Sabtu, 4 April 2015

DARI PRESIDEN





PAKATAN RAKYAT PERLU KEMBALI 
KEPADA AGENDA PEMBELAAN RAKYAT
 
Sejak Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13), Malaysia berhadapan dengan masalah yang bertimpa-timpa. Pentadbiran Najib  Razak di Putrajaya gagal memimpin masyarakat dan negara mengharungi cabaran-cabaran ini, malah kadang kala merumitkan lagi keadaan. Sebahagian besar rakyat Malaysia merasakan seolah-olah Malaysia terumbang-ambing tanpa hala tuju apabila pimpinan politik tidak memberi bimbingan dan jalan penyelesaian kepada masalah-masalah masyarakat.
 
Masalah-masalah yang datang bertimpa ini bermula dengan api perkauman yang dimainkan oleh sesetengah pihak selepas PRU13. Keadaan ekonomi suram yang menekan rakyat diburukkan lagi dengan skandal kewangan seperti 1MDB dan pembaziran seperti pembelian jet baru. Rakyat Malaysia juga diuji dengan bencana banjir yang melibatkan ratusan ribu rakyat di seluruh negara. Minggu ini, rakyat Malaysia terus ditekan apabila mula menanggung beban percukaian GST yang tidak sewajarnya dilaksanakan.
 
Kedua-dua gabungan politik iaitu Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional juga berdepan dengan masalah dalaman akibat perbezaan pendapatan dan perselisihan kepimpinan.
 
Dalam suasana begini, mudah bagi rakyat kebanyakan hilang keyakinan dengan proses politik berdemokrasi yang diamalkan sekian lama. Apabila rakyat merasakan bahawa mereka tidak dibela dan ahli politik bercakaran sesama sendiri, keyakinan kepada proses politik akan luntur.
 
Saya sedia maklum dengan keresahan rakyat yang pelbagai kaum dan latar belakang. Kegagalan merungkai keresahan ini akan membawa kesan besar kepada negara dan masyarakat.
 
Oleh yang demikian, saya menyeru rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat untuk kembali ke meja mesyuarat dengan meletakkan agenda pembelaan rakyat sebagai keutamaan teratas. Ini bukanlah bermakna kita tidak mengambil peduli pergeseran sesama kita, tetapi sekiranya perselisihan itu dibincangkan dengan berpaksikan agenda pembelaan rakyat sebagai keutamaan, saya yakin ia boleh diselesaikan dengan baik.
 
Saya khuatir dengan beberapa perkembangan mutakhir mengenai Pakatan Rakyat termasuklah keputusan parti-parti DAP dan KEADILAN di Sabah dan Sarawak berhubung kerjasama dengan PAS. Sementara saya menghormati kedudukan parti-parti DAP dan KEADILAN di Sabah dan Sarawak yang mempunyai autonomi, saya berharap agar keputusan-keputusan itu juga dapat dibincangkan dengan lebih teliti di peringkat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam masa terdekat.
 
Oleh yang demikian, saya sedang berusaha supaya satu mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dapat diadakan dalam tempoh dua minggu ini dengan agenda-agenda berikut sebagai agenda utama:
 
1.    Mengawalselia pelaksanaan GST untuk memastikan rakyat tidak terus menjadi mangsa sementara menyokong segala usaha membantah pelaksanaan GST
 
2.    Tindakbalas Pakatan Rakyat ekoran siri penangkapan ke atas aktivis, pimpinan politik dan pengamal media yang menunjukkan terhakisnya ruang demokrasi di negara ini
 
3.    Kerjasama yang lebih fokus untuk mempercepatkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang masih belum mendapat bantuan sepenuhnya

4.    Persediaan bersama menghadapi pilihanraya-pilihanraya yang makin dekat terutamanya Pilihanraya Negeri Sarawak

Saya percaya rakyat memerlukan pimpinan politik untuk kembali mengangkat agenda membela rakyat dan cuba menangani perselisihan secara berhikmah. Saya berdoa agar pimpinan Pakatan Rakyat diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk menguatkan saf berhadapan dengan Barisan Nasional dalam keadaan pelbagai masalah masyarakat semakin menekan rakyat Malaysia.
 
DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
PRESIDEN KEADILAN








-------------

3 ulasan:

  1. Kak Wan. Azizah...You pun sama menyusahkan rakyat juga.

    You bertanding di DUN Kajang tu untuk apa? Sengaja kosongkan kerusi Kajang kemudian you masuk bertanding sebagai calon.

    Tindakan seperti itu lagi sial tak guna. Memang betul-betul menyusahkan rakyat.

    Lancau laa.. when a Politician try to say something about rakyat. All booshit..

    BalasPadam
  2. Nak PRK prmtg pauh dah dekat...nak buat baik dgn pas la....kah..kah...kah...pkr pasti kalah kali ni....kita ajar sikit kesombongannya

    BalasPadam
  3. Bro masa self exiled kat England dulu tahun 1970an...bro tak bayar VAT (Value Added Tax) ke? itu pun GST bro!!!

    BalasPadam