Ketika bencana banjir memuncak sekitar akhir tahun 2014, Najib Razak terpaksa bergegas pulang dari percutian beliau dan keluarga di Hawaii. Perjalanan pulang beliau diikuti dengan rapat oleh rakyat dan beliau dilaporkan mendarat di Kota Bharu pada petang 27 Disember 2014.
Pada sekitar masa yang sama, jet peribadi yang digunakan beliau dan keluarga yang berpendaftaran 9M-NAA dilaporkan mendarat di Indianapolis sekitar jam 652 petang waktu Malaysia pada 26 Disember 2014. Mengikut semakan perjalanan 9M-NAA di lamanwww.flightradar24.com jet peribadi 9M-NAA itu kekal berada di Indianapolis selama enam hari sebelum berlepas ke Los Angeles, New York, London, Dubai dan destinasi terakhir di Bangkok.
Sehingga sekarang, pentadbiran Najib Razak enggan memaklumkan siapakah sebenarnya yang berada di atas pesawat 9M-NAA itu sedangkan Perdana Menteri berada di Malaysia menguruskan bencana banjir. Persoalan lebih besar yang menjadi misteri: apakah istimewanya Indianapolis sehingga pesawat 9M-NAA itu singgah selama 6 hari di situ?
Sepanjang siasatan yang dilakukan oleh NOW (National Oversight & Whistleblowers) mengenai pembelian jet peribadi baru oleh pentadbiran Najib Razak, fakta-fakta berikut telah disahkan:
1. Jet peribadi baru yang dibeli iaitu ACJ320 9H-AWK sebelum ini dimiliki oleh Comlux Aviation Group. Semakan di laman Comlux iaitu www.comluxaviation.com menunjukkan bahawa pengkalan untuk rekabentuk, ubahsuai dan naiktaraf kabin jet peribadi terletak di Indianapolis, Amerika Syarikat (lihat paparan dari laman Comlux yang disertakan
bersama)
2. Perjanjian sewabeli jet peribadi baru ACJ320 9H-AWK ditandatangani pada 1 Disember 2014
3. Dalam bulan Oktober 2013, Comlux telah mengumumkan bahawa ia telah selesai menaiktaraf jet peribadi kegunaan Ketua Negara Malaysia setelah kerja-kerja naiktaraf bermula dalam bulan Jun 2013
4. Perjanjian pembelian jet ACJ320 9H-AWK menunjukkan ia melibatkan kerja-kerja naiktaraf kabin
Berdasarkan maklumat-maklumat ini, adalah tidak munasabah bahawa jet peribadi sedia ada ACJ319 9M-NAA singgah di Comlux, Indianapolis untuk kerja-kerja naiktaraf kabin kerana pesawat itu baru sahaja dinaiktaraf setahun sebelum itu.
Kita juga tahu bahawa pada 26 Disember 2014 semasa pesawat ACJ319 9M-NAA singgah di Indianapolis selama 6 hari secara misteri, Kerajaan Malaysia telah pun membeli jet peribadi baru ACJ320 9H-AWK.
Makanya, persoalan yang berlegar ialah ada kemungkinan besar penumpang yang menaiki ACJ319 9M-NAA singgah di Indianapolis untuk meninjau sendiri kerja-kerja naiktaraf jet peribadi baru yang dibeli oleh Kerajaan Malaysia.
Oleh kerana Dato’ Seri Najib Tun Razak sudah pulang ke Malaysia pada ketika itu, soalan seterusnya yang berlegar ialah siapakah sebenarnya VVIP yang singgah di pengkalan Comlux yang sedang menaiktaraf jet peribadi baru yang dibeli oleh Kerajaan Malaysia?
Spekulasi yang berlegar ialah kemungkinan besar isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor adalah VVIP yang menggunakan ACJ319 9M-NAA untuk singgah di Indianapolis dan meninjau sendiri kerja-kerja menaiktaraf jet peribadi baru ACJ320 9H-AWK yang baru dibeli Kerajaan Malaysia.
Keengganan Dato’ Seri Najib mengesahkan siapa VVIP yang menggunakan pesawat ACJ319 9M-NAA dan apakah tujuan pesawat itu singgah di Indianapolis selama 6 hari hanya akan menguatkan spekulasi ini, maka perkara yang terbaik ialah Dato’ Seri Najib perlu mendedahkan:
1. Siapa penumpang di atas ACJ319 9M-NAA ketika ia singgah di Indianapolis?
2. Apakah tujuan sebenar rombongan yang menggunakan jet rasmi kerajaan itu singgah selama 6 hari di Indianapolis?
Tanpa jawapan yang telus, perkara-perkara begini akan terus menimbulkan kemarahan rakyat.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
SABTU
---------------
teknologi flightradar ni utk umum boleh kesan pesawat.awat MH370 lambat sgt nak tahu pi mana...
BalasPadam