkat 1, Gerak Budaya, Petaling Jaya, Selangor.

Daripada forum ini LENSA berharap rakyat dapat menilai keseriusan kepimpinan muda Pakatan Rakyat dalam memastikan agenda rakyat akan terus menjadi keutamaan PR. Forum ini juga akan menjadi kayu ukur untuk rakyat menilai samada masih relevan Pakatan Rakyat dijadikan harapan untuk Malaysia mencapai perubahan yang diimpikan.

Sekian. Terima kasih

Syukri Razab
Penyelaras Komunikasi



------------

1 ulasan:

  1. haji pil kuda tak nak jemput ke jadi panel forum? boleh belasah kaw-kaw... kahkahkah

    BalasPadam