Jumaat, 10 April 2015

ANAK MUDA TERUS MELAWAN







HIMPUNAN #KitaLawanGST
 DI JOHOR BAHRU ESOK
Himpunan #KitaLawanGST pada hari Sabtu (esok 11 April 2015) akan diadakan di hadapan Pusat Membeli-belah City Square, Johor Bahru pada jam 4.00 petang. Ini akan menjadi satu detik sejarah apabila semangat melawan dihidupkan di negeri kubu kuat politik pemerintah sebagai ingatan dan igauan kepada mereka yang tidak henti-henti menindas dan menzalimi rakyat.
Himpunan ini akan memberikan pendedahan kepada semua terutamanya rakyat Johor bahawa kesengsaraan menghadapi kenaikan harga barang dan kos sara hidup akibat GST tidak perlu dipendam dan disimpan sendirian.
Apabila saban hari rakyat membayar cukai, mereka terus bergelumang dengan kemewahan, rasuah dan salah guna kuasa. Maka, kepayahan rakyat perlu dizahirkan secara terbuka supaya ianya dapat melahirkan kekuatan dan keberanian kepada kita semua untuk bersatu menentang cukai yang zalim ini.  
Kami menyeru kepada rakyat Johor untuk bersama-sama sertai himpunan esok. Selain aksi anak muda menaikkan semangat #KitaLawan, kita akan adakan pungutan suara dan saranan sebagai tuntutan rakyat terhadap pemerintah mengenai GST. 
Anak muda seterusnya akan memperjuangkan tuntutan ini ke peringkat nasional. Ini merupakan peluang rakyat kebanyakan di Johor yang selama ini kebajikan mereka terabai – dihimpit dengan pembangunan yang tidak seimbang dan tekanan kos sara hidup yang melampau, untuk menyuarakan pandangan mereka.
Himpunan #KitaLawanGST versi Johor esok akan berjalan dengan aman. Peserta digalakkan memakai baju hitam dan berkumpul di hadapan pintu masuk City Square di Jalan Wong Ah Fook.
Kami juga memohon kerjasama pihak berkuasa tidak melakukan provokasi dan sebaliknya memberi ruang kepada anak muda berhimpun secara aman demi membawa suara rakyat melawan GST.
Selagi kezaliman berleluasa, selagi itu #KitaLawan akan terus mara!
10 APRIL 2015
SEKRETARIAT KITA LAWAN




-----------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan